Rabu, 25 Jun 2014

Bila Emak Dera Anak...


Sikap ibu itu memang melampau.


Walau sikap ibu ini melampau mendera anaknya, janganlah kita juga turut melampau menghina, menyumpah seranah, menghentam bagai si pelaku, seolah diri kita maksum dari melakukan dosa, tidak pernah zalim pada diri apatah lagi zalim pada pencipta diri.


Macam-macam kata nista yang keluar, sehingga ada juga melampaui hukum hudud. Sedih, bila ianya turut datang dari mulut-mulut yang comel yang bergelar ibu bapa kepada ummat nabi Muhammad.


'Perbuatan' ibu ini memang keji, 'perbuatan' ini memang wajib dihentam, ditegah.Tapi janganlah pula kita mencabul lidah kita dengan menyumpah seranah, membabi, menganjing, menghina, mencarut bagai si pelaku.


Mencegah yang mungkar bukan caranya dengan melakukan kemungkaran sama (dengan lidah).


Insaflah wahai hati ...hati saya dan hati kita semua.


Apa yang ALLAH tunjukkan ini bukan bahagian dia sahaja, bukan bahagian pihak berkuasa sahaja. Tetapi kita juga ada bahagiannya. Pasti ada sesuatu yang ALLAH ingin bisikkan untuk kita juga.


#Ya ALLAH ya Hadi, tunjukkan kebenaran kepada ibu ini dan buat kami semua dalam menongkah dunia yang semakin mencabar, dunia yang semakin banyak terdedah dengan fitnah.


#Ampunkan kami ya Allah.

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Selasa, 6 Mei 2014

PUISI SAYU DI HARI LAHIRKU...6 MEI 2014...



Sungguh...
sepi di hati ini tatkala jiwa mengingati
segala kenangan yang menjadi sumber inspirasi
kenangan bersamamu sangat membawa erti
dalam aku menganyam segala impi
Terima kasih emak atas ikhlasmu
memimpin  langkahku menongkah kehidupan ini

Emak..
diriku tak mungkin mungkin bertapak kukuh 
seperti hari ini
jika bukan dengan titik peluhmu yang tak pernah berhenti mengalir
diriku tak mungkin setenang hari ini
jika bukan ditumpahi kasih sayangmu yang tak jemu membasuh luka
diriku tak mungkin  setabah hari ini
jika bukan disusuli dengan dokonganmu sepanjang masa
langkahku tak mungkin selancar hari ini
jika bukan kerana redha dan barakah yang mengalir dari jiwa seorang ibu

Emak...
Hari ini tanggal 6 Mei aku hanya mampu menangis,
sedih mengingati 
hari aku dilahirkan
engkau yang melahirkan tiada di sisi
Dengan susah payah
Dengan sakit dan lelah
Dengan serba kurang
dirimu tetap tabah
Mendidik anakmu  dengan penuh tabah

Walau dalam miskin dan payah
Dirimu tak pernah merungut,
Jauh sekali mengungkit
Sucinya hatimu
Mengandung, melahir dan mendidik
Belum sempat aku  balas semua budi
Engkau pergi menyambut panggilan ILAHI

Walau 3 bulan sudah emak pergi
Rindu di hati tetap basah
Air mata tak segan tumpah
Bila mengenang detik-detik emak mahu pergi
Siksanya hati menahan resah
Siksanya hati menahan tabah
Siksanya hati menahan sabar
Siksanya hati menahan amarah
Siksanya hati menahan gundah

Hanya  kerana aku ada ALLAH
Akhirnya aku berserah
Kerna segalanya dengan izin ALLAH
Setelah semua usaha sudah dikerah
Dengan segala sisa kekuatan  yang ada
Doa  nan kudus kupanjatkan...
“Ya ALLAH, kurniakanlah yang terbaik buat emak...kami redha ya ALLAH...hidup atau mati...
Engkau takdirkanlah yang terbaik untuk emak”
Sungguh...aku redha...

Terima kasih ALLAH
Kerana meminjamkan emak yang baik budi.
Emak yang lebih layak menerima ucapan  doa di hari lahir ini.. bukan aku...bukan aku ...bukan aku...
Apapun terima kasih buat semua adik beradik, rakan taulan  dan semua yang meninta ucapan buatku di hari emak melahirkan...saya doakan agar segala doa yang baik-baik itu kembali kepada kalian jua. Aamiin.



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH" 

Ahad, 20 April 2014

Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka?

BOLEHKAH BUKAN MUSLIM SELAMAT DARI NERAKA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.

Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.


Berbudi Baik
Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.
Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.
Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: “Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.

Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.
Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).
Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.
Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.
Selamat Dari Azab
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).
Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:
“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Nisa: 165).
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Jumaat, 6 Disember 2013

CERITA SABASUN

 Sabasun, pasaraya yang paling popular buat masa ini. Sebelum cerita kepopularan pasaraya ini berkembang biak di seluruh pelusuk dunia pada dan maya, saya juga pernah menulis artikel berkenaan pasaraya tersebut. Artikel ini saya tulis pada 12 Ogos yang lalu, tanpa mengaitkannya dengan kisah-kisah politik. Ianya sekadar berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan FB. Saya 'up' kembali penulisan ini buat tatapan rakan-rakan blogging, jika ada kebaikan manfaatkanlah, jika sebaliknya kesampingkan sahaja ia.



Semalam telah berlaku satu sejarah kepada saya di pasaraya yang paling saya gemari.

Sabasun, singkatan dari 'Sabar Sungguh', boleh dikatakan menyediakan barang keperluan pelanggan, pasaraya yang mengutamakan Islam, serta perjuangan Islam yang sebenar, diusahakan oleh orang Islam yang berimu Islam, pekerja pula 100% Islam.

Memasuki pasaraya ini, hati terasa sangat tenang kerana telinga kita dihiburkan dengan alunan ayat-ayat al-Qur'an, zikir-zikir. Azan pula berkumandang apabila tibanya waktu solat, untuk mengingatkan para pelanggan dan pekerja tentang kepentingan solat. Mata pula dihidangkan dengan skrin ayat al-Qur'an, hadis-hadis serta tazkirah ruhani.

Di sana sini, bendera Palestin bergantungan.Melihat perawakan pekerja juga, amat menyejukkan hati memandang. Pakaian para pekerja yang disediakan (terutamanya wanita) menutup aurat dengan baik. Terjatuh hati bila melihat tulisan poster melekat pada kaunter bayaran lebih kurang bunyinya "TIDAK DIBENARKAN PEKERJA WANITA DAN LELAKI BERDUA-DUAAN DALAM SATU KAUNTER".

Oppss...dah melalut, dapat promosi percuma pula pasaraya ini. Semalam, sebenarnya saya ke pasaraya Sabasun, membelek-belek barangan kaca. Tiba-tiba satu barang yang balutan kotaknya tidak kemas, jatuh berderai pecah apabila saya cuba untuk membukanya. Hati tidaklah berdebar kerana harga barang masih mampu untuk 'dibayar ganti rugi'. Ringkas cerita, apabila bersedia untuk membuat bayaran, staf pasaraya cakap: "Tak payah bayar, Kak...kat sini memang macam tu"

Alhamdulillah, masih banyak sebenarnya wujudnya perniagaan sebegini. Saya doakan agar perniagaan Sabasun terus maju, di bawah Redha ILAHI.

Jom, beli barang dapur kat Sabasun...halaalan thoiyyiban...



" Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 24 November 2013

BAHAGIA ITU SEDERHANA

Mendengar isteri membebel di rumah, bererti aku masih punya keluarga.

Mendengar suami masih mendengkur di sebelahku bererti aku masih punya suami.

Mendengar ayah dan mak menegurku dengan tegas bererti aku masih punya mak ayah.

Merasa letih setiap ptg selepas penat bekerja, itu bererti aku mampu bekerja keras.

Membersihkan pinggan dan cawan kotor setelah menerima tamu di rumah, itu bererti aku punya teman.

Pakaianku terasa agak sempit, itu bererti aku makan cukup.

Mencuci dan menyetrika tumpukan baju, itu berarti aku memiliki pakaian.

Membersihkan halaman rumah, mop lantai, itu berarti aku memiliki tempat tinggal.

Mendapatkan banyak tugasan, itu berarti aku dipercayai dapat melakukannya.

Mendapatkan banyak komplen dari customer kita menandakan bahwa customer kita masih ada, masih loyal dan menginginkan kita menuju perubahan ke arah lebih baik.

Mendengar bunyi exzos & hon itu bererti aku bisa mendengar

Mendengar bunyi Azan di pagi hari, itu berarti aku masih hidup.

Akhirnya banyak hal yang dapat kita syukuri setiap hari.

Aku juga bersyukur mendapatkan pesan ini, karana secara tidak sedar aku masih memiliki teman yang peduli padaku. 


Seseorang yang peduli tentang aku telah mengirimkannya kepadaku.

Dan karena aku peduli tentangmu maka aku mengirimkannya juga kepadamu.

Berhenti mengeluh dan bersyukurlah. Bersyukur dalam setiap keadaan meski tak ada alasan untuk bersyukur sekalipun.

Semoga yang membaca pesan ini selalu diberkahi dengan kesihatan, kebahagiaan dan kedamaian. Amiin



SUMBER: Copy & Paste dari Mukabuku 


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Sabtu, 16 November 2013

SIAPAKAH YANG BERSALAH...

"Kenapa menangis ni" Tanya saya kepada tiga orang murid, yang datang ke meja saya. Ketika itu saya sedang sibuk menyiapkan beberapa kerja akhir sebelum memulakan 'cuti' hujung tahun.

Saya hentikan sementara kerja saya, lantas melihat ketiga-tiga murid tersebut. Murid tahun enam, dari 6 Othman. Oh, melihat muka mereka sahaja saya sudah faham.

"Erm, macamana dengan 'result' UPSR"? Tanya saya sekadar berbasa basi, mahu memecahkan suasana sahaja.

Tapi mereka bertiga masih teresak-esak sebelum seorang demi seorang memberitahu keputusan masing-masing.

"Jangan bersedih, hanya kerana kamu tak dapat A. Tidak semestinya kamu tak dapat A kamu tak berjaya. Di sekolah menengah nanti, kamu boleh teruskan usaha kamu, belajar bersungguh-sungguh...buktikan kepada semua yang kamu mampu berjaya walaupun tanpa A dalam UPSR." 

Saya tarik nafas perlahan, sebelum meneruskan lagi butir bicara.

"Ustazah doakan, agar kamu semua berjaya...yang penting kamu jadi diri kamu, jangan terpengaruh dengan keadaan sesekeliling. Kat luar sana, banyak pengaruh negatif, usah dilayan. Yang penting kamu jaga adab kamu, jaga solat, tutup aurat...Kalau kat sekolah tutup aurat, kat luar pun kena tutup aurat..."

Keadaan sudah reda, mungkin mereka memerlukan penyejuk tatkala kesedihan menyapa hati. Mereka mungkin tidak tahu di manakah arah mereka  setelah slip keputusan sudah di tangan.

"Okey, dah...jangan sedih-sedih lagi..." Saya menutup bicara sambil merenung satu persatu wajah mereka. Salah seorangnya Aisyah yang saya kagumi. Ya, Aisyah bukanlah murid yang cemerlang dalam akademik, tetapi sifat dan adabnya saya kagumi. Solat sentiasa dijaga. Selalu juga beliau minta saya bercerita kisah nabi semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Ah, saya kasihan apabila mengingatkan mereka bertiga. Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan seakan-akan telah menyerap dalam pemikiran mereka, seolah-olah keputusan UPSR yang dicapai itu adalah segala-galanya, kehidupan mereka seperti sudah tidak bermakna lagi. 

Sehingga kini, hati saya masih tertanya-tanya siapakah yang bersalah dalam hal ini. Bukan mahu cari salah sesiapa, tapi kita semua harus berfikir dan mencari jalan penyelesaian demi kebaikan semua.

Sekian.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Isnin, 4 November 2013

MUHARRAM 1435H TIBA


بسم الله الرحن الرحيم
 
Muharram tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan...
Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

❓ Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?

Ada beberapa perkara yg agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.
Antaranya, hijrah Rasulullah saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

➡HIJRAH:
Hijrah Rasulullah saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram.
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.
Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah saw. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

➡DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama’, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama’. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.
Tiada dalam kitab2 hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

➡CATATAN AMALAN
Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw.
Hadith2 yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith2 sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
✅1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba2Ku itu?'
Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

✅2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadith Sahih.-

✅3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

➡ BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?
Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.
Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan2 lain.
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama’ dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).
Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
 
Kesimpulan :
 
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ".
 
Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)
والله اعلم .

SUMBER:https://www.facebook.com/AbuAnasMadani?fref=ts  (AAM, Madinah 29 Zulhijjah 1434H)

Sabtu, 28 September 2013

Wanita Tidak Boleh Keluar Rumah Tanpa Hajat Mendesak?


Dilema Persepsi

Dunia ini ada banyak cerita. Ada gadis yang bebas berpeleseran di shopping complex tanpa tujuan. Ada yang galak menari di kelab-kelab malam. Abahnya tidak kisah. “Inikan zaman moden,” bela si abah sambil mencucuh putung rokok. Adakah ini akhlak gadis muslimah?
Ada gadis yang dikongkong dalam sangkar emas. Tidak boleh ke mana-mana walaupun ada urusan munasabah. Abahnya suka mengancam dengan hadis-hadis Nabi. “Nabi dah kata, perempuan tu aurat. Jika dia keluar, syaitan jadi peneman. Kalau nak keluar juga, mesti pakai purdah,” tegas si abah sambil membetulkan serban besar di kepala. Hadis ini benar tapi adakah tafsiran sebegini benar?
Ada muslimah yang keluar menuntut ilmu, keluar menyahut panggilan dakwah, keluar menyahut tugas-tugas kemasyarakatan dan keluar gambarnya di facebook, media, drama, majalah hingga menjadi ikutan remaja menutup aurat dan berakhlak mulia. Namun, ada pihak memandang sinis dan menyamakannya dengan gadis-gadis yang berpeleseran di pasar raya.

Adakah Islam menganggap keluarnya kaum wanita dari rumah bukan atas hal-hal darurat suatu perbuatan yang makruh atau haram? Mari kita bincangkan.

Sepotong Hadis Perlukan Kombinasi Dalil-Dalil yang Lain

Pihak yang menganggap ‘berdosa’ tatkala keluarnya wanita daripada rumah, sering memetik hadis ini,

“Wanita adalah aurat, jika dia keluar (rumah), syaitan akan memimpinnya.” (HR Tirmidzi, Kitab: Menyusukan. Bab: 18 (jld. IV, hal. 153), terdapat dalam Shahihul Jami’ ash-Shagir dengan no. 6566.)

Inikah dalilnya? Bagaimana hal ini boleh menjadi haram atau makruh? Bukankah Rasulullah SAW melarang kaum lelaki menghalang isteri-isteri mereka pergi ke masjid. Padahal, solat di masjid bukanlah suatu darurat dan bukan juga keperluan yang mendesak.

“Tapi, Nabi suka kalau perempuan solat kat rumah lagi,” balas mereka.

Baik, bagaimana dengan doa Nabi bagi Ummu Haram agar berpeluang ikut bersama para tentera menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah? (Rujuk HR Bukhari). Pemergian Ummu Haram untuk berjihad tidak termasuk keadaan darurat atau keperluan yang sangat mendesak, tetapi hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apakah Maksud Hadis Wanita itu Aurat?

Dalam Buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah, ada jawapannya. Hadis ini mengaitkan keadaan wanita sebagai aurat dengan pimpinan syaitan. Ia memberi peringatan kepada kaum wanita agar jangan lalai dalam menutup aurat.

Kaum wanita dilarang memperlihatkan keindahan tubuhnya kecuali yang dibenarkan, tidak memakai wangian, tidak sengaja melenggok-lenggok ketika berjalan, dan tidak sengaja menggoda dalam berbicara. Bukan kaum wanita sahaja, kaum lelaki juga diingatkan agar menjaga adab dalam pergaulan. Barulah syaitan tiada ‘password’ untuk menggoda manusia.

Wanita Datang Dalam Bentuk Syaitan?

Rasulullah SAW mengaitkan keluarnya wanita daripada rumah dengan syaitan bukan sahaja dalam hadis di atas bahkan dalam hadis yang lain.

“Sesungguhnya wanita datang dalam bentuk syaitan dan pergi juga dalam bentuk syaitan.” (HR Muslim, Kitab: Nikah, Bab: Tentang Orang Yang Melihat Wanita Lalu Jatuh Hati, jld. IV, hlm. 129-130).

Apakah pengajaran daripada hadis ini? Kena mengurung wanita di rumah? Tidak! Ada ratusan dalil yang lain menunjukkan penglibatan wanita dalam kehidupan sosial pada zaman Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW memberi bimbingan dalam menghadapi fitnah (ujian) sebegini?

Rasulullah SAW mengajar lelaki menghadapi fitnah (ujian) wanita ini dengan cara berjuang menguruskan nafsu, menundukkan pandangan dan pulang ke pangkuan isteri. Bersama isteri, naluri seksual boleh disalurkan secara halal. Baginda bersabda dalam hadis yang sama,

“Jika salah seorang kamu melihat wanita,  maka hendaklah dia pulang menggauli isterinya. Hal itu dapat menghilangkan keinginan yang ada dalam dirinya.” (HR Muslim).

Beginilah juga cara wanita menghadapi fitnah (ujian) lelaki penggoda. Lelaki-lelaki itu datang dalam bentuk syaitan apabila bersiul-siulan gatal, feeewittt, dan usya-usya. Ada persamaan dengan syaitan dari sudut menggoda. Usah dilayan. Pulang ke rumah dan nikmati suami sendiri.

Fitnah (Ujian) Dalam Pelbagai Bentuk

Hadis di atas mengingatkan kita tentang adanya ujian (fitnah) daripada godaan wanita. Sama sahaja dengan hadis-hadis yang mengingatkan kita adanya ujian (fitnah) daripada godaan harta benda dan anak-cucu.

Peringatan itu tidak bermakna kita kena bermusuh dengan harta dan anak-cucu. Ia tidak bermakna kita tidak perlu mengumpul harta dan mengurung anak cucu di rumah sahaja. Ia cuma ingatan agar kita berwaspada.

Kesimpulan

Wanita sangat bagus tinggal di rumah. Tapi itu tidak bermakna dia diharamkan atau  dimakruhkan keluar rumah. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu keluar dengan bertujuan kebaikan. Tiada masalah. Jangan terlalu bebas. Jangan pula terlalu terkongkong. Allahmu Maha Mengetahui setiap niat di hati. 


SUMBER: Ustazah Fatimah Syarha @  http://sebarkanbahagia.blogspot.com/


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Isnin, 9 September 2013

UJIAN...UPSR...

Kita selalu sahaja diuji
adakala diuji dengan wang ringgit
adakala diuji dengan kerenah sahabat
adakala diuji dengan politik kerja
adakala diuji dengan masalah kesihatan
jika mahu disenaraikan, entah berapa banyak lagi ujian yang kita harungi...

Esok 9 September 2013 anak-anak didikku bakal harungi satu ujian yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan mereka iaitu UPSR.

Buat anak-anak didikku,

khusus di Sekolah Kebangsaan Matang, Kuching dan juga di Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru, Kemaman ...serta semua yang bakal menghadapi UPSR..


Ustazah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan:

"Selamat menghadapi UPSR dengan usaha yang terbaik. Semoga ALLAH kurniakan ketenangan dan kelapangan hati. Mudah-mudahan, kecemerlangan yang bakal yang kalian kecapi, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Aamiin"

اللهم اجْعَلْنَا منَ النٌَاجحيْنَ وَالفائزيْنَ في الدنيَا وَالأخرة

Jumaat, 30 Ogos 2013

BETUL KE TUHAN ITU ADA...

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.

Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

* Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung.

by: Al Fadhil Ustaz Zawawi Mughni