Rabu, 11 Januari 2012

DIA SUDAH PERGI...

Lembaran al-Qur'an diselak, mencari-cari surah al-Ra'd

"Ada al-Qur'an kecil tak?"

Teringat soalan adik lelaki, Helmi ketika memandu untuk menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Bertarikh 1 Januari 2012.

"Ada..." Jawab saya sepatah. 

Sememangnya saya akan sisipkan al-Qur'an kecil ke dalam handbag  jika  bermusafir. Tidak betah untuk saya membaca naskhah berbeza,walau hakikatnya. al-Qur'an tetap satu di mana-mana sahaja kita pergi..

"Dalam keadaan kritikal sekarang, bacalah surah al-Ra'd."

"Ok.". Saya mengangguk. Menurut kata.

Dia Sudah Pergi ...

"Din dah pergi..." 

Baru beberapa ayat dari surah al-Ra'd  disuluhi, saya terima panggilan dari salah seorang adik saya dari rumah. Suaranya teresak-esak. Ya Allah! Saya juga tidak dapat menahan esak tangis. Air mata bercucuran laju. Sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Walau ada mata yang memandang, dibiarkan sahaja.

Dengan air mata bercucuran hebat, saya kembali menelefon adik, Helmi yang ketika itu sudah  hampir sampai ke rumah. Hanya berselang sebuah kampung sahaja lagi.

"Mi, Din dah pergi. Tolong patah balik ke airport." 

"Apa?????? Dah pergi?" Di hujung talian, saya terdengar esakan adik, kami berlaga esakan. Ah! sukar untuk kami berbicara saat itu. Esakan bertalu arus, seakan tidak mahu berhenti.

Dia Yang Terbaik

Sementara menunggu adik kembali tiba di lapangan terbang, minda terus berlegar pada wajah dua anak kecil. Kalian sudah yatim sayang! Itu takdir Ilahi.

Walau kita mahukan A. Tapi Allah memilih B. Bagi kita, A yang terbaik. B pula pilihan Allah. Siapa kita berbanding Dia? Kita hanya hamba. Dia Tuan kita. Tuhan kita. Mana Yang Terbaik? Pasti Dia. 

B sudah pasti jawapan terbaik. Apa yang baik di sisi kita tidak semestinya baik di sisi Dia. Allah telah memberi yang terbaik kepada kita. Kembalinya abah kalian ke Rahmatullah adalah terbaik bagi kita sekeluarga. Segalanya dalam Ilmu Allah. Siapalah kita untuk menghalang urusan-Nya. Saya memujuk hati.Kembali merenung taqdir Yang Maha Kuasa.

Air Mata Bercucuran Lagi...

Beg beserta kotak yang sudah dipacking, dialihkan dari troli. Kembali  ke mulut Myvi putih, milik adik saya Helmi. Raut wajah adik saya tatapi. Pipinya berterusan basah. Kami sama-sama bergelut dengan kesedihan.

"Dia terlalu baik"

"Selama dia masuk dalam keluarga kita, tak pernah kita semua terasa hati dengan dia."

"Tak pernah pun kita rasa dia tu ipar. Kita sayang dia sama macam kita sayang adik beradik kita yang lain"

"Ipar hanya pada istilah..."

Ya Allah! Perbualan yang berselang seli esakan makin mengundang kesedihan. Air jernih makin lebat. Turun mencurah-curah dari tubir mata. Kami dua beradik teresak-esak, sama-sama bertukar cerita tentang kebaikan al-marhum. 


Jemariku Berhenti Dahulu...

Allah!

Aku tidak mampu lagi meneruskan bicara ini. Walau lebih seminggu ia berlalu, tapi perasaan ini masih basah.  Kebaikan al-marhum sangat kuat di ingatan.

Dua anak kecil yang sentiasa bertamu di ruang mata telah menyekat jejariku untuk terus melakar bicara. Air mata tidak mampu dibendung, diiringi esak tangis yang amat mencengkam jiwa.

Jemariku berhenti dahulu. InsyaAllah akan bersambung lagi,buat tatapan dua anak kecil.  InsyaAllah...Semoga satu hari nanti kalian akan memahami betapa baiknya abah kalian.


Abah kalian sangat baik sayang! Semoga, kata-kata ramai: "Orang baik biasanya cepat pergi..." menjadi doa buat al-marhum adik ipar. 

Moga dirimu tenang di sana. Ameen.


P/S: Terima kasih saya ucapkan buat Makcik Werdah yang turut serta bersolat hajat. Jua buat  UmmuAmmar, NaeKak NormahMakbondaKak Ani dan Kak Nisha atas titipan doa.Semoga kalian sentiasa dirahmati-Nya. Ameen. 


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"