Isnin, 13 April 2015

CERITA AYAH

Saya selalu bercerita tentang emak rohimaha Allah, dari mula sampai kembalinya al-marhumah ke pangkuan Ilahi. Tapi, ini tidak bermakna saya melupai ayah tapi al-marhumah emak banyak mempengaruhi kehidupan saya, bahkan wajah saya juga banyak mirip al-marhumah.

Walaupun begitu, saya tetap menyanjung tinggi pengorbanan, kasih sayang ayah terhadap diri saya anaknya. Ayah, walaupun tidak pernah bersekolah, seorang yang buta huruf, beliau tetap mahukan anaknya menjejak ilmu setinggi yang boleh.

Pernah satu ketika, apabila mendengar berita yang saya akan menaiki tangga universiti (UKM), ayah termenung panjang di tepi sungai memikirkan di mana harus dicari sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan saya. Ayah tidak melahirkan walau sepatah kata pun yang boleh menggugah perasaan saya, anaknya yang begitu ghairah mahu mengecapi cita. Bahkan ayah menjauh seketika ke pinggir sungai di pinggir kampung, menenangkan hati bagi mencari solusi, mencari ikhtiar agar cita-cita anaknya tercapai juga. Riak sedih langsung tidak diukir di depan saya.

Akhir-akhir ini kesihatan ayah agak tidak stabil. Rasa risau seringkali menjenguk hati. Pada satu ketika, saya terpaksa mementingkan diri sendiri, mengutamakan ayah lebih dari segalanya (selepas ALLAH), saya sanggup dimarahi kerana ayah. Petang tadi, meninggalkan ayah seketika di kampung halaman, bagi meneruskan tanggungjawab sebagai pendidik. Hati terasa sangat sayu bila teringatkan lambaian tangan ayah tanda merestui pemergianku adalah kerana ILAHI.

Ah...sebenarnya, banyak lagi kata-kata yang mahu saya pintal tentang ayah, namun masa tidak membenarkan buat masa ini. InsyaAllah di ketika yang tenang dan damai saya mahu menulis lagi tentang ayah agar ianya menjadi tenunan cinta dari saya buat ayah, betapa besarnya pengorbanan seorang ayah dalam hidup saya.

Terima kasih ayah.

Ayah la ayah, ayah la emak..

Tunggu saya balik lagi ye ayah!

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"