Isnin, 29 Ogos 2011

SALAM IDULFITRI


Salam Idulfitri buat semua rakan taulan...
Maaf dipinta andai ada yang terkhilaf...
tersurat mahupun yang tersirat...

TaqabbalalLah minna wa minkum ya Kareem...










Isnin, 22 Ogos 2011

MUHASABAH RAMADHAN

Dalam pada kita menghadap menu pelbagai...
Dalam pada kita menempah pakaian beratus-ratus ringgit, malah mungkin beribu...
Dalam pada kita menaiki kenderaan dengan begitu selesa...
Kita kekadang 'terlupa' kesesakan dan kesusahan orang lain...

Di bawah ini gambar anak murid saya dan kediaman mereka...
Ya Allah tersentuh hati melihat keadaan ini..
Si kakak pernah bersekolah...
tapi terpaksa berhenti kerana kesempitan yang dihadapi.
Alhamdulillah kini kembali menyambung persekolahan...
Si adik pula baru mengenali alam persekolahan setelah menginjak umur 9 tahun... 







Bersyukurlah atas segala nikmat kurniaan-Nya..
Kita masih di atas jika lihat ke bawah
Kita masih kaya jika lihat yang miskin
Kita masih senang jika lihat yang susah...
Apa lagi yang kita mahu?
Bukankah semua itu nikmat kurniaan Ilahi...

"Maka nikmat Tuhan kamu yang manakah yang kamu dustakan?" surah al-Rahman


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"

Selasa, 16 Ogos 2011

DUA TAHUN SUDAH...



Begitu cepat masa berlalu.

Diam tak diam, senyap tak senyap usia blog ini telah mencapai tahun kedua.  Entri pertama saya dilahirkan pada 10 Ogos 2009. Mungkin boleh dumpamakan dengan usia seorang kanak-kanak  yang berusia dua tahun. Kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa pelatnya. Begitulah mudanya usia blog ini. Kata pepatah Melayu  - baru setahun jagung.

Dalam usia setahun jagung ini masih banyak lompang yang bercambah pada blog saya, dan masih banyak juga impian dan target saya belum tercapai. Sebetulnya saya masih belum berpuas hati dengan blog ini terutama dari sudut penerbitan entri-entri. Mengikut percaturan, saya berhasrat untuk menghasilkan sendiri penulisan entri di blog ini sekurang-kurangnya empat entri sebulan, selebihnya barulah saya 'copy n paste' namun saya masih belum berupaya ke arah itu.

Ada sahaja kekangan dan mashaqqah yang menjemput. Saya cukup alah dan kalah dengan kekangan masa serta mashaqah yang hadir. Inilah kelemahan saya yang sangat ketara. Hasilnya entri yang ditulis terhenti separuh jalan. Akhirnya, terperam di kotak posting. Entah bila akan dilahirkan.Bila hal ini berlaku, saya terpaksa mencari alternatif lain dengan menyalin artikel dari beberapa sumber agar blog saya tidak bisu dari agenda dakwah...mudah-mudahan...


Bermulanya Saya...

Dakwah! Ya, itulah hasrat utama saya ketika niat 'berblogging' mula menerjah hati. Entri sulung yang lahir pada 10 Ogos 2009 telah membicarakan tentang hasrat tersebut. Saya mula berminat dan berjinak-jinak dengan dunia 'blogging' apabila mula membaca blog milik adik saya. Saya rasa amat jauh dari dunia dakwah sedangkan saya telah lama melepasi fasa pengajian secara rasmi, berbanding dengan adik saya yang ketika itu baru melangkah ke dunia kampus. Namun beliau telah jauh meninggalkan saya. Sepatutnya saya lebih terkedepan, namun sebaliknya yang berlaku.

Saya amat bimbang dan takut jika secebis ilmu yang dimiliki tidak dibelanjakan mengikut jalan-Nya. Rasa bimbang juga sering terselit di jiwa andai penulisan ini tidak mampu mendidik saya ke arah yang lebih baik. Saya tidak mahu dikatakan sebagai "Hanya tahu menulis" semata-mata. Ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah!

Dari blog adik, saya mulai menjelajah dari satu blog ke satu blog yang lain seperti blog uzar,ummuhusna, saifulislam.com,genta-rasa.com dan lain-lain. Dari penjelajahan demi penjelajahan hati  kian meronta untuk turut sama memeriahkan dunia 'blogging' agar ilmu yang disedut dari dunia kampus dan universiti alam ini tidak sekadar menjadi pekasam semata.


Amal Soleh - Amal Jariah

Saya sedar blog ini juga masih banyak kurang asam dan garamnya. Tidak secukup rasa. Saya bukannya seorang yang hebat merungkai kata, bukan juga seorang yang handal meluah rasa. Namun saya tidak sesekali berputus asa untuk mencungkil apa sahaja potensi yang ada agar amal yang tidak seberapa ini mampu dinilai sebagai amal soleh di sisi-Nya.  

Selaut kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberi waktu dan ruang kepada saya untuk terus melahirkan mutiara kata, insyaAllah untuk kebaikan semua meskipun untaian kata tidak sehebat mana. Semoga dari waktu ke waktu kata yang terlontar akan menjadi lebih baik, seterusnya mampu dihisab sebagai amal jariah.

Semoga dengan secebis ilmu yang ada, saya juga mampu sama-sama memeriahkan medan dakwah dan tidak termasuk dalam golongan yang kerugian. Tetapi akan terus berusaha untuk menyusup masuk ke dalam kalangan mereka yang mengerjakan amal soleh serta berpesan-pesan dalam kesabaran.Walaupun sekecil hama, moga ianya ada nilai di sisi-Nya.

Firman Allah (S.W.T) dalam surah al-Asr, yang bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” ( Surah al-Asr ayat 1-3 )

Begitu juga dengan hadis yang bermaksud:

"Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya."(Sohih Muslim)

Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya: Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap muslim (Sohih Muslim)

Saya tak punya intan permata, apatah lagi wang berjuta.Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil saya sangat mengharap dan terus mengharap agar usaha kecil ini  dinilai sebagai amal jariah oleh Allah, terutama ketika jasad ini sudah reput dimamah bumi.


Terima Kasih Sahabat...

Terima kasih kepada semua sahabat 'blogger'  dan bukan 'blogger', sama ada yang sudi meninggalkan jejak mahupun yang singgah sebagai 'silent reader'. Semoga persinggahan sahabat semua tidak sia-sia. Doa dan harapan diiringi agar 'rumah' ini mampu membekali kalian dengan ilmu yang melekat di dada, ampuh di minda. Segala komen yang dilontarkan amat saya hargai. Semoga komen-komen tersebut mampu memberi manfaat buat semua, terutama buat diri saya yang  serba kekurangan.

Semoga pendapat yang dilontarkan kalian mampu mendidik jiwa, seterusnya menggalakkan lagi jari jemari saya untuk terus menari serta melahirkan kata yang lebih baik dari sehari ke sehari. InsyaAllah...

Akhirnya, harapan saya semoga blog ini menjadi salah satu wadah ilmu serta amal jariah yang boleh memberi manfaat kepada semua. Dengan usia yang baru setahun jagung sudah pasti blog ini mempunyai banyak silap dan salah, yang tersurat mahupun yang tersirat. Segala kekhilafan itu mohon dimaafi. InsyaAllah akan ditambah baik dari masa ke semasa.

Saya budak baru belajar, mana yang salah mohon ditegur...


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Khamis, 4 Ogos 2011

BERPUASA BUKAN UNTUK BERPUAS


Alhamdulillah kerana kita berpeluang untuk berpuasa lagi. Sebahagian besar daripada kita tentulah sempat bersahur. Mudah-mudahan kita yang sahur pada jam 3.00 pagi dan ke atas disenangkan untuk bangun setiap hari hingga ke akhir Ramadhan. Tidak ada sehari pun terjaga setelah mentari menjenguk ke dalam jendela.

Tentu sekali puasa melatih diri untuk bersabar. Namun, sebagai manusia, kita mudah sangat terlupa untuk menjaga kesabaran. Mungkin kita sudah pun membunyikan hon pada kereta yang berada di hadapan kereta kita di lampu trafik pagi tadi kerana lewat sesaat untuk bergerak bila lampu bertukar hijau.

Mungkin kita sudah mengeluh apabila pemandu kereta di hadapan terpaksa membuka pintu untuk menyentuh kad 'Touch and Go'nya kerana cerminnya sudah rosak. Atau kita geram apabila kereta kita dipintas secara tiba-tiba.

Bagi yang menggunakan pengangkutan awam, apakah kita memotong 'queue' untuk menaiki bas kerana tidak mahu menunggu lebih lama? Ataupun tidak memberi ruang bagi yang ingin keluar daripada koc komuter atau LRT sebelum kita menginjak menaikinya? Atau menghimpitkan diri ke dalam lif yang sendat kerana takut lewat memasuki pejabat sebentar tadi? Inilah cabaran kesabaran berpuasa.

Tiba awal ke pejabat kerana tidak perlu bersarapan memberi kita lebih banyak masa. Maka, tidak molek jika kita gunakan masa itu untuk membuka laman kenalan sosial, laman permainan, laman gossip artis, laman video hiburan atau segala macam laman fitnah dan ghairah seperti yang selalu kita lakukan.

Menu di bulan puasa perlu berubah kepada membuka laman al-Quran online. Boleh juga e-tadarus dengan mendengar dan mengikut bacaan dengan tujuan memperbetulkan sebutan kita. Atau membuka laman-laman hadis, soal jawab agama, blog-blog ustaz-ustaz yang tentunya mempunyai pelbagai ulasan dan bahan mengenai puasa itu sendiri. Santapan minda yang baik di bulan puasa akan menajamkan fikiran walaupun ia sedikit melayukan mata.

Tentu sekali waktu makan tengahari juga boleh digunakan untuk bersolat dengan lebih lambat dan khusyuk. Setelah itu masa yang luang boleh digunakan untuk menghafal satu surah baru daripada mana-mana juz Amma. Sekurang-kurangnya kita tidak membaca surah-surah 'empat Qul' sahaja setiap kali solat sejak akil baligh hingga ke hari ini. Mudah-mudahan kita dapat menghafal satu surah pada setiap minggu.

Cabaran bazaar Ramadhan sememangnya menguja nafsu. Terdapat beratus-ratus jenis makanan. Masakan yang dibakar, digoreng, direbus, dicelur kesemuanya ada. Tidak termasuk pelbagai jenis kuih muih dan pelbagai minuman beraneka warna. Ada juga makanan yang hanya muncul setahun sekali seperti air kasira dan bubur lambuk. Kesemua ini mengancam selera.

Apakah kita mengambil sejenis kuih atau membeli selagi tangan larat menjinjing? Hingga akhirnya kesemua makanan itu akan di'petisejukkan' dengan niat hendak dihabiskan. Sedangkan apabila tiba hari esoknya, kita membeli dan membeli lagi. Jika difikirkan, seisi rumah yang berpeti sejuk tidak perlu langsung membeli makanan setiap hari, kerana percayalah, seisi rumah tidak akan kebuluran kerana peti sejuk dicipta untuk mengisi stok makanan sehingga seminggu.

Bagi yang berbuka di luar sama ada di gerai mahupun di hotel-hotel, apa yang lebih mustahak ialah untuk mengintai-intai di manakah terdapatnya surau dan tempat berwuduk. Maklumlah, menjamu selera dengan hidangan yang pelbagai juga melalaikan. Lebih-lebih lagi, perut yang berat akan juga membuatkan mata menjadi berat ketika berterawih. Jika kita terlalu santai dengan berbuka dan berebut-rebut untuk bersolat, keseronokan berpuasa dalam suasana tenang telah dinodai dengan kekalutan setelah berbuka, apatah lagi untuk bertadarus.

Pendek kata, kita perlu kurangkan makan, minum dan tidur ketika berpuasa. Apa yang perlu dilebihkan ialah beribadah. Tidak molek lebih makan, lebih minum dan lebih tidur.

Berpuasa itu bukan untuk berpuas.

SUMBER: Artikel iluvislam.com


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana ALLAH"