Awal Muharram merupakan merupakan
bermulanya tahun baru di dalam kalender Islam. Masyarakat kita telah
didedahkan semenjak zaman berzaman lagi upacara membaca doa awal tahun
dan akhir tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji
syaitan kepada si pengamal doa ini bahawa :
“Kesusahan bagiku
dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah
akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah
akan mengampunkan dosanya setahun.” dan juga “Telah amanlah anak Adam
daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua
malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan”.
Kata-kata
siapakah ini? Apakah kata-kata dari manusia biasa boleh dijadikan
sebagai hujah fadilat sesuatu amalan lebih-lebih lagi perkara yang
berkaitan dengan aqidah? Sudah tentu sekali tidak boleh sama sekali.
Perkara yang berkaitan dengan fadilat amal, dosa, pahala dan semua
perkara yang berkaitan dengan akidah tidak boleh berhujah atau diambil
dari kata-kata manusia biasa yang tidak maksum, meskipun ia merupakan
seseorang yang begitu alim dan warak di dalam selok belok agama. Hanya
Allah dan Rasulnya sahaja yang berhak.
Yang
paling menyedihkan sekali, kata-kata yang terkandung di dalamnya
janji-janji syaitan itu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi
sayangnya ujaran kata-kata di atas tidak terdapat di dalam kitab-kitab
yang menghimpun hadith-hadith baginda s.a.w seperti Sahih al-Bukhari,
Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasa’ie, Sunan
Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Sahih Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Khuzaimah
dan lain-lain lagi.
Maka
jelaslah bahawa fadilat doa awal dan akhir tahun adalah palsu dan batil
serta tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ketahuilah
bahawa di situ terdapat amaran keras daripada Rasulullah s.a.w bagi
sesiapa yang menyandarkan sesuatu perkara yang bukan dari baginda,
Sabdanya:
“Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan
namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama
orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka
siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.
Beramal dengan riwayat palsu?
Berdasarkan hadith di atas, para ulama hadith menekankan bahawa haram beramal dan menyebarkan hadith-hadith palsu apatah lagi disandarkan kepada baginda s.a.w bagi sesiapa yang mengetahui status kepalsuannya, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu al-Solah di dalam karangannya ”Ulum al-Hadith‘ m.s 98:
“Tidak
halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya
dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan
kepalsuannya“.
Al-Imam
an-Nawawi juga menjelaskan hukum berkenaan dengan hadith palsu di dalam
muqaddimah (pendahuluan sesuatu kitab) karangannya iaitu ‘Syarh Sahih Muslim‘:
“Haram
meriwayatkan sesuatu hadith palsu bagi orang yang mengetahui bahawa
hadith itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadith ini palsu. Siapa yang
menceritakan hadith yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya palsu
serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman
ini. Tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad
SAW di antara hadith tentang hukum-hukum dan hadith yang bukan
berkenaan dengan hukum seperti hadith yang mengandungi dorongan serta
galakan beramal ibadat, hadith-hadith nasihat dan lain lain. Semuanya
haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan
ijmak ulamak Islam.“
Seterusnya an-Nawawi berkata lagi: ” Ulama-ulama
telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa.
Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya
adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.”.
Selain itu, kebatilan riwayat doa tersebut dan fadilatnya dikuatkan dengan tiada riwayat
yang menyatakan amalan ini diamalkan oleh golongan salafussoleh yang
terdiri dari golongan sahabat dan tabi’ien. Jika benar amalan ini dari
Rasul dan digalakkan di dalam Islam, nescaya para sahabat dan tabi’ien
berlumba-lumba untuk melakukannya demi mengarap kebaikan disebalik
amalan tersebut yang kononnya hebat fadilatnya. Begitu juga tiada
riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w dan para sahabat r.a membaca
doa tersebut secara berjemaah dan beramai-ramai. Apa yang thabit dari
baginda s.a.w dan para sahabat r.a adalah membaca semua jenis doa secara
bersendirian.
Bolehkah beramal dengan doa ini?
Berasaskan
minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca doa ini selagimana tidak
terlintas di hati pembacanya bahawa ia disyarakkan atau diperintah oleh
agama kita. Begitu juga kerana maknanya pun tidak menyalahi syarak.
Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama doa
ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1
Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari
apapun, baca sahajalah doa ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan
doa tersebut.
Pada
pendapat penulis, doa ini adalah lebih baik tidak diamalkan samaada
individu ada secara berjemaah. Kerana terbukti bahawa ia datang dari
riwayat yang palsu dan batil. Kerana ia juga dikuatiri bahawa masyarakat
akan menganggap bahawa amalan ini adalah sunnah yang datang dari
baginda s.a.w atau dari sahabat nabi r.a. Lihat sahaja bilangan bacaan
yang digalakkan untuk membacanya(sebanyak tiga kali), siapakah yang
mengesyorkannya begitu? sudah tentu bukan sama sekali dari Allah s.w.t
dan RasulNya.
Lihat
realiti semasa, betapa ramainya individu muslim menganggap bahawa doa
awal dan akhir tahun disyarakkan oleh agama sedangkan ia tidak termaktub
sama sekali di dalam al-Quran dan Sunnah mahupun amalan salafussoleh.
Jika anggapan seperti ini terus diyakini setelah mengetahui kebatilan
riwayat, sanad dan matannya, maka secara jelasnya ini adalah Bid’ah di
dalam agama dan perkara yang diketogarikan sesat dan ditolak oleh Islam.
Semua
orang maklum bahawa doa tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat
dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw sahaja tetapi ia adalah yang
terbaik. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si
pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan.
Asalkan ia tidak menyalahi syarak dan keterlaluan, maka bacalah apa
sahaja doa yang kita hajati.
Lihat juga:-
http://forum.jiwang.org/Kebathilan-Doa-Awal-Tahun-and-Doa-Akhir-Tahun-t15171.html
http://www.al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=31502
http://qazikirdandoa.blogspot.com/2009/03/artikel-jakim-doa-awal-dan-akhir-tahun.html
Nota
: Jumhur Ulama’ mengatakan bhw HARUS kita berdoa dgn doa yg dikarang
sendiri walaupun Nabi tidak pernah berdoa dgn doa itu. Bila berdoa dgn
doa yg tidak ma’thur , janganlah pula iktiqad doa itu lebih baik drp doa
yg didatangkan dr Qur’an dan Sunnah.
Sumber : http://aburuqayya.wordpress.com
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"