Isnin, 9 November 2009

ADUHAI ANAK DIDIKKU...

Sudah lama saya tidak menulis, keadaan tidak mengizinkan. Semalam baru keluar wad. Rupanya sakit yang ditanggung selama dua minggu itu apendiks. Ingatkan sakit biasa. Empat malam juga saya 'terpaksa' menginap di Hospital Umum Sarawak.

Alhamdulillah, masih di peringkat awal. Lepas ni saya akan 'direfer' ke Hospital Sultanah Nurzahirah, Kuala Terengganu. Lusa saya akan balik ke kampung. Alhamdulillah, dapat cuti sakit sehingga 20 November. 'Ngam-ngam' cuti sekolah. Berehat panjang la nampaknya saya.

Bila bercuti panjang ni, teringat la pulak saya kepada ragam anak didik di sekolah.

Imbas kembali....Suatu hari setelah selesai doa dibaca...

"Ustazah...tadi mereka berkelahi." Adu seorang murid.

"Siapa yang berkelahi sila berdiri." Arah saya. Nampaknya tiada sorang pun berani berdiri. Saya berfikir sejenak.

"Ok, Ustazah nak sesiapa berkelahi mengaku salah, jangan sampai ustazah rotan.. Siapa yang mengaku salah, ustazah takkan rotan..." Arah saya lagi. Tiada juga yang mahu mengaku kesalahan.

"Ok lah..ustazah kira sampai 'asharah' ye...sape yang tak mahu mengaku jugak, ustazah akan rotan.." Sebelum sampai ke angka sepuluh, semua yang dikatakan berkelahi tadi bangun sorang demi sorang. Dalam hati, saya tersenyum. Berjaya juga taktik saya.

"Sekarang bagitau ustazah kenapa awak semua bergaduh?"

"Hafiz curi duit Daniel..." Beritahu seorang murid.

"Awak nampak ke Hafiz curi...?" Tanya saya.

"Tak..." Hampir semua murid menjawab.

"Imran, ambik 'marker' ustazah atas meja." Suruh saya kepada salah seorang murid di kelas 1 Cemerlang. Lalu, Imran mengambil 'marker' yang saya maksudkan.

"Sekarang cuba kamu semua bagitau, siapa ambil 'marker' ustazah..." Tanya saya.

"Imran.." Serentak mereka jawab.

"Mana awak semua tau?"

"Kami nampaklah..."

"Tapi tadi awak kata Hafiz curi duit Danial? Awak semua nampak ke?" Saya mengalihkan perhatian mereka kepada masalah yang timbul tadi.

"Tak..." Jawab mereka sambil tersenyum.

"Lain kali awak semua jangan tuduh kawan kita mencuri kalau tak nampak. Berdosa...nanti Allah marah." Sambung saya lagi.

Murid-murid hanya diam sambil tersenyum dan mengangguk-anggukkan kepala. Seterusnya saya memulakan pengajaran yang hanya tinggal beberapa minit sahaja lagi.

Inilah kerenah-kerenah murid cilik yang saban hari saya hadapi. Kenakalan mereka bila di depan mata memeningkan, tetapi bila tiada dirindui :-).

Sekadar itu coretan saya. Hingga jumpa lagi.

Wassalam.

"Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah"