Sabtu, 17 November 2012

WALIMAH HARI INI

Gambar ihsan Pakcik Google
 
Walimatul urus atau kenduri kahwin zaman sekarang sudah banyak lari dari falsafah sebenar walimah dalam Islam. Walimah dalam Islam bertujuan memperkenalkan pengantin dan mengisytiharkan hubungan halal antara pasangan pengantin tersebut, bagi mengelakkan dari ruang-ruang fitnah.

Dengan tujuan tersebut walimah disunatkan untuk diadakan, dengan 'menyediakan' makanan kepada tetamu mengikut kadar kemampuan yang ada, bukannya mengharapkan 'bayaran' daripada para jemputan. 'Tuan rumah' menyediakan makanan, 'jemputan' menghulur salam berisi duit. Hinggakan ada 'tuan rumah' mencongak-congak keuntungan yang bakal dikecapi hasil dari walimah yang diadakan. Sempat pula berjanji dengan pembekal daging lembu, yang mereka akan bayar harga daging bila mendapat duit dari tetamu nanti.

Dalam Islam, memang disunatkan mereka yang berkemampuan membantu 'tuan rumah' dalam meringankan beban mereka sepanjang kenduri sama ada bantuan kewangan, barang mentah, tenaga dan lain-lain yang berkaitan,termasuk memberi hadiah kepada pengantin.

Namun, fenomena masyarakat Malaysia hari ini, kenduri kahwin tidak sah jika 'salam berisi' atau 'ngeleng' mengikut istilah Kelantan tidak dihulurkan. Seolah-olah, 'salam berisi' itu menjadi wajib hukumnya. Teringat saya kepada jiran sebelah rumah,ketika cuti sekolah menerima banyak jemputan kenduri kahwin. Termenung panjang beliau, mencongak-congak dalam kepala "kalau sebuah rumah RM5, 5 buah rumah? ..kalau tak pergi, orang mengata pula..." . Sedangkan dengan jumlah duit sebanyak itu dapat digunakan untuk membeli sekampit beras 10 kg untuk menyuap mulut anak yang ramai.

Saya kira sudah sampai masanya kita meniru kebanyakan orang Kelantan yang mengadakan 'kenduri kesyukuran' sebagai walimah tanda kesyukuran atas ijab dan qabul anak mereka (Alhamdulillah, nilai baik ini sudah menular ke Terengganu). Kenduri sebegini sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan, serta menyenangkan tuan rumah, juga tetamu jemputan. Bila sudah menyenangkan kedua-dua pihak sudah tentu akan membawa berkat berganda. InsyaAllah. Islam itu mudah, jangan susahkan.

NOTA: Apa yang ditulis ini sekadar pemerhatian umum penulis, tiada niat ditujukan kepada sesiapa secara khusus.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

 

Rabu, 14 November 2012

Hukum Membaca Doa Awal Tahun Dan Akhir Tahun


  Awal Muharram merupakan merupakan bermulanya tahun baru di dalam kalender Islam. Masyarakat kita telah didedahkan semenjak zaman berzaman lagi upacara membaca doa awal tahun dan akhir tahun. Yang agak sedihnya adalah terdapatnya semacam janji syaitan kepada si pengamal doa ini bahawa :

 “Kesusahan bagiku dan sia-sialah pekerjaanku menggoda anak Adam pada tahun ini dan Allah akan membinasakan aku pada saat itu juga. Dengan membaca doa ini Allah akan mengampunkan dosanya setahun.” dan juga “Telah amanlah anak Adam daripada godaanku pada tahun ini kerana Allah telah mewakilkan dua malaikat untuk memeliharanya dari fitnah syaitan”.

Kata-kata siapakah ini? Apakah kata-kata dari manusia biasa boleh dijadikan sebagai hujah fadilat sesuatu amalan lebih-lebih lagi perkara yang berkaitan dengan aqidah? Sudah tentu sekali tidak boleh sama sekali. Perkara yang berkaitan dengan fadilat amal, dosa, pahala dan semua perkara yang berkaitan dengan akidah tidak boleh berhujah atau diambil dari kata-kata manusia biasa yang tidak maksum, meskipun ia merupakan seseorang yang begitu alim dan warak di dalam selok belok agama. Hanya Allah dan Rasulnya sahaja yang berhak.

Yang paling menyedihkan sekali, kata-kata yang terkandung di dalamnya janji-janji syaitan itu disandarkan kepada Rasulullah s.a.w. Tetapi sayangnya ujaran kata-kata di atas tidak terdapat di dalam kitab-kitab yang menghimpun hadith-hadith baginda s.a.w seperti Sahih al-Bukhari, Sahih Muslim, Sunan al-Tirmizi, Sunan Abu Daud, Sunan Nasa’ie, Sunan Ibnu Majah, Musnad Imam Ahmad, Sahih Ibnu Hibban, Sahih Ibnu Khuzaimah dan lain-lain lagi.

Maka jelaslah bahawa fadilat doa awal dan akhir tahun adalah palsu dan batil serta tidak boleh sama sekali disandarkan kepada Nabi s.a.w. Ketahuilah bahawa di situ terdapat amaran keras daripada Rasulullah s.a.w bagi sesiapa yang menyandarkan sesuatu perkara yang bukan dari baginda, Sabdanya: 

 “Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka” Hadith riwayat Bukhari dan Muslim.

Beramal dengan riwayat palsu?

Berdasarkan hadith di atas, para ulama hadith menekankan bahawa haram beramal dan menyebarkan hadith-hadith palsu apatah lagi disandarkan kepada baginda s.a.w bagi sesiapa yang mengetahui status kepalsuannya, seperti yang dinyatakan oleh al-Imam Ibnu al-Solah di dalam karangannya ”Ulum al-Hadith‘ m.s 98: 

Tidak halal kepada sesiapa yang mengetahui ianya hadith palsu meriwayatkannya dalam apa bentuk sekalipun, melainkan disertai dengan menerangkan kepalsuannya“.

Al-Imam an-Nawawi juga menjelaskan hukum berkenaan dengan hadith palsu di dalam muqaddimah (pendahuluan sesuatu kitab) karangannya iaitu ‘Syarh Sahih Muslim‘: 

Haram meriwayatkan sesuatu hadith palsu bagi orang yang mengetahui bahawa hadith itu maudhu’ atau dia hanya menyangka hadith ini palsu. Siapa yang menceritakan hadith yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya palsu serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad SAW di antara hadith tentang hukum-hukum dan hadith yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadith yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadith-hadith nasihat dan lain lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam.

Seterusnya an-Nawawi berkata lagi: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.”.

Selain itu, kebatilan riwayat doa tersebut dan fadilatnya dikuatkan dengan tiada riwayat yang menyatakan amalan ini diamalkan oleh golongan salafussoleh yang terdiri dari golongan sahabat dan tabi’ien. Jika benar amalan ini dari Rasul dan digalakkan di dalam Islam, nescaya para sahabat dan tabi’ien berlumba-lumba untuk melakukannya demi mengarap kebaikan disebalik amalan tersebut yang kononnya hebat fadilatnya. Begitu juga tiada riwayat yang menceritakan bahawa Nabi s.a.w dan para sahabat r.a membaca doa tersebut secara berjemaah dan beramai-ramai. Apa yang thabit dari baginda s.a.w dan para sahabat r.a adalah membaca semua jenis doa secara bersendirian.

Bolehkah beramal dengan doa ini?

Berasaskan minda yang terbuka, tidak ada salahnya membaca doa ini selagimana tidak terlintas di hati pembacanya bahawa ia disyarakkan atau diperintah oleh agama kita. Begitu juga kerana maknanya pun tidak menyalahi syarak. Kita tidak perlu terhad kepada kaifiat yang didatangkan bersama-sama doa ini, seperti kaifiat doa awal tahun hendaklah di baca selepas Magrhrib 1 Muharram. Disebabkan maknanya baik, tidak kiralah waktu dan hari apapun, baca sahajalah doa ini dengan mengharapkan Allah mengkabulkan doa tersebut.

Pada pendapat penulis, doa ini adalah lebih baik tidak diamalkan samaada individu ada secara berjemaah. Kerana terbukti bahawa ia datang dari riwayat yang palsu dan batil. Kerana ia juga dikuatiri bahawa masyarakat akan menganggap bahawa amalan ini adalah sunnah yang datang dari baginda s.a.w atau dari sahabat nabi r.a. Lihat sahaja bilangan bacaan yang digalakkan untuk membacanya(sebanyak tiga kali), siapakah yang mengesyorkannya begitu? sudah tentu bukan sama sekali dari Allah s.w.t dan RasulNya.
Lihat realiti semasa, betapa ramainya individu muslim menganggap bahawa doa awal dan akhir tahun disyarakkan oleh agama sedangkan ia tidak termaktub sama sekali di dalam al-Quran dan Sunnah mahupun amalan salafussoleh. Jika anggapan seperti ini terus diyakini setelah mengetahui kebatilan riwayat, sanad dan matannya, maka secara jelasnya ini adalah Bid’ah di dalam agama dan perkara yang diketogarikan sesat dan ditolak oleh Islam.

Semua orang maklum bahawa doa tidak perlu terhad kepada apa yang terdapat dari al-Quran dan hadith-hadith Nabi saw sahaja tetapi ia adalah yang terbaik. Ia merupakan manifestasi keikhlasan dan kesungguhan si pemintanya yang dilahirkan dari suara hati dan bait-bait perkataan. Asalkan ia tidak menyalahi syarak dan keterlaluan, maka bacalah apa sahaja doa yang kita hajati.

Lihat juga:-
http://forum.jiwang.org/Kebathilan-Doa-Awal-Tahun-and-Doa-Akhir-Tahun-t15171.html
http://www.al-ahkam.net/forum09/viewtopic.php?f=97&t=31502
http://qazikirdandoa.blogspot.com/2009/03/artikel-jakim-doa-awal-dan-akhir-tahun.html

Nota : Jumhur Ulama’ mengatakan bhw HARUS kita berdoa dgn doa yg dikarang sendiri walaupun Nabi tidak pernah berdoa dgn doa itu. Bila berdoa dgn doa yg tidak ma’thur , janganlah pula iktiqad doa itu lebih baik drp doa yg didatangkan dr Qur’an dan Sunnah.


Sumber : http://aburuqayya.wordpress.com



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Jumaat, 26 Oktober 2012

SALAM IDUL ADHA 1433H

Alhamdulillah, tahun ini diberi ruang dan masa oleh Allah untuk meraikan Eidul Adha di kampung halaman sendiri setelah bertahun menyambutnya di rantau orang.

Salam Eidul Adha saya ucapkan buat semua, diiringi dengan doa dan harapan agar kita semua sentiasa bermuhasabah diri...apakah kita sudah cukup berkorban melawan kehendak hawa nafsu demi mentaqarrubkan diri kita kepada-Nya. 

Taqabbalallahu minna wa minkum ya Kareem.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Sabtu, 6 Oktober 2012

2. Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Nasihat Iman dan Wasiat -Anuwar Nursi-


KEHIDUPAN ini tidak selamanya berjalan seperti yang kita harapkan. Sekali kita mujur, sekali kita kecewa, sekali kita rehat dan sekali kita bekerja.

Seorang pemuda, seorang penuntut ilmu dan seorang remaja juga mengalami hal yang sama. Malah semua orang juga sama. Seseorang sentiasa memerlukan nasihat dan bimbingan, baik di kala menemui kesulitan mahupun ketika dibelenggu persoalan.

Jika situasi anakanda juga demikian, mintalah nasihat daripada mereka yang berpengalaman terutama ulama yang mendalam ilmunya atau mentelaah buku-buku tulisan mereka. Di situ anakanda boleh boleh memetik mutiara-mutiara ilmu dan mengamalkannya.

Ayahanda juga bekalkan mutiara nasihat buat tatapan anakanda. Mudah-mudahan dapat menjadi panduan untuk hari-hari mendatang:
•    Badiuzzaman Said Nursi berkata, “Orang yang mengenal dan taat kepada ALLAH ia akan bahagia meskipun berada dalam penjara. Orang yang tidak mengenal-NYA akan sengsara meskipun berada dalam istana.”
•    Dalam kitab ‘Ayyuhal Walad’ Imam Al-Ghazali Rahimahullah berkata, “Wahai anakku yang tercinta, engkau juga bertanya tentang ikhlas, maka ikhlas itu ialah engkau menjadikan segala amalan hanya untuk ALLAH Taala dan hatimu tidak merasa senang dengan pujian manusia dan dirimu juga tidak peduli dengan kecaman mereka.”
•    Syeikh Sya’rawi Rahimahullah berkata, “ALLAH menciptakan manusia agar beriman atau kufur kerana DIA ingin kita datang kepada-NYA dengan kecintaan bukan terpaksa. Maka ALLAH menginginkan hati yang khusyuk bukan jasmani yang tunduk.”
•    Sayyid Qutb berkata, “Kehidupan materialisma yang menggugat dunia diumpamakan seperti kagumnya anak-anak kecil terhadap pakaian berlukis dan mainan berwarna-warni.”
Jangan Suka Menunda

Imam Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari adalah anak murid kepada Al-Imam Abul Abbas Al-Marsy. Beliau mempelajari ilmu tasawuf seperti yang diajarkan oleh Al-Imam Abul Hasan Al-Syaziliy. Beliau juga seorang wali ALLAH, seorang alim besar dan juga tergolong  dalam barisan sasterawan Arab yang ternama. Beliau berkata, “Penundaanmu terhadap amal hingga ada waktu luang termasuk kebodohan jiwa.” Ini adalah masalah yang penting dan kita merasakannya.

Jika ditanya kepada seseorang, “Apakah engkau menelaah kitab?”

Dia akan menjawab, “Tidak ada waktu terluang tapi jika ada kesempatan, insya-ALLAH aku akan menelaah.”

Jika engkau bertanya, “Apakah engkau berwirid?”

Spontan ia menjawab, “Tidak ada kesempatan...”

Inilah situasi hari ini...

Ramai orang menunda amalan sehingga ada waktu lapang untuk dilaksanakan. Sedangkan tabiat manusia hari ini sentiasa berada dalam kesibukan. Oleh itu, barang siapa yang menangguhkan amal ukhrawi dan menunggu sehingga waktu lapang, maka dia tidak akan dapat melakukannya.

Maka, ambillah pengajaran daripada situasi tadi agar dirimu tidak lalai dan leka serta bersegera melakukan amalan ukhrawi (berzikir, membaca al-Quran, qiamullail, menuntut ilmu dan lain-lain. Lakukanlah sekarang. Aturlah jadual harian dan sisihkan sedikit masa untuk amalan akhirat. Sesungguhnya, memelihara waktu juga sebahagian daripada sunah Rasulullah s.a.w dan para sahabat.

Daripada Aisyah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda, amal yang paling dicintai Rasulullah s.a.w adalah amal yang terus-menerus dilakukan oleh orang yang melaksanakannya. Keluarga Muhammad itu, apabila melakukan suatu amal, maka mereka sentiasa menekuninya. - Takhrij as-Sittah

Untuk melaksanakannya tidak memerlukan masa tertentu. Misalnya ketika melakukan tugasan rutin, jadikan tabiat membaca zikir dan wirid tertentu. Ketika waktu rehat, isikan pula rohani dengan bacaan kalamullah.

Tidak mengapa jika tidak banyak tetapi biarlah berterusan. Di samping menata amalan-amalan wajib yang lain. Seharusnya kita perlu mempunyai tradisi tertentu yang sesuai dengan keperluan hati dan kehidupan. Paling penting tidak membebankan diri.

ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. - Surah al-Baqarah: 286

Jika anakanda menemui seseorang yang culas dengan amalan-amalan akhirat dan jika dia berkata tiada kesempatan untuk melaksanakannya, maka itulah petanda daripada kebodohan jiwanya yang tidak terdidik.108 Mahukah anakanda menjadi sepertinya?

Enam Pandangan Apabila Ditimpa Sesuatu yang Tidak Diingini

Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, pengarang ‘Zadul Ma’ad’ dan ‘Tibbun Nabawi’ yang masyhur menulis, ada enam pandangan yang muncul terhadap seorang hamba jika ditimpa sesuatu yang tidak diingini, sebagaimana berikut:
•    Pandangan tentang tauhid. Iaitu apa yang dikehendaki ALLAH pasti berlaku dan apa yang tidak DIA kehendaki pasti tidak akan menimpa.
•    Pandangan tentang keadilan. Bahawa hukum-hukum-NYA pasti terlaksana dan keputusan-NYA adalah adil.
•    Pandangan tentang rahmat. Iaitu rahmat ALLAH pada ketetapan-NYA itu lebih besar daripada murka dan kebencian-NYA.
•    Pandangan tentang hikmah. Iaitu hikmah kebijaksanaan ALLAH menuntut sesuatu hal dan DIA tidak menetapkan dan mentakdirkannya dalam keadaan sia-sia.
•    Pandangan tentang tahmid (pujian). Iaitu bagi ALLAH segenap pujian yang sempurna atas ketetapan-NYA itu.
•    Pandangan tentang ubudiyah. Iaitu hamba yang diberi cubaan adalah ketetapan daripada-NYA. Sebagaimana ketetapan hukum syariat yang tidak boleh dilanggari.
Orang yang Berpegang kepada Tauhid Tidak Takut Terhadap Sesuatu pun

Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis di dalam kitabnya ‘Haqiqatuttauhid’, “Berpegang dengan tauhid dan akidah yang teguh menjadikan roh menjadi semakin kuat. Ini kerana jiwanya telah diisi dengan pergantungan kepada ALLAH, diisi dengan kepercayaan dan tawakal kepada-NYA, rela dengan qadak dan sabar dengan ujian-NYA.

Akidah yang kuat memberi ketenangan dan kedamaian ke dalam jiwa manusia yang beriman. Jiwa itu tidak akan dimasuki oleh tindakan sewenang-wenangnya. Ia menutup pintu ketakutan yang telah dibuka oleh manusia itu sendiri.

Takut tentang rezeki, takut terhadap ajal, takut terhadap diri sendiri, keluarga dan anak, takutkan manusia lain, takut kepada jin, takutkan kematian dan takut daripada kebangkitan setelah kematian. Orang mukmin yang bertauhid dan mempunyai akidah yang kuat tidak akan berasa takut kepada siapapun, kecuali kepada ALLAH.”109

Hasrat Hawa Nafsu dan Maksiat Tidak Boleh Diatasi Dengan Kata-Kata Sahaja

Dalam buku yang berjudul ‘Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah’, Syeikh Said Hawwa’ menyatakan, “Pelbagai jenis ibadat dan pendekatan diri kepada ALLAH mengandungi hikmah tertentu, dan dengan hikmah itulah kehidupan manusia menjadi baik. Setiap keadaan rohani yang sakit tentulah ada penawarnya dan setiap rohani yang sihat memiliki jalan dan banyak faktor yang mendokong.

Kederhakaan, keinginan hawa nafsu dan maksiat tidak cukup diatasi dengan kata-kata sahaja tetapi harus dengan ilmu, amal atau tindakan, keimanan, takwa, tunduk, warak dan suasana kalbu yang meresap kepada ALLAH. Semua ini ada dalam pelajaran tazkiyatun nafsi atau penyucian jiwa. Juga disebut sebagai pelajaran tasawuf.”

Amal soleh, perlaksanaan ibadat dan ajaran Islam itu mempengaruhi kepada bercahayanya kalbu. Selain itu, iman juga akan bertambah dan grafnya amat sukar untuk turun. Sehingga akhirnya hati kita mampu mencapai tahap ihsan. Lakukanlah tanpa henti.

Hakikatnya ubudiyah kita kepada ALLAH akan menghasilkan iman yang mantap, kukuh serta sentiasa berakar di dalam hati. ALLAH S.W.T mensyariatkan kewajipan yang pelbagai kepada hamba-NYA untuk mereka beramal.

Ini kerana hati manusia  memerlukan kurnia spiritual yang banyak. Fitrahnya, manusia itu musuh syaitan. Maka dengan amal solehlah menjadi benteng untuk mempertahankan diri daripadanya. Laksanakanlah ia. Buang jauh-jauh perasaan malasmu itu. Sesungguhnya hanya orang yang berusaha yang memperolehi hasilnya. Biar kita rugi di sini, jangan pula muflis di akhirat kelak.

 SUMBER: Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Nasihat Iman dan WasiatAnuwar Nursi



"Hidup Ini Indah jika Segalanya kerana ALLAH"

Jumaat, 28 September 2012

Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Aurat-Usah Pandang Yang Zahir Tapi Lihatlah Yang Batin - Anuwar Nursi



APA yang dikatakan sebelum ini adalah cabaran luaran. Sedangkan cabaran dalaman, iaitu terhadap peribadi tidak kurang hebatnya.

Ayahanda percaya kita semua pernah mendengar  pernyataan ini, ‘Usah pandang yang zahir tapi lihatlah yang batin’. Isunya ialah tentang wanita-wanita yang tidak menutup aurat. Ada golongan berpendapat bahawa tidak semestinya wanita yang tidak menutup aurat itu buruk akhlaknya. Manakala yang bertudung litup itu mulia peribadinya.

Alasan mereka mengenai perkara ini ialah, kita tidak boleh memandang serong terhadap seseorang semata-mata melihat kepada penampilan zahirnya sahaja. Mungkin secara zahirnya, mereka tidak menutup aurat, namun hatinya baik; malah tidak kelihatan pun gadis atau wanita-wanita seperti ini mengganggu atau mencederakan orang lain. Sebaliknya tidak sedikit kita saksikan seseorang yang tunggang tonggek sembahyang (istilah mereka) namun sering pula berbohong dan melakukan maksiat.

Anakku,

Ketahuilah bahawa tiada istilah baik apabila seseorang itu menderhakai TUHANnya. Benar... akan ada mereka yang dikatakan ‘soleh’ tetapi masih melakukan kejahatan. Tetapi, mungkin juga perbuatan yang dilakukannya itu bersebab. Mungkin juga aura solat itu tidak mempengaruhinya. Atau tidak mustahil solat yang dilaksanakannya itu kosong daripada khusyuk dan hakikat ubudiyah.

Hakikinya, sesiapa yang menjalankan kewajipan yang termaktub tetapi telah melakukan kesalahan, maka solat yang didirikannya itu menjadi penebus dan penghapus dosa-dosa yang dilakukan, di samping bertaubat nasuha dan memperbanyakkan istighfar. Sebaliknya golongan yang berterusan melakukan dosa tetapi tidak berusaha menghapusnya dengan memohon keampunan, maka itu adalah kesilapan besar yang telah dilakukan.

ALLAH berfirman:
Dan sesungguhnya AKU Maha Pengampun bagi orang yang bertaubat, beriman, beramal soleh kemudian tetap di jalan yang benar. - Surah Taha: 82

Anakku,

Jalan-jalan yang mendorong ke arah maksiat itu tidak terhitung banyaknya waima ia sekecil sebuah iklan yang dipapar di jalanan. Sebenarnya, pakaian mendedahkan aurat yang dipakai oleh wanita merupakan pintu utama yang membangkitkan ghairah seks lelaki.

Prof. Dr. Hamka, pengarang ‘Tafsir Al-Azhar’ berkata tatkala menyatakan tentang etika luaran atau adab berpakaian bagi wanita muslimah, beliau mengingatkan bahawa lelaki yang tergiur ketika melihat wanita cantik, itu adalah lumrah. Jika lelaki tidak bergetar jiwanya memandang perempuan cantik sedangkan dia seorang lelaki, itu sangat menghairankan.

Lebih-lebih lagi jika yang dilihatnya itu memakai pakaian ketat, terbuka, malah aksinya sangat menggoda. Bagaimana reaksi seorang pemuda ketika melihat paha yang sengaja didedahkan? Apakah mereka diam? Jawapannya tidak. Itulah sebabnya Nabi s.a.w ketika melihat Asma puteri Abu Bakar As-Siddiq memakai pakaian nipis dan jarang (pakaian kaasiyatin aariyatin - berpakaian tapi bertelanjang), baginda segera memalingkan muka lalu memerintahkan Asma agar menutupnya baik-baik.

Islam tidak mensyaratkan perlu ada potongan atau fesyen tertentu dalam berpakaian. Asalkan ia longgar dan tidak menampakkan bentuk tubuh, itu sudah mencukupi. Walaupun perkara ini mudah, tapi masih ramai yang tidak tahu serta tidak mengamalkannya. Sebahagian mereka mungkin kerana jahil tapi bersemangat untuk mengikut saranan agama. Mereka menyangka telah menutup aurat dengan sempurna tetapi sebenarnya tidak. Kita dapat saksikan fenomena ini di sekeliling hari ini.

Cuba perhatikan, sebahagian mereka ada yang memakai tudung tapi berseluar ketat. Sesetengahnya pula memakai jilbab (mini telekung), namun pada masa yang sama menyarung baju pendek. Lebih teruk lagi mereka memakai tudung dan pada masa yang sama mengenakan seluar ketat bersama baju sendat. Bahkan ada yang sampai menampakkan sebahagian punggung dan pusat.

Apa yang berlaku?

Fesyen sebeginilah akhirnya melahirkan penjenayah dan perogol. Lalu siapakah yang mahu dipersalahkan? Jika sudah berani menampilkan gaya sedemikian di jalanan, pasti ada harga sebagai bayaran. Oleh itu, tanyalah kepada perempuan-perempuan di luar sana, apakah yang memotivasinya memakai pakaian seperti itu. Jadi, siapakah sebenarnya yang memunculkan gangguan seksual; lelaki atau perempuan?

Walaupun mereka memiliki kecantikan yang tiada tolok banding, tetapi jiwa di dalamnya bersifat kelabu dan menderita sakit. Apakah kita tahu apa yang terjadi terhadap pohon yang kelihatan baik di luarnya, sedangkan teras di dalamnya dimakan anai-anai? Berapa lama ia dapat bertahan sebelum tumbang menyembah bumi? Ayahanda percaya, jika kita tidak ingin dianggap sedemikian maka anakanda harus membuktikannya!

Tidak Menutup Aurat Hanya Dosa Kecil?

Anakku,

Kita berasa aneh apabila ada yang pada zahirnya begitu komited terhadap perintah agama, tetapi kadangkala gagal memahami dan mengamalkannya. Misalnya, cara berpakaian bagi kaum wanita. Sebahagian mereka menyatakan bahawa tidak mengenakan jilbab dan memakai pakaian yang menampakkan tangan, dada, leher atau menampilkan sosok tubuh, itu hanyalah sekadar dosa kecil dan dapat diampunkan dengan hanya menjauhi dosa-dosa besar seperti zina, membunuh, mencuri, meminum arak dan seumpamanya. Mereka menganggap banyak lagi perkara lain yang lebih utama daripada masalah aurat. Mereka beranggapan penampilan zahir tidak perlu diuar-uarkan kerana ia bukanlah suatu masalah besar.

Karut!

Ulama tersohor abad ini menegaskan bahawa seseorang yang beranggapan tidak menutup aurat sebagai dosa kecil adalah tidak benar. Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menyangkal dakwaan ini dalam bukunya yang bertajuk, ‘Fatwa Antara Ketelitian dan Kecerobohan’. Katanya Rasulullah s.a.w menjadikan golongan perempuan seperti ini sebagai isi neraka berpandukan hadis baginda yang bermaksud:
Ada dua golongan manusia yang akan menjadi penghuni neraka: Pertama, golongan yang selalu memegang pecut seperti ekor lembu (orang zalim dan bengis), yang suka memukul orang. Kedua, wanita-wanita yang berpakaian tetapi bertelanjang, yang berlenggang-lenggok apabila berjalan dan yang menarik perhatian ramai, kepala mereka laksana anak (buah) dadu yang condong. Mereka tidak akan masuk syurga dan tidak akan menghidu harumnya, meskipun keharumannya dapat dihidu dari jarak yang jauh.- Hadis Sahih riwayat Imam Muslim daripada Abu Hurairah r.a.
Seandainya memakai pakaian sempit dan mendedahkan aurat dikatakan dosa kecil, tentu Rasulullah s.a.w tidak akan mengelompokkan mereka sebagai penduduk dan isi neraka. Dan tidak dijadikan golongan yang diharamkan masuk syurga, malah diharamkan walau menghidu harumannya sahaja. Justeru, memakai pakaian yang sempit, tipis dan mendedahkan aurat adalah dosa besar. Bukan dosa kecil seperti yang disangkakan.

Pelihara Jati Dirimu

Anakku,

Muslim sejati adalah yang memiliki jati diri yang kuat. Ia seperti ikan di laut. Biarpun berendam di air masin selama 24 jam, badannya tidak akan masin kecuali ia mati. Begitu jugalah dengan diri kita ini.

Sebagai orang Melayu kita sepatutnya bersyukur kerana dilahirkan dalam agama Islam. Dengan darjat keislaman itu kita sepatutnya berani menampilkan diri sebagai seorang muslim dalam erti yang sebenarnya. Jangan menganggap diri kita rendah dari bangsa dan kaum lain, terutama yang dianggap maju. Setiap bangsa dilahirkan adalah berbeza kerana ALLAH menghendakinya sedemikian. Bangsa yang maju ialah kerana takwa, bukan kerana penampilan luarnya.

Dr. ‘Aidh Al-Qarni dalam bukunya ‘La Tahzan’ menjelaskan, “Umat manusia terdiri daripada pelbagai jenis tabiat. Wataknya adalah seperti alam tumbuhan; ada yang manis dan masam, ada yang panjang dan pendek. Dan seperti itulah seharusnya umat manusia.

Jika anda pisang, anda tidak perlu mengubah diri menjadi jambu. Ini kerana harga dan keindahan anda akan tampak seperti pisang juga, bukannya jambu. Sesungguhnya perbezaan warna kulit, cara hidup, bahasa dan kemampuan merupakan tanda-tanda kebesaran Maha Pencipta.44

Perlukah Dirai?

Islam mempunyai perayaan sendiri yang disambut pada setiap tahun. Ada perayaan Maulidul Rasul, Maal Hijrah, Nuzul Quran, Israk Mikraj dan dua hari raya terbesar iaitu Aidil Fitri dan Hari Raya Aidiladha. Manakala kita dilarang meraikan perayaan bukan Islam.

Oleh kerana jati diri yang goyah, umat Islam hari ini tanpa segan silu turut meraikan perayaan yang disambut oleh kebanyakan kaum bukan Islam. Alasannya ialah untuk merapatkan silaturahim dalam kalangan rakyat yang berbilang kaum dan bangsa.

Benar... kita disuruh untuk merapatkan hubungan sesama manusia, tetapi biarlah kena cara dan gayanya. Haram jika kita bersama-sama mereka dengan niat untuk merayakan perayaan yang diadakan. Kecuali ia disambut berkonsepkan kebudayaan (tanpa menjejaskan akidah) semata-mata. Ketika itu kita tidak diharamkan untuk bersama mereka.

Hari ini, masih ada segelintir remaja kita yang masih menyambut perayaan yang satu ini walaupun sudah jelas hukumnya haram. Mengapa? Jawapannya kerana tiada jati diri yang kukuh dalam diri. Soal hukum ditolak ke tepi.

Valentine Day’s adalah hari istimewa yang disambut oleh penganut agama Kristian. Namun kini telah diikuti oleh segelintir remaja kita yang bercouple. Sudahlah coupleitu haram, ditambah pula dengan menyambut hari tersebut. Maka, bertambah-tambahlah haramnya.

Hari itu dirayakan oleh muda-mudi pada 14 Februari setiap tahun.45 Pada asalnya hari ini disambut untuk memperingati St. Valentine iaitu seorang paderi Kristian yang dianggap sebagai pencinta yang unggul. Umat Islam dilarang mengikuti ritual ini bukan semata-mata kerana sumbernya dari kaum Nasrani tetapi gereja Katolik sendiri pun pernah mengeluarkan larangan terhadap penganutnya daripada merayakan hari Valentine’s. Dalam ‘Katolik Ensiklopedia’ menyatakan bahawa ritual Hari Valentine berasal daripada ritual pemujaan syaitan dan penyembahan berhala.

Bukan itu sahaja, Hari Valentine mengakibatkan kerosakan yang dahsyat dari segi akidah dan moral. Jika ini natijahnya, tentu ini bukan cinta sejati, tetapi tuntutan nafsu serakah! Walhal agenda utama ialah merosakkan umat Islam.

Buktinya pada setiap malam sambutan hari ‘kemeriahan’ itu, jumlah pasangan yang ditangkap berkhalwat kian bertambah. Tiga bulan selepas itu dapat dilihat peningkatan kes hamil anak luar nikah. Lalu diikuti dengan kes buang bayi di merata-rata tempat yang langsung tidak menggambarkan darjat seorang manusia.

Tujuan mereka sebenarnya ialah untuk menghancurkan masa depan muda-mudi Islam seterusnya mengaut keuntungan dalam perniagaan. Tanpa disedari, muda-mudi kita akhirnya tenggelam dalam nafsu.

Tentang hukum menyambut Hari Valentine, Sheikh al-‘Utsaimin, seorang ulama terkenal Arab Saudi berkata, “Apabila merayakan Hari Valentine dengan maksud untuk mengenangkan kembali St. Valentine, maka tidak diragukan bahawa orang itu telah kafir. Dan jika tidak bermaksud begitu namun sekadar ikut-ikutan kepada orang lain, maka orang itu telah melaksanakan dosa besar.”

Manakala Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Agama Islam Malaysia kali ke-71 yang bersidang pada 22 hingga 24 November 2005 memutuskan, “Bahawa amalan merayakan Valentine’s Day tidak pernah dianjurkan oleh Islam.”

Ingatlah... golongan kafir yang memusuhi Islam tidak akan berhenti daripada terus berusaha menanam benih-benih kesesatan dalam jiwa umat Islam, supaya mereka jauh dari jalan lurus lagi diredhai ALLAH S.W.T.

Perayaan bukan Islam yang boleh dihadiri oleh orang Islam ialah:
• Majlis itu tidak disertakan upacara bertentangan akidah Islam contohnya menyertakan simbol agama seperti salib, memasang lampu, lilin dan pokok Krismas.
• Majlis itu tidak disertakan perbuatan bertentangan syarak yang diamalkan masyarakat bukan Islam iaitu memakai pakaian seperti Santa Claus.
•Majlis itu tidak disertakan perbuatan bercanggah dengan pembinaan akhlak dan budaya masyarakat Islam seperti percampuran bebas tanpa batas dan adab sopan. Berpakaian menjolok mata, mendengar lagu mempunyai seni kata berunsur lucah serta pemujaan. Mengadakan program seperti pertandingan ratu cantik dan laga ayam.


SUMBER: http://www.sinarharian.com.my/buku/anakku-hidup-sekali-biar-bererti-aurat-usah-pandang-yang-zahir-tapi-lihatlah-yang-batin-1.89157


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana ALLAH"
 

Jumaat, 15 Jun 2012

TERIMA KASIH CIKGU...ULANG SIAR...


6 Tahun

Saya mula menuntut ilmu secara rasmi ketika berusia 6 tahun. Alhamdulillah, dalam kepayahan dan kesusahan menghadapi keperitan hidup, emak dan ayah berusaha gigih bagi memberi peluang kepada saya untuk mengenali sekolah pertama iaitu tabika KEMAS. Ketika itu saya merupakan anak kelima dari lapan adik beradik. Saya bersyukur kerana berpeluang menghirup seteguk ilmu di situ.

Walau ketika itu pelajaran banyak menekankan kepada melukis, mewarna, bermain selain serba sedikit mengenai huruf ABC dan nombor 123, saya merasa sangat seronok. Guru rasmi pertama saya adalah Cikgu Kelsom.

Saya tidak tahu sama ada beliau masih hidup atau sudah dijemput Tuhan. Di mana pun beliau berada sekarang, saya tetap mendoakan kesejahteraan beliau. Semoga rahmat dan kasih sayang Allah sentiasa melingkungi hidup beliau. Ameen ya Rabbal Alameen.

Tiada kata seindah bahasa yang mampu saya ucapkan buat cikgu melainkan...Terima kasih cikgu.

7 Tahun

Bertambah satu tahun usia, saya mula bersekolah di Sekolah Kebangsaan Bukit Tunggal (SKBT). Masih segar dalam ingatan, perahu tambang menjadi pengangkutan utama ke sekolah pada masa itu. Selepas itu saya dan rakan-rakan sekampung akan berjalan kaki pula untuk sampai ke sekolah. Tidak kurang 30 minit kami berjalan untuk sampai ke sekolah.

Kampung saya bukannya terletak di pedalaman, tetapi disebabkan laluan darat yang menghubungkan antara sekolah saya dengan kampung sangat jauh maka gabungan jalan sungai serta darat menjadi alternatif. Sekolah yang lebih dekat tanpa menggunakan laluan air pula bukannya tiada, tapi kata emak apabila ditanya kenapa tidak hantar kami adik beradik ke sekolah itu. "SKBT lagi bagus. Yurannya pun murah. Budak-budak pun pandai-pandai."

Cikgu Hajah Puri merupakan guru kelas ketika saya di tahun 1. Guru ini banyak memberi nilai tambah kepada saya dalam mengenali huruf dan nombor secara terperinci. Walau di mana diri cikgu berada, keberkatan hidup cikgu sentiasa dalam dalam doa saya.

Terima kasih cikgu.

Tahun 2

"Ini Ros... A.Hamid kan?" Tegur Cikgu Ghazali Cik Umar ketika saya selesai membeli dan membelah di Pekan Batu Enam (nama rasminya Batu 8).

Pekan ini letaknya tidak jauh dari kampung saya. Bila balik Terengganu, saya pasti akan jejaki pekan ini. Banyak kuih tradisional negeri yang menjadi kegemaran saya dijual di pekan tersebut.

"Ya..."saya mengangguk. Terpana seketika.

"Kat mana sekarang?"

"UKM..." Tutur saya sepatah.

Saya terkejut sebenarnya, guru yang mengajar Bahasa Inggeris atau Matematik (saya sudah lupa) ketika saya berusia 8 tahun itu masih mengenali saya. Sedangkan telah lama saya meninggalkan usia semuda itu.

Masih kejap di ingatan, pujian beliau ketika pertama kali saya mengenakan tudung, iaitu seawal usia 8 tahun. Tidak saya nafikan menerima pujian ketika umur masih mentah berupaya mengembangkan hati saya. Hakikatnya, saya masih belum memahami falsafah sebenar menutup aurat ketika seusia itu.

"Cikgu, saya bukan pakai tudung kerana menyahut seruan menutup aurat. Tapi, saya pakai tudung sebab nak tutup bengkak yang tumbuh di leher." Ingin sahaja saya khabarkan ungkapan ini cikgu. Namun kata-kata itu terlekat di halkum. Tidak mampu diluahkan.

"Cikgu, kata-kata itu satu doa. Mungkin juga pujian ikhlas dari mulut masin cikgu menjadi salah satu sebab Allah campakkan hidayah-Nya kepada saya. Alhamdulillah, kini saya telah menutup aurat mengikut saranan al-Qur'an dan al-Hadith. Walau mungkin masih ada yang lompang, InsyaAllah saya akan pastikan agar keadaan saya hari ini akan menjadi lebih baik dari semalam. "Doakan saya ye cikgu..."

Saya masih dambakan doa cikgu. Semoga keikhlasan cikgu dalam mendidik saya mendapat barakah dan rahmat-Nya selalu.Ameen.

Terima kasih, cikgu.

Tahun 6

"...saya sempat berpaut pada serpihan-serpihan sampan..."

Saya masih ingat, merah telinga saya ketika guru kelas tahun 6 Mawar iaitu Cikgu Mohamad Sulong membaca hasil tulisan saya di hadapan kelas. Gembiranya hati bukan kepalang. Antara karangan terbaik yang diulang baca. Saya juga diminta membaca karangan itu di hadapan kelas.

"Cikgu, saya menulis karangan itu hasil dari pembacaan saya dari sebuah buku rujukan. Kalau tak silap, buku Bahasa Malaysia tingkatan tiga. Karangan itu menggambarkan tentang peristiwa yang berlaku di kampung saya, iaitu kampung Tanjung Bunut. Peristiwa sampan terbalik di langgar bot penambang. Walaupun bukan saya yang mengalaminya, peristiwa itu telah bergabung jalin dengan terhasilnya karangan bertajuk "Pengalaman Yang Tidak Dapat Dilupakan."

"Cikgu, saya tahu selautan terima kasih tidak mampu membalas budi cikgu mendidik saya. Kini saya telah berjaya. Ya, bermula dengan kejayaan mendapat 4A dalam UPSR atas dorongan dan semangat yang cikgu hulurkan. Saya selalu mengenang cikgu. Walau tidak secemerlang rakan-rakan sekelas lain yang mampu menggenggam 5A, saya tetap berpuas hati dengan kejayaan itu. Kejayaan pertama bagi memangkin kejayaan-kejayaan yang seterusnya."

Semoga cikgu sentiasa dalam redha Ilahi. Terima kasih cikgu.


Tingkatan 5 (I)

"Ros....., nanti awak nak pergi ke asrama naik apa?" Tanya Ustazah Salina suatu hari.

Ustazah Salina merupakan guru kelas ketika saya di Tingkatan 5. Lokasi di Sekolah Menengah Agama Khairiah Kuala Terengganu (SMAKH).

"Naik bas rasanya..." Jawab saya.

"Nanti saya ambik awak."

Ya Allah, saya sangat terharu menerima tawaran yang sangat istimewa itu. Ustazah Salina seorang guru yang sangat empati.

Saya masih ingat kenangan ketika sama-sama membimbit beg besar dengan beliau. Beg itu dipinjamkan oleh beliau untuk saya gunakan ke asrama. Saya perlu menginap di asrama sepanjang tempoh menghadapi peperiksaan SPM. Jarak rumah yang jauh ke sekolah tidak memungkinkan saya berulang alik ke sekolah, apatah lagi dalam keadaan menghadapi peperiksaan yang sangat penting.

Ustazah Salina dengan bermurah hati menjemput saya di rumah, lalu menghantar saya ke asrama dengan menaiki kereta beliau. Beliau faham situasi keluarga saya yang terhimpit dengan kemiskinan. Ayah hanya berbasikal. Tiada motorsikal, apatah lagi kereta. Jika tidak, mungkin juga saya menaiki bas. Oh, tidak dapat saya bayangkan seorang pelajar yang bertubuh kecil terhuyung-hayang mengangkat beg yang sangat berat.

Budi ustazah yang satu itu menjadi sumber inspirasi kepada saya untuk menekuni amanah sebagai seorang guru yang empati ...Terima kasih cikgu.

Tingkatan 5 (II)

"Cikgu, boleh tak saya nak suruh cikgu ajar saya latihan ni...saya tak faham..." Kata seorang pelajar dari tingatan 5.

Situasi ini juga berlaku di Sekolah Menengah Agama Khairiah. Sekolah yang banyak memberi kenangan indah dalam hidup pelajar tersebut. Ilmu agama yang ditimba, apatah lagi. Tidak dinafikan, sangat membina rohani.

"Nak apa...cakap sekali lagi..." Balas Cikgu Rohani, guru matapelajaran Bahasa Inggeris. Orangnya sangat cantik, tinggi lampai, lembut berbahasa.

"Saya nak suruh cikgu ajar saya subjek BI ni, tak berapa faham..." Pelajar itu mengulang kata, sambil menunjukkan latihan-latihan BI yang tidak difahami.

Cikgu Rohani memegang bahu pelajar tersebut sambil tersenyum mesra. Dengan suara yang lembut dan lunak, beliau membisikkan kata di telinga pelajar yang bertubuh kecil itu. "Tak boleh cakap macam tu. Kena cakap macam ini...Cikgu, boleh tak tolong ajar saya latihan ini..."

Pelajar itu tunduk, menekur lantai. Sedar akan kesilapan berbahasa. Lalu memohon maaf atas kekhilafan yang terlahir.

Pelajar itu adalah saya. Kini saya sudah menjadi guru. Sudah 17 tahun peristiwa itu berlalu, walau dialog itu nampak biasa-biasa saja tapi penuh berisi. Sehingga ke hari ini dialog itu masih segar melekat di hati. Kata-kata itu telah mengajar saya erti budi.

Terima kasih cikgu...budimu guru ku sanjung tinggi.

Kini...

Ketika memasuki kelas 3 Cemerlang, seorang murid bersuara. "Ustazah...ambik kertas itu." Nazrul selaku ketua kelas, seakan-akan mengarah saya. Saya mengerti beliau tidak bermaksud mengarah, sebaliknya memohon pertongan kerana ketinggian beliau tidak memungkinkan beliau menggapai kertas yang tergantung itu.

Giliran saya pula membisikkan ke telinga beliau. " Nazrul...cakap macam ini, Ustazah... minta tolong tanggalkan kertas itu." Nazrul murid yang mendengar kata akur dengan teguran saya. Ah, saya tersenyum sendiri.

Hanya Doa Mampu Dititipkan...

Sebenarnya ramai lagi insan-insan yang bergelar guru menitipkan jasa beliau kepada saya. Jika saya hamparkan semua jasa mereka di laman ini, rasanya tidak cukup dengan hanya satu episod. Cukuplah beberapa kenangan, bagi menyemarakkan lagi usaha saya menyambung legasi beliau-beliau yang menjadi asbab kejayaan saya hari ini.

Bermula dari tabika, SKBT, SMAKH, KUSZA (kini dikenali sebagai UNISZA), UKM dan IPBL (Institut Perguruan Batu Lintang) Kuching, saya akhirnya menjadi manusia seperti hari ini. Saya sedar masih banyak lompang yang perlu ditampung. Masih banyak amanah yang tidak tertunai. InsyaAllah amanah ini akan tetap diteruskan berkat doa restu kalian...wahai para guru...

Guruku...aku masih dambakan doa dari kalian...

Ya Allah ya Tuhanku

Aku mohon pada-Mu...

Berkatilah perjalanan hidup guru-guruku

Suluhilah hidup mereka dengan keimanan

Kurniakanlah mereka dengan kejayaan yang berkekalan...

di sini, jua di sana....

Ya Allah ya Tuhanku


Aku mohon pada-Mu

Tunjukkanlah aku jalan yang lurus

Jalan yang sepatutnya aku ikuti

Dalam mendidik anak-anak didikku

Engkau berikanlah aku petunjuk dan inayah-Mu

Agar aku tidak tersalah jalan dalam membawa arah mereka

mengenali diri-Mu

mengenali para nabi-Mu

mengenali kitab al-Qur'an-Mu

Ya Allah ya Tuhan-Ku...

Aku amat mengharapkan ampunan-Mu

Andai langkah yang diatur selama ini

tidak berjalan atas landasan-Mu...

Maka pimpinlah aku...


Buat anak-anak didikku ...

Yakinlah,

Tiada harta yang paling berharga selain ilmu yang dimanfaatkan

Setinggi manapun kejayaanmu nanti

Usah dilupa Rabbul 'Izzati...Peganglah Dia di hati...

Wahai anak-anak didikku

Doaku tetap mengiringi perjalanan hidup kalian...

Maafkan aku andai ada khilaf yang melata sepanjang tarbiyah yang dihulurkan

Halalkanlah segala yang pincang dan tempang

Jika ada yang baik datang dariku, jadikanlah teladan

Mana yang buruk jadikan sempadan....

Doa untuk kalian tak bisa kulupakan...

Moga kalian kan menjadi insan soleh lagi musleh...Ameen.





P/S:Catatan ini dilakar sempena hari guru 2011. Tahun ini berniat juga untuk menulis,namun dengan hati yang agak celaru pena aku tidak mampu memulakan langkah :)



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Selasa, 10 April 2012

CERITA ISKANDAR

Iskandar

"Iskandar,Fadzli...nak pergi mana tu..."? Sapa saya apabila melihat dua orang anak didik berjalan di luar bilik guru.

"Nak cari cikgu DST ..." Jawab Iskandar. Pantas sekali.

"Mari sini sekejap." Sambil tangan saya menggamit mereka berdua.

Iskandar dan Fadzli terus masuk ke bilik guru, pergi ke arah guru kelas mereka.

"Awak berdua nak pergi  mana. " Soal saya. Soalan yang sama, tapi tak serupa.

"Saya nak pergi cari cikgu DST,ustazah..." Jawab Iskandar. Seorang murid yang agak lincah.

"Ustazah kan dah cakap..kalau cikgu takde, duduk aje dalam kelas. Nanti-nanti cikgu masuklah."

Para guru bukannya sengaja tidak masuk. Kekadang mereka ada urusan lain, yang tidak kurang pentingnya, sehingga proses pengajaran dan pembelajaran terpaksa dilewatkan seketika.

"Tapi ustazah...pengetua tidak mahu cari..." Tutur Iskandar lagi.

“Pengetua mana ni?”

Dahi saya sudah berkerut sejuta. Mana tidaknya, di sekolah rendah istilah guru besar  yang digunakan, bukannya pengetua.

“Pengetua lah Ustazah…Izwan...” Laju aje Si  Iskandar yang lincah itu menjawab.

“Izwan…?” Balas saya.

“Aoklah …” Iskandar membalas dengan penuh yakin.

“Ha ha ha…”

Saya tergelak sendiri, sebelum memberikan pencerahan tentang pengetua yang dimaksudkan oleh Iskandar.

Tidak dapat menahan ketawa bila  terfikir tentang pengetua yang dimaksudkan Iskandar.

‘Nakal’ sungguh Ustazah tersebut, mengetawakan muridnya sendiri.

“Ketua la Iskandar, bukan pengetua...”

Akhirnya saya, Iskandar  dan Fadzli sama-sama ketawa.


NOTA:

DST = Dunia Sains dan Teknologi
Aoklah  (Bahasa Sarawak)= Ye lah



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Sabtu, 31 Mac 2012

JAWAPAN KEPADA ALASAN MEREKA YANG 'TAK NAK' MENUTUP AURAT


Sejak akhir-akhir ini, saya seringkali mendapat pertanyaan yang sama mengenai isu-isu aurat. Bagaimana hendak menjawab alasan mereka yang tak nak menutup aurat? Bagaimana hendak menarik mereka memakai tudung? Bagaimana nak memberi kefahaman kepada mereka tentang aurat? Dan lain-lain lagi.

Di sini saya berusaha mengumpul alasan-alasan dan hujah-hujah balas buat si pelaku dedah aurat. Terima kasih kepada sumber berkenaan, boleh rujuk untuk jawapan penuh. Dan artikel ini bukan sahaja tertumpu pada isu bertudung, malah juga buat muslimah yang bertudung pendek, memakai sendat serta kaum muslimin sendiri yang mendedah aurat. Insyaallah semoga bermanfaat buat mereka yang tercari-cari jawapan mengenai isu ini.


1. Walaupun dedah aurat, diri masih menjaga maruah dan tidak melakukan perkara tak senonoh?

”Janganlah nilai orang dari luarannya. Don’t judge a book by its cover!”
“Walaupun tidak pakai tudung, saya tetap masih jaga solat dan menjaga tingkah laku”

Jawapan:

Adakah anda mendakwa diri anda mempunyai hati yang suci, iman yang tinggi dan kononnya ia sudah cukup menjamin maruah diri tanpa perlu menutup aurat? Tetapi adakah anda berani menjamin bahawa semua lelaki ajnabi yang melihat aurat anda mempunyai hati sesuci dan iman setinggi anda juga?

Langsungkah mereka tidak memberi kesan dan tidak membangkitkan nafsu serakah mereka yang berada di hadapan anda? Jadi, perlu diberi kefahaman bahawa kewajipan wanita menutup aurat bukanlah semata-mata untuk menjaga maslahat dan maruah pihak wanita itu sendiri, tetapi maslahah yang lebih besar ialah menjaga masyarakat yang berada di sekelilingnya agar tidak terfitnah disebabkan budaya mendedahkan aurat.

Betapa banyak kes-kes jenayah rogol dan cabul berpunca daripada wanita sendiri yang mempamerkan tubuh badannya yang terdedah di hadapan khalayak lelaki. Maka tutuplah aurat bukan sekadar untuk anda, tetapi juga demi kemaslahatan orang lain di sekeliling.

2. Perempuan yang bertudung lebih teruk daripada tak bertudung?

“Ala… perempuan pakai tudung pun berperangai buruk!”
“Ada juga rakan saya yang betul-betul menutup aurat tetapi perangai dan kelakuan mereka lebih teruk dari perempuan yang tidak memakai tudung!”
“Ada seorang kakak tu pakai tudung, tapi perangai buruk, mengumpat sana mengumpat sini”
“Siapa kata orang tak pakai tudung semua jahat?”

Jawapan:
Ungkapan anda ini seolah-olah sedang memperlekehkan insan yang sedang berusaha mentaati perintah Allah (dalam bab tutup Aurat). Apakah anda perasan bahawa anda sudah lebih baik berbanding insan yang menutup aurat tersebut apabila anda berani melafazkan ungkapan seperti itu, sedangkan anda sendiri membiarkan aurat anda terbuka?

Salah sama sekali dalam hal ehwal agama, untuk kita membandingkan diri kita dengan mereka yang lebih buruk agama dan akhlak. Ia adalah teknik Syaitan untuk menghentikan seseorang dari melakukan usaha pemulihan diri kepada yang lebih baik.

Nabi bersabda:
Dua perkara yang sesiapa dapat perolehinya akan ditulis dirinya sebagai hamba yang bersyukur dan sabar, sesiapa yang gagal dalamnya, tidak akan ditulis sebagai orang bersyukur dan sabar. Iaitu sesiapa yang melihat tentang agamanya kepada mereka yang jauh lebih baik darinya, lalu dia berusaha mengikutinya, dan dalam hal keduniaan mereka melihat kepada orang-orang yang kurang darinya sehingga ia memuji Allah atas nikmat yang diperolehinya. (HR At-Tirmidzi)

3. Tidak mahu hipokrit bila bertudung?

“Bertudung ni perlukan keikhlasan…”

“Saya mahu berubah kerana saya sendiri yang ingin berubah. Saya mahu melakukannya dengan ikhlas, bukan kerana disuruh.”
“Buat apa pakai tudung kalau hati tak betul”

Jawapan:
Allah swt dan RasulNya telah mengarahkan seluruh wanita muslimah WAJIB untuk menutup aurat tidak kira sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, suka atau tidak, disuruh oleh orang lain atau terbit dari hatinya sendiri. Sama seperti mendirikan solat, membayar zakat, puasa Ramadhan dan semua arahan serta larangan Islam yang lain, sama ada seseorang itu ikhlas atau tidak, terpaksa atau tidak. Sekiranya ikhlas dijadikan alasan maka, ramai diluar sana tidak perlu solat 5 waktu kerana sukar mencapai tahap keikhlasan yang ingin dicapai.

Perlu diingatkan, jika seseorang menutup aurat secara ikhlas atau separa ikhlas, maka dia akan beroleh ganjaran sekadar keikhlasannya. Namun tanggungjawab fizikal yang diwajibkan oleh agama dikira sudah terlaksana secara zahirnya. ATAU kata lainnya, tatkala itu dia hanya BERDOSA SEKALI iaitu kerana tidak melaksanakannya secara ikhlas, tetapi dia terhindar dari dosa tidak mengerjakan yang wajib ke atasnya secara zahir.

Namun jika dia degil dan tidak menutup aurat, atas alasan TIDAK IKHLAS, TIDAK MAHU HIPOKRIT dan sebagainya, tindakannya itu menjadikannya BERDOSA di sisi Allah secara fizikal dan juga spiritual, atau dalam kata lainnya, dia berdosa DUA KALI.

Dosa di level pertama dan kedua sekaligus, malah lebih musnah apabila dosa level pertama itu sangat mudah bercambah apabila ia berjangkit kepada orang lain, seperti apabila sahaja ada mata lelaki bukan mahram yang melihat, ketika itu dosa bukan hanya dua kali tetapi sebanyak mata lelaki yang melihat. Adapun bagi mereka yang tidak ikhlas tadi, at least dia sudah terselamat dari cambahan dosa dari mata lelaki.

4. Menunggu seru untuk bertudung?

“Biarlah ianya datang daripada saya sendiri, bukan dipaksa sesiapa. Bila tiba masa, Insyaallah saya bertudung”
“Saya tahu hari itu akan tiba tetapi bukan sekarang”
“Insyaallah, apabila sudah berkahwin barulah saya bersedia”

Jawapan:
Jika bukan sekarang, maka adakah apabila sudah terlantar di rumah mayat baru ingin berubah? Sedarilah wahai diri, bahawa kematian akan datang secara tiba-tiba dan tiada sebarang jaminan umur masih panjang beberapa minggu lagi.
“Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya dan memelihara kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang bisa nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan jangan menampakkan perhiasannya, kecuali kepada suami mereka atau ayah mereka atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara mereka, putera-putera lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak-budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan lelaki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang ‘aurat wanita. Dan jangalah mereka menghentakkan kaki untuk diketahui orang akan apa yang tersembunyi dari perhiasan mereka.Dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” – (Surah an-Nur ayat 31)

Sumber: http://akuislam.com/


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Jumaat, 9 Mac 2012

KU KEMBALI UNTUK MENYAPA...

Assalamualaikum
Salam mesra pembuka bicara
Khusus buat rakan semua...
Sudah lama tidak bersua…
Sudah lama tidak menyapa…
Sudah lama tidak mencoret kata…

Aduh, 
Segan…canggung datang menyapa…
Malu juga tidak terhingga…
 Kepada teman bual bicara...
Laman ada, membisu tanpa suara...

Kerja datang bertimpa-timpa…
Membuat aku terpinga-pinga…
Mana satu mahu disegera…
Akhirnya kerja lebih kuterpa…
Hingga blog seakan dilupa…
Walau kerja menjadi utama…
Leka, alpa bergabung jua…
Masa juga turut  ku sia…
Akhirnya laman seperti sia-sia…

Terima kasih dari saya
Atas kesudian yang masih menyapa…
Maaf jua kupinta …
Andai ada tersinggung terasa…

Allah…
Pandulah aku dalam merungkai kata…
Manyambung dakwah Rasul Mulia
Tiada apa yang kudamba…
Melainkan redha-Mu semata-mata…


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Rabu, 11 Januari 2012

DIA SUDAH PERGI...

Lembaran al-Qur'an diselak, mencari-cari surah al-Ra'd

"Ada al-Qur'an kecil tak?"

Teringat soalan adik lelaki, Helmi ketika memandu untuk menghantar saya ke Lapangan Terbang Sultan Ismail, Kuala Terengganu. Bertarikh 1 Januari 2012.

"Ada..." Jawab saya sepatah. 

Sememangnya saya akan sisipkan al-Qur'an kecil ke dalam handbag  jika  bermusafir. Tidak betah untuk saya membaca naskhah berbeza,walau hakikatnya. al-Qur'an tetap satu di mana-mana sahaja kita pergi..

"Dalam keadaan kritikal sekarang, bacalah surah al-Ra'd."

"Ok.". Saya mengangguk. Menurut kata.

Dia Sudah Pergi ...

"Din dah pergi..." 

Baru beberapa ayat dari surah al-Ra'd  disuluhi, saya terima panggilan dari salah seorang adik saya dari rumah. Suaranya teresak-esak. Ya Allah! Saya juga tidak dapat menahan esak tangis. Air mata bercucuran laju. Sudah tidak peduli apa yang berlaku di sekeliling. Walau ada mata yang memandang, dibiarkan sahaja.

Dengan air mata bercucuran hebat, saya kembali menelefon adik, Helmi yang ketika itu sudah  hampir sampai ke rumah. Hanya berselang sebuah kampung sahaja lagi.

"Mi, Din dah pergi. Tolong patah balik ke airport." 

"Apa?????? Dah pergi?" Di hujung talian, saya terdengar esakan adik, kami berlaga esakan. Ah! sukar untuk kami berbicara saat itu. Esakan bertalu arus, seakan tidak mahu berhenti.

Dia Yang Terbaik

Sementara menunggu adik kembali tiba di lapangan terbang, minda terus berlegar pada wajah dua anak kecil. Kalian sudah yatim sayang! Itu takdir Ilahi.

Walau kita mahukan A. Tapi Allah memilih B. Bagi kita, A yang terbaik. B pula pilihan Allah. Siapa kita berbanding Dia? Kita hanya hamba. Dia Tuan kita. Tuhan kita. Mana Yang Terbaik? Pasti Dia. 

B sudah pasti jawapan terbaik. Apa yang baik di sisi kita tidak semestinya baik di sisi Dia. Allah telah memberi yang terbaik kepada kita. Kembalinya abah kalian ke Rahmatullah adalah terbaik bagi kita sekeluarga. Segalanya dalam Ilmu Allah. Siapalah kita untuk menghalang urusan-Nya. Saya memujuk hati.Kembali merenung taqdir Yang Maha Kuasa.

Air Mata Bercucuran Lagi...

Beg beserta kotak yang sudah dipacking, dialihkan dari troli. Kembali  ke mulut Myvi putih, milik adik saya Helmi. Raut wajah adik saya tatapi. Pipinya berterusan basah. Kami sama-sama bergelut dengan kesedihan.

"Dia terlalu baik"

"Selama dia masuk dalam keluarga kita, tak pernah kita semua terasa hati dengan dia."

"Tak pernah pun kita rasa dia tu ipar. Kita sayang dia sama macam kita sayang adik beradik kita yang lain"

"Ipar hanya pada istilah..."

Ya Allah! Perbualan yang berselang seli esakan makin mengundang kesedihan. Air jernih makin lebat. Turun mencurah-curah dari tubir mata. Kami dua beradik teresak-esak, sama-sama bertukar cerita tentang kebaikan al-marhum. 


Jemariku Berhenti Dahulu...

Allah!

Aku tidak mampu lagi meneruskan bicara ini. Walau lebih seminggu ia berlalu, tapi perasaan ini masih basah.  Kebaikan al-marhum sangat kuat di ingatan.

Dua anak kecil yang sentiasa bertamu di ruang mata telah menyekat jejariku untuk terus melakar bicara. Air mata tidak mampu dibendung, diiringi esak tangis yang amat mencengkam jiwa.

Jemariku berhenti dahulu. InsyaAllah akan bersambung lagi,buat tatapan dua anak kecil.  InsyaAllah...Semoga satu hari nanti kalian akan memahami betapa baiknya abah kalian.


Abah kalian sangat baik sayang! Semoga, kata-kata ramai: "Orang baik biasanya cepat pergi..." menjadi doa buat al-marhum adik ipar. 

Moga dirimu tenang di sana. Ameen.


P/S: Terima kasih saya ucapkan buat Makcik Werdah yang turut serta bersolat hajat. Jua buat  UmmuAmmar, NaeKak NormahMakbondaKak Ani dan Kak Nisha atas titipan doa.Semoga kalian sentiasa dirahmati-Nya. Ameen. 


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"