Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Umum. Papar semua catatan

Sabtu, 8 Oktober 2011

MALU...???

Malu itu sebahagian daripada iman.

Rasulullah yang kata begitu. Bukan sebarang kata, kata yang bermakna.

Melihat kepada situasi hari itu adakah malu itu menjadi  perhiasan diri.

Lihat sahaja wanita hari ini. Aduh! sungguh memalukan. Sifat malu tiada lagi. Yang ada hanya sifat bangga dengan kecantikan diri sendiri.

Di sana dan di sini, penampilan mereka menjengkelkan. Pakaian umpama bernilai RM1000 semeter. Tidak berduit untuk dibeli, walau make up berwarna warni di muka. Ya Allah apakah ini tanda kiamat hampir tiba. Ramai yang berpakaian tapi telanjang.

Buka sana, buka sini. Koyak sana koyak sini. Berlubang sana, berlubang sini. Aduh, sangat menggamit dosa. Dosa bagi yang memakai, dosa bagi yang melihat.

Wanita bertudung pula umpama umpama model yang memperagakan tudung. Ketat sana ketat sini, tanpa malu kain itu  diletakkan di atas kepala bertujuan untuk menutup aurat. Menutup auratkah itu...Fikir-fikirkanlah...

Ya Allah! Apa lagi yang kamu mahu wahai para wanita sekalian. Apakah kamu mahu menjadi salah seorang model tanda-tanda kiamat hampir tiba. Iaitu yang dikatakan oleh Rasulullah isebagai berpakaian tapi telanjang.

Atau kalian mahu menjadi salah seorang wanita yang diperlihatkan Allah kepada baginda ketika perjalanan Israk Mikraj, iaitu baginda telah diperlihatkan perempuan yang digantung dengan rambut dan otak di kepalanya mendidih.Apabila ditanya oleh baginda, wanita itu tidak lain dan tidak bukan mereka adalah perempuan yang tidak mahu melindungi rambutnya daripada dilihat lelaki lain

Sanggupkah kalian menjadi wanita yang makan daging tubuhnya sendiri manakala di bawahnya ada api yang
menyala. Mereka juga adalah perempuan yang berhias untuk dilihat lelaki lain dan suka menceritakan aib orang lain.

Baginda juga melihat perempuan yang memotong badannya sendiri dengan gunting dari neraka. Mereka adalah perempuan yang suka memasyhurkan diri sendiri supaya orang melihat akan perhiasannya.

Betapa Allah sayangkan wanita ini. Sehingga berulangkali ditayangkan slaid berkenaan balasan terhadap wanita yang tidak segan silu, tanpa malu mempamerkan segala bentuk keindahan yang ada.

Wahai wanita muslimah...

Hidup ini tidaklah lama

Kecantikan itu tidak akan kekal
Lambat lain pasti kan pudar

Pakaian  taqwa seharusnya ditata

Bukannya maruah diri dipapar...

Agar terus bernilai di mata Allah ...

Marilah kita tundukkan hati dengan firman-Nya yang bermaksud :
“Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )

NOTA: Tidak pasti sama ada tajuk sesuai atau tidak dengan entri :)


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Selasa, 16 Ogos 2011

DUA TAHUN SUDAH...



Begitu cepat masa berlalu.

Diam tak diam, senyap tak senyap usia blog ini telah mencapai tahun kedua.  Entri pertama saya dilahirkan pada 10 Ogos 2009. Mungkin boleh dumpamakan dengan usia seorang kanak-kanak  yang berusia dua tahun. Kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa pelatnya. Begitulah mudanya usia blog ini. Kata pepatah Melayu  - baru setahun jagung.

Dalam usia setahun jagung ini masih banyak lompang yang bercambah pada blog saya, dan masih banyak juga impian dan target saya belum tercapai. Sebetulnya saya masih belum berpuas hati dengan blog ini terutama dari sudut penerbitan entri-entri. Mengikut percaturan, saya berhasrat untuk menghasilkan sendiri penulisan entri di blog ini sekurang-kurangnya empat entri sebulan, selebihnya barulah saya 'copy n paste' namun saya masih belum berupaya ke arah itu.

Ada sahaja kekangan dan mashaqqah yang menjemput. Saya cukup alah dan kalah dengan kekangan masa serta mashaqah yang hadir. Inilah kelemahan saya yang sangat ketara. Hasilnya entri yang ditulis terhenti separuh jalan. Akhirnya, terperam di kotak posting. Entah bila akan dilahirkan.Bila hal ini berlaku, saya terpaksa mencari alternatif lain dengan menyalin artikel dari beberapa sumber agar blog saya tidak bisu dari agenda dakwah...mudah-mudahan...


Bermulanya Saya...

Dakwah! Ya, itulah hasrat utama saya ketika niat 'berblogging' mula menerjah hati. Entri sulung yang lahir pada 10 Ogos 2009 telah membicarakan tentang hasrat tersebut. Saya mula berminat dan berjinak-jinak dengan dunia 'blogging' apabila mula membaca blog milik adik saya. Saya rasa amat jauh dari dunia dakwah sedangkan saya telah lama melepasi fasa pengajian secara rasmi, berbanding dengan adik saya yang ketika itu baru melangkah ke dunia kampus. Namun beliau telah jauh meninggalkan saya. Sepatutnya saya lebih terkedepan, namun sebaliknya yang berlaku.

Saya amat bimbang dan takut jika secebis ilmu yang dimiliki tidak dibelanjakan mengikut jalan-Nya. Rasa bimbang juga sering terselit di jiwa andai penulisan ini tidak mampu mendidik saya ke arah yang lebih baik. Saya tidak mahu dikatakan sebagai "Hanya tahu menulis" semata-mata. Ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah!

Dari blog adik, saya mulai menjelajah dari satu blog ke satu blog yang lain seperti blog uzar,ummuhusna, saifulislam.com,genta-rasa.com dan lain-lain. Dari penjelajahan demi penjelajahan hati  kian meronta untuk turut sama memeriahkan dunia 'blogging' agar ilmu yang disedut dari dunia kampus dan universiti alam ini tidak sekadar menjadi pekasam semata.


Amal Soleh - Amal Jariah

Saya sedar blog ini juga masih banyak kurang asam dan garamnya. Tidak secukup rasa. Saya bukannya seorang yang hebat merungkai kata, bukan juga seorang yang handal meluah rasa. Namun saya tidak sesekali berputus asa untuk mencungkil apa sahaja potensi yang ada agar amal yang tidak seberapa ini mampu dinilai sebagai amal soleh di sisi-Nya.  

Selaut kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberi waktu dan ruang kepada saya untuk terus melahirkan mutiara kata, insyaAllah untuk kebaikan semua meskipun untaian kata tidak sehebat mana. Semoga dari waktu ke waktu kata yang terlontar akan menjadi lebih baik, seterusnya mampu dihisab sebagai amal jariah.

Semoga dengan secebis ilmu yang ada, saya juga mampu sama-sama memeriahkan medan dakwah dan tidak termasuk dalam golongan yang kerugian. Tetapi akan terus berusaha untuk menyusup masuk ke dalam kalangan mereka yang mengerjakan amal soleh serta berpesan-pesan dalam kesabaran.Walaupun sekecil hama, moga ianya ada nilai di sisi-Nya.

Firman Allah (S.W.T) dalam surah al-Asr, yang bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” ( Surah al-Asr ayat 1-3 )

Begitu juga dengan hadis yang bermaksud:

"Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya."(Sohih Muslim)

Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya: Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap muslim (Sohih Muslim)

Saya tak punya intan permata, apatah lagi wang berjuta.Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil saya sangat mengharap dan terus mengharap agar usaha kecil ini  dinilai sebagai amal jariah oleh Allah, terutama ketika jasad ini sudah reput dimamah bumi.


Terima Kasih Sahabat...

Terima kasih kepada semua sahabat 'blogger'  dan bukan 'blogger', sama ada yang sudi meninggalkan jejak mahupun yang singgah sebagai 'silent reader'. Semoga persinggahan sahabat semua tidak sia-sia. Doa dan harapan diiringi agar 'rumah' ini mampu membekali kalian dengan ilmu yang melekat di dada, ampuh di minda. Segala komen yang dilontarkan amat saya hargai. Semoga komen-komen tersebut mampu memberi manfaat buat semua, terutama buat diri saya yang  serba kekurangan.

Semoga pendapat yang dilontarkan kalian mampu mendidik jiwa, seterusnya menggalakkan lagi jari jemari saya untuk terus menari serta melahirkan kata yang lebih baik dari sehari ke sehari. InsyaAllah...

Akhirnya, harapan saya semoga blog ini menjadi salah satu wadah ilmu serta amal jariah yang boleh memberi manfaat kepada semua. Dengan usia yang baru setahun jagung sudah pasti blog ini mempunyai banyak silap dan salah, yang tersurat mahupun yang tersirat. Segala kekhilafan itu mohon dimaafi. InsyaAllah akan ditambah baik dari masa ke semasa.

Saya budak baru belajar, mana yang salah mohon ditegur...


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Sabtu, 16 Januari 2010

SIBUK

Sibuk

Apakah yang dimaksudkan dengan sibuk...

Bagaimana dikatakan sibuk...

Adakah 'tak cukup masa' dikatakan sibuk

Atau 'tak sempat' itu juga dikatakan sibuk

Atau banyak kerja...

Macam-macam hal...

Kita selalu mengatakan diri kita sibuk

Sibuk dengan kerja

Sibuk belajar

Sibuk berniaga

Sibuk 'meeting' ...

Dan bermacam-macam sibuk lagi

Sebagai seorang guru

Saya juga sangat sibuk

Terutama di awal tahun begini

Sibuk sampai tak cukup tangan

Kita hanya punya dua tangan

Tak macam sotong ada 'lapan tangan'

Kata Saiful Islam :

"Walaupun sotong ada lapan tangan

Kita manusia yang ada dua tangan juga dipilih sebagai khalifah"

Mulianya nilai manusia di sisi-Nya

Tapi jarang kita menyedari...

Kerana sibuk kita lalai terhadap-Nya...

Lalai untuk menggunakan dua tangan kurniaan-Nya ...

Menadah dua tangan memohon ampun dari-Nya...

Menggalas amanah yang ditaklifkan...

Ya Allah ya Tuhan

Bantulah hamba-Mu ini agar 'sibuk' ini akan mendekatkan lagi diri kami kepada-Mu

Moga dua tangan ini mampu menjalankan tanggungjawab sebagai khalifah di bumi-Mu

Ameen...


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

16 .01.2010 0920 p.m


Khamis, 10 Disember 2009

JANGAN SUSAHKAN YANG MUDAH...


"Kami orang Kristian macam-macam kena buat. Buat makan lagi (kenduri), nak kena buat itu...nak kena buat ini...keranda kena beli RMX000,upah van ke gereja, lepas tu ke kubur...Tanah kubur pun kena bayar juga..." Beritahu rakan setugas saya dengan nada sedih, berkongsi cerita tentang pengurusan mayat kristian.

Noran rakan saya berketurunan bidayuh, beragama kristian. Suaminya baru meninggal dunia dalam kemalangan yang sangat dahsyat.

"Kami orang Islam lagi susah. Nak kena buat makan (tahlil) sampai hari ke-7, sebulan kematian...hari ke-40..hari ke-100...." Jawab Zai pula tanpa menyedari kata-kata itu boleh menimbulkan ketidakyakinan non-muslim kepada Islam sebagai agama yang mudah.

"Eh, itu bukan adat orang Islam...itu kan adat orang Melayu...Islam itu agama yang mudah, tidak menyusahkan..." Saya mencelah.

"Islam tak pernah menyusahkan kita, tapi kita yang menyusahkan. Jangan kita menunjukkan yang Islam itu susah. Nanti non muslim takut nak dekat dengan Islam.

Keluarga si mati dah la sedih, nak diberatkan pula dengan bermacam-macam adat. Nak kena sediakan makan minum untuk tetamu lagi, bukan satu hari tapi berhari-hari." Saya cuba mengatur ayat sebaik mungkin agar tidak timbul salah faham.

Saya dapati di Sarawak, masyarakatnya sangat kuat berpegang pada adat. Kadang-kadang saya cuba juga perbetulkan apa yang biasa...biasakan mereka dengan yang betul. Mana yang tidak mampu, hanya diam aje yang termampu.

Dalam bab pengurusan jenazah, Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk mengadakan majlis tahlil sekiranya berlaku kematian. Jauh sekali mewajibkan umat-Nya mengadakan majlis tahlil pada tempoh-tempoh tertentu. Memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan. Itulah ajaran Islam. Senang, tidak susah. Ringkas, insyaAllah barakah.

Saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perbicaraan tentang hukum hakam tahlil, sekadar menjelaskan tentang mudahnya Islam jika ditelusuri dalam erti kata yang sebenar.

Begitu juga dengan dialog tersebut:

"Akak tak nak balik solat dulu ke..." Tanya saya kepada seorang sahabat.

"Pegi terus ke ofis lah. Dah lewat ni..." Jawab Zakiah.

"Ooo..solat kat ofis terus la ye..." Saya sengaja menduga.

"Sebenarnya akak ni susah sikit la. Akak tak yakin nak solat dengan pakaian kerja ni. Begitu juga dengan tempat solat. Tak selesa lah. Bukan taknak solat.." Bersungguh jawapan yang diberi.

"Abis, akak tunda (qadha') la ye.." Soalan saya masih berangkai.

" Sekali ni aje...eh eh, betul ke sekali ..." Zakiah bersuara lagi.

"Sebenarnya kak, dalam bab solat ni kita tak boleh qadha' sesuka hati. Kalau tangguh waktu solat dilarang, apatah lagi mengqadha' solat sesuka hati.

Solat hanya boleh diqadha' apabila terjadinya 'ter' " Saya menoktahkan penjelasan seketika.

"Terjadinya 'ter', apa maksudnya tu..." Zakiah teruja untuk mendapatkan jawapan.

" Maksudnya kalau kita tertidur, 'terpengsan', 'terpitam', terlupa..barulah diharuskan untuk kita mengqadha' solat. Bukannya suka hati je qadha'.

Di mana-mana pun kita boleh solat, tak perlu tunggu nak solat di rumah atau di surau saja. Akak lagi senang...akak kan ada kunci bilik bos, takkan bos marah kalau akak tumpang solat kat situ.

Tentang pakaian pula, kalau pakaian kita tak najis dan menutup aurat boleh je kita terus solat. Jangan susahkan yang mudah." Saya perincikan penjelasan.

Perbincangan kami ternoktah di sini apabila kereta telah berhenti di hadapan kediaman saya. Moga-moga perbincangan tanpa dirancang itu mampu menyusup masuk ke hati.

Firman Allah:

"...Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..." (al-Baqarah : 185)

"...Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur." (al-Maidah : 6)

"...dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama..." (al-Hajj : 78)

Jelas, kalam Allah menyatakan bahawa Islam agama yang mudah. Tidak susah sebagaimana yang kita susahkan. Mudah selagi kita memandang Islam itu mudah Jika sesekali Allah datangkan 'kesusahan' kepada kita pun itu bukannya kesusahan yang susah, sebaliknya kesusahan itu kesusahan yang senang.

Selaras dengan firman-Nya dalam surah al-Sharh, ayat 94 yang bermaksud:

"Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan."

Ayuh sahabat, sama-sama kita realisasikan Islam yang mudah, tanpa mencipta macam-macam alasan yang susah. Moga hidup kita di sana tidak susah disebabkan sikap kita yang menyusahkan Islam yang mudah.

Sekadar itu lontaran coretan. Diharapkan penulisan ini ada sisi manfaatnya. Segala kekurangan mohon diadili dengan kritikan yang memotivasi, agar entri yang menyusul lebih memberi erti.

Hingga jumpa lagi. Wassalam.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Dicatat oleh: Ros Illiyyuun 12 Dis 2009 0925p.m