Ahad, 24 April 2011

BERMULA DARI YANG KECIL

Sudah lama saya tidak menyisipkan entri baru.

Bukan saya sudah berhenti menulis, namun kerap kali penulisan saya hanya mampu berhenti di tengah jalan.

Sibuk sangatkah saya? Oh, tidak! ramai lagi orang yang lebih sibuk, sangat sibuk berbanding dari saya yang hanyalah seorang guru biasa.

Tidak cukup masakah saya? Oh, tidak juga. Bukankah setiap makhluk itu telah diadili-Nya dengan 24 jam sehari semalam. Apa yang telah dikurniakan Allah itu pasti sempurna. Tidak kurang dan tidak juga lebih.

Akhirnya, saya sering terfikir mungkin juga saya telah melalui hidup ini dengan jalan yang tidak diredhai-Nya. Lalu penulisan tidak mampu ditamatkan dengan sebaik-baik amal.

Bila diperkatakan tentang jalan yang tidak diredhai pasti akan terhampar di depan mata kita perbuatan mencuri, meninggalkan solat, tidak berpuasa, berbohong dan seumpamanya.

Namun kita (terutama saya) jarang sekali menilik atau refleksi diri tentang perkara-perkara harian yang dilalui tanpa menyedari bahawa jalan yang dilalui itu berada di luar kotak redha Allah. Yang pasti itu bukan 'sirat al-mustaqim'. Astaghfirullah.

Marah

Sebagai guru, saya tidak terlepas dari sifat marah. Marah tidak salah tapi marah tidak bertempat itu yang menjadi salah satu dari asbab dosa. Mana mungkin saya tidak marah kalau anak didik saya sering sahaja terlupa membawa buku atau menyiapkan kerja rumah.

Sekali, tidak mengapa, dua kali masih lagi saya bertoleransi. Kalau kali ketiga...keempat...kesepuluh, di tahap manakah kesabaran saya sebagai seorang guru mahu diuji?

Akhirnya....: "Okey, hafal doa ini lepas solat ye (sambil saya meminta murid-murid mengikut doa yang terluah di bibir). Pastikan kamu semua tidak jadi nenek sebelum tiba masanya." Sempat lagi saya 'membebel'.

Membazir Masa

Seringkali rakan-rakan mengatakan saya mempunyai banyak masa dan ruang untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang diingini. Hanya kerana saya ini 'single'. Benarkah begitu? Persepsi itu sama sekali tidak benar. Disebabkan masa yang banyak inilah saya sering terleka. Terleka dengan pelbagai aktiviti. Termasuk dengan aktiviti yang sia-sia.

Akhirnya banyak kerja yang tertangguh. Alangkah malangnya bagi golongan seperti saya ini. Bagi saya, setiap orang telah dianugerahkan masa yang secukupnya oleh Allah azza wa jalla, tinggal lagi sama ada kita cekap atau tidak menguruskannya.

Saya sangat bimbang jika saya juga terleka dengan firman Allah yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran" (Surah al-'Asr: 1-3)

Gembira / Ketawa Berlebihan

Teringat kata-kata emak bila kami adik beradik sakan bergelak tawa. "Gallak-gallak nantikan temu golok". Kata-kata yang 'berdialek' Terengganu ini membawa maksud: "Kegembiraan yang melampau tidak mustahil akan membawa kepada dukacita".

Bukankah banyak ketawa itu boleh membawa kepada dosa. Banyak ketawa juga boleh mengundang kelekaan dan kealpaan. Begitu juga, banyak ketawa akan menyebabkan hati seolah-olah tidak bernyawa. Hati mati.

Saya teringat kepada mafhum hadis yang yang menyentuh mengenai senyuman Rasulullah. Senyum sehingga nampak gigi. Itulah semaksima senyum/ketawa baginda. Tanda baginda berada dalam situasi gembira. Renung-renungkanlah...di manakah tahap gembira kita? Sedang-sedang atau keterlaluan?

Mendengar Umpatan

Mengumpat merupakan salah satu dari dosa besar. Mengumpat juga bakal mengundang dosa yang berganda. Mengumpat menyebabkan seseorang itu dibenci, lalu menimbulkan pergaduhan sama ada sesama keluarga, sesama tetangga juga rakan sekeliling. Akhirnya silaturrahmi yang dipupuk terlerai begitu sahaja.

Sesetengah dari kita teramat susah untuk mengelak dari sifat mazmumah yang satu ini. Kenapa? Salah satunya, kerana gagal mengelakkan diri dari mendengar umpatan, akhirnya diri terjerat sama.

Buat masa ini, jika tidak mampu melarikan diri dari korum mengumpat, saya akur...saya hanya mampu diam membisu di kala rakan meminta dipinjamkan telinga tanpa kerelaan hati saya. Ya Allah setakat ini sahaja jihad bagi hati yang mampu saya tegakkan untuk diri sendiri.

Alangkah hinanya letak duduk saya. Saya tidak berani mengingatkan mereka bahawa mengumpat itu umpama memakan daging saudara sendiri.

Bermula Dari Yang Kecil

Sifat-sifat ini kelihatan kecil di mata kita, namun bukankan yang besar itu bermula dari yang kecil.

Nyamuk yang kecil bisa sahaja menamatkan riwayat manusia yang begitu ramai.

Semasa kecil ia menjadi kawan bila dah besar akan menjadi lawan.

Kecil-kecil cili api.

Jangan disangka kecil-kecil tidak berisi!

Sekadar muhasabah diri sendiri.

Semoga refleksi diri ini mampu melajukan kembali momentum menulis saya. InsyaAllah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Dari Allah"