Jumaat, 18 September 2009

SALAM IDUL FITRI

Assalamualaikum buat sahabat semua...diharapkan semua sahabat berada dalam rahmat-Nya, maghfirah-Nya dan menjadi calon pilihan-Nya yang terlepas dari api neraka.

Ramadhan bakal meninggalkan kita...
Syawal pula bakal menjelma tiba ...
meraikan kemenangan umat Islam berpuasa.

Sama-samalah kita doakan agar kita keluar dari Madrasah Ramadhan ini dengan ijazah yang cemerlang.Di kesempatan ini jua, saya ingin mengucapkan 'Salam Idul Fitri' buat semua. Semoga Syawal yang dirai bakal menghadirkan kegembiraan buat kita semua. Kemaafan jua dipinta andai ada salah dan silap ... yang tersurat... mahupun yang tersirat. Wassalam.

(Tika Transit di KLIA, sementara menyambung perjalanan ke Terengganu)

Selasa, 15 September 2009

Sesi Persekolahan 2010


Assalamualaikum...buat semua, khususnya rakan pendidik...berikut merupakan info sesi persekolahan 2010...Semoga info ini dapat membantu kita merancang percutian, terutama yang merantau jauh nun di Bumi Kenyalang dan juga Negeri di Bawah Bayu...Dengan perancangan yang teliti, insyaAllah cuti ini akan memberi manfaat kepada semua ...

KUALA LUMPUR, 8 Sept (Bernama) -- Sesi persekolahan tahun depan akan bermula pada 3 Januari bagi Kedah, Kelantan serta Terengganu, dan negeri-negeri lain pula pada hari berikutnya iaitu 4 Jan, kata Ketua Pengarah Pelajaran Tan Sri Alimuddin Mohd Dom.

Beliau berkata cuti penggal pertama pula akan bermula dari 12 hingga 20 Mac bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu, sementara bagi negeri lain pada 13 hingga 21 Mac.

"Sementara itu cuti pertengahan tahun pula bermula dari 4 hingga 19 Jun bagi ketiga-tiga negeri itu, dan negeri lain bermula pada 5 hingga 20 Jun," katanya dalam satu kenyataan akhbar yang dikeluarkan di sini pada Selasa.

Beliau berkata cuti penggal kedua pula akan bermula dari 3 hingga 11 Sept, dan cuti akhir tahun dari 19 November hingga 1 Jan 2011 bagi Kedah, Kelantan dan Terengganu.

Sementara bagi negeri-negeri lain, cuti penggal penggal kedua akan bermula pada 4 hingga 12 Sept, dan cuti akhir tahun dari 20 Nov hingga 2 Jan 2011," katanya.

Alimuddin berkata jumlah hari persekolahan termasuk cuti am tahun depan ialah 210 hari, manakala jumlah cuti penggal 78 hari.

-- BERNAMA

Khamis, 10 September 2009

SUDAH TAKDIR-NYA...

Hari ini sudah masuk 21 Ramadhan, bermakna tinggal lagi 9 hari kita akan meraikan Syawal. Terlalu sekejap rasanya Ramadhan dilalui, tidak terasa. Berbeza dengan zaman kanak-kanak dulu. Masanya amat panjang. Kelesuan amat terasa. Tapi Ramadhan yang dilalui kini begitu me'relax'kan. Cuaca tidak terlalu panas, bahkan Bumi Kuching ini sering dibasahi hujan. Keletihan...kelaparan... langsung tidak terasa, cuma Ramadhan kali ini telah membawa saya untuk muhasabah diri. Ini kerana Ramadhan yang datang telah menguji diri. Ujian yang menimpa ini tidak pernah terduga sama sekali.

Imbas kembali... 8 Ramadhan yang lalu saya telah pergi ke Pasar Satok untuk mengambil set rantai dan gelang kristal pesanan seorang teman. Oleh kerana telah berjanji saya paksakan diri untuk ke sana walaupun perasaan 'nak tak nak' lebih menguasai hati. Alang-alang ke sana saya singgah sebentar di Bazar Ramadhan untuk membeli nasi kerabu ' special.' Sudah lama mengidami nasi kerabu tersebut, cuma keadaan tidak mengizinkan untuk mendapatkan segera. Alhamdulillah dapat juga saya berbuka dengan nasi kerabu nanti.

Selepas mendapat apa yang dihajati, saya terus memandu pulang. Di pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya. Saya berhati-hati memandu pulang. Saya melihat hadapan jalan, saya lihat sebuah Kenari berhenti dan memberikan 'signal' untuk membelok ke simpang kanan. Kaki saya terus menekan break, tapi semakin kuat break di tekan semakin laju kereta meluncur, dan tiba-tiba ...Dum...Ya Allah, bukan break yang ditekan, sebaliknya saya tertekan minyak, saya di luar kawalan lalu cuba mengelak dengan memusing stering ke kiri. Tapi kuasa Allah itu mengatasi segalanya, kenari tersebut disondol juga oleh kereta saya.

Saya terpaku seketika. Tak tahu apa yang perlu dilakukan, lantas mata menoleh ke kanan untuk melihat pemandu kenari. "Alhamdulillah, perempuan...bertudung.." Bisik hati saya. Saya kira masalah pertama saya sudah selesai. Saya cukup takut sekiranya kereta yang saya langgar tadi milik lelaki, dan lebih takut seandainya milik lelaki bertatu atau bukan Islam. Besar kemungkinan saya akan ditimpa masalah kedua. Lega hati ini.

Saya terus menunggu di dalam kereta. Tidak tahu siapa yang perlu dihubungi untuk meminta pertolongan. Bukannya tiada teman yang sudi tolong kalau dihubungi, tapi kejadian yang terlalu pantas berlaku ini menyebabkan fikiran saya menjadi buntu...'blur' seketika. Agaknya inilah masalahnya apabila berjauhan dari keluarga. Masalah terpaksa diharungi keseorangan. Sendirian... Setelah sekian lama menunggu, saya keluar dari kereta untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Saya berjumpa dengan pemilik Kenari, lalu memohon maaf atas apa yang berlaku. Alhamdulillah, satu masalah selesai. Pemilik kenari pada kiraan saya seorang yang agak berhemah.

Seterusnya kami terus berbincang untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh kerana saya melanggar dari belakang, saya dikira bersalah. Beberapa orang yang berada di situ turut memberi pendapat...Sejenak saya berfikir... buntu untuk membuat keputusan kerana tiada sesiapa bersama saya ketika itu..lalu saya menghubungi abang di kampung. Keputusan dibuat, kejadian ini akan dipanjangkan ke balai polis. Masalah kedua selesai.

Masalah ketiga pula menunggu. Macamana pula saya nak memandu kereta yang telah 'cacat' ke balai polis yang letaknya di Simpang Tiga. Agak jauh kedudukannya, ditambah dengan 'kejahilan' saya tentang selok belok jalan ke sana. Itulah kelemahan saya...lambat 'pick up' jalan. Hujan pula masih tidak berhenti, renyai-renyai... seolah-olah turut bersimpati terhadap apa yang telah menimpa diri saya. Fikiran ini mulai berputar ligat, lalu saya meminta seorang Pakcik untuk membantu saya ke balai polis. Alhamdulillah dengan rela hati dia bersedia membantu. Pakcik Majid namanya. Saya terpaksa meminta pertolongan beliau, memandangkan tiada siapa yang boleh membantu ketika itu.. dharurat ...Saya harap keputusan yang dibuat ini tidak melanggar hukum-Nya.

"Pakcik orang mana?" Tanya saya kepada Pakcik Majid ketika dalam perjalanan ke balai polis. Saya cuba memecah kesunyian, agar kejanggalan kurang terasa. "Kolong." Jawabnya sepatah. Mungkin hendak menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Bila disebut tempat tersebut, lalu ingatan saya tertumpu kepada Pak Haji yang saya anggap seperti bapa angkat. Selama saya berkelana di Bumi Sarawak sejak tahun 2005, sudah banyak bantuan yang saya terima daripada Pak Haji. Antaranya menghantar saya berulang alik ke sekolah dan tempat lain seperti ke pejabat pos, bank ...hatta pergi membeli belah sekalipun.

Saya terpaksa menggunakan khidmat van sapu Pak Haji untuk kemana-mana kerana ketika itu saya belum mempunyai kereta sendiri. Kereta yang digunakan sekarang belum mencecah dua tahun umurnya, hari ini telah ditimpa 'kesakitan'. Nak buat macamana, kejadian ini suatu ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Tak dapat tidak harus meredhainya.

"Erm...Pakcik keje kat mana?" Tanya saya lagi. "Keje kat Kebajikan Sosial." Jawab Pakcik Majid. " Ooo...patutlah suka tolong orang." Ulas saya. Pakcik Majid tersenyum. Kata Pakcik Majid dia dah biasa tolong orang dalam kesusahan, seperti kemalangan. "Tak kira siapa ... cina pun saya tolong". Kata beliau. Seterusnya Pakcik Majid bercerita tentang bidang kerjanya. Walaupun sekadar berbasa basi banyak juga pengajaran yang didapati daripada cerita beliau. Perbualan kami juga ada menyentuh tentang Pak Haji, nampaknya dia kenal dengan Pak Haji. Senang sikit hati saya. Bukan apa, senang untuk saya merujuk sekiranya berlaku apa-apa masalah yang berlanjutan selepas ini. Wal'i'yazubillah...

Sampai di balai polis, laporan terus dibuat. Seterusnya saya diwawancara oleh seorang sarjan bagi memudahkan proses tuntutan insurans.

"Mintak maaf cikgu, saya terpaksa kompaun cikgu..300... Ini memang prosedur." Kata Sarjan Manggie sambil menghulurkan salinan kompaun kepada saya. "Takpe, saya tak kisah...memang salah saya." Jawab saya sambil tersenyum.

"Tapi cikgu boleh jumpa bos untuk mintak diskaun saman. Cikgu cuba datang minggu depan. Kot-kot bos ada. Susah nak jumpa dia, tapi cubalah, mana tahu dia ada.." Saran sarjan tersebut, simpati terhadap nasib saya. "Ok...terima kasih" Jawab saya, lalu meminta diri.

Saya terus keluar dari balai polis untuk melihat keadaan 'budak biru' . Saya dapati "budak biru" .(Erm, budak biru ni gelaran yang diberi oleh Pak Haji kepada kereta saya.) telah digantung pada kren untuk ditarik ke bengkel. Sedih juga hati saya melihat keadaan tersebut. Maklumlah selama ini 'dia' tidak pernah berpisah dengan saya kecuali bila saya balik Terengganu. Apa boleh buat, sudah takdir. Seterusnya, barang-barang saya dipunggah dari kereta dan dipindahkan ke kereta pemilik wakil bengkel. Saya dan Pakcik Majid menumpang kereta tersebut ke tempat kejadian. "Nanti saya tolong hantar cikgu ke rumah." Kata Pakcik Majid. Saya hanya mengangguk.

Dipendekkan cerita, saya sampai di rumah lebih kurang 6.30 petang. Sudah hampir waktu
sungkei (sungkei maksudnya berbuka, istilah orang Sarawak). Masih tinggal lebih kurang 15 minit je lagi untuk saya menunaikan hutang yang belum terlangsai. Alhamdulillah, lega hati ini apabila solat asar sempat ditunaikan walaupun terlewat. Harap Allah menerima solat saya dalam waktu yang amat runcing ini. Tak lama selepas itu azan berkumandang. Saya nikmati kesedapan nasi kerabu keseorangan kerana rakan serumah masih bercuti di kampung. "Alhamdulillah, kenyang ...." Masalah tetap masalah ...makan tetap makan..." Detik hati saya.

Bagi saya kehidupan perlu dilalui seperti biasa walau apapun masalah yang melanda. Yang berlaku, tetap berlaku. Anggaplah apa yang berlaku itu sebagai satu ujian dari-Nya. Mungkin Allah mahu menguji ketabahan, kesabaran dan kecekalan saya dalam menghadapi ujian ini. Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika kita tidak kuat menghadapinya. Pasti ada hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik apa yang berlaku itu. Yang pasti kemalangan yang menimpa ini memberikan banyak pengalaman-pengajaran dalam hidup saya. InsyaAllah, akan saya kongsikan pengajaran-pengalaman ini dalam bicara akan datang. Hingga ketemu lagi. Wassalam.

"Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah."