Rabu, 30 Disember 2009

MATLAMAT TIDAK MENGHALALKAN CARA

"Erm, Kak Ros.. bila balik cuti raya?" Tanya Maidah (bukan nama sebenar).

"Hari Jumaat." Saya menjawab.

"Lewatnya...?".

"Saya mintak CRK (Cuti Rehat Khas) dengan bos hari Khamis tapi disuruhnya saya ambil cuti sakit. Patut ke macam tu. Saya tanya bos boleh ke ambik cuti sakit kalau kita sihat. Nantikan tak berkat pulak. Bos kata Itu saja cara yang halal. Malas la saya bercerita panjang. Pendek cerita balik je la hari Jumaat tu." Ulas saya.

"Awak pulak balik hari apa?" Soal saya.

"Rabu." Jawab Maidah sepatah dengan riak muka yang sudah berubah.

Saya sebenarnya tidak berniat pun nak menyindirnya. Sebelum ni saya langsung tak tahu yang Maidah akan balik pada hari Rabu. Memang terkejut jugak mendengar jawapannya. Tapi saya buat-buat tak tahu, bimbang juga ada hati yang terasa. Dalam berhati-hati ada hati yang disakiti. Dalam berjaga-jaga ada juga hati yang terasa.

Saya memberitahu perkara yang benar supaya dapat sama-sama menilai atau bermuhasabah dengan amalan yang kita lakukan. Tidak boleh mengikut kata hati semata. Saya faham Maidah merindui suami yang jauh di Semenanjung. Mereka merupakan pasangan jarak jauh (PJJ). Terpisah kerana kerjaya.

Apakah alasan itu membolehkan kita mengambil cuti sakit? Meninggalkan anak didik yang dipertanggung jawabkan untuk diisi ruh mereka dengan ilmu, ilmu agama tentunya. Tidakkah kita berfikir di 'sana' nanti anak-anak didik ini akan menuntut kembali masa yang di'curi' oleh guru tadi? Bukankah setiap duit yang kita hitung setiap hujung bulan itu hasil daripada tugas kita sebagai 'ibu didik'?

Saya selalu berbincang santai dengan Maidah tentang hal ini. Tetapi sifatnya yang sangat sensitif menyebabkan perbincangan tersebut tidak sampai ke mana. Jawapannya entah apa-apa. "Alah...saya bukan pernah ambil ‘sick leave’ pun...cuti saya halal lah."Itu antara jawapan yang diberi..

Alasan tidak pernah ambil ‘cuti sakit’ menghalalkan ‘cuti sakit’ untuk balik kampung lebih awal langsung tidak masuk akal.

Adakah bercuti terlebih awal tanpa sebab musabab yang relevan dan meninggalkan amanah yang wajib itu dihalalkan apabila cuti sakit tidak pernah diambil sepanjang tahun.Kalau sekali ok lagi,tapi kalau berkali-kali macamana pula. Tentu lah k.o.

Apakah Allah redha jika kita meninggalkan yang wajib untuk melaksanakan yang sunat?

Solat 5 waktu culas, tapi solat sunat diutamakan. Tidak berpuasa di bulan Ramadhan tapi berpuasa 6 hari di bulan Syawal...Sama-sama kita fikirkan.

Salah Faham Tentang Konsep Ibadah

Meninggalkan yang wajib berdosa.
Meninggalkan yang sunat tak dapat apa-apa.
Kalau kita melakukan yang sunat kita akan dapat pahala.

Tetapi yang wajib tetap perlu diutamakan.


Kita mungkin terlepas pandang tentang maksud frasa-frasa ini. Kita mungkin menganggap hukum tersebut hanya digunapakai untuk ibadat yang bersifat khusus sahaja seperti solat,puasa dan mengerjakan haji. Ada yang berpendapat ruang lingkup politik, urusan jual beli dan urusan nikah kahwin bukan gelanggang ibadat.

Sebab itulah terdapat di kalangan para isteri merungut kerana tidak dapat menunaikan solat tarawih setelah berkahwin.

" Rugi rasanya bila dah kawin ni. Nak gi masjid solat terawih pun tak berpeluang." Rungut Ijan kawan saya. "Ingat masa bujang dulu-dulu..meriah... Terasa ruh Ramadhan." Sambung Ijan lagi.

"Eh, jangan cakap macam tu. Tak baik. Awak jaga anak kat rumah pun dapat pahala terawih jugak tau. Jaga anak sebab suami pergi terawih. Untung. Dah la dapat pahala bila jaga anak, pahala suami berterawih pun dapat jugak" Saya cuba membuka mata hatinya agar tidak tersalah erti mengenai ruang lingkup ibadat.

"Ibadat ni kan luas. Awak kawin pun dikira ibadah. Jaga anak-anak pun ibadah." Ijan hanya diam mendengar kata-kata saya. Berfikir barangkali

.
Bekerja Satu Ibadah

Bekerja satu ibadah. Bekerja untuk menyara ibubapa, bekerja untuk menyara anak isteri. Bekerja untuk melangsaikan hutang MARA, PTPTN, JPA. Itu semua ibadah selagi niat bekerja selaras dengan tuntutan Islam dan ikhlas kerana-Nya.


Tapi awas...matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, perompak, peragut, pengedar dadah bukan satu perkerjaan dalam lingkungan ibadah. Walaupun niat mereka untuk kebaikan tapi cara mencari rezeki tetap bertentangan dengan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara.


Begitulah juga alasan ‘tidak pernah bercuti sakit’ untuk menghalalkan ‘cuti sakit’ tanpa memikirkan amanah wajib ditinggalkan sesuka hati. Bersediakah kita untuk dipotong gaji ‘cuti sakit’ tersebut? Tepuk dada tanya iman.


Setiap orang mempunyai masalah masing-masing. Jangan kerana masalah peribadi, amanah yang dipikul dipandang sebelah mata. Yang sunat didahulukan, yang wajib dikemudiankan. Apakah betul tatacara itu. Jawapannya sudah jelas, bukan?

“Alah…tak kena pada awak, senang lah cakap.” Itu jawapan yang diberi. Jawapan yang bukan jawapan.


Bagaimanakah dikatakan bekerja itu satu ibadah?

Selagi niat itu baik dan kena caranya selagi itulah kerja kita diklasifikasikan sebagai ibadah. Rasululullah (S.A.W) telah bersabda yang bermaksud:


‘Sesungguhnya setiap amalan tergantung niatnya, dan setiap orang akan mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa hijrahnya karena dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ia nikahi, maka hijrahnya itu menuju yang ia niatkan’” (HR. Bukhari dan Muslim)


Rasulullah (S.A.W) menjelaskan bahawa amalan atau perbuatan yang dimaksudkan ialah adalah amalan yang dibenarkan syariat. Amalan yang dilarang syariat dengan dalih niatnya benar. Misalnyaseorang suami bekerja sebagai pencuri berdalih “Niat saya kan baik, nak beri makan isteri dan anak-anak”


Hadith ini juga menginterpretasikan tentang hijrah, Asal kata hijrah adalah meninggalkan wilayah syirik dan berpindah ke wilayah Islam. Dalam kata lain, hijrah juga bermaksud meninggalkan perkara yang melalaikan, lantas kembali kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Kembali kepada Allah dan rasul-Nya.


Sebagai pekerja, lazimilah dengan sikap amanah. Ketepikan kepentingan peribadi. Teruskan istiqamah dalam taklifat dengan meraikan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dua bibliografi yang tidak boleh dibiarkan sepi. Semoga hidup kita jua terus sejahtera dalam menegakkan syiar-Nya.


Sama-sama kita meraikan 1431H dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, Akhir bicara, walau mungkin telah terlewat…Salam Ma’al Hijrah 1431H buat semua

.

“Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah”


Posting: 30.12.2009 12.21 p.m



Khamis, 10 Disember 2009

JANGAN SUSAHKAN YANG MUDAH...


"Kami orang Kristian macam-macam kena buat. Buat makan lagi (kenduri), nak kena buat itu...nak kena buat ini...keranda kena beli RMX000,upah van ke gereja, lepas tu ke kubur...Tanah kubur pun kena bayar juga..." Beritahu rakan setugas saya dengan nada sedih, berkongsi cerita tentang pengurusan mayat kristian.

Noran rakan saya berketurunan bidayuh, beragama kristian. Suaminya baru meninggal dunia dalam kemalangan yang sangat dahsyat.

"Kami orang Islam lagi susah. Nak kena buat makan (tahlil) sampai hari ke-7, sebulan kematian...hari ke-40..hari ke-100...." Jawab Zai pula tanpa menyedari kata-kata itu boleh menimbulkan ketidakyakinan non-muslim kepada Islam sebagai agama yang mudah.

"Eh, itu bukan adat orang Islam...itu kan adat orang Melayu...Islam itu agama yang mudah, tidak menyusahkan..." Saya mencelah.

"Islam tak pernah menyusahkan kita, tapi kita yang menyusahkan. Jangan kita menunjukkan yang Islam itu susah. Nanti non muslim takut nak dekat dengan Islam.

Keluarga si mati dah la sedih, nak diberatkan pula dengan bermacam-macam adat. Nak kena sediakan makan minum untuk tetamu lagi, bukan satu hari tapi berhari-hari." Saya cuba mengatur ayat sebaik mungkin agar tidak timbul salah faham.

Saya dapati di Sarawak, masyarakatnya sangat kuat berpegang pada adat. Kadang-kadang saya cuba juga perbetulkan apa yang biasa...biasakan mereka dengan yang betul. Mana yang tidak mampu, hanya diam aje yang termampu.

Dalam bab pengurusan jenazah, Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk mengadakan majlis tahlil sekiranya berlaku kematian. Jauh sekali mewajibkan umat-Nya mengadakan majlis tahlil pada tempoh-tempoh tertentu. Memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan. Itulah ajaran Islam. Senang, tidak susah. Ringkas, insyaAllah barakah.

Saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perbicaraan tentang hukum hakam tahlil, sekadar menjelaskan tentang mudahnya Islam jika ditelusuri dalam erti kata yang sebenar.

Begitu juga dengan dialog tersebut:

"Akak tak nak balik solat dulu ke..." Tanya saya kepada seorang sahabat.

"Pegi terus ke ofis lah. Dah lewat ni..." Jawab Zakiah.

"Ooo..solat kat ofis terus la ye..." Saya sengaja menduga.

"Sebenarnya akak ni susah sikit la. Akak tak yakin nak solat dengan pakaian kerja ni. Begitu juga dengan tempat solat. Tak selesa lah. Bukan taknak solat.." Bersungguh jawapan yang diberi.

"Abis, akak tunda (qadha') la ye.." Soalan saya masih berangkai.

" Sekali ni aje...eh eh, betul ke sekali ..." Zakiah bersuara lagi.

"Sebenarnya kak, dalam bab solat ni kita tak boleh qadha' sesuka hati. Kalau tangguh waktu solat dilarang, apatah lagi mengqadha' solat sesuka hati.

Solat hanya boleh diqadha' apabila terjadinya 'ter' " Saya menoktahkan penjelasan seketika.

"Terjadinya 'ter', apa maksudnya tu..." Zakiah teruja untuk mendapatkan jawapan.

" Maksudnya kalau kita tertidur, 'terpengsan', 'terpitam', terlupa..barulah diharuskan untuk kita mengqadha' solat. Bukannya suka hati je qadha'.

Di mana-mana pun kita boleh solat, tak perlu tunggu nak solat di rumah atau di surau saja. Akak lagi senang...akak kan ada kunci bilik bos, takkan bos marah kalau akak tumpang solat kat situ.

Tentang pakaian pula, kalau pakaian kita tak najis dan menutup aurat boleh je kita terus solat. Jangan susahkan yang mudah." Saya perincikan penjelasan.

Perbincangan kami ternoktah di sini apabila kereta telah berhenti di hadapan kediaman saya. Moga-moga perbincangan tanpa dirancang itu mampu menyusup masuk ke hati.

Firman Allah:

"...Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..." (al-Baqarah : 185)

"...Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur." (al-Maidah : 6)

"...dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama..." (al-Hajj : 78)

Jelas, kalam Allah menyatakan bahawa Islam agama yang mudah. Tidak susah sebagaimana yang kita susahkan. Mudah selagi kita memandang Islam itu mudah Jika sesekali Allah datangkan 'kesusahan' kepada kita pun itu bukannya kesusahan yang susah, sebaliknya kesusahan itu kesusahan yang senang.

Selaras dengan firman-Nya dalam surah al-Sharh, ayat 94 yang bermaksud:

"Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan."

Ayuh sahabat, sama-sama kita realisasikan Islam yang mudah, tanpa mencipta macam-macam alasan yang susah. Moga hidup kita di sana tidak susah disebabkan sikap kita yang menyusahkan Islam yang mudah.

Sekadar itu lontaran coretan. Diharapkan penulisan ini ada sisi manfaatnya. Segala kekurangan mohon diadili dengan kritikan yang memotivasi, agar entri yang menyusul lebih memberi erti.

Hingga jumpa lagi. Wassalam.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Dicatat oleh: Ros Illiyyuun 12 Dis 2009 0925p.m







Jumaat, 4 Disember 2009

Di MANAKAH KITA?

Artikel ini saya petik dari laman nazrichik.com. Semoga kita sama-sama dapat berkongsi pengajaran yang tersurat dan tersirat di sebalik kisah-kisah tersebut. Selamat membaca...

KISAH 1

Ketika belajar di Universiti Kebangsaan Malaysia , Salleh (bukan nama sebenar) telah bertemu jodoh dengan isterinya Siti Rahmah (bukan nama sebenar). Salleh mengambil jurusan kejuruteraan manakala Siti Rahmah Mengambil bidang perakaunan. Sekarang mereka telah 15 tahun berkahwin Dan Dikurniakan Allah dengan 7 orang anak. Beberapa bulan yang lepas saya Berkunjung ke rumah Salleh di Kajang. Kebetulan pada pagi Ahad itu selepas Solat Subuh di Masjid Kajang saya bertemu dengan Salleh. Dia terus mengajak Saya ke rumahnya. Dia menyewa rumah teres setingkat tidak jauh dengan Masjid.

Saya mengenalinya sejak hampir 10 tahun yang lalu. Pagi itu tidak sedar Kami telah berbual-bual hampir lima jam. Saya ingin berkongsi tentang Keluarga Salleh ini yang pada saya satu contoh keluarga yang mendapat keberkatan Allah.

  1. Salleh bekerja makan gaji Dan pendapatan bersihnya sebulan kurang dari RM3000.
  2. Isterinya adalah anak sulung, walaupun berkelulusan ijazah namun menjadi Suri rumah sepenuh masa atas kehendak Salleh. Sebagai penghargaan kerana Isterinya sanggup tidak bekerja, Salleh memberikan RM300 sebulan kepada Ibu-bapa mertuanya setiap bulan.
  3. Di samping itu Salleh juga memberi kepada ibunya di kampung RM200 Sebulan. Bapa Salleh telah meninggal dunia.
  4. Dia memiliki Toyota Unser dengan ansuran RM500 sebulan
  5. Dia membayar rumah sewa RM400 sebulan.
  6. Di rumahnya serba lengkap dengan perabot (TV, Peti Sejuk, Mesin Basuh, Set Sofa) serta teratur Dan kemas
  7. Pelik tetapi benar, bil elektrik di rumahnya kurang dari RM20 sebulan. Sedangkan jirannya tidak pernah kurang dari RM60. TNB dah buat pemeriksaan Bahawa meter di rumahnya tidak rosak. Begitu juga dengan bil air kurang Dari RM10 sebulan..
  8. Empat orang anaknya dihantar ke sekolah agama integrasi.
  9. Bayangkan dia boleh hidup dengan Selesa walaupun gajinya kecil jika di Nisbahkan dengan keluarganya yang agak besar.

Sejak berkawan dengannya Ada beberapa perkara yang saya lihat jadi amalan Dia yang patut di contohi;

  1. Solat Duha menjadi amalan hariannya walaupun ketika pergi outstation
  2. Solat Istikharah menjadi suatu amalan walaupun nak membeli benda yang Kecil seperti nak membeli mesin basuh.
  3. Sering membaca Surah Al-Waqiah
  4. Tidak terlibat langsung dengan sistem Riba . Dia menggunakan Kredit Kad Bank Islam.. Pinjaman kereta pun menggunakan sistem pinjaman Islam.
  5. Buat baik kepada Ibu bapa Dan Ibu Bapa mertuanya …
  6. Suka menolong orang Dan memberi derma
  7. Semua anak-anaknya mempunyai akhlak yang baik Dan jarang kena sebarang Penyakit.
  8. Dia dah empat tahun menggunakan Toyota Unser, sekali pun tidak pernah Rosak atau menyusahkan nya.
  9. Segala masalah yang dihadapi dapat diselesaikan dengan mudah Dan cepat.

KISAH 2

Ketika saya bujang dahulu saya sering menziarahi kawan saya, Norizam (bukan Nama sebenar) yang tinggal di Masai Johor. Pada Hari Ahad itu saya sampai Di rumah Norizam selepas waktu Asar. Norizam memperkenalkan Abang dia, Rashid (bukan nama sebenar) yang baru sampai dari Kuala Lumpur . Rashid Berkunjung ke rumah Norizam kerana untuk menghadiri temuduga pada pagi Isnin di Johor Baru.

Kawan saya Norizam ini, dalam beberapa hal dia tidak berpuas hati dengan Abangnya. Kadang kala saya tidak suka mendengar dia merungut tentang Abangnya. Petang itu Norizam merungut lagi iaitu abangnya datang untuk Temuduga kerja sebagai Pengurus Besar (General Manager). Gaji Rashid Sekarang ialah RM10,000 sebulan. Katanya tidak mencukupi. Dia akan minta gaji sebanyak RM14,000 sebulan untuk tempat baru ini.

Saya pun berasa hairan gaji RM10,000 sebulan tidak mencukupi sedangkan Hanya mempunyai dua orang anak sahaja. Beberapa tahun kemudian baru saya Tahu kenapa gaji abangnya RM10,000 tidak mencukupi.. Ini Ada kaitan dengan Tiada keberkatan hidup.

Perkara-perkara yang pada pandangan saya menyebabkan Rashid jadi susah ialah seperti berikut;

  1. Banyak sangat terlibat dengan sistem Riba . Pinjaman Kereta, Kad Kredit, Pinjaman Rumah, Akaun Simpanan semuanya Sistem Konvensional (Riba)
  2. Menggunakan banyak kad kredit konvensional kemudian bayar pokok sahaja. Bermakna memakan riba yang berterusan.
  3. Sering bertukar kereta sebab kereta selalu bermasalah walaupun kereta baru (Masalah kena curi Dan kemalangan jalan raya)
  4. Sering bertengkar dengan isteri.
  5. Isteri sering masuk hospital kerana penyakit misteri.
  6. Anak perempuan sulungnya yang di tingkatan tiga kena tangkap basah.
  7. Suka menengking jika Ada orang mintak derma.
  8. Soal sembahyang lima waktu dipandang sebelah Mata sahaja.

Kedua-dua kisah ini adalah sesuatu yang lumrah berlaku di sekeliling Kita. Kadang kala Kita tidak sedar langsung atau tidak menghiraukan langsung Untuk mencari keberkatan hidup.

KISAH 3

Saya hanya nak sampaikan sebuah cerita yang saya dapat, yang membuatkan hati saya amat tersentuh. Cerita ini saya dapati selepas menghadiri sebuah usrah umum di tempat saya baru-baru ini. Ustazah yang menceritakan ini sekarang mengajar di KISAS.

Ceritanya begini…

Suatu hari, seorang ustazah travel, Dia singgah di rumah seorang sahabatnya yang mana pasangan suami isteri Tersebut adalah guru biasa. Sisuami seorang guru penolong kanan. Beliau tiba di rumah sahabatnya ini sekitar tengahari tapi belum zohor. Kedua-dua suami isteri ini masih di sekolah. Walau bagaimanapun beberapa orang dari 8 orang anak mereka yang ke semuanya lelaki yang mana yang paling tua dalam tingkatan satu & yang paling muda masih bayi sudah pun pulang dari sekolah. Waktu zohor masuk, abang yang tua mengajak semua adik-adiknya yang baru pulang untuk solat berjemaah dengan dia sendiri sebagai imam.

Sewaktu dalam rakaat kedua, salah seorang adiknya yang berumur lingkungan 8 tahun pulang. Tanpa bertangguh tatkala melihat jemaah yang sedang solat, dia mengambil wudhu’ dan solat bersama jemaah, ia ikut ruku’ apabila imam ruku’. Dia ikut sujud apabila imam sujud. Dan selesai imam memberi salam,dia bangun menyelesaikan satu rakaat solatnya yang tertinggal. Subhanallah. .. adik yang berumur 8 tahun ini sudah pandai masbuk… ustazah yang melihat terkejut dan kami yang mendengar mengucap memuji ALLAH. Bayangkan betapa taatnya anak-anak yang masih kecil ini menunaikan perintah ALLAH tanpa pengawasan kedua orang tua mereka atau mana-mana orang dewasa dan tanpa disuruh-suruh. Cerita tak berakhir di situ.

Ustazah bermalam di rumah sahabatnya itu. Apabila subuh, ustazah menyangka dialah yang paling awal bangun kerana dia bangun selesai sahaja azan subuh berkumandang kalau saya tak lupa. Takjubnya dia apabila ke bilik air dilihatnya anak-anak kecil sedang sibuk ambil wudhu’. Bayangkan 7 orang budak lelaki dengan yang paling tua berumur 13 tahun dan yang ke tujuh ntah berapa tahun sibuk mengambil wudhu’ di bilik air di waktu subuh paling awal. Si ayah menunggu anak-anaknya di tikar sembahyang dengan sabar sambil berzikir.

Mereka solat jemaah sekeluarga (termasuk ustazah). Sewaktu hendak mula solat,si ibu meletakkan anak bongsunya yang masih bayi (yang sedang jaga) di sisinya. Ajaibnya anak ini tidak menangis mengganggu jemaah sepanjang mereka solat. Dan sekali lagi cerita tak berakhir di situ.

Ustazah tersebut ingatkan hendak sambung tidur kerana penat travel semalamnya tak surut lagi. Alangkah terkejutnya dia apabila hendak melipat sejadah, si ayah berpusing menghadap jemaah sambil berkata, “Anak-anak.. . hari ni ayah nak beri kuliah mengenai solat dan puasa… “. Dan 8 orang anak termasuk si ibu dengan tekun mendengar kuliah subuh yang disampaikan.

Subhanallah. … bila ditanya kepada si ibu mengapa didikan sedemikian diberi kepada anak-anaknya? Dia menjawab bahawa itu persediaan dia dan suaminya sebelum mati. Mereka berharap agar anak-anak lelakinya yang 8 orang itu dapat membacakan sekurang-kurangnya fatihah untuk mereka jika ditakdirkan mereka pergi dulu.. Lagipun anak-anak mereka semuanya lelaki… Pasangan suami isteri ini tak sanggup melihat anak-anak mereka terabai tanpa pedoman… cuba kita tanya diri kita sendiri…

  • Berapa ramai keluarga Islam hari ini yang dapat mengamalkan solat jemaah dalam keluarga ???
  • berapa ramai anak-anak Islam berumur 8 tahun yang pandai solat masbuk???
  • Berapa ramai anak-anak berumur 13 tahun yang pandai mengimami solat memimpin adik-adik mereka ???
  • Berapa ramai ibubapa yang berjaya mendidik anak-anak mereka sedemikian rupa yang taat melaksanakan perintah ALLAH tanpa suruhan dan pengawasan mereka yang lebih dewasa ???

Semoga bermanfaat...Sekian.

Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah.