Rabu, 30 Jun 2010

"TAK BOLEH QADHA' KE CIKGU..."


"Cikgu!!!..."

"Ya bik..." Jawab saya tergesa-gesa.

Saya hanya punya kurang 30 minit untuk berwudhuk dan bersolat Asar. Selepas itu saya perlu melangsaikan amanah terhadap anak didik di Tahun 3 Cemerlang. Hari Selasa jadual hampir penuh. Masa 'free' hanya cukup-cukup untuk berwudhuk dan solat.

"Cikgu, saya nak tanya ni..."

Bibik Julia berketurunan Jawa merupakan salah seorang 'cleaner' di sekolah tempat saya menabur bakti.

"Tanya ape ye."

"Boleh tak kalau kita tak solat zohor sekarang, qadha' pada waktu Asar nanti..." Bibik Julia mohon kepastian.

"Maksud bibik?"

"Macam ni, bibik tak solat zohor sekarang sebab kotor. Balik rumah nanti bibik solat lah. Bibik solat asar dulu, lepas tu bibik terus qadha' solat zohor. Bibik ni kerja bersih membersih...tak yakin. Tengok ni...bibik masuk tandas. Kan ke kotor ni..."

"Saya pun masuk tandas juga bik." Dalam keadaan terburu-buru saya perlu juga melayan soalan bibik, atas dasar menghormatinya sebagai yang lebih tua. Lagipun soalan yang dilontarkan berkaitan dengan kewajipan khusus terhadap Allah taala.

"Selagi tiada najis pada badan, pakaian dan tempat solat tiada masalah untuk kita bersolat." Penerangan disambung seringkas mungkin.

"Oh..." Bibik Julia mengangguk tanda faham.

"Tak boleh qadha' ke cikgu?"

"Solat diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakannya secara tunai...melainkan kalau kita ter..."

"...tertidur, terlupa..." Sambung bibik tanpa sempat saya menghabiskan ayat terakhir.

Alhamdulillah bibik sudah faham sebenarnya. Mungkin disebabkan senario kebiasaan mengqadha' solat tanpa sebab yang kukuh di sini menyebabkan ramai yang jadi keliru tentang kewajipan tersebut.

Mungkin hati bibik terbuka untuk bertanya apabila melihat saya dan beberapa orang rakan sekerja sering mengejar waktu solat dalam masa yang begitu semput. Moga dakwah bil hal ini dapat mencerahkan minda yang berfikiran sedemikian.

Sekian...

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Jumaat, 18 Jun 2010

HIDAYAH : MILIK SIAPA?


SITUASI 1:
"Cantik akak sekarang...." Bersama seulas senyuman saya memuji perubahan salah seorang ibu kepada murid saya. Beliau yang dahulunya 'free hair' kini telah bertudung.

"Dah tua la ustazah, kena lah berubah." Jawab si ibu, wanita berketurunan bidayuh, tetapi telah lama berhijrah, memeluk Islam.

SITUASI 2:

"Kenapa buka Kak...Cantik tau bila akak bertudung..."

"Panas lah ustazah...Tunggu sampai seru..." Jawab pula seorang lagi ibu kepada anak murid saya. Wanita ini memang beragama Islam sejak lahir. Memakai tudung ala 'chipsmore'. 'Sekejap ada sekejap takde.'

Kedua-dua wanita ini saya kira berumur dalam lingkungan 40-an.

Hidayah Allah

Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa. Akan dibukakan pintu hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Tidak mengira usia, hidayah akan tiba jua bila sudah sampai waktunya. Dia itu raja atau rakyat biasa. Orang kaya ataupun miskin. Orang baik atau orang jahat. Semuanya berpeluang untuk menerima hidayah Ilahi.

Hidayah atau petunjuk sebenarnya sudah lama menjenguk diri kita. Terpulang kepada kita sama ada mahu menerima dengan hati terbuka atau sebaliknya.

Bak kata pepatah Melayu: "Besar tapak tangan nyiru saya tadahkan" atau "Besar tapak tangan padang bola saya tadahkan." Begitulah, kita seharusnya berlapang dada untuk merebut peluang mendapatkan hidayah dari Ilahi.

Betapa Allah telah lama menghantar hidayah kepada semua hamba-Nya. Bermula dengan diutusnya Nabi Muhammad (s.a.w), kemudian diiringi dengan naskhah tanpa wayar iaitu al-Qur'an al-Kareem.

Melalui Nabi Muhammad, kita juga dapat mengenal al-Hadith yang menjadi pedoman buat kita umat Islam. Umat yang telah mengaku bahawa 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' dan 'Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah'.

Melalui al-Qur'an dan al-Hadith juga, kita akan mengalami evolusi dan revolusi dalam kehidupan. Dari kegelapan kepada cahaya kebenaran, dari kejahilan kepada keilmuan, dari kezaliman kepada keadilan, dari kemaksiatan kepada ketakwaan, dari pertelingkahan kepada perdamaian, dari kegelisahan kepada ketenteraman dan ketenangan jiwa.

Dalam surah Yunus, ayat 57 Allah telah berfirman dengan maksudnya:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur'an al-Qur'an yang menjadi nasihat dan pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu; dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."

"...Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufiq) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya)." ( Surah al-Baqarah: 272)

Tanpa hidayah hidup kita akan terumbang ambing, ke tepi tidak ke tengah pun tidak. Umpama seorang musafir ke sesuatu tempat, tanpa panduan kompas, peta dan seumpamanya pasti dia akan sesat. Tidak akan sampai ke destinasi yang ditujuinya.

Apakah kita juga umpama musafir tersebut. Sama sekali TIDAK. Kita telah dibekalkan Allah dengan pelbagai bekalan agar tidak tersesat dalam menuju ke jalan kebenaran...petunjuk dan hidayah-Nya.

Seru!

Tidak sampai seru...

Belum sampai seru....

Tunggu datang seru...

Atau... 'Kekasihku Seru...' ?

Apakah benar kita tidak atau belum sampai seru.

Bukankah 'zaman sudah berubah'! Ini bukan zaman batu, zaman hidup dalam gua atau tinggal dalam hutan sehingga kita tidak pernah mendengar 'seru'. Bukan seperti zaman 'ahli fitrah'.

Setiap hari telinga kita akan mendengar seruan azan, sekurang-kurangnya lima kali sehari. Dalam al-Qur'an juga kita sentiasa diseru oleh 'Azza wa Jalla.

Saya datangkan beberapa contoh tentang seruan Allah terhadap kita hamba-Nya:

"Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa." (al-Baqarah: 21)

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah). Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (al-Nisa': 170)

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (al-Qur'an)." (al-Nisa': 174)

Terdapat banyak lagi bentuk seruan Allah kepada kita, sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Terpulang atas diri kita sama ada mahu menerima ataupun tidak.

Angkuhnya kita sebagai hamba yang diciptakan-Nya menolak seruan Allah sebagai Yang Maha Pencipta. Tidak lain dan tidak bukan yang diseru Yang Maha Pencipta adalah kebaikan semata-mata.

Hidayah Itu Milik Allah...

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa hidayah itu milik Allah, namun sebagai hamba-Nya kita disarankan agar sentiasa berusaha untuk mendapatkan hidayah-Nya. Tidak akan turun hidayah tanpa usaha yang jitu.

Allah (S.W.T) telah menyarankan kita agar sentiasa berusaha menyemai benih-benih ilmu agar kebenaran akan dapat dituai.Kebenaran itulah hidayah yang ditunggu-tunggu.

Dalam surah al-Ra'du ayat 11, Allah telah berfirman dengan maksudnya:

"Sesungguhnya Allah tiada mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."

Tegasnya, setiap kaum atau bangsa hendaklah berusaha merubah kehidupannya ke arah yang lebih baik, dengan segenap tenaga dan usaha yang dapat dicapainya, dan janganlah hanya menyerahkan dirinya kepada nasib dan keadaan semata-mata.

Berdoalah agar Allah sentiasa memberikan hidayah-Nya kepada kita, ahli keluarga, saudara mara dan teman-teman.

Sentiasalah 'seru' Allah agar dititipkan 'anugerah' yang amat berharga itu. Jangan tunggu diseru, bimbang kelak Izra'il yang datang menyeru tanpa sempat 'sampai seru'. Wal'iyazubillah.

Semoga bermanfaat!

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Jumaat, 11 Jun 2010

KABEL BESAR

"Kak Ros ada guna kabel ke?" Tanya sahabat saya apabila keputusan permohonan perpindahan telah keluar .

"Ada...macam-macam kabel saya guna...kabel letrik,kabel keretapi, kabel telefon..." Dan macam-macam kabel lagi saya sebut. Sekadar berlelucon.

"Sekarang ni susah nak dapat apa-apa kalau takde kabel. Kalau boleh carilah kabel besar." Kata pula suara yang lain.

"Siapa yang dapat pindah kali ni?" Tanya saya kepada rakan saya, Nur.

"Suzi yang dapat...kabel dia besar 'sangat-sangat'. Jawab Nur.

"Semalam saya pergi JPN, Ustaz J beritahu yang kabel Suzi tu bukan calang-calang." Sambung Nur lagi lewat bualan di laman 'facebook'.

"Takpe lah Nur, dah rezeki dia. InsyaAllah adalah rezeki kita tu nanti. Kita kena ingat yang kita ada 'Kabel Yang Mahal Besar"...Percayalah, Allah Maha Tahu akan keperluan dan kehendak hamba-Nya." Ulas saya sambil memujuk hati Nur yang pastinya tengah berduka kerana permohonan pertukaran beliau tidak diluluskan.

"Jangan risau...rezeki tu datang terus dari Allah. Macamana pun orang nak buat jahat...nak cantas...kalau memang Allah tetapkan milik kita, rezeki itu pasti akan jadi milik kita." Teringat saya kepada kata-kata seorang kenalan baru.

Kabel

Saya percaya, hampir 100% pemohon akan meminta bantuan kaum keluarga, sahabat atau mana-mana kenalan yang mempunyai kuasa atau 'kekebalan' bagi menguatkan lagi permohonan mereka. 'Mereka' yang dikatakan mempunyai kuasa atau 'kekebalan' inilah yang digelar sebagai 'kabel'.

Mereka ini juga dikenali sebagai 'orang dalam' atau 'kabel'. Ada 'kabel kecil', ada juga 'kabel besar'. Ada juga yang menggelar 'kabel' ini sebagai 'talian hayat'. Sebagaimana pentingnya kabel elektrik, kabel telefon dan bermacam-macam kabel lagi dalam urusan kehidupan, 'kabel' ini tidak kurang pentingnya untuk mengukuhkan lagi permohonan atau keinginan, hasrat dan cita-cita.

Bukan sahaja permohonan untuk berpindah tempat berkhidmat, bahkan merangkumi juga situasi-situasi yang berikut:

Mereka ini sering dicari ketika anak-anak hendak sambung belajar ke sekolah berasrama penuh atau atau sekolah terbaik.

Mereka ini sering dicari ketika anak-anak hendak sambung belajar ke universiti.

Mereka ini sering dicari ketika memerlukan bantuan kewangan.

Mereka ini sering dicari ketika menghadapi temuduga pekerjaan.

Mereka ini dicari untuk mendapatkan penempatan pekerjaan.

Mereka ini dicari untuk mendapatkan kejayaan dalam perniagaan.

Mereka ini dicari bagi mendapatkan sesuatu tender atau kontrak.

Mereka ini dicari untuk mendapatkan kelulusan perpindahan tempat berkhidmat.

Salah ke?

Ya, tidak salah kita menggunakan khidmat 'kabel' ini sebagai salah satu usaha untuk mengukuhkan lagi permohonan kita selagi kita memenuhi syarat yang ditetapkan.

Masalahnya kita selalu lupa dengan 'kabel' yang lagi besar. Kita terlalu taksub dengan 'kabel' sehingga kita tidak sedar betapa kita telah menjunjung dan meraikan 'kabel' itu dengan lafaz-lafaz yang boleh mengundang 'syirik' di luar kawal. 'Remote control' yang dibekalkan oleh Allah selama ini gagal kita gunakannya sebaik mungkin.

Antara lafaz-lafaz yang sering berkumandang apabila berbicara mengenai 'kabel' ialah:

"Kalau takde kabel besar, jangan haraplah kita dapat pindah."

"Takde 'kabel'? Macamana nak dapat kalau macam ni."

"Erm, tiada siapa yang sudi dengar rayuanku..."

"Saya dengar macam-macam 'kabel' dia guna...ada kerabat, datuk itu datuk ini...kenapa tak dapat juga ya..."

"Eh...zaman sekarang ni kalau takde 'kabel' jangan haraplah permohonan kita tu diluluskan tau..."

Sama-sama kita teliti dialog-dialog diatas. Jika diamati dan diperhalusi tanpa sedar kita telah menafikan kebesaran dan kuasa Allah sebagai 'Kabel Yang Maha Besar'.

Kita wajib akui bahawa 'dia' tidak dapat bukan kerana 'kabel' tidak cukup besar, tetapi Allah belum mengizinkannya. Pasti ada hikmah yang tersirat yang tidak dapat kita lihat. Allah Maha Tahu segala yang terjadi. Dia juga Yang Maha Mengetahui keperluan hamba-hamba-Nya.

Kita perlu berhati-hati dalam melahirkan tutur kata, jangan sampai terpercik tempias kesyirikan. Tiada salah menggunakan 'kabel' sebagai salah satu usaha kita, tapi jangan sesekali salahkan 'KABEL' sekiranya impian kita masih belum tercapai. Bukan dia tidak mahu memberi, tapi belum masanya untuk kita diberi. Mungkin ada salah dan silap yang kita lakukan tanpa disedari!

Bandingannya...

Dalam hal ini, sama juga keadaanya jika kita diuji dengan kesakitan.Suara-suara berikut seringkali didengari dikedua-dua belah telinga kita...

"Sakit kepala saya dah hilang lepas makan panadol..."

"Kenapa tak pergi klinik ni...Dia punya doktor bagus...dia punya ubat pun bagus-bagus...sekali makan terus hilang sakit kita..."

"Kenapa lah sakit aku tak hilang juga...dah bermacam ubat, bermacam klinik...kerajaan ke... swasta ke...pakar atau tidak pakar semua aku pergi...bomoh pun tak terkecuali..."

Apa yang silapnya kata-kata di atas? Sebenarnya tanpa sengaja kita telah terlupa dengan Dia sebagai Doktor yang paling pakar. Kita lupa untuk mengingati-Nya sepanjang masa kerana terlalu taksub dengan kepakaran dan kemahiran para doktor-Nya. Kita terlupa bahawa segala usaha kita itu semuanya tertakluk kepada qadha' dan qadar-Nya.

Syirik

Menurut al-Shaykh Muhammad al-Tamimi dalam buku beliau Risalah al-Tawheed, syirik ialah memperlakukan sesuatu selain Allah, sama dengan Allah yang merupakan hak khusus bagi-Nya.Ini bermakna, kita meletakkan sesuatu sama taraf dengan kedudukan Allah sebagai Tuhan yang berkuasa atas segalanya.

Terdapat banyak ayat al-Qur'an yang menyeru hamba-Nya agar menjauhi syirik serta menjelaskan tentang akibat yang akan diterima jika berlaku syirik. Antara ayat-ayat tersebut ialah:

Allah (S.W.T) telah berfirman dalam surah al-Isra' : 22, dengan maksudnya:

"Janganlah kamu adakan Tuhan yang lain di samping Allah, agar kamu tidak menjadi tercela dan tidak ditinggalkan (Allah)."

"Sesungguhnya Allah tidak akan mengampuni dosa mempersekutukan (sesuatu) dengan Dia, dan Dia mengampuni dosa selain dari syirik itu bagi siapa yang dikehendaki-Nya. Barangsiapa yang mempersekutukan (sesuatu) dengan Allah, maka sesungguhnya ia telah tersesat sejauh-jauhnya." (al-Nisa': 116)

"Dan sesungguhnya Kami telah mengutus rasul pada setiap umat (untuk menyerukan): Sembahlah Allah (sahaja) dan jauhilah Thaghut itu." (Surah al-Nahl: 36)

"Sesiapa yang menemui Allah (mati) dalam keadaan tidak berbuat syirik kepada-Nya sedikit pun, pasti masuk syurga; tetapi barang siapa menemui-Nya (mati) dalam keadaan berbuat sesuatu syirik kepada-Nya, pasti masuk neraka." (Hadith Riwayat Muslim)

Fikir Bersama

Saya tinggalkan beberapa hadith untuk difikirkan bersama. Semoga ianya dapat memberi panduan kepada kita supaya kita dapat refleksi kembali tentang tutur kata yang digunakan selama ini, apakah benar ia selaras dengan unsur akidah yang murni atau sebaliknya.

Rasulullah (S.A.W) telah bersabda, maksudnya:

1. "Janganlah kamu mengatakan: 'Atas kehendak Allah dan kehendak si Fulan' tetapi katakanlah: 'Atas kehendak Allah, kemudian atas kehendak si Fulan." (Hadith riwayat Abu Dawud, sanad sahih)

2.Diriwayatkan daripada Ibrahim al-Nakha'i bahawa ia melarang ucapan:

"Aku berlindung kepada Allah dan kepadamu" ; tetapi membolehkan ucapan: 'Aku berlindung kepada Allah, kemudian kepadamu' serta ucapan: "Kalau bukan kerana Allah, kemudian kerana si fulan." Dan janganlah anda mengatakan: 'Kalau bukan kerana Allah dan kerana si fulan.'

3. Ibn Abbas (R.Anhuma) mengatakan:

Bahawa ada seseorang yang mengatakan kepada nabi (S.A.W): Atas kehendak Allah dan atas kehendakmu. Maka ketika itu bersabdalah beliau: Apakah kamu menjadikan diriku sebagai sekutu untuk Allah? Hanya atas kehendak Allah sahaja. (Riwayat al-Nasa'i)

4.Dalam satu kisah pula Ibn Majah dari al-Tufayl, saudara seibu dengan Aisyah, ia berkata:

"Aku bermimpi seakan-akan aku mendatangi sekelompok orang-orang Yahudi. Aku berkata kepada mereka: "Sengguh, kamu adalah sebaik-baik kaum, seandainya kamu tidak mengatakan: 'Uzair putera Allah'.

Mereka menjawab: 'Sungguh kamu pun sebaik-baik kaum, seandainya kamu tidak mengatakan: 'Atas kehendak Allah dan kehendak Muhammad'.

Lalu aku menjumpai sekelompok orang-orang nasrani, maka aku berkata kepada mereka: 'Sungguh kamu adalah sebaik-baik kaum, seandainya kamu tidak mengatakan: 'al-Masih putera Allah.'

Mereka menjawab: 'Sungguh,kamu adalah sebaik-baik kaum seandainya kamu tidak mengatakan: 'Atas kehendak Allah dan kehendak Muhammmad.'

Ketika pagi hari aku memberitahu tentang mimpiku kepada sahabat-sahabatku, kemudian aku mendatangi Nabi (S.A.W) dan aku beritahukan kepada baginda. Nabi bertanya: "Apakah kamu telah memberitahukannya kepada seseorang?" Aku menjawab: "Ya."

Lalu Rasululllah (S.A.W) bertahmid, kemudian bersabda:Amma ba'du, sesungguhnya Tufayl telah bermimpi sesuatu yang telah diberitahukan kepada orang-orang di antara kamu. Dan sesungguhnya kamu telah mengucapkan suatu ucapan yang ketika itu aku tidak sempat melarangnya kepadamu kerana aku ada beberapa halangan, maka janganlah kamu mengatakan: 'Atas kehendah Allah dan kehendak Muhammad' akan tetapi katakanlah: 'Atas kehendak Allah sahaja'.
Betapa hadith-hadith di atas memberikan peringatan kepada kita agar sentiasa berwaspada dalam tutur kata. Semoga bicara dan tutur kata dapat menjauhkan diri kita daripada terjerumus ke 'lembah syirik', yang selalunya berlaku tanpa disedari sehingga merosakkan aspek-aspek tauhid murni yang dipegang selama ini. Wallahu A'lam.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Sabtu, 5 Jun 2010

IKAN LUMBA-LUMBA IRINGI KAPAL

Membaca artikel mengenai catatan peristiwa sebelum dan selepas diserang komando Israel di Berita Harian pagi tadi amat menyentuh jiwa kerdil saya. Betapa banyak pengajaran yang boleh dikutip. Memandangkan blog saya sudah lama bisu, tanpa pengisian baru elok rasanya kita berkongsi artikel tersebut. Semoga ada sisi manfaatnya,insyaAllah.

KAPAL Mavi Marmara umpama madrasah bagi kami kerana di situlah semua sukarelawan yang terbabit dalam misi bantuan kemanusiaan ke Gaza menerima pendidikan yang sangat berguna, sekali gus melatih jiwa dan hati kami untuk lebih dekat kepada Allah.

Perjalanan itu, meskipun tidak sempat menghabiskan misi kerana diserang komando Israel, cukup bermakna dalam membuka pelbagai pintu rahsia. Semua petugas umpama baru tamat dalam satu proses pendidikan mengenali erti kemanusiaan dan kehidupan sebenar sebagai hamba Allah.

Empat bulan lalu, hampir setiap hari saya membaca petikan Surah Al‘Imran yang bermaksud: “Para syuhada dianggap hidup di sisi Allah dan sentiasa meminta izin daripada-Nya untuk balik ke dunia dan bertemu dengan pejuang yang masih hidup bagi mengirimkan pesanan supaya jangan takut serta sedih.”

Ketika ayat itu dibacakan setiap hari, sebenarnya saya masih menaruh harapan supaya dibenarkan menyertai misi itu dan Alhamdulillah, berkat izin-Nya, saya akhirnya mendapat kesempatan itu sebagai rombongan terakhir bersama beberapa rakan lain selepas lapan petugas sudah pun bertolak lebih awal ke Istanbul.

Pada 22 Mei, kami bersama dua wakil media Astro Awani, tiba di lapangan terbang di Istanbul dan terpaksa bergegas, berlari ke kaunter tiket untuk mendapatkan pesawat ke Antalya, sebuah pelabuhan di Selatan Turki.

Keadaan kelam-kabut itu semata-mata untuk mendapatkan pesawat domestik dan ketika itu mulut ini tidak berhenti berzikir dan berdoa supaya kami berpeluang dan dapat tiba ke destinasi tepat pada masanya kerana tidak mahu terlepas kumpulan rombongan dan akhirnya, melegakan apabila kami dapat masuk ke pesawat lima minit sebelum ia berlepas.

Dalam pesawat itu, saya duduk di sebelah jurukamera Astro Awani, Samsul Kamal Abdul Latip yang jelas kelihatan masih terpinga-pinga dan seakan belum tahu apa kemungkinan bakal dihadapi dalam misi ini sedangkan dalam pemikiran saya sudah terbayang beberapa perkara yang boleh berlaku termasuk diserang oleh tentera Israel.

Hanya doa yang mampu dipanjatkan semoga kami semua tabah menghadapi sebarang kemungkinan terutama apabila membayangkan kapal kami mungkin dibom, ditawan atau diheret sekiranya memasuki perairan Israel.

Di Antalya, kami ditempatkan di sebuah kompleks sukan selama empat hari iaitu sejak 23 hingga 27 Mei kerana terpaksa menunggu rombongan dari Eropah dan sepanjang tempoh itu, semua sukarelawan terpaksa tidur bertilamkan lantai di ruang terbuka.

Subuh pertama kami di kompleks itu, azan dilaungkan oleh sukarelawan dari Malaysia untuk mengajak semuanya bersembahyang jemaah kerana sebelumnya dilihat kebanyakan orang hanya solat sendirian dan ia juga menjadi detik pemula di mana semuanya bersatu, malah saya sendiri berkesempatan menyampaikan kuliah Subuh dalam bahasa Arab di depan semua orang.

Masih saya ingat, ketika kuliah itu, saya membacakan sepotong ayat – “Hasbunallah Wanikmal Wakil” yang bermaksud memadailah Allah sebagai wakil kami. Ayat itu juga yang dilihat sentiasa disebut di mulut, menjadi zikir ramai orang termasuk mereka dari negara lain sepanjang memijakkan kami di kapal Mavi Marmara.

Masih jelas terbayang di mata saya, begitu ramai masyarakat dari serata dunia termasuk Eropah yang datang sendiri ke kompleks sukan itu dan merayu mahu turut serta dalam rombongan itu tetapi khabarnya hanya sebahagian dibenarkan.

Sebenarnya, banyak kisah menarik untuk dikongsi bersama sepanjang kami di kompleks sukan itu termasuk jeritan seorang warga tua dari Turki ketika dikatakan rombongan itu bakal ditangguh lagi – “Tiga tahun pun akan kami tunggu!”

Di kompleks sukan itu, sempat juga saya berbual dengan anak, Syaima Amatullah, menerusi laman facebook dan dia ada bertanya – “Abah takut tak?” dan jawab saya ketika itu – “Bukankah abah selalu baca ayat dari Surah Al-Imran.” Kenyataan saya itu dipanjangkan anak saya kepada hampir semua rakannya dalam laman web itu.

Tanggal 27 Mei, bermulalah perjalanan jihad kami apabila dibawa menaiki bas yang diiring polis serta disambut meriah oleh ribuan penduduk bandar Antalya dengan memenuhi tepi jalan, melambai serta mengibarkan bendera Turki dan Palestin, selain sebahagiannya membunyikan hon, riuh rendah sama seperti suasana ketika majlis perkahwinan di negara itu.

Terpegun seketika apabila tiba di kapal Mavi Marmara kerana berbeza sekali dengan gambar yang saya lihat. Tak sangka rupa-rupanya kapal setinggi empat setengah tingkat itu begitu besar. Pemeriksaan kastam untuk masuk ke kapal begitu ketat sehinggakan kabel pengecas telefon bimbit tiga pin turut dirampas kerana dilihat berbeza dengan kabel dari negara lain yang hanya ada dua pin.

Masuk saja dalam kapal, saya bersama beberapa rakan lain membuat sujud syukur. Sebahagian yang lain kelihatan masih terpaku kerana seakan tidak percaya akhirnya dapat memijakkan kaki di kapal itu. Ketika itu, ada seorang ahli tarikat berusia 84 tahun berkata - “Aku ke sini untuk turut serta dalam perjuangan Palestin. Apa guna sekadar berzikir jika tidak berjuang bersama.”

Kami diberi makan ala kadar. Sebenarnya jika tak diberi makan pun tak apa sebab tak langsung rasa lapar. Kami makan sekadar untuk mengelakkan lemah dan tidur pun sekadar untuk memastikan badan bertenaga.

Perjalanan kami terhenti di Cyprus pada 28 hingga 30 Mei kerana menunggu kapal lain untuk menyertai konvoi. Sepanjang tiga hari itu, pelbagai aktiviti dijalankan termasuk ceramah oleh ulama di dalam kapal. Apabila kapal bergerak kembali, satu amaran sudah diberi pada malam 30 Mei kerana mereka nampak ada lampu berkelip di udara yang disyaki helikopter.

Kami juga nampak seakan ada lampu kapal lain bagaikan cuba menghampiri. Ketika itu kami diminta berkumpul dalam kumpulan 15 orang dan dibekalkan jaket keselamatan serta satu topeng gas untuk dikongsi sesama ahli kumpulan.

Jam 1 pagi, keadaan kembali tenang kerana tiada lagi tanda kapal berhampiran, namun kami diminta tidur di luar untuk bersedia terhadap sebarang kemungkinan. Jam 3 pagi, kami dikejutkan dengan sorakan takbir lantaran kumpulan di belakang kapal melihat ada sekumpulan ikan lumba-lumba mengiringi kapal.

Episod serangan bermula sejurus selepas solat Subuh yang ketika itu dirasakan Subuh terakhir kami. Kelihatan beberapa bot menghampiri kami dan helikopter yang berlegar melemparkan bom asap pemedih mata, namun peliknya ia langsung tidak menjejaskan kami kerana tiap kali bom dilempar, ketika itu juga angin akan bertiup kencang menolak asap.

Meskipun keadaan huru-hara dan seakan tidak terkawal, kebanyakan kami tidak terasa gentar. Saya sendiri ditembak di bahu kanan dengan peluru getah tetapi sakitnya hanya sekejap. Malah, ketika ditawan, beberapa kali saya dipijak dan ditendang oleh komando Israel dengan kuat, namun tak pula terasa sakit atau ada kesan lebam.

Selepas ditawan dan diikat dengan tali kabel selama lebih 15 jam, ada di kalangan kami yang berpuasa, namun tidak pula terasa lapar atau lemah. Ketika itu kami hanya ingat Allah. Kekejaman komando Israel bukan sekadar tak beri makan minum, malah tak juga benarkan ke tandas sehingga ada yang terkencing dalam seluar.

Air pun hanya diberi sebotol untuk dikongsi beramai-ramai. Itupun dalam keadaan tangan diikat. Bayangkan betapa kuatnya talian persaudaraan di kalangan kami, meskipun ada yang berlainan agama apabila sesama kami menuang air ke mulut rakan yang lain bersilih ganti.

Di Ashdod, pelabuhan di Israel, kami tidak lagi menerima layanan seburuk di kapal kerana ketika itu kami diuruskan oleh pegawai dari Kementerian Dalam Negeri Israel yang nyata terpaksa melayan dengan baik lantaran sudah menerima tekanan dari kedutaan lain.

Dibawa ke penjara yang masih baru, kami ditempatkan dalam sel besar dengan empat orang sebilik. Ketika itu, sesuatu yang sangat melegakan apabila kami dapat mandi dan membersihkan diri. Tidak berapa lama ditahan kerana akhirnya kami dibebaskan selepas dikunjungi wakil kedutaan Jordan yang memang ditugaskan untuk membebaskan sukarelawan Malaysia dan Indonesia.

Teringat lagi bagaimana berani sekali seorang Ahli Parlimen Kuwait ketika menaiki bas untuk ke Jordan. Sempat dia turun semula ke tangga dan menjerit minta dia dibawa kembali ke sel dengan alasan tidak mahu dibebaskan. Jelas sekali dia seakan mencabar pegawai Israel.

Lucu pula melihat akhirnya pegawai Israel itu pula yang merayu meminta dia naik semula ke dalam bas. Itu semua akibat tekanan kuat yang diberikan kedutaan negara lain yang begitu ramai berkumpul di situ.

Masih sebak di hati ini apabila mengenangkan rakan dari Turki yang tak dibebaskan ketika kami sudah menaiki bas kerana kedutaan mereka belum tiba. Salah seorang warga Turki ada memanggil saya, memeluk dan menangis sambil menawarkan duit poket kerana beranggapan semua barang termasuk dompet saya sudah dirampas.

Sejak dibebaskan pada jam 4.30 petang, Subuh keesokan harinya baru kami sampai di sempadan Israel – Jordan, dan sesuatu yang sangat mengujakan apabila terpandang bendera Malaysia dikibarkan. Ketika itu terasa betapa pemimpin negara kita begitu mengambil berat, malah ketika kami menghubungi Perdana Menteri yang berada di Laos pada jam 2 pagi, beliau masih berdaya menjawab telefon dan menitip pesan kepada kami.

Orang pertama yang saya hubungi sejurus tiba di Jordan dan diberi hadiah sebuah telefon bimbit jenama Nokia dengan kredit panggilan sebanyak sembilan dinar ialah isteri yang kedengaran masih tenang meskipun dalam beberapa laman web sudah beranggapan saya sudah tiada.

Banyak sebenarnya pengajaran yang diperoleh daripada semua kejadian ini di mana ia pasti menguatkan iman kami selain sedar kita hanya insan kerdil yang sudah diaturkan Allah nasibnya serta bersatu seluruh bangsa dunia untuk menentang kekejaman Israel.

(Penulis, bekas Pensyarah UTM yang juga Pengerusi Aqsa Syarif adalah antara 10 sukarelawan Malaysia dalam misi keamanan bantuan kemanusiaan ke Gaza melalui kapal yang diserang Israel baru-baru ini).

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"