Isnin, 20 Jun 2011

DISKUSI ANAK-ANAK CILIK...(Sabtu 19 Jun)

Mukhlisah, membantu saya menunjuk ajar murid yang lemah

“Ya Allah ampunilah dosaku, berilah rahmat kepadaku,
cukupkanlah aku (segala kekuranganku), angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, tunjukkanlah aku {ke jalan yg benar} sejahterakanlah aku dan berikanlah keampunan kepadaku.”
"...ustazah nak tanya kamu...apa maksud "berilah rahmat" kepadaku?" Saya cuba menduga pengetahuan murid setelah selesai menela'ah ungkapan doa di atas.

Beberapa orang murid dari kumpulan yang berjumlah sembilan orang itu melontarkan pelbagai jawapan. Yang pasti semua jawapan adalah salah. Tidak mengapa. Pada saya, yang penting mereka berani mencuba.

"Erm...cuba kamu lihat sekeliling kita. Ada tak kamu nampak orang-orang bukan Islam kaya raya..."

"Ada..."

"Ramaikan?"

Murid-murid mengangguk.

"Itulah Allah...bersifat Maha Pemurah kepada semua hamba-Nya sama ada Islam atau bukan Islam, tapi Allah hanya bersifat belas "Rahmah" kepada hamba-Nya yang Islam sahaja. Sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha agar kita sentiasa beramal baik dalam kehidupan."

"Pada pendapat kamu...orang bukan Islam yang kaya raya ini akan masuk syurga atau neraka?" Seterusnya, soalan mudah saya utarakan.

"Mereka akan masuk neraka." Jawapan yang sudah diagak.

"Haa...itulah untungnya kita orang Islam. Dahlah dikurniakan kekayaan, diberikan "rahmah" pula. Betapa Allah menyayangi kita..belas kasihani akan kita. Jadi kita perlu buat apa yang Allah suruh. Jika miskin kita harus bersabar, jika kaya kita harus bersyukur. InsyaAllah kita akan dapat rahmah Allah."

"OK...Ustazah nak tanya kamu soalan seterusnya...Apakah maksud 'petunjuk'?"

"...jalan yang lurus...ihdinassiratal mustaqim"

Pelbagai jawapan di'utara selatan'kan, namun tiada satu pun jawapan yang tepat. Pada saya, jawapan tersebut sudah cukup baik, sesuai dengan tahap umur mereka-lapan tahun.

"Erm...kita semua orang Islam mahu pergi ke mana?"

"Saya nak pergi ke Kuching..." Jawab satu suara.

"Saya nak pergi ke surau." Satu suara pula menambah jawapan.

"Saya nak pergi ke Sebuyau." Kata pula Mukhlisah dengan muka yang sangat gembira. Gembira menyebut kampung halamannya.

Mukhlisah merupakan seorang murid yang sangat cepat menangkap pelajaran yang diajar. Sebuyau merupakan sebuah daerah di Kuching, tempat kelahiran ibu kepada Mukhlisah, merangkap nenek beliau.

Nampaknya murid-murid masih belum dapat menangkap kehendak soalan saya.

"Ok...macam ni...kalau kamu nak pergi ke Kuching tapi kamu ikut jalan ke Santubong...adakah kamu akan sampai ke Kuching?"

"Takkan sampai..." Lanjut jawapan diberi.

"Sekarang..kamu tengok apa yang Ustazah lukis...kamu teka ke mana kita semua nak pergi..."

Sambil saya melukis...

"Kita semua berapa orang?"

"Sembilan..."

"Sembilan???? Ustazah kamu tak hitung?" Tanya saya, berpura-pura marah.

"Sepuluh"

Saya terus melukis sepuluh orang lidi. Kemudian satu jalan yang lurus dilakari, bertuliskan amal yang baik. Di hujung jalan yang lurus itu saya lukiskan bentuk 'love'. Itu saja lambang 'syurga' yang terlintas di minda saya.

"Kamu tengok...inilah dimaksudkan dengan petunjuk. Amalan baik yang kita lakukan ini merupakan petunjuk dari Allah. Apabila amalan baik dilakukan, disertai dengan rahmah-Nya, akhirnya kita "semua" akan ke sini...Kita semua nak pergi manaaaa..." Saya ulangi lagi soalan yang dilontarkan tadi. Panjang.

"Syurgaaaa...ha ha ha..." Panjang jawapan yang diberikan, disusuli dengan gelak ketawa yang seakan tidak berkesudahan. Yang paling nyata, Mukhlisah tidak dapat menahan tawa, sehingga merah muka beliau yang putih.

Sebagai murid yang 'pintar' Mukhlisah pasti merasa sangat lucu dengan jawapan "Sebuyau, Kuching dan Surau" yang diberikan tadi. Sangat tidak logik!


Lukisan saya yang sangat tidak cantik (melukis bukan kepandaian saya, jauh sekali kepakaran)


Agenda seterusnya bertukar hingar kerana murid-murid tidak dapat menahan gelak tawa. 'Kehingaran' bertukar' menjadi diskusi ceria, aktif dan produktif. Alhamdulillah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Sabtu, 11 Jun 2011

PUASA SUNAT ISRAK MIKRAJ? (ulang siar)

Sebenarnya saya tidak berhasrat untuk menulis mengenai bab ini. Saya berpendapat bahawa kebanyakan umat Islam sedia maklum tentang perkara ini, memandangkan setiap tahun isu ini akan 'berkumandang' sama ada di media cetak mahupun media elektronik.

Bahkan penjelasan dari mulut ke mulut juga tidak terkecuali. Walau bagaimanapun, kita perlu akur bahawa di sebalik penjelasan yang benar, pasti ada kekhilafan jua. Kepalsuan itu jua sering saja melindungi yang sah.


Di sekolah, ada juga rakan setugas bertanya tentang perkara solat sunat 1 Rejab dan puasa sunat israk mikraj. Masih ramai yang tidak tahu sebenarnya. Saya rasa isu ini perlu disebarluaskan agar kita semua, sebagai generasi baru lebih memahami yang benar daripada yang salah.

Saya sebenarnya tidak mempunyai banyak sumber untuk dirujuk mengenai perkara ini. Walau bagaimanapun melalui 'penjelajahan' dari satu blog ke satu blog, saya kira artikel di bawah sangat wajar untuk kita kongsi bersama.

Semoga perkongsian ini dapat memberikan pencerahan kepada kita semua. InsyaAllah, saya akan cuba kemaskini mana yang perlu dari masa ke semasa sebagai rujukan bersama.


Apakah ada kelebihan khusus bagi puasa di bulan Rejab?

Tidak ada kelebihan khusus bagi puasa bulan Rejab selain dari kedudukannya sebagai salah satu dari bulan-bulan Haram yang dinyatakan tadi.

Said bin Jubair r.a. (seorang Tabi’iin) pernah ditanya berkenaan puasa Rejab. Beliau menjawab; Aku telah mendengar Ibnu ‘Abbas r.a. berkata; “Adalah Rasulullah s.a.w. kadang-kadang terus-menerus berpuasa hingga kami menganggap beliau tidak berbuka langsung, dan kadang-kadang beliau terus-menerus berbuka hingga kami menganggap beliau tidak berpuasa langsung” (Riwayat Imam Muslim).

Dengan berdalil hadis dari Ibnu ‘Abbas tersebut, Imam Said bin Jubair ingin menjelaskan kepada kita bahawa hukum berpuasa di bulan Rejab sama seperti berpuasa di bulan-bulan yang lain iaitu tidak ada tegahan dan tidak ada galakan secara khusus. Cuma berpuasa pada asasnya memang digalakkan pada setiap bulan dan lagipun terdapat pula hadis mensunatkan kita berpuasa di bulan-bulan Haram di mana bulan Rejab tergolong di dalamnya.[1]

Kesimpulannya, tidak salah untuk berpuasa pada hari Israk Mikraj, tetapi hendaklah diniatkan berpuasa sunat pada bulan haram. Bukannya berniat berpuasa sunat Israk Mikraj. Wallahu A'lam.

Nota kaki;

[1] Soheh Muslim Bisyarhi an-Nawawi, jil. 8, hlm. 41.

SUMBER: ustazshauqi.blogspot.com

Juga boleh dirujuk di sini.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah