KEHIDUPAN ini tidak selamanya berjalan seperti yang
kita harapkan. Sekali kita mujur, sekali kita kecewa, sekali kita rehat
dan sekali kita bekerja.
Seorang pemuda, seorang penuntut ilmu dan seorang remaja juga mengalami
hal yang sama. Malah semua orang juga sama. Seseorang sentiasa
memerlukan nasihat dan bimbingan, baik di kala menemui kesulitan mahupun
ketika dibelenggu persoalan.
Jika situasi anakanda juga demikian, mintalah nasihat daripada mereka
yang berpengalaman terutama ulama yang mendalam ilmunya atau mentelaah
buku-buku tulisan mereka. Di situ anakanda boleh boleh memetik
mutiara-mutiara ilmu dan mengamalkannya.
Ayahanda juga bekalkan mutiara nasihat buat tatapan anakanda. Mudah-mudahan dapat menjadi panduan untuk hari-hari mendatang:
• Badiuzzaman Said Nursi berkata, “Orang yang mengenal dan taat
kepada ALLAH ia akan bahagia meskipun berada dalam penjara. Orang yang
tidak mengenal-NYA akan sengsara meskipun berada dalam istana.”
• Dalam kitab ‘Ayyuhal Walad’ Imam Al-Ghazali Rahimahullah berkata,
“Wahai anakku yang tercinta, engkau juga bertanya tentang ikhlas, maka
ikhlas itu ialah engkau menjadikan segala amalan hanya untuk ALLAH Taala
dan hatimu tidak merasa senang dengan pujian manusia dan dirimu juga
tidak peduli dengan kecaman mereka.”
• Syeikh Sya’rawi Rahimahullah berkata, “ALLAH menciptakan manusia
agar beriman atau kufur kerana DIA ingin kita datang kepada-NYA dengan
kecintaan bukan terpaksa. Maka ALLAH menginginkan hati yang khusyuk
bukan jasmani yang tunduk.”
• Sayyid Qutb berkata, “Kehidupan materialisma yang menggugat dunia
diumpamakan seperti kagumnya anak-anak kecil terhadap pakaian berlukis
dan mainan berwarna-warni.”
Jangan Suka Menunda
Imam Ibnu ‘Athaillah As-Sakandari adalah anak murid kepada Al-Imam Abul
Abbas Al-Marsy. Beliau mempelajari ilmu tasawuf seperti yang diajarkan
oleh Al-Imam Abul Hasan Al-Syaziliy. Beliau juga seorang wali ALLAH,
seorang alim besar dan juga tergolong dalam barisan sasterawan Arab
yang ternama. Beliau berkata, “Penundaanmu terhadap amal hingga ada
waktu luang termasuk kebodohan jiwa.” Ini adalah masalah yang penting
dan kita merasakannya.
Jika ditanya kepada seseorang, “Apakah engkau menelaah kitab?”
Dia akan menjawab, “Tidak ada waktu terluang tapi jika ada kesempatan, insya-ALLAH aku akan menelaah.”
Jika engkau bertanya, “Apakah engkau berwirid?”
Spontan ia menjawab, “Tidak ada kesempatan...”
Inilah situasi hari ini...
Ramai orang menunda amalan sehingga ada waktu lapang untuk
dilaksanakan. Sedangkan tabiat manusia hari ini sentiasa berada dalam
kesibukan. Oleh itu, barang siapa yang menangguhkan amal ukhrawi dan
menunggu sehingga waktu lapang, maka dia tidak akan dapat melakukannya.
Maka, ambillah pengajaran daripada situasi tadi agar dirimu tidak lalai
dan leka serta bersegera melakukan amalan ukhrawi (berzikir, membaca
al-Quran, qiamullail, menuntut ilmu dan lain-lain. Lakukanlah sekarang.
Aturlah jadual harian dan sisihkan sedikit masa untuk amalan akhirat.
Sesungguhnya, memelihara waktu juga sebahagian daripada sunah Rasulullah
s.a.w dan para sahabat.
Daripada Aisyah r.a, beliau berkata, Rasulullah s.a.w bersabda,
amal yang paling dicintai Rasulullah s.a.w adalah amal yang
terus-menerus dilakukan oleh orang yang melaksanakannya. Keluarga
Muhammad itu, apabila melakukan suatu amal, maka mereka sentiasa
menekuninya. - Takhrij as-Sittah
Untuk melaksanakannya tidak memerlukan masa tertentu. Misalnya ketika
melakukan tugasan rutin, jadikan tabiat membaca zikir dan wirid
tertentu. Ketika waktu rehat, isikan pula rohani dengan bacaan
kalamullah.
Tidak mengapa jika tidak banyak tetapi biarlah berterusan. Di samping
menata amalan-amalan wajib yang lain. Seharusnya kita perlu mempunyai
tradisi tertentu yang sesuai dengan keperluan hati dan kehidupan. Paling
penting tidak membebankan diri.
ALLAH tidak membebani seseorang kecuali sesuai dengan kemampuannya. - Surah al-Baqarah: 286
Jika anakanda menemui seseorang yang culas dengan amalan-amalan akhirat
dan jika dia berkata tiada kesempatan untuk melaksanakannya, maka
itulah petanda daripada kebodohan jiwanya yang tidak terdidik.108 Mahukah anakanda menjadi sepertinya?
Enam Pandangan Apabila Ditimpa Sesuatu yang Tidak Diingini
Imam Ibnul Qayyim Al-Jauziyah, pengarang ‘Zadul Ma’ad’ dan ‘Tibbun
Nabawi’ yang masyhur menulis, ada enam pandangan yang muncul terhadap
seorang hamba jika ditimpa sesuatu yang tidak diingini, sebagaimana
berikut:
• Pandangan tentang tauhid. Iaitu apa yang dikehendaki ALLAH pasti
berlaku dan apa yang tidak DIA kehendaki pasti tidak akan menimpa.
• Pandangan tentang keadilan. Bahawa hukum-hukum-NYA pasti terlaksana dan keputusan-NYA adalah adil.
• Pandangan tentang rahmat. Iaitu rahmat ALLAH pada ketetapan-NYA itu lebih besar daripada murka dan kebencian-NYA.
• Pandangan tentang hikmah. Iaitu hikmah kebijaksanaan ALLAH
menuntut sesuatu hal dan DIA tidak menetapkan dan mentakdirkannya dalam
keadaan sia-sia.
• Pandangan tentang tahmid (pujian). Iaitu bagi ALLAH segenap pujian yang sempurna atas ketetapan-NYA itu.
• Pandangan tentang ubudiyah. Iaitu hamba yang diberi cubaan adalah
ketetapan daripada-NYA. Sebagaimana ketetapan hukum syariat yang tidak
boleh dilanggari.
Orang yang Berpegang kepada Tauhid Tidak Takut Terhadap Sesuatu pun
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi menulis di dalam kitabnya ‘Haqiqatuttauhid’,
“Berpegang dengan tauhid dan akidah yang teguh menjadikan roh menjadi
semakin kuat. Ini kerana jiwanya telah diisi dengan pergantungan kepada
ALLAH, diisi dengan kepercayaan dan tawakal kepada-NYA, rela dengan
qadak dan sabar dengan ujian-NYA.
Akidah yang kuat memberi ketenangan dan kedamaian ke dalam jiwa manusia
yang beriman. Jiwa itu tidak akan dimasuki oleh tindakan
sewenang-wenangnya. Ia menutup pintu ketakutan yang telah dibuka oleh
manusia itu sendiri.
Takut tentang rezeki, takut terhadap ajal, takut terhadap diri sendiri,
keluarga dan anak, takutkan manusia lain, takut kepada jin, takutkan
kematian dan takut daripada kebangkitan setelah kematian. Orang mukmin
yang bertauhid dan mempunyai akidah yang kuat tidak akan berasa takut
kepada siapapun, kecuali kepada ALLAH.”109
Hasrat Hawa Nafsu dan Maksiat Tidak Boleh Diatasi Dengan Kata-Kata Sahaja
Dalam buku yang berjudul ‘Tarbiyatuna Ar-Ruhiyyah’, Syeikh Said Hawwa’
menyatakan, “Pelbagai jenis ibadat dan pendekatan diri kepada ALLAH
mengandungi hikmah tertentu, dan dengan hikmah itulah kehidupan manusia
menjadi baik. Setiap keadaan rohani yang sakit tentulah ada penawarnya
dan setiap rohani yang sihat memiliki jalan dan banyak faktor yang
mendokong.
Kederhakaan, keinginan hawa nafsu dan maksiat tidak cukup diatasi
dengan kata-kata sahaja tetapi harus dengan ilmu, amal atau tindakan,
keimanan, takwa, tunduk, warak dan suasana kalbu yang meresap kepada
ALLAH. Semua ini ada dalam pelajaran tazkiyatun nafsi atau penyucian jiwa. Juga disebut sebagai pelajaran tasawuf.”
Amal soleh, perlaksanaan ibadat dan ajaran Islam itu mempengaruhi
kepada bercahayanya kalbu. Selain itu, iman juga akan bertambah dan
grafnya amat sukar untuk turun. Sehingga akhirnya hati kita mampu
mencapai tahap ihsan. Lakukanlah tanpa henti.
Hakikatnya ubudiyah kita kepada ALLAH akan menghasilkan iman yang
mantap, kukuh serta sentiasa berakar di dalam hati. ALLAH S.W.T
mensyariatkan kewajipan yang pelbagai kepada hamba-NYA untuk mereka
beramal.
Ini kerana hati manusia memerlukan kurnia spiritual yang banyak.
Fitrahnya, manusia itu musuh syaitan. Maka dengan amal solehlah menjadi
benteng untuk mempertahankan diri daripadanya. Laksanakanlah ia. Buang
jauh-jauh perasaan malasmu itu. Sesungguhnya hanya orang yang berusaha
yang memperolehi hasilnya. Biar kita rugi di sini, jangan pula muflis di
akhirat kelak.
SUMBER:
Anakku Hidup Sekali Biar Bererti: Nasihat Iman dan WasiatAnuwar Nursi
"Hidup Ini Indah jika Segalanya kerana ALLAH"