Badan yang kelemahan pula sudah tidak sabar mahu direbahkan ke tilam.
"Siapa!!!"
Saya hanya berani bersoal siasat dari dalam rumah. Demi keselamatan.
"Siapa tu..."
Saya ulang tanya.
Bukalah pintu sekejap,ustazah.
"siapa.."
saya tanya lagi walau hati seakan dapat meneka.
"Abu!!! Bukalah pintu!!!."
Agakan saya tepat rupanya. Lalu, saya sarungkan pakaian yang sesuai,
tanpa lengah membuka kembali pintu yang sudah dikunci mati.
sayugia pintu dibuka, bergegas Si Abu meluru ke pintu.
"Eh,awak ni kenapa...kena marah dek ayah?"
Sayu pula saya lihat esakan bertemali Abu. Anggukannya menambah gandakan lagi tanda tanya di hati.
"Ustazah, jangan telefon ayah saya." Abu merayu kesedihan,tapi agak tegas.
Saya angguk,setuju. 100% . Perjanjian terpatri.
"Erm...awak datang sini jalan kaki?"
Saya tanya juga walau jawapannya sudah pasti di hati. Sebab,saya tak
nampak sama ada basikal atau motorsikal. Bunyi motosikal...apatah lagi.
Tanda tanya masih tertunggak. Malam buta,bisu begini berani pula
berjalan kaki ke rumah saya. Agak saya mengambil masa dalam 10 mijit
juga.Kalau sudah tekad, begitulah.
"Abu, ustazah minta
maaf...ustazah tak boleh ajak awak masuk rumah. Awak kena faham...awak
lelaki.
Kalau awak perempuan takde masalah.Tidur kat sini pun tiada
masalah"
Abu mengangguk faham. Usia 11 tahun tiada masalah
baginya untuk memahami asas ikhtilat. Sebelum ini pun, kerap juga kami
berbicara santai dalam bilik darjah tentang ikhtilat.
Erm...saya tarik nafas..."sebab apa sebenarnya...kenapa ayah awak marah?"
Abu diam seketika. Sedang memintal jawapan...barangkali.
Saya selalu bercerita tentang emak rohimaha Allah, dari mula sampai
kembalinya al-marhumah ke pangkuan Ilahi. Tapi, ini tidak bermakna saya
melupai ayah tapi al-marhumah emak banyak mempengaruhi kehidupan saya,
bahkan wajah saya juga banyak mirip al-marhumah.
Walaupun
begitu, saya tetap menyanjung tinggi pengorbanan, kasih sayang ayah
terhadap diri saya anaknya. Ayah, walaupun tidak pernah bersekolah,
seorang yang buta huruf, beliau tetap mahukan anaknya menjejak ilmu
setinggi yang boleh.
Pernah satu ketika, apabila mendengar berita yang saya akan menaiki
tangga universiti (UKM), ayah termenung panjang di tepi sungai
memikirkan di mana harus dicari sejumlah wang bagi menampung
perbelanjaan saya. Ayah tidak melahirkan walau sepatah kata pun yang
boleh menggugah perasaan saya, anaknya yang begitu ghairah mahu
mengecapi cita. Bahkan ayah menjauh seketika ke pinggir sungai di
pinggir kampung, menenangkan hati bagi mencari solusi, mencari ikhtiar
agar cita-cita anaknya tercapai juga. Riak sedih langsung tidak diukir di depan
saya.
Akhir-akhir ini kesihatan ayah agak tidak stabil. Rasa
risau seringkali menjenguk hati. Pada satu ketika, saya terpaksa
mementingkan diri sendiri, mengutamakan ayah lebih dari segalanya
(selepas ALLAH), saya sanggup dimarahi kerana ayah. Petang tadi,
meninggalkan ayah seketika di kampung halaman, bagi meneruskan
tanggungjawab sebagai pendidik. Hati terasa sangat sayu bila teringatkan
lambaian tangan ayah tanda merestui pemergianku adalah kerana ILAHI.
Ah...sebenarnya, banyak lagi kata-kata yang mahu saya pintal tentang
ayah, namun masa tidak membenarkan buat masa ini. InsyaAllah di ketika
yang tenang dan damai saya mahu menulis lagi tentang ayah agar ianya
menjadi tenunan cinta dari saya buat ayah, betapa besarnya pengorbanan
seorang ayah dalam hidup saya.
Watak (bukan nama sebenar): Ali, Hadi, Guru Bahasa Arab.
Lokasi: Kelas 4 Umar.
Hadi: Awak curi barang saya
Ali: Mana ada saya curi Hadi: Awak yang curi...
Ali: Saya tak curi pun
Guru:( Sambil ambil 2 batang kapur, dan meletakkannya di atas meja berhadapan Hadi dan Ali)
Ali, cuba awak ambil kapur ni.
Ali menurut, ambil 2 kapur yang saya letakkan. Hadi hanya memandang sahaja.
Guru: Ok Hadi, awak tahu tak siapa ambil kapur yang ustazah letak atas meja tadi.
Hadi: Ali yang ambik.
Guru: Ok, Awak boleh kata yang Ali ambik sebab awak sendiri nampak yang
Ali ambil kapur tadi. Awak tuduh Ali 'curi' barang awak. Awak nampak ke
yang Ali ambik?
Sabasun, pasaraya yang paling popular buat masa ini. Sebelum cerita kepopularan pasaraya ini berkembang biak di seluruh pelusuk dunia pada dan maya, saya juga pernah menulis artikel berkenaan pasaraya tersebut. Artikel ini saya tulis pada 12 Ogos yang lalu, tanpa mengaitkannya dengan kisah-kisah politik. Ianya sekadar berkongsi pengalaman dengan rakan-rakan FB. Saya 'up' kembali penulisan ini buat tatapan rakan-rakan blogging, jika ada kebaikan manfaatkanlah, jika sebaliknya kesampingkan sahaja ia.
Semalam telah berlaku satu sejarah
kepada saya di pasaraya yang paling saya gemari.
Sabasun, singkatan dari 'Sabar Sungguh', boleh
dikatakan menyediakan barang keperluan pelanggan, pasaraya yang mengutamakan
Islam, serta perjuangan Islam yang sebenar, diusahakan
oleh orang Islam yang berimu Islam, pekerja pula 100% Islam.
Memasuki pasaraya ini, hati terasa sangat tenang
kerana telinga kita dihiburkan dengan alunan ayat-ayat al-Qur'an, zikir-zikir.
Azan pula berkumandang apabila tibanya waktu solat, untuk mengingatkan para
pelanggan dan pekerja tentang kepentingan solat. Mata pula dihidangkan dengan
skrin ayat al-Qur'an, hadis-hadis serta tazkirah ruhani.
Di sana sini, bendera Palestin bergantungan.Melihat
perawakan pekerja juga, amat menyejukkan hati memandang. Pakaian para pekerja
yang disediakan (terutamanya wanita) menutup aurat dengan baik. Terjatuh hati
bila melihat tulisan poster melekat pada kaunter bayaran lebih kurang bunyinya
"TIDAK DIBENARKAN PEKERJA WANITA DAN LELAKI BERDUA-DUAAN DALAM SATU
KAUNTER".
Oppss...dah melalut, dapat promosi percuma pula
pasaraya ini. Semalam, sebenarnya saya ke pasaraya Sabasun, membelek-belek
barangan kaca. Tiba-tiba satu barang yang balutan kotaknya tidak kemas, jatuh
berderai pecah apabila saya cuba untuk membukanya. Hati tidaklah berdebar
kerana harga barang masih mampu untuk 'dibayar ganti rugi'. Ringkas cerita,
apabila bersedia untuk membuat bayaran, staf pasaraya cakap: "Tak payah
bayar, Kak...kat sini memang macam tu"
Alhamdulillah, masih banyak sebenarnya wujudnya
perniagaan sebegini. Saya doakan agar perniagaan Sabasun terus maju, di bawah
Redha ILAHI.
Jom, beli barang dapur kat Sabasun...halaalan
thoiyyiban...
"Kenapa menangis ni" Tanya saya kepada tiga orang murid, yang datang ke meja saya. Ketika itu saya sedang sibuk menyiapkan beberapa kerja akhir sebelum memulakan 'cuti' hujung tahun.
Saya hentikan sementara kerja saya, lantas melihat ketiga-tiga murid tersebut. Murid tahun enam, dari 6 Othman. Oh, melihat muka mereka sahaja saya sudah faham.
"Erm, macamana dengan 'result' UPSR"? Tanya saya sekadar berbasa basi, mahu memecahkan suasana sahaja.
Tapi mereka bertiga masih teresak-esak sebelum seorang demi seorang memberitahu keputusan masing-masing.
"Jangan bersedih, hanya kerana kamu tak dapat A. Tidak semestinya kamu tak dapat A kamu tak berjaya. Di sekolah menengah nanti, kamu boleh teruskan usaha kamu, belajar bersungguh-sungguh...buktikan kepada semua yang kamu mampu berjaya walaupun tanpa A dalam UPSR."
Saya tarik nafas perlahan, sebelum meneruskan lagi butir bicara.
"Ustazah doakan, agar kamu semua berjaya...yang penting kamu jadi diri kamu, jangan terpengaruh dengan keadaan sesekeliling. Kat luar sana, banyak pengaruh negatif, usah dilayan. Yang penting kamu jaga adab kamu, jaga solat, tutup aurat...Kalau kat sekolah tutup aurat, kat luar pun kena tutup aurat..."
Keadaan sudah reda, mungkin mereka memerlukan penyejuk tatkala kesedihan menyapa hati. Mereka mungkin tidak tahu di manakah arah mereka setelah slip keputusan sudah di tangan.
"Okey, dah...jangan sedih-sedih lagi..." Saya menutup bicara sambil merenung satu persatu wajah mereka. Salah seorangnya Aisyah yang saya kagumi. Ya, Aisyah bukanlah murid yang cemerlang dalam akademik, tetapi sifat dan adabnya saya kagumi. Solat sentiasa dijaga. Selalu juga beliau minta saya bercerita kisah nabi semasa proses pengajaran dan pembelajaran.
Ah, saya kasihan apabila mengingatkan mereka bertiga. Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan seakan-akan telah menyerap dalam pemikiran mereka, seolah-olah keputusan UPSR yang dicapai itu adalah segala-galanya, kehidupan mereka seperti sudah tidak bermakna lagi.
Sehingga kini, hati saya masih tertanya-tanya siapakah yang bersalah dalam hal ini. Bukan mahu cari salah sesiapa, tapi kita semua harus berfikir dan mencari jalan penyelesaian demi kebaikan semua.
Saya hanya punya kurang 30 minit untuk berwudhuk dan bersolat Asar. Selepas itu saya perlu melangsaikan amanah terhadap anak didik di Tahun 3 Cemerlang. Hari Selasa jadual hampir penuh. Masa 'free' hanya cukup-cukup untuk berwudhuk dan solat.
"Cikgu, saya nak tanya ni..."
Bibik Julia berketurunan Jawa merupakan salah seorang 'cleaner' di sekolah tempat saya menabur bakti.
"Tanya ape ye."
"Boleh tak kalau kita tak solat zohor sekarang, qadha' pada waktu Asar nanti..." Bibik Julia mohon kepastian.
"Maksud bibik?"
"Macam ni, bibik tak solat zohor sekarang sebab kotor. Balik rumah nanti bibik solat lah. Bibik solat asar dulu, lepas tu bibik terus qadha' solat zohor. Bibik ni kerja bersih membersih...tak yakin. Tengok ni...bibik masuk tandas. Kan ke kotor ni..."
"Saya pun masuk tandas juga bik." Dalam keadaan terburu-buru saya perlu juga melayan soalan bibik, atas dasar menghormatinya sebagai yang lebih tua. Lagipun soalan yang dilontarkan berkaitan dengan kewajipan khusus terhadap Allah taala.
"Selagi tiada najis pada badan, pakaian dan tempat solat tiada masalah untuk kita bersolat." Penerangan disambung seringkas mungkin.
"Oh..." Bibik Julia mengangguk tanda faham.
"Tak boleh qadha' ke cikgu?"
"Solat diperintahkan oleh Allah untuk mengerjakannya secara tunai...melainkan kalau kita ter..."
"...tertidur, terlupa..." Sambung bibik tanpa sempat saya menghabiskan ayat terakhir.
Alhamdulillah bibik sudah faham sebenarnya. Mungkin disebabkan senario kebiasaan mengqadha' solat tanpa sebab yang kukuh di sini menyebabkan ramai yang jadi keliru tentang kewajipan tersebut.
Mungkin hati bibik terbuka untuk bertanya apabila melihat saya dan beberapa orang rakan sekerja sering mengejar waktu solat dalam masa yang begitu semput. Moga dakwah bil hal ini dapat mencerahkan minda yang berfikiran sedemikian.
Hari ini sudah masuk 21 Ramadhan, bermakna tinggal lagi 9 hari kita akan meraikan Syawal. Terlalu sekejap rasanya Ramadhan dilalui, tidak terasa. Berbeza dengan zaman kanak-kanak dulu. Masanya amat panjang. Kelesuan amat terasa. Tapi Ramadhan yang dilalui kini begitu me'relax'kan. Cuaca tidak terlalu panas, bahkan Bumi Kuching ini sering dibasahi hujan. Keletihan...kelaparan... langsung tidak terasa, cuma Ramadhan kali ini telah membawa saya untuk muhasabah diri. Ini kerana Ramadhan yang datang telah menguji diri. Ujian yang menimpa ini tidak pernah terduga sama sekali.
Imbas kembali... 8 Ramadhan yang lalu saya telah pergi ke Pasar Satok untuk mengambil set rantai dan gelang kristal pesanan seorang teman. Oleh kerana telah berjanji saya paksakan diri untuk ke sana walaupun perasaan 'nak tak nak' lebih menguasai hati. Alang-alang ke sana saya singgah sebentar di Bazar Ramadhan untuk membeli nasi kerabu ' special.' Sudah lama mengidami nasi kerabu tersebut, cuma keadaan tidak mengizinkan untuk mendapatkan segera. Alhamdulillah dapat juga saya berbuka dengan nasi kerabu nanti.
Selepas mendapat apa yang dihajati, saya terus memandu pulang. Di pertengahan jalan, hujan turun dengan lebatnya. Saya berhati-hati memandu pulang. Saya melihat hadapan jalan, saya lihat sebuah Kenari berhenti dan memberikan 'signal' untuk membelok ke simpang kanan. Kaki saya terus menekan break, tapi semakin kuat break di tekan semakin laju kereta meluncur, dan tiba-tiba ...Dum...Ya Allah, bukan break yang ditekan, sebaliknya saya tertekan minyak, saya di luar kawalan lalu cuba mengelak dengan memusing stering ke kiri. Tapi kuasa Allah itu mengatasi segalanya, kenari tersebut disondol juga oleh kereta saya.
Saya terpaku seketika. Tak tahu apa yang perlu dilakukan, lantas mata menoleh ke kanan untuk melihat pemandu kenari. "Alhamdulillah, perempuan...bertudung.." Bisik hati saya. Saya kira masalah pertama saya sudah selesai. Saya cukup takut sekiranya kereta yang saya langgar tadi milik lelaki, dan lebih takut seandainya milik lelaki bertatu atau bukan Islam. Besar kemungkinan saya akan ditimpa masalah kedua. Lega hati ini.
Saya terus menunggu di dalam kereta. Tidak tahu siapa yang perlu dihubungi untuk meminta pertolongan. Bukannya tiada teman yang sudi tolong kalau dihubungi, tapi kejadian yang terlalu pantas berlaku ini menyebabkan fikiran saya menjadi buntu...'blur' seketika. Agaknya inilah masalahnya apabila berjauhan dari keluarga. Masalah terpaksa diharungi keseorangan. Sendirian... Setelah sekian lama menunggu, saya keluar dari kereta untuk menyelesaikan masalah yang berlaku. Saya berjumpa dengan pemilik Kenari, lalu memohon maaf atas apa yang berlaku. Alhamdulillah, satu masalah selesai. Pemilik kenari pada kiraan saya seorang yang agak berhemah.
Seterusnya kami terus berbincang untuk menyelesaikan masalah ini. Oleh kerana saya melanggar dari belakang, saya dikira bersalah. Beberapa orang yang berada di situ turut memberi pendapat...Sejenak saya berfikir... buntu untuk membuat keputusan kerana tiada sesiapa bersama saya ketika itu..lalu saya menghubungi abang di kampung. Keputusan dibuat, kejadian ini akan dipanjangkan ke balai polis. Masalah kedua selesai.
Masalah ketiga pula menunggu. Macamana pula saya nak memandu kereta yang telah 'cacat' ke balai polis yang letaknya di Simpang Tiga. Agak jauh kedudukannya, ditambah dengan 'kejahilan' saya tentang selok belok jalan ke sana. Itulah kelemahan saya...lambat 'pick up' jalan. Hujan pula masih tidak berhenti, renyai-renyai... seolah-olah turut bersimpati terhadap apa yang telah menimpa diri saya. Fikiran ini mulai berputar ligat, lalu saya meminta seorang Pakcik untuk membantu saya ke balai polis. Alhamdulillah dengan rela hati dia bersedia membantu. Pakcik Majid namanya. Saya terpaksa meminta pertolongan beliau, memandangkan tiada siapa yang boleh membantu ketika itu.. dharurat ...Saya harap keputusan yang dibuat ini tidak melanggar hukum-Nya.
"Pakcik orang mana?" Tanya saya kepada Pakcik Majid ketika dalam perjalanan ke balai polis. Saya cuba memecah kesunyian, agar kejanggalan kurang terasa. "Kolong." Jawabnya sepatah. Mungkin hendak menumpukan perhatian kepada pemanduannya. Bila disebut tempat tersebut, lalu ingatan saya tertumpu kepada Pak Haji yang saya anggap seperti bapa angkat. Selama saya berkelana di Bumi Sarawak sejak tahun 2005, sudah banyak bantuan yang saya terima daripada Pak Haji. Antaranya menghantar saya berulang alik ke sekolah dan tempat lain seperti ke pejabat pos, bank ...hatta pergi membeli belah sekalipun.
Saya terpaksa menggunakan khidmat van sapu Pak Haji untuk kemana-mana kerana ketika itu saya belum mempunyai kereta sendiri. Kereta yang digunakan sekarang belum mencecah dua tahun umurnya, hari ini telah ditimpa 'kesakitan'. Nak buat macamana, kejadian ini suatu ketetapan dari Yang Maha Kuasa. Tak dapat tidak harus meredhainya.
"Erm...Pakcik keje kat mana?" Tanya saya lagi. "Keje kat Kebajikan Sosial." Jawab Pakcik Majid. " Ooo...patutlah suka tolong orang." Ulas saya. Pakcik Majid tersenyum. Kata Pakcik Majid dia dah biasa tolong orang dalam kesusahan, seperti kemalangan. "Tak kira siapa ... cina pun saya tolong". Kata beliau. Seterusnya Pakcik Majid bercerita tentang bidang kerjanya. Walaupun sekadar berbasa basi banyak juga pengajaran yang didapati daripada cerita beliau. Perbualan kami juga ada menyentuh tentang Pak Haji, nampaknya dia kenal dengan Pak Haji. Senang sikit hati saya. Bukan apa, senang untuk saya merujuk sekiranya berlaku apa-apa masalah yang berlanjutan selepas ini. Wal'i'yazubillah...
Sampai di balai polis, laporan terus dibuat. Seterusnya saya diwawancara oleh seorang sarjan bagi memudahkan proses tuntutan insurans.
"Mintak maaf cikgu, saya terpaksa kompaun cikgu..300... Ini memang prosedur." Kata Sarjan Manggie sambil menghulurkan salinan kompaun kepada saya. "Takpe, saya tak kisah...memang salah saya." Jawab saya sambil tersenyum.
"Tapi cikgu boleh jumpa bos untuk mintak diskaun saman. Cikgu cuba datang minggu depan. Kot-kot bos ada. Susah nak jumpa dia, tapi cubalah, mana tahu dia ada.." Saran sarjan tersebut, simpati terhadap nasib saya. "Ok...terima kasih" Jawab saya, lalu meminta diri.
Saya terus keluar dari balai polis untuk melihat keadaan 'budak biru' . Saya dapati "budak biru" .(Erm, budak biru ni gelaran yang diberi oleh Pak Haji kepada kereta saya.) telah digantung pada kren untuk ditarik ke bengkel. Sedih juga hati saya melihat keadaan tersebut. Maklumlah selama ini 'dia' tidak pernah berpisah dengan saya kecuali bila saya balik Terengganu. Apa boleh buat, sudah takdir. Seterusnya, barang-barang saya dipunggah dari kereta dan dipindahkan ke kereta pemilik wakil bengkel. Saya dan Pakcik Majid menumpang kereta tersebut ke tempat kejadian. "Nanti saya tolong hantar cikgu ke rumah." Kata Pakcik Majid. Saya hanya mengangguk.
Dipendekkan cerita, saya sampai di rumah lebih kurang 6.30 petang. Sudah hampir waktu sungkei (sungkei maksudnya berbuka, istilah orang Sarawak). Masih tinggal lebih kurang 15 minit je lagi untuk saya menunaikan hutang yang belum terlangsai. Alhamdulillah, lega hati ini apabila solat asar sempat ditunaikan walaupun terlewat. Harap Allah menerima solat saya dalam waktu yang amat runcing ini. Tak lama selepas itu azan berkumandang. Saya nikmati kesedapan nasi kerabu keseorangan kerana rakan serumah masih bercuti di kampung. "Alhamdulillah, kenyang ...." Masalah tetap masalah ...makan tetap makan..." Detik hati saya.
Bagi saya kehidupan perlu dilalui seperti biasa walau apapun masalah yang melanda. Yang berlaku, tetap berlaku. Anggaplah apa yang berlaku itu sebagai satu ujian dari-Nya. Mungkin Allah mahu menguji ketabahan, kesabaran dan kecekalan saya dalam menghadapi ujian ini. Allah tidak akan menguji hamba-Nya jika kita tidak kuat menghadapinya. Pasti ada hikmah yang tersurat dan tersirat di sebalik apa yang berlaku itu. Yang pasti kemalangan yang menimpa ini memberikan banyak pengalaman-pengajaran dalam hidup saya. InsyaAllah, akan saya kongsikan pengajaran-pengalaman ini dalam bicara akan datang. Hingga ketemu lagi. Wassalam.
Suatu hari setelah selesai mengadakan Program Kem Literasi al-Qur’an (KELAQ) di sekolah, saya terus ke Pasar Matang Jaya untuk membeli barang dapur. Inilah rutin saya hujung minggu. Kalau tak saya, rakan serumah yang belikan. Setelah sampai di pasar, saya melilau-lilau mencari gerai ayam. Sebenarnya gerai ayam tak susah untuk dicari, tapi gerai ayam halal yang agak sukar kerana saya tidak pernah mendapatkan stok ayam di sini.
Saya teringat pesan rakan saya. “Beli ayam kat tempat Pakcik yang pakai kopiah.” Pakcik yang dimaksudkan tidak saya temui. Lalu, saya berhenti di satu gerai seorang pakcik, sambil mata melihat-lihat ayam di atas gerainya. “Ayam ni tak halal, pergi beli kat depan”. Tiba-tiba saya mendengar suara ‘pakcik gerai itu’.
Alhamdulillah saya bersyukur kerana terselamat daripada terbeli ayam tak halal.Saya cukup jaga bab makan minum ni. Saya rela telan air liur tengok orang makan daripada makan sesuatu yang tidak pasti ke'halalan’nya. Bukankahantara yang halal dan haram itu ‘halam’ . Syubhah maksud saya, adik-beradik was-was.
“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.”
(al-Mu’minun: 51)
Rasulullah (S.A.W) telah bersabda:
"Sesungguhnya yang halal itu nyata, dan yang haram itu pun nyata, dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran (syubhah), sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. ." (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)
Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kita agar mendapatkan menu yang baik, iaitu halal, suci danbaik pengendaliannya. Melalui pemakanan yang baik amal soleh akan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya. Manakala hadis ini pula menjelaskan bahawa syubhah merupakan perkara yang tidak diketahui ramai. Sekiranya kita membuat keputusan untuk menjauhi diri dan meninggalkan perkara yang syubhah sama ada dalam keadaan tidak mengetahui atau was-was akan sesuatu perkara tersebut, kita telah pun memelihara agama Islam dan kehormatan diri kita.
Berbalik kepada cerita tadi, sebenarnya saya tak pernah beli pun ayam di pasar tersebut, sebaliknyaselalu beli di Desaraya. Desaraya merupakan kedai yang dimiliki oleh orang Islam berketurunan Jawa. Status ayam di sini ‘confirm halal’. Dulu rumah sewa yang saya duduki berdekatan denganDesaraya, tetapi setelah berpindah rumah jarak kedai tersebut dengan rumah saya semakin jauh. Sebaliknya rumah saya lebih dekat dengan Matang Jaya pula. Itulah sebabnya saya cuba untuk mendapatkan ayam di situ. Ditambah pula dengan keletihan mengadakan program KELAQ menyebabkansaya jadi malas untuk pergi ke Desaraya. Tanpa disangka itu yang terjadi. Lalu, tanpa menghiraukan keletihan, saya terus memandu ke Desaraya. Jauh sikit tak mengapa, janji puas hati.
Sebenarnya, jika kita tahu menjaga diri kita, Allah pasti akan lebih jaga diri kita. Saya sangat berterima kasih kepada Pakcik Gerai tadi kerana memberitahu saya tentang status ayam tersebut. Kalau tidak kerana sensitivitinya, sudah pasti tekak saya telah dimasuki oleh rendang ayam tak halal.Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah yang telah menggerakkan hati Pakcik Gerai tadi. Walaupun dia bukan Islam, dia faham kehendak Islam. Saya tidak pasti apa status agama dan bangsanya, sebab di sini terlalu banyak suku kaum sama ada iban, bidayuh, melanau dan sebagainya. Kadang-kadangnama mereka pun ada persamaan dengan nama kita yang beragama Islam. Setakat ni saya pernah jumpa Norani, Musa, Ahmad dan macam-macam lagi. Saya sangkakan mereka ini beragama Islam, rupanya bukan. Persamaan ini seringkali mengelirukan saya. Alangkah bagusnya, kalau semua non-muslimsensivitinya sama dengan Pakcik Gerai tadi.
Saya teringat cerita rakan sekerja saya. Suatu hari rakan saya pergi ke sebuah kedai. Dia tanya tuan punya kedai tersebut “Kat mana beli ayam ni?” Tuan punya kedai tu jawab “Dari cina lah” Kenapa tak beli dengan orang kita?” Kawan saya tanya lagi. “Susah la…dah memang ambik dari nya (Orang Sarawak menggunakan istilah ‘nya’ bermaksud ‘dia’.), susah nakcari ‘suplier’ lain.” Ujar tuan punya kedai itu lagi. Untuk pengetahuan, tuan punya kedai tersebut merupakan seorang muslim, asalnya Chinese, berkahwin dengan muslim, bertudung, suaminya berkopiah.
Kesian saya kepada saudara-saudara Islam kita yang telah membeli ayam di situ. Saya teringat kawan-kawan saya pun ada yang mendapatkan ayam di kedai tersebut. Mereka kebanyakannya ustaz-ustazah. Inilah akibatnya orang Islam sendiri tidak menjaga kebajikan saudara seagamanya sendiri. Hanya mengharapkan keuntungan semata-mata. Halal haram ditolak ke tepi. Saya hanya sekadar berdoa agar tuan punya kedai tersebut dibukakan pintu hatinya oleh Allah agar mendapatkan ayam halal suatu hari nanti. “Ya Allah 'Iman Peringkat Ketiga' lagi yang saya gunakan.” Detik hati kecil saya. Apalah daya saya untuk menggunakan lisan bagi menyesaikan masalah ini. Ringkasnya sikap tuan punya kedai bertentangan dengan sikapPakcik Gerai. Kalau bukan Islam boleh bersikap begitu, orang Islam lebih-lebih lagi sepatutnya. Malangnya keadaan yang sebaliknya berlaku. Sama-sama kita renungkan.
Alhamdulillah, saya tidak pernah beli ayam di kedai tersebut. Walaupun sayamerupakan salah seorang daripada pelanggan mereka, tetapi hanya barang-barang kering sahaja yang saya dapatkan di situ. Sebelum ni, walaupun telah diberitahu oleh beberapa rakan, bahawa ayam di situ halal tetapihati saya tetap was-was.Biasanyakalau hati saya was-was, was-was itu akan menyelamatkan diri saya. Alhamdulillah gerak hati saya setakat ini terlalu jarang mengecewakan.
Menyentuh mengenai hal-hal penjagaan makan minum, saya amat bersyukur kerana telah dididik oleh Puan Zaimah yangbersikap agak cerewet dalam bab ini. Siapa Puan Zaimah? Siapa lagi kalau bukanibu saya. Ibu saya seorang yang sangat menjaga pemakanannya,terlalu berhati-hati dalam pengambilan makanan supaya apa yang dimakan itu halal lagi baik. Apa-apa sahaja peralatan yang digunakan untuk memasak mesti dibasuhterlebih dahulu. Contohnya kuali walaupun telah dibasuh dan ditelangkupkan setelah digunakan, tetapi apabila hendak digunakan lagi pada waktu atau hari yang lain, ianya perlu dibasuh sekali lagi. “Basuh sekalilalu aje. Mana la tau kut-kut ada lipas, cicak yang lalu ke…” Kata ibu saya.
Ibu saya juga terlalu susah untuk membeli makanan di luar. Kebanyakan makanan dimasak sendiri. Lebih terjamin kesucian dan mutunya. Cerewet ke? Bagi saya lebih baik kita tersalah cerewet daripada tersalah ambil mudah. Teringat saya waktu zaman kanak-kanak dulu. Apabila teringin makan magee, saya akan tunggu waktu ibu saya tiada di rumah. Setelah selesai magee dimasak, saya akan pastikan periuk dibasuh sebersih-bersihnya supaya hilang bau rempah magee pada periuk tersebut. Plastik pembungkus magee pula saya bakar supaya ibu saya tidak tahu yang saya makan magee. Ibu saya sebenarnya cukup pantang dengan magee. Baginya, bau magee memeningkan kepala. Lagipun makanan tersebut tiada khasiat.
Kenapa perlu jaga pemakanan? Bukankah segala benda yang memasuki kerongkong kita akan menjadi darah daging kita. Apa yang dimakan oleh kita juga akan menentukan baik buruk perangai kita. Sebab itu para ibu mengandung digalakkan menjaga pemakanan. Bukan sahaja untuk kesihatan si ibu, tetapi juga untuk bayi dalam kandungan. Bukan setakat kesihatan jasmani tetapi juga untuk kesihatan rohani . Rohani kita perlu dihidangkan dengan menu yang berkhasiat, agar akhlak berkhasiat juga dapat dibentuk. Akhlak yang dibentuk ini diharapkan berkhasiat kepada pembangunan insan. Bukan setakat berkhasiat di dunia, tetapi berkhasiat jua juga di akhirat.Doa dan harapan saya agar anak-anak didik saya termasuk dalam kategori insan berkhasiat dari sudut jasmani dan juga fizikal. Alangkah bahagianya hati ini sekiranya doa dan harapan ini dimakbulkan Allah. Ameen Ya Rabbal Alameen.Sama-sama kita mendoakannya.
“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan di akhirat jua kebaikan, dan jauhilah kami dari azab neraka.”
Setakat ini dulutulisan yang tidak seberapa dari saya yang masih terlalu baru dalam dunia ‘blogging’. Segala kekurangan mohon dimaafi, terutama dalam penukilan matan hadis. Walau bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik.Kritikan membina amat dialu-alukan. Jumpa lagi , Wassalam.