Jumaat, 12 Julai 2013

SEAWAL MANAKAH ANAK BOLEH MULA BERPUASA

"Bila saya baca artikel di bawah di laman http://drmuna.wordpress.com/ , saya rasakan ianya wajar dikongsi bila mana, saya sering berhadapan dengan persoalan ini dari kalangan para sahabat dan kaum keluarga. Saya juga, sering merasa simpati terhadap anak-anak yang dipaksa berpuasa seawal usia 4 atau 5 tahun, sehingga permohonan anak mahu berbuka awal diketepikan demi mahu memuaskan hati sendiri.

Ini kerana, ada dalam kalangan ibubapa merasa bangga apabila anak mereka mampu berpuasa sempurna, sekalipun kesempurnaan itu diiringi dengan paksaan dari ibubapa, bahkan ada juga bapa menunjuk-nunjuk akan kejayaan tersebut.

Di sini, saya tidak nafikan akan kemampuan anak-anak yang  berusia sekitar 4-5 tahun berpuasa, tetapi bagi anak-anak yang tidak berkemampuan perlukah kita paksa? Kenapa ibadat solat tidak digalakkan, sebaliknya puasa pula dipaksa? Fikir-fikirkan...Mari kita hadam artikel di bawah, mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar darinya. InsyaALLAH."

Tahun ini Imad berumur 6 tahun.

Seperti abang dan kakaknya, kami bercita-cita untuk mengajar Imad berpuasa pada usia 6 tahun.

“Imad, tahun ini Imad nak puasa tak? Imad puasa ye nanti. Nanti boleh buka sama-sama”, kami mengindoktrinkan idea berpuasa sejak beberapa bulan yang lalu.

Sekitar bulan Syaaban kami mula mengingatkan Imad tentang Ramadhan. Sekolah tadika Brainy Bunch Islamic Montessori juga bercerita kepada Imad dan kawan-kawannya tentang amalan berpuasa di bulan Ramadhan.

Imad nampaknya begitu teruja untuk berpuasa. Tidak sedikit pun nampak kerisauan di mukanya. Ini adalah kerana kami tidak pernah menakut-nakutkan Imad serta adik beradiknya tentang ‘kesan sampingan’ berpuasa.

Mengapa 6 Tahun?

Seperti Yop dan Naurah, kami menunggu Imad mencecah 6 tahun barulah dia berpuasa. Ini adalah kerana kami yakin pada umur 6 tahun, Imad sudah pun mumaiyiz yakni tahu membezakan antara baik dan yang buruk serta bijak memberitahu ibu bapanya apabila beliau sakit atau terlalu lemah. Dengan kata lain juga, anak-anak tidak seharusnya berpuasa selagi mana tidak mencapai usia yang boleh bercakap dengan betul (verbal age).

Pada umur pra sekolah ini, Imad tidak lagi bergantung sepenuhnya kepala susu botol malah sudah pun mula memakan makanan yang seimbang.

Di tadika juga, Imad sudah pun diajar tentang keistimewaan dan cara amalan berpuasa. Maka, sedikit sebanyak persediaan beliau dapat dipengaruhi oleh guru dan rakan-rakan sebaya.

Saya tidak berapa pasti dengan idea berpuasa pada usia sebelum pra sekolah. Ini adalah kerana sebab-sebab di atas. Kadang-kadang, ibu bapa terlalu ghairah untuk menyuruh anak-anak berpuasa sehinggakan mereka lupa anak-anak belum pun lagi capai usia wajib berpuasa.

Sebagai ibu bapa, kita mesti tahu kadar dan faktor kekuatan serta kekurangan (limitations) anak-anak iaitu sama ada mereka benar-benar mampu berpuasa. Jika mereka tidak mampu secara mental malah lebih-lebih lagi secara fizikal, puasa mungkin boleh memudharatkan mereka.

1 Ramadhan 1433

Seperti biasa, berpuasa dimulakan dengan amalan bersahur. Yop, Naurah dan Imad, kami kejutkan pada pukul 5 pagi.

Sehari sebelum itu kami sudah pun bertanyakan kepada mereka apa yang mereka mahu makan ketika sahur. Maka, semangkuk Coco Crunch untuk seorang disediakan. Kami tidak memaksa mereka memakan karbohidrat yang lain kerana memahami betapa tidak biasanya mereka untuk memakan ‘berat’ sewaktu sahur. Sekadar minum air kosong yang lebih sudah memadai.

Alhamdulillah 1 Ramadhan diraikan di kampung Pasir Puteh, Ipoh. Risau juga sekiranya mereka dahaga di dalam perjalanan. Sekali sekala, kami bertanya kepada anak-anak akan keadaan mereka. Kami juga menyuruh mereka tidur semasa dalam perjalanan sekiranya berasa penat. Mungkin kerana terlalu gembira pulang ke kampung menyebabkan mereka lupa akan keletihan berpuasa.

Iftar di rumah Opah sangat meriah.

Sepupu-sepupu dari Kampung Manjoi datang menziarahi rumah opah. Anak-anak sungguh gembira. Tambahan pula pelbagai makanan disediakan bagi menjamu 16 orang sekeluarga. Imad, Naurah dan Yop berjaya menghabiskan puasa 1 Ramadhan. Kami memuji anak-anak di atas kejayaan mereka terutama Imad yang kali pertama berpuasa.

Kelonggaran Berbuka Versus Kelonggaran Tidak Berpuasa

Di antara tip kejayaan anak-anak berpuasa ialah kami tidak pernah menghadkan tempoh mereka berpuasa sebelum mula berpuasa. Kami percaya anak-anak harus digalakkan berpuasa dan berbuka hanya apabila mereka merasa tidak mampu atau lemah.

Menggunakan hukum fekah orang sakit, anak-anak digalakkan cuba berpuasa terlebih dahulu lalu berbuka sekira tidak mampu sebelum belum apa-apa lagi sudah menyerah kalah berniat untuk tidak berpuasa.

Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):

“Sesungguhnya Allah menyukai rukhsahNya dilaksanakan sebagaimana Dia membenci maksiatNya dilakukan”. [HR Ahmad – sahih menurut Ibnu Hibban dan Ibnu Hizaimah]

Ini sama seperti aplikasi solat jamak di mana Allah memberi kelonggaran (rukhsah) menjamakkan solat bagi mengelakkan daripada meninggalkan solat.

Maka, keutamaannya ialah berpuasa dan kemudiannya diberi kelonggaran (rukhsah) berbuka sekira tidak mampu.

Menu Makanan

Sahur yang berikutnya, anak-anak terus bersama menu Coco Crunch. Hanya pada sahur ke empat, kami memujuk mereka untuk menjamah nasi dan karbohidrat yang lain. Alhamdulillah mereka mula menjamah selain bijirin apabila semakin biasa dengan amalan bangun sahur.

Pada awalnya saya juga meminta suami membelikan multi vitamin untuk anak-anak. Namun, apabila melihat selera anak-anak sangat baik, kami terlupa langsung untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, saya tetap mengesyorkan pengambilan multi vitamin untuk memberi tenaga terutama buat anak-anak yang kurang berselera untuk makan.

Periksa Kadar Hidrasi

Dalam tempoh anak-anak kami berpuasa terutamanya Imad, saya dan suami sentiasa memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi iaitu kekeringan air di dalam badan. Saya akan memastikan tiada tahap kekeringan lidah yang serius, cengkung pada bawah mata atau kadar nadi yang lemah.

Anak yang sihat dan cukup hidrasi ialah anak yang kekal bertenaga dan aktif.

                    Mata cengkung

Namun sekiranya mereka terlalu aktif, kami akan pastikan mereka tidur sekejap di waktu siang selepas waktu sekolah. Kawalan kepada aktiviti mereka perlu bagi mengurangkan air hilang daripada badan melalui pernafasan dan peluh.

Fleksibel Dan Tidak Rigid

Pada tengahari Ramadhan ke 10, Yop didapati demam panas. Kami membenarkan Yop berbuka. Namun, Yop memilih hanya untuk meminum air kosong dan sebiji Panadol lantas meneruskan ‘puasa’nya tanpa mengambil sebarang makanan sehingga masuk waktu maghrib. Itu pilihan beliau. Namun dari masa ke semasa, saya terus memantau beliau.

Imad juga mengalami beberapa insiden ‘accident‘. Imad terminum air milo dan air oren pada Ramadhan ke dua dan ke tiga. Kami hanya menyuruh Imad menyambung puasa kerana ianya hanya beliau terlupa, tanpa dikenakan sebarang hukuman mahupun teguran.

Reward Dan Galakan

Selain berpuasa dan bersahur bersama-sama, kami juga menggalakkan anak-anak solat berjemaah. Pujian dan ciuman diberi setiap kali mereka melakukan ibadah berjemaah bersama.

Tidak salah jika ingin memberikan ganjaran berupa wang di hujung Ramadhan, namun saya berpendapat sekiranya setinggi itu nilai berpuasa di bulan Ramadhan maka mungkin tinggi lagi harga menunaikan solat lima waktu.

Adakah kita memberikan ganjaran atau pujian yang sama apabila anak-anak berjaya solat? Kesannya, mungkin anak-anak seronok untuk berpuasa tetapi tidak seronok apabila ‘dipaksa’ solat.

Setakat ini kami cuma berjaya membawa anak-anak beberapa kali solat sunat terawikh di masjid. Ini adalah kerana anak-anak kami cepat mengantuk sekitar pada pukul 9 malam, maka mereka sendiri meminta izin untuk berehat di rumah. Kerana mereka masih muda, maka kami memberikan sedikit kelonggaran kepada mereka. Memadailah mereka dapat menunaikan solat wajib 5 waktu. Mungkin di tahun-tahun hadapan mereka lebih bersedia.

InshaAllah, Ramadhan 1433H masih berbaki lebih separuh lagi. Maka, sama-samalah kita memeriah dan meraikannya dengan seisi keluarga khususnya buat anak-anak.

Ramadhan bukanlah sekadar lampu pelita, bunga api dan lampu warna warni untuk anak-anak kita. Ramadhan datang untuk semua dan dengan tujuan yang lebih besar daripada semua itu.

Kesimpulan:

1. Analisa usia anak yang mampu untuk berpuasa.
2. ‘Semangat’ ibu bapa versus kekurangan (limitation) anak-anak.
3. Persediaan dan pendidikan awal yang beterusan lagi suportif.
4. Apabila sudah bersedia, cuba untuk tidak hadkan tempoh berpuasa.
5. Makanan seimbang dan multi vitamin.
6. Rehat yang secukupnya.
7. Periksa kadar hidrasi.
6. Fleksibel.
7. Galakan dan ganjaran.
8. Jangan lupa amalan-amalan wajib dan sunat yang lain.


SUMBER: http://drmuna.wordpress.com/