Memaparkan catatan dengan label Perkongsian. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Perkongsian. Papar semua catatan

Jumaat, 25 Julai 2014

Ucapan Selamat Hari Raya, salahkah?


Tiada satu pun ucapan yang khusus daripada Rasulullah sallallahu 'alaihi wasallam. Yang ada hanya ucapan sesama sahabat nabi sallallahu 'alaihi wasallam.

Ini bukanlah isu ibadah atau akidah. Ini ialah isu muamalah/keduniaan dan adat manusia. Maka apa-apa perkara muamalah dan adat yang tidak bercanggah syara' adalah dibenarkan dan diraikan.

Sudah menjadi adat kebiasaan kita saling mengucap tahniah pada hari raya, selepas mendapat kejayaan, pada hari perkahwinan dan sebagainya. Jom baca fatwa di bawah:

Jubair bin Nafir berkata:
كان أصحابُ رسولِ اللهِ صلَّى اللهُ عليْهِ وسلَّمَ إذا التقوْا يومَ العيدِ يقولُ بعضُهم لبعضٍ : تقبل اللهُ منَّا ومنكَ

Sahabat-sahabat Rasulullah sallallahu ‘alaihi wasallam, apabila mereka bertemu pada hari raya, mereka akan mengucapkan kepada satu sama lain: Semoga Allah menerima amalan kami dan kalian. [Fathul Bari, Bab Makan Sebelum Solat Raya, Imam Ibn Hajar berkata isnadnya hasan]

Di bawah merupakan beberapa jawapan Shaikh Muhammad bin Saleh al-Uthaimin tentang saling mengucapkan tahniah pada hari raya:

“التهنئة بالعيد جائزة ، وليس لها تهنئة مخصوصة ، بل ما اعتاده الناس فهو جائز ما لم يكن إثماً” اهـ .

Mengucapkan tahniah pada hari raya adalah dibenarkan. Tiada ucapan tahniah yang khusus. Apa sahaja yang biasa orang ramai ucapkan maka ia dibolehkan selagi mana ia bukan sesuatu dosa.

Kata beliau lagi:

“هذه الأشياء لا بأس بها ؛ لأن الناس لا يتخذونها على سبيل التعبد والتقرب إلى الله عز وجل ، وإنما يتخذونها على سبيل العادة ، والإكرام والاحترام ، ومادامت عادة لم يرد الشرع بالنهي عنها فإن الأصل فيها الإباحة” اهـ .

Ini merupakan perkara yang tiada apa-apa masalah. Ini kerana manusia tidak menjadikan ia sebagai jalan beribadah kepada Allah atau mendekatkan diri kepada Allah. Mereka melakukannya sebagai adat kebiasaan, memuliakan dan menghormati orang lain. Selagi mana adat itu tidak terdapat larangan daripada syara’, maka hukum asalnya ialah harus.

 SUMBER:  http://alkahfi.com.my/adab-adab-berhari-raya/

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 13 Julai 2014

TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN

TARIKH NUZUL AL-QUR’AN: SATU PERBINCANGAN
Oleh: Dr. Ahmad Najib bin Abdullah Al-Qari
Akademi Pengajian Islam Universiti Malaya.
Pendahuluan:
Nuzul Al-Qur’an merupakan satu peristiwa penting berhubung sejarah Al-Qur’an itu sendiri. Justeru, ia mendapat tempat khusus dalam karya-karya Ulum Al-Qur’an (Ilmu-ilmu berkaitan Al-Qur’an). Tumpuan diberikan untuk menjelaskan hakikat nuzul dan tahap-tahap penurunan Al-Quran.
Al-Syaikh Muhammad Abd Al-‘Azim al-Zarqani ada menyatakan bahawa Nuzul al-Qur’an adalah asas keimanan terhadap al-Qur’an itu sendiri dan juga keimanan terhadap Nabi SAW.[1] Lihat juga di: http://www.abuanasmadani.com/?p=1150

Nuzul al-Qur’an bermaksud penurunan al-Qur’an. Ia terbahagi kepada dua tahap  utama:
Pertama: Nuzul al-Qur’an dari Lauh Mahfuz ke langit dunia di Bait al-Izzah secara sekaligus.
Kedua: Nuzul al-Qur’an dari Bait al-Izzah di langit dunia kepada Nabi SAW secara beransur-ansur dalam tempoh 23 tahun.
Berhubung isu Nuzul Al-Qur’an yang dibincangkan ini, apakah maksud penurunan (Nuzul)? adakah ia bermaksud Nuzul Al-Qur’an pada tahap pertama atau pada tahap kedua?
Jika kita mengumpulkan pendapat para ulama’ Islam dalam isu ini kita akan memperolehi pelbagai pendapat dan huraian.

 Pendapat Pertama:
Pendapat yang agak masyhur memilih tanggal 17 Ramadhan sebagai tarikh Nuzul Al-Qur’an.  Pendapat ini dipegangi sebahagian ulama’ sirah. Antara ulama’ sirah yang kuat berpegang kepada pendapat ini ialah Syaikh al-Khudhari dalam karyanya; Muhadharat Tarikh al-Umam al-Islamiyyah.[2] Pendapat ini merujuk kepada suatu riwayat daripada al-Waqidi menerusi Abu Ja’far al-Baqir yang mengatakan bahawa (penurunan) wahyu kepada Rasulullah s.a.w  bermula pada hari Isnin, 17 Ramadhan  (dan dikatakan pada 24 Ramadhan). Riwayat ini dinyatakan oleh al-Hafiz Ibn Kathir dalam al-Bidayah wa al-Nihayah:
روى الواقدي بسنده عن أبي جعفر الباقر أنه قال: كان ابتداء الوحي إلى رسول الله صلى الله عليه وسلم يوم الاثنين لسبع عشرة ليلة خلت من رمضان وقيل في الرابع والعشرين منه[3]
Maksudnya:  Al-Waqidi meriwayatkan dengan sanadnya daripada Abu Ja’far al-Baqir bahawa dia berkata: Permulaan wahyu kepada Rasulullah SAW adalah pada hari Isnin 17 Ramadhan, dan dikatakan juga pada 24 Ramadhan.
Ada suatu hal yang agak menarik dalam kita membincangkan pendapat yang menyatakan 17 Ramadhan sebagai tanggal Nuzul Al-Qur’an. Setelah saya meneliti kitab Sirah Ibn Hisyam berhubung tajuk “ Ibtida’ Tanzil Al-Qur’an” (Bermulanya Penurunan Al-Qur’an), terdapat semacam satu kekeliruan apabila Ibn Hisyam ada membuat  catatan berikut:
قال ابن إسحاق: فابتدئ رسول الله صلى الله عليه وسلم بالتنزيل في شهر رمضان، يقول الله عز وجل: ( شهر رمضان الذي أنزل فيه القرءان هدى للناس وبينت من الهدى والفرقان )
وقال الله تعالى ( إنا أنزلنه في ليلة القدر... )...وقال تعالى ( إن كنتم آمنتم بالله وما أنزلنا
على عبدنا يوم الفرقان يوم التقى الجمعان ). وذلك ملتقى رسول الله صلى الله عليه
وسلم والمشركون ببدر.
قال ابن إسحاق: وحدثني أبو جعفر محمد بن علي بن حسين: أن رسول الله صلى الله عليه
وسلم التقى هو والمشركون ببدر يوم الجمعة، صبيحة سبع عشرة من رمضان.[4]
Maksudnya: Ibn Ishaq berkata: Rasulullah SAW mula diturunkan wahyu kepadanya pada bulan Ramadhan. Allah Azza Wajalla berfirman (maksudnya): Bulan Ramadhan yang diturunkan padanya Al-Qur’an sebagai petunjuk kepada manusia dan keterangan-keterangan kepada petunjuk itu,juga sebagai pembeza (antara yang haq dan yang batil). Dan Allah Ta’ala berfirman (maksudnya): Sesungguhnya Kami menurunkannya (Al-Qur’an) pada malam al-Qadr …Dan Allah berfirman ( maksudnya ): Sekiranya kamu benar-benar beriman kepada Allah dan apa yang Kami turunkan kepada hamba Kami pada hari al-Furqan, hari pertembungan dua kumpulan… Itulah (yang dimaksudkan) pertemuan (peperangan) Rasulullah SAW dengan golongan musyrikin di Badr. Berkata Ibn Ishaq: Abu Ja’far Muhammad bin Ali bin Husain menceritakan kepadaku bahawa Rasulullah SAW bertemu (memerangi) golongan musyrikin pada hari Juma’at, pagi 17 Ramadhan…
Jika diperhatikan dan dihalusi, kenyataan di atas semacam mengaitkan elemen ‘al-furqan’ yang terdapat dalam al-Qur’an (pada ayat 185, Surah Al-Baqarah) dengan ‘yaum al-furqan’ (hari al-Furqan, pada ayat 41, Surah  al-Anfal) yang merujuk kepada hari Peperangan Badr yang berlaku pada 17 Ramadhan. Oleh kerana perkara ini disebut di bawah tajuk “ Ibtida’ Tanzil al-Qur’an”, berkemungkinan ada pihak yang memahami bahawa Nuzul Al-Qur’an juga berlaku pada tarikh yang sama.

Pendapat Kedua: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 7 Ramadhan.

Pendapat Ketiga: Nuzul Al-Qur’an berlaku pada 18 Ramadhan.
Pendapat kedua dan ketiga ini dinyatakan oleh Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri dalam kitab sirahnya.

Pendapat Keempat:
Syaikh Safiyy al-Rahman sendiri membuat pilihan dan tarjih yang berbeza dengan ulama’ lain. Menurut beliau, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 21 Ramadhan. Antara alasan yang dikemukakan seperti berikut:
1-                 Semua ulama’ sirah atau majoriti dari kalangan mereka sepakat mengatakan bahawa Nabi SAW dibangkitkan pada hari Isnin berdasarkan hadith Abu Qatadah r.a dalam Sahih Muslim dan lain-lain.
2-                 Hari Isnin pada tahun Nabi SAW dibangkitkan jatuh sama ada pada hari 7 Ramadhan, 14 Ramadhan, 21 Ramadhan dan 28 Ramadhan. Hadith-hadith yang sahih ada menyebut bahawa malam al-Qadr tidak berlaku melainkan pada malam-malam ganjil, sepuluh malam terakhir Ramadhan.
3-                 Setelah dibuat perbandingan antara firman Allah:
 (إنا أنزلنه في ليلة القدر) dan riwayat Abu Qatadah tentang penentuan hari Isnin sebagai hari Nabi SAW dibangkitkan serta dipadankan dengan perhitungan taqwim yang tepat bilakah sebenarnya jatuh hari Isnin pada bulan Ramadhan tahun kebangkitan Nabi SAW, jelaslah bahawa baginda dibangkitkan pada malam 21 Ramadhan.[5]
Pendapat Kelima:
Pendapat seterusnya, Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan. Pendapat ini berdasarkan hadith berikut:
قال الإمام أحمد: حدثنا أبو سعيد مولى بني هاشم، حدثنا عمران أبو العوام عن قتادة عن أبي المليح عن واثلة بن الأسقع أن رسول الله صلى الله عليه وسلم قال: أنزلت صحف إبراهيم
عليه السلام في أول ليلة من رمضان، وأنزلت التوراة لست مضين من رمضان، والإنجيل
لثلاث عشرة خلت من رمضان، وأنزل الله الفرقان لأربع وعشرين خلت من رمضان.[6]
Maksudnya: Berkata Imam Ahmad: Abu Sa’id Maula Bani Hashim memberitakan kepada saya, katanya: ‘Imran Abu al-‘Awwam memberitakan daripada Qatadah daripada Abi al-Malih daripada Wathilah bin Al-Asqa’ bahawa Rasulullah SAW bersabda: Suhuf Nabi Ibrahim AS diturunkan pada malam pertama Ramadhan, Taurat pula diturunkan pada 6 Ramadhan, Injil diturunkan pada 13 Ramadhan. Dan Allah menurunkan al-Furqan (Al-Qur’an) pada 24 Ramadhan.
Hadith di atas dihukumkan hasan oleh Syaikh al-Albani, manakala Syaikh Ahmad Shakir menghukumkan sanad hadith ini sebagai sahih.
Menurut al-Hafiz Ibn Hajar, hadith di atas bertepatan dengan firman Allah SWT   (Surah al-Baqarah: Ayat 185):
شَهْرُ رَمَضَانَ الَّذِي أُنْزِلَ فِيهِ الْقُرْآَنُ
Dan firmanNya (Surah al-Qadr: Ayat 1):
إِنَّا أَنْزَلْنَاهُ فِي لَيْلَةِ الْقَدْرِ
Kata beliau,  berkemungkinan Lailah al-Qadr berlaku pada tahun kebangkitan Nabi SAW pada malam tanggal 24 Ramadhan di mana Al-Qur’an diturunkan secara sekaligus ke langit dunia dan pada masa yang sama (24 Ramadhan) wahyu pertama diturunkan, iaitu firman Allah SWT:
اقْرَأْ بِاسْمِ رَبِّكَ الَّذِي خَلَقَ [7]
Al-Tabari juga ada menyebut satu riwayat dengan sanadnya menerusi Sa’id Bin Jubair daripada Ibn Abbas r.a katanya: Al-Qur’an diturunkan sekaligus dari Lauh Mahfuz pada malam 24 Ramadhan, kemudiannya ia ditempatkan di Bait al-‘Izzah.[8]
Al-Qurtubi pula menyebut hadith Wathilah Bin Al-Asqa’ di atas dan menyatakan bahawa hadith tersebut merupakan dalil atau hujah terhadap pendapat Hasan al-Basri yang menegaskan bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[9]
Al-Hafiz Ibn Kathir juga ada membawa hadith Wathilah ini dalam mentafsirkan maksud ayat 185, Surah al-Baqarah, kemudian beliau menyatakan bahawa Ibn Mardawaih ada meriwayatkan hadith daripada Jabir Bin ‘Abdullah r.a seumpama hadith Wathilah dengan sedikit perbezaan pada matan hadith berkenaan.[10] Beliau juga ada menyebut hadith ini dalam al-Bidayah wa al-Nihayah  dan menyatakan bahawa berdasarkan hadith Wathilah ini, sebahagian ulama’ dari kalangan para sahabat dan tabi’in berpendapat bahawa malam al-Qadr berlaku pada malam 24 Ramadhan.[11]
Turut menyebut hadith Wathilah ,Syaikh Muhammad Nasiruddin al-Albani di mana beliau mengambil hadith ini  bagi menjelaskan Nuzul Al-Qur’an berlaku pada tanggal 24 bulan Ramadhan.[12]
Kesimpulan yang dapat dibuat setelah meneliti pendapat-pendapat yang dikemukakan di atas berhubung tanggal Nuzul Al-Qur’an seperti berikut:
1-                 Pendapat yang menyebut Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 17 Ramadhan bersandarkan riwayat al-Waqidi. Menurut ulama’ al-Jarh wa al-Ta’dil, al-Waqidi (m. 207 H), nama penuh beliau: Muhammad Bin Umar Bin Waqid al-Aslami  seorang perawi yang sangat lemah (matruk) dan tidak diterima riwayatnya[13]. Pendapat ini juga ditolak oleh Syaikh al-Zarqani kerana ia bercanggah dengan pendapat yang masyhur lagi sahih.[14]
2-                 Pendapat Syaikh Safiyy al-Rahman al-Mubarakfuri yang menyatakan Nuzul Al-Qur’an jatuh pada tanggal 21 Ramadhan merupakan cetusan ijtihad beliau semata-mata berdasarkan penelitian beliau terhadap hadith Abu Qatadah dan perkiraan taqwim yang dipegangi beliau dengan mengambil kira malam ganjil untuk Malam al-Qadr. Malam al-Qadr boleh berlaku pada malam-malam genap dan juga boleh berlaku pada malam-malam ganjil di sepuluh hari terakhir Ramadhan.
3-                 Pendapat yang menyebut bahawa Nuzul Al-Qur’an jatuh pada 24 Ramadhan adalah kuat. Ini berdasarkan kepada perkara-perkara berikut:
I-                  Pendapat ini bersandarkan hadith marfu’ yang sahih dan diperakui oleh tokoh-tokoh dalam bidang hadith. Sebagaimana yang termaklum, apa jua permasalahan dalam Agama Islam perlu dirujuk kepada nas Al-Qur’an dan hadith. Dalam hal ini, hadith Wathilah Bin al-Asqa’ adalah rujukan utama dalam menentukan bilakah berlakunya Nuzul Al-Qur’an.
II-               Matan hadith dengan jelas menyebut bahawa al-Qur’an diturunkan pada 24 Ramadhan.
III-           Maksud atau mafhum hadith diterima pakai oleh ulama’ muktabar dari kalangan ahli hadith dan para mufassirin dan dijadikan hujah bagi menetapkan tanggal 24 Ramadhan sebagai tarikh tepat bagi Nuzul Al-Qur’an. Rujuk kata-kata al-Hafiz Ibn Hajar, Imam al-Qurtubi dan al-Hafiz Ibn Kathir.
Penutup:
          Kepelbagaian pandangan para ulama’ dalam membincangkan tarikh Nuzul Al-Quran membuktikan keprihatinan dan kecintaan mereka yang mendalam terhadap Al-Qur’an Al-Karim. Setiap pendapat ada sandaran hujah yang dipegangi. Ruang untuk perbincangan masih terbuka asalkan hati bertekad mencari kebenaran. Dan perbezaan pendapat dalam hal sebegini janganlah sampai membawa kepada pertelingkahan yang boleh meruntuhkan ummah.
 


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 20 April 2014

Bolehkah Bukan Muslim Selamat Dari Neraka?

BOLEHKAH BUKAN MUSLIM SELAMAT DARI NERAKA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin

Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab, secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.

Apabila saya merenung sikap baik ramai individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian. Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba sederhana untuk beliau ketika itu.


Berbudi Baik
Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi. Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.
Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam. Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara negatif lain.
Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: “Tidak, hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.

Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak. Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong pula oleh tindakan umat Islam sendiri.
Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’ sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan demikian. Allah berfirman:
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).
Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang. Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet. Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita, tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada. Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya, beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H) tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya. Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.
Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun, yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat, lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan Islam.
Selamat Dari Azab
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah. Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).
Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya menyebut:
“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Nisa: 165).
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman, tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka, apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 24 November 2013

BAHAGIA ITU SEDERHANA

Mendengar isteri membebel di rumah, bererti aku masih punya keluarga.

Mendengar suami masih mendengkur di sebelahku bererti aku masih punya suami.

Mendengar ayah dan mak menegurku dengan tegas bererti aku masih punya mak ayah.

Merasa letih setiap ptg selepas penat bekerja, itu bererti aku mampu bekerja keras.

Membersihkan pinggan dan cawan kotor setelah menerima tamu di rumah, itu bererti aku punya teman.

Pakaianku terasa agak sempit, itu bererti aku makan cukup.

Mencuci dan menyetrika tumpukan baju, itu berarti aku memiliki pakaian.

Membersihkan halaman rumah, mop lantai, itu berarti aku memiliki tempat tinggal.

Mendapatkan banyak tugasan, itu berarti aku dipercayai dapat melakukannya.

Mendapatkan banyak komplen dari customer kita menandakan bahwa customer kita masih ada, masih loyal dan menginginkan kita menuju perubahan ke arah lebih baik.

Mendengar bunyi exzos & hon itu bererti aku bisa mendengar

Mendengar bunyi Azan di pagi hari, itu berarti aku masih hidup.

Akhirnya banyak hal yang dapat kita syukuri setiap hari.

Aku juga bersyukur mendapatkan pesan ini, karana secara tidak sedar aku masih memiliki teman yang peduli padaku. 


Seseorang yang peduli tentang aku telah mengirimkannya kepadaku.

Dan karena aku peduli tentangmu maka aku mengirimkannya juga kepadamu.

Berhenti mengeluh dan bersyukurlah. Bersyukur dalam setiap keadaan meski tak ada alasan untuk bersyukur sekalipun.

Semoga yang membaca pesan ini selalu diberkahi dengan kesihatan, kebahagiaan dan kedamaian. Amiin



SUMBER: Copy & Paste dari Mukabuku 


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Isnin, 4 November 2013

MUHARRAM 1435H TIBA


بسم الله الرحن الرحيم
 
Muharram tiba lagi, tahun silih berganti dengan cepatnya, kita semakin menghampiri kiamat. Sudah bersediakah kita dengan bekalan amalan? Dalam persediaan itu jangan pula kita tersalah jalan tersasar dari yang sahih sehingga merugikan...
Ramai daripada kalangan masyarakat yang bertanya:

❓ Benarkah sebaran mengenai catatan amalan ditutup pada akhir tahun, dibuka pada awal Muharram, dan ganjaran orang memperingatkan tentang muharram?

Ada beberapa perkara yg agak keliru dikaitkan dengan bulan Muharram.
Antaranya, hijrah Rasulullah saw dikatakan berlaku pada 1 Muharram, doa awal tahun dan buku catatan amalan ditutup dan dibuka yang baru.

➡HIJRAH:
Hijrah Rasulullah saw ke Madinah bermula pada bulan Safar. Manakala sahabat2 lain ramai yang berhijrah beberapa bulan sebelum Baginda. Baginda sampai di Madinah pada bulan Rabi'ulAwwal. (Lihat al-Rahiq al-Makhtum, kitab sirah karangan Safiy al-Rahman al-Mubarakfuri) Bukan bulan Muharram.
Jadi, ada sedikit kekeliruan pada lirik nasyid yang kita dendangkan semenjak kecil dahulu..."Satu Muharram detik permulaan....perpindahan nabi dan umat Islam..."
Agak pahit untuk menyampaikan, apatah lagi hendak ditelan, tetapi kebenaran bukan untuk terus disimpan.
Muharram adalah bulan pertama dari 12 bulan dalam perkiraan orang-orang Arab sejak zaman jahiliyyah. Namun mereka tidak ada sistem tahun seperti sekarang. Maka khalifah Umar al-Khattab ra memutuskan, selepas perbincangan dengan para sahabat yang lain, perkiraan tahun bagi umat Islam ialah bermula pada tahun hijrah Rasulullah saw. Pada tahun Rasulullah berhijrah itu, Baginda berhijrah dari tempoh Safar hingga Rabiul Awwal, bukan dalam 1 Muharram.

➡DOA AWAL TAHUN (DAN BERANGKAI DENGAN DOA AKHIR TAHUN)
Doa itu ibadah, begitu juga memohon ampun, boleh dilakukan pada bila-bila masa yang sesuai. Termasuklah doa kita contohnya, "Ya Allah, semoga bermula tahun baru hijrah ini, bertambah iman dan ilmuku, dan semakin baik amalanku."
Namun doa awal tahun dan akhir tahun, yang dibaca dengan kaifiyyat tertentu dikritik oleh para ulama’, kerana ia disandarkan kepada sebuah riwayat yang antaranya; ‘Menganjurkan dibaca doa itu 3 kali, dan syaitan pun dikatakan kecewa tidak dapat menggodanya pada tahun itu.'
Riwayat ini tidak ditemui asal usulnya oleh para ulama’. Ia dikemukakan dalam buku tertentu tanpa dinyatakan sanad dan sumber.
Tiada dalam kitab2 hadith mu'tabarah, dan diputuskan sebagai riwayat yang batil.
Jadi, tidak boleh kita yakini bahawa ia adalah anjuran dalam agama Islam.

➡CATATAN AMALAN
Dakwaan yang mengatakan catatan amalan ditutup pada akhir Zulhijjah, dan dibuka pada awal Muharram tidak didasari dengan dalil al-Quran, tidak juga daripada hadith Nabi saw.
Hadith2 yang sahih/ thabit menyebut bahawa amalan kita dibentangkan pada:
1. Setiap hari (setiap pagi dan petang.)
2. Dua kali setiap minggu (setiap Isnin dan Khamis)
3. Setiap tahun, iaitu pada bulan Syaaban. (Bukan nisfu Syaaban. -Hadith palsu juga banyak berkisar tentang nisfu syaaban-)

Hadith2 sahih/thabit bagi setiap kategori adalah seperti berikut :
✅1. Amalan diangkat/dibentang 2 kali setiap hari :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " يَتَعَاقَبُونَ فِيكُمْ مَلاَئِكَةٌ بِاللَّيْلِ وَمَلاَئِكَةٌ بِالنَّهَارِ، وَيَجْتَمِعُونَ فِي صَلاَةِ الْفَجْرِ وَصَلاَةِ الْعَصْرِ، ثُمَّ يَعْرُجُ الَّذِينَ بَاتُوا فِيكُمْ، فَيَسْأَلُهُمْ وَهْوَ أَعْلَمُ بِهِمْ كَيْفَ تَرَكْتُمْ عِبَادِي فَيَقُولُونَ تَرَكْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ، وَأَتَيْنَاهُمْ وَهُمْ يُصَلُّونَ ".
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Para malaikat (syif) malam dan malaikat (syif) siang silih berganti turun kepada kalian. Mereka berkumpul pada setiap waktu Subuh dan setiap waktu Asar. Kemudian, malaikat yg menjaga kalian (jika waktu Subuh, malaikat malam, jika waktu Asar, malaikat siang) naik ke atas. Allah pun bertanya kepada malaikat2 itu - walhal Dia lebih mengetahui tentang hamba2-Nya :
'Dalam keadaan bagaimana kamu semua tinggalkan hamba2Ku itu?'
Jawab para malaikat : 'Kami tinggalkan mereka dalam keadaan mereka sedang solat. Begitu juga ketika kami datang kepada mereka, mereka sedang solat.'"
(Sahih Bukhari, Kitab Waktu-Waktu Sembahyang, Bab Fadilat Sembahyang Asar. ) -Hadith Sahih-
Berbahagialah bagi mereka yang menunaikan solat Subuh dan solat Asar, lebih-lebih lagi di awal waktu.

✅2. Amalan juga diangkat setiap Isnin dan Khamis, dua kali seminggu :
عَنْ أَبِي هُرَيْرَةَ، أَنَّ رَسُولَ اللَّهِ صلى الله عليه وسلم قَالَ " تُفْتَحُ أَبْوَابُ الْجَنَّةِ يَوْمَ الاِثْنَيْنِ وَيَوْمَ الْخَمِيسِ فَيُغْفَرُ لِكُلِّ عَبْدٍ لاَ يُشْرِكُ بِاللَّهِ شَيْئًا إِلاَّ رَجُلاً كَانَتْ بَيْنَهُ وَبَيْنَ أَخِيهِ شَحْنَاءُ فَيُقَالُ أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا أَنْظِرُوا هَذَيْنِ حَتَّى يَصْطَلِحَا " .
Rasulullah saw bersabda, maksudnya :
"Amalan2 manusia dibentangkan setiap minggu pada hari Isnin dan Khamis. Allah pun mengampunkan dosa setiap hamba-Nya yang beriman, kecuali hamba yang saling bermusuhan. Lalu dikatakan kepada para malaikat, 'Tinggalkan dahulu mereka berdua ini, sehinggalah mereka berdamai."
(Sahih Muslim, Kitab al-Birr wa al-Silah wa al-Adab, Bab Larangan Saling Bermusuhan Dan Saling Tidak Mempedulikan.) -Hadith Sahih.-

✅3. Amalan dibentangkan setiap tahun, pada bulan Syaaban. (Bukan Nisfu Syaaban)
عن زيد بن أسامة رضي الله عنهما قال: قلت: يا رسول الله لم أرك تصوم من شهر من الشهور ما تصوم في شعبان؟ قال: ذلك شهر يغفل الناس عنه بين رجب ورمضان، وهو شهر ترفع فيه الأعمال إلى رب العالمين، فأحب أن يرفع عملي وأنا صائم.
Usamah bin Zaid ra melaporkan, katanya, "Saya pernah bertanya, 'Wahai Rasulullah, mengapa saya tidak pernah lihat tuan berpuasa dalam bulan lain, sebanyak puasa tuan dalam bulan Syaaban?'
Jawab Rasulullah saw, "Itulah bulan yang ramai manusia lalai, antara bulan Rejab dan Ramadan. Ia adalah bulan yg diangkatkan amalan kepada Tuhan sekelian alam, dan saya suka amalan saya diangkat dalam keadaan saya sedang berpuasa.'"
(Al-Sunan al-Sughra, Kitab Puasa.) -Hadith Hasan-

➡ BENARKAH ANJURAN MEMPERINGATKAN?
Tentang hadith anjuran supaya memperingatkan bulan Muharram, dengan ganjaran tidak dibakar api neraka, tidak dapat dikesan dari mana datangnya hadith itu.
Agak pelik bila lafaz yg sama juga disebarkan untuk bulan2 lain.
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan syaaban...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan zulhijjah...."
"Barangsiapa yg memperingatkan bulan rejab..."
Berdasarkan panduan para ulama’ dalam mengenali hadith palsu, dan jika kita biasa dengan hadith-hadith yang sahih, hadith ini perlu kita tawaqquf (jangan sebar, jangan beramal kerana hadith itu).
Sebarkanlah penjelasan tentangnya.
 
Kesimpulan :
 
Sedaya upaya yang mungkin, kita cuba pastikan sebaran yang dibuat menepati saranan hadith sahih :
عَنْ عَبْدِ اللَّهِ بْنِ عَمْرٍو، أَنَّ النَّبِيَّ صلى الله عليه وسلم قَالَ " بَلِّغُوا عَنِّي وَلَوْ آيَةً، وَحَدِّثُوا عَنْ بَنِي إِسْرَائِيلَ وَلاَ حَرَجَ، وَمَنْ كَذَبَ عَلَىَّ مُتَعَمِّدًا فَلْيَتَبَوَّأْ مَقْعَدَهُ مِنَ النَّارِ ".
 
Nabi saw bersabda, maksudnya, "Sampaikanlah daripadaku walau satu ayat. Ceritakanlah tentang Bani Israel dan tidak mengapa (jika kamu tidak menyampaikannya atau jika kamu menyampaikannya). Dan sesiapa yang berdusta atas namaku dengan sengaja maka biar dia sediakan tempatnya dalam neraka."
(Sahih Bukhari, Kitab Ahadith al-Anbiya, Bab Ma Dhukira Bani Israil.)
والله اعلم .

SUMBER:https://www.facebook.com/AbuAnasMadani?fref=ts  (AAM, Madinah 29 Zulhijjah 1434H)

Sabtu, 28 September 2013

Wanita Tidak Boleh Keluar Rumah Tanpa Hajat Mendesak?


Dilema Persepsi

Dunia ini ada banyak cerita. Ada gadis yang bebas berpeleseran di shopping complex tanpa tujuan. Ada yang galak menari di kelab-kelab malam. Abahnya tidak kisah. “Inikan zaman moden,” bela si abah sambil mencucuh putung rokok. Adakah ini akhlak gadis muslimah?
Ada gadis yang dikongkong dalam sangkar emas. Tidak boleh ke mana-mana walaupun ada urusan munasabah. Abahnya suka mengancam dengan hadis-hadis Nabi. “Nabi dah kata, perempuan tu aurat. Jika dia keluar, syaitan jadi peneman. Kalau nak keluar juga, mesti pakai purdah,” tegas si abah sambil membetulkan serban besar di kepala. Hadis ini benar tapi adakah tafsiran sebegini benar?
Ada muslimah yang keluar menuntut ilmu, keluar menyahut panggilan dakwah, keluar menyahut tugas-tugas kemasyarakatan dan keluar gambarnya di facebook, media, drama, majalah hingga menjadi ikutan remaja menutup aurat dan berakhlak mulia. Namun, ada pihak memandang sinis dan menyamakannya dengan gadis-gadis yang berpeleseran di pasar raya.

Adakah Islam menganggap keluarnya kaum wanita dari rumah bukan atas hal-hal darurat suatu perbuatan yang makruh atau haram? Mari kita bincangkan.

Sepotong Hadis Perlukan Kombinasi Dalil-Dalil yang Lain

Pihak yang menganggap ‘berdosa’ tatkala keluarnya wanita daripada rumah, sering memetik hadis ini,

“Wanita adalah aurat, jika dia keluar (rumah), syaitan akan memimpinnya.” (HR Tirmidzi, Kitab: Menyusukan. Bab: 18 (jld. IV, hal. 153), terdapat dalam Shahihul Jami’ ash-Shagir dengan no. 6566.)

Inikah dalilnya? Bagaimana hal ini boleh menjadi haram atau makruh? Bukankah Rasulullah SAW melarang kaum lelaki menghalang isteri-isteri mereka pergi ke masjid. Padahal, solat di masjid bukanlah suatu darurat dan bukan juga keperluan yang mendesak.

“Tapi, Nabi suka kalau perempuan solat kat rumah lagi,” balas mereka.

Baik, bagaimana dengan doa Nabi bagi Ummu Haram agar berpeluang ikut bersama para tentera menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah? (Rujuk HR Bukhari). Pemergian Ummu Haram untuk berjihad tidak termasuk keadaan darurat atau keperluan yang sangat mendesak, tetapi hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apakah Maksud Hadis Wanita itu Aurat?

Dalam Buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah, ada jawapannya. Hadis ini mengaitkan keadaan wanita sebagai aurat dengan pimpinan syaitan. Ia memberi peringatan kepada kaum wanita agar jangan lalai dalam menutup aurat.

Kaum wanita dilarang memperlihatkan keindahan tubuhnya kecuali yang dibenarkan, tidak memakai wangian, tidak sengaja melenggok-lenggok ketika berjalan, dan tidak sengaja menggoda dalam berbicara. Bukan kaum wanita sahaja, kaum lelaki juga diingatkan agar menjaga adab dalam pergaulan. Barulah syaitan tiada ‘password’ untuk menggoda manusia.

Wanita Datang Dalam Bentuk Syaitan?

Rasulullah SAW mengaitkan keluarnya wanita daripada rumah dengan syaitan bukan sahaja dalam hadis di atas bahkan dalam hadis yang lain.

“Sesungguhnya wanita datang dalam bentuk syaitan dan pergi juga dalam bentuk syaitan.” (HR Muslim, Kitab: Nikah, Bab: Tentang Orang Yang Melihat Wanita Lalu Jatuh Hati, jld. IV, hlm. 129-130).

Apakah pengajaran daripada hadis ini? Kena mengurung wanita di rumah? Tidak! Ada ratusan dalil yang lain menunjukkan penglibatan wanita dalam kehidupan sosial pada zaman Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW memberi bimbingan dalam menghadapi fitnah (ujian) sebegini?

Rasulullah SAW mengajar lelaki menghadapi fitnah (ujian) wanita ini dengan cara berjuang menguruskan nafsu, menundukkan pandangan dan pulang ke pangkuan isteri. Bersama isteri, naluri seksual boleh disalurkan secara halal. Baginda bersabda dalam hadis yang sama,

“Jika salah seorang kamu melihat wanita,  maka hendaklah dia pulang menggauli isterinya. Hal itu dapat menghilangkan keinginan yang ada dalam dirinya.” (HR Muslim).

Beginilah juga cara wanita menghadapi fitnah (ujian) lelaki penggoda. Lelaki-lelaki itu datang dalam bentuk syaitan apabila bersiul-siulan gatal, feeewittt, dan usya-usya. Ada persamaan dengan syaitan dari sudut menggoda. Usah dilayan. Pulang ke rumah dan nikmati suami sendiri.

Fitnah (Ujian) Dalam Pelbagai Bentuk

Hadis di atas mengingatkan kita tentang adanya ujian (fitnah) daripada godaan wanita. Sama sahaja dengan hadis-hadis yang mengingatkan kita adanya ujian (fitnah) daripada godaan harta benda dan anak-cucu.

Peringatan itu tidak bermakna kita kena bermusuh dengan harta dan anak-cucu. Ia tidak bermakna kita tidak perlu mengumpul harta dan mengurung anak cucu di rumah sahaja. Ia cuma ingatan agar kita berwaspada.

Kesimpulan

Wanita sangat bagus tinggal di rumah. Tapi itu tidak bermakna dia diharamkan atau  dimakruhkan keluar rumah. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu keluar dengan bertujuan kebaikan. Tiada masalah. Jangan terlalu bebas. Jangan pula terlalu terkongkong. Allahmu Maha Mengetahui setiap niat di hati. 


SUMBER: Ustazah Fatimah Syarha @  http://sebarkanbahagia.blogspot.com/


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Jumaat, 30 Ogos 2013

BETUL KE TUHAN ITU ADA...

Pada suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan mempersilakannya duduk.

Sedang si penggunting rambut melakukan kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.

“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.

“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting rambut.

“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi. Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.” Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.

“Kalau betul Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya 40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting melihat ke luar tingkap.

“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.

“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.

“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu meminta pandangan.

“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.

“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.

“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.

“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.

“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting rambut.

“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata lelaki itu.

Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.

“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.

Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.

“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi, alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya” Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu turut tertawa juga.

* Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung.

by: Al Fadhil Ustaz Zawawi Mughni

Jumaat, 12 Julai 2013

SEAWAL MANAKAH ANAK BOLEH MULA BERPUASA

"Bila saya baca artikel di bawah di laman http://drmuna.wordpress.com/ , saya rasakan ianya wajar dikongsi bila mana, saya sering berhadapan dengan persoalan ini dari kalangan para sahabat dan kaum keluarga. Saya juga, sering merasa simpati terhadap anak-anak yang dipaksa berpuasa seawal usia 4 atau 5 tahun, sehingga permohonan anak mahu berbuka awal diketepikan demi mahu memuaskan hati sendiri.

Ini kerana, ada dalam kalangan ibubapa merasa bangga apabila anak mereka mampu berpuasa sempurna, sekalipun kesempurnaan itu diiringi dengan paksaan dari ibubapa, bahkan ada juga bapa menunjuk-nunjuk akan kejayaan tersebut.

Di sini, saya tidak nafikan akan kemampuan anak-anak yang  berusia sekitar 4-5 tahun berpuasa, tetapi bagi anak-anak yang tidak berkemampuan perlukah kita paksa? Kenapa ibadat solat tidak digalakkan, sebaliknya puasa pula dipaksa? Fikir-fikirkan...Mari kita hadam artikel di bawah, mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar darinya. InsyaALLAH."

Tahun ini Imad berumur 6 tahun.

Seperti abang dan kakaknya, kami bercita-cita untuk mengajar Imad berpuasa pada usia 6 tahun.

“Imad, tahun ini Imad nak puasa tak? Imad puasa ye nanti. Nanti boleh buka sama-sama”, kami mengindoktrinkan idea berpuasa sejak beberapa bulan yang lalu.

Sekitar bulan Syaaban kami mula mengingatkan Imad tentang Ramadhan. Sekolah tadika Brainy Bunch Islamic Montessori juga bercerita kepada Imad dan kawan-kawannya tentang amalan berpuasa di bulan Ramadhan.

Imad nampaknya begitu teruja untuk berpuasa. Tidak sedikit pun nampak kerisauan di mukanya. Ini adalah kerana kami tidak pernah menakut-nakutkan Imad serta adik beradiknya tentang ‘kesan sampingan’ berpuasa.

Mengapa 6 Tahun?

Seperti Yop dan Naurah, kami menunggu Imad mencecah 6 tahun barulah dia berpuasa. Ini adalah kerana kami yakin pada umur 6 tahun, Imad sudah pun mumaiyiz yakni tahu membezakan antara baik dan yang buruk serta bijak memberitahu ibu bapanya apabila beliau sakit atau terlalu lemah. Dengan kata lain juga, anak-anak tidak seharusnya berpuasa selagi mana tidak mencapai usia yang boleh bercakap dengan betul (verbal age).

Pada umur pra sekolah ini, Imad tidak lagi bergantung sepenuhnya kepala susu botol malah sudah pun mula memakan makanan yang seimbang.

Di tadika juga, Imad sudah pun diajar tentang keistimewaan dan cara amalan berpuasa. Maka, sedikit sebanyak persediaan beliau dapat dipengaruhi oleh guru dan rakan-rakan sebaya.

Saya tidak berapa pasti dengan idea berpuasa pada usia sebelum pra sekolah. Ini adalah kerana sebab-sebab di atas. Kadang-kadang, ibu bapa terlalu ghairah untuk menyuruh anak-anak berpuasa sehinggakan mereka lupa anak-anak belum pun lagi capai usia wajib berpuasa.

Sebagai ibu bapa, kita mesti tahu kadar dan faktor kekuatan serta kekurangan (limitations) anak-anak iaitu sama ada mereka benar-benar mampu berpuasa. Jika mereka tidak mampu secara mental malah lebih-lebih lagi secara fizikal, puasa mungkin boleh memudharatkan mereka.

1 Ramadhan 1433

Seperti biasa, berpuasa dimulakan dengan amalan bersahur. Yop, Naurah dan Imad, kami kejutkan pada pukul 5 pagi.

Sehari sebelum itu kami sudah pun bertanyakan kepada mereka apa yang mereka mahu makan ketika sahur. Maka, semangkuk Coco Crunch untuk seorang disediakan. Kami tidak memaksa mereka memakan karbohidrat yang lain kerana memahami betapa tidak biasanya mereka untuk memakan ‘berat’ sewaktu sahur. Sekadar minum air kosong yang lebih sudah memadai.

Alhamdulillah 1 Ramadhan diraikan di kampung Pasir Puteh, Ipoh. Risau juga sekiranya mereka dahaga di dalam perjalanan. Sekali sekala, kami bertanya kepada anak-anak akan keadaan mereka. Kami juga menyuruh mereka tidur semasa dalam perjalanan sekiranya berasa penat. Mungkin kerana terlalu gembira pulang ke kampung menyebabkan mereka lupa akan keletihan berpuasa.

Iftar di rumah Opah sangat meriah.

Sepupu-sepupu dari Kampung Manjoi datang menziarahi rumah opah. Anak-anak sungguh gembira. Tambahan pula pelbagai makanan disediakan bagi menjamu 16 orang sekeluarga. Imad, Naurah dan Yop berjaya menghabiskan puasa 1 Ramadhan. Kami memuji anak-anak di atas kejayaan mereka terutama Imad yang kali pertama berpuasa.

Kelonggaran Berbuka Versus Kelonggaran Tidak Berpuasa

Di antara tip kejayaan anak-anak berpuasa ialah kami tidak pernah menghadkan tempoh mereka berpuasa sebelum mula berpuasa. Kami percaya anak-anak harus digalakkan berpuasa dan berbuka hanya apabila mereka merasa tidak mampu atau lemah.

Menggunakan hukum fekah orang sakit, anak-anak digalakkan cuba berpuasa terlebih dahulu lalu berbuka sekira tidak mampu sebelum belum apa-apa lagi sudah menyerah kalah berniat untuk tidak berpuasa.

Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):

“Sesungguhnya Allah menyukai rukhsahNya dilaksanakan sebagaimana Dia membenci maksiatNya dilakukan”. [HR Ahmad – sahih menurut Ibnu Hibban dan Ibnu Hizaimah]

Ini sama seperti aplikasi solat jamak di mana Allah memberi kelonggaran (rukhsah) menjamakkan solat bagi mengelakkan daripada meninggalkan solat.

Maka, keutamaannya ialah berpuasa dan kemudiannya diberi kelonggaran (rukhsah) berbuka sekira tidak mampu.

Menu Makanan

Sahur yang berikutnya, anak-anak terus bersama menu Coco Crunch. Hanya pada sahur ke empat, kami memujuk mereka untuk menjamah nasi dan karbohidrat yang lain. Alhamdulillah mereka mula menjamah selain bijirin apabila semakin biasa dengan amalan bangun sahur.

Pada awalnya saya juga meminta suami membelikan multi vitamin untuk anak-anak. Namun, apabila melihat selera anak-anak sangat baik, kami terlupa langsung untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, saya tetap mengesyorkan pengambilan multi vitamin untuk memberi tenaga terutama buat anak-anak yang kurang berselera untuk makan.

Periksa Kadar Hidrasi

Dalam tempoh anak-anak kami berpuasa terutamanya Imad, saya dan suami sentiasa memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi iaitu kekeringan air di dalam badan. Saya akan memastikan tiada tahap kekeringan lidah yang serius, cengkung pada bawah mata atau kadar nadi yang lemah.

Anak yang sihat dan cukup hidrasi ialah anak yang kekal bertenaga dan aktif.

                    Mata cengkung

Namun sekiranya mereka terlalu aktif, kami akan pastikan mereka tidur sekejap di waktu siang selepas waktu sekolah. Kawalan kepada aktiviti mereka perlu bagi mengurangkan air hilang daripada badan melalui pernafasan dan peluh.

Fleksibel Dan Tidak Rigid

Pada tengahari Ramadhan ke 10, Yop didapati demam panas. Kami membenarkan Yop berbuka. Namun, Yop memilih hanya untuk meminum air kosong dan sebiji Panadol lantas meneruskan ‘puasa’nya tanpa mengambil sebarang makanan sehingga masuk waktu maghrib. Itu pilihan beliau. Namun dari masa ke semasa, saya terus memantau beliau.

Imad juga mengalami beberapa insiden ‘accident‘. Imad terminum air milo dan air oren pada Ramadhan ke dua dan ke tiga. Kami hanya menyuruh Imad menyambung puasa kerana ianya hanya beliau terlupa, tanpa dikenakan sebarang hukuman mahupun teguran.

Reward Dan Galakan

Selain berpuasa dan bersahur bersama-sama, kami juga menggalakkan anak-anak solat berjemaah. Pujian dan ciuman diberi setiap kali mereka melakukan ibadah berjemaah bersama.

Tidak salah jika ingin memberikan ganjaran berupa wang di hujung Ramadhan, namun saya berpendapat sekiranya setinggi itu nilai berpuasa di bulan Ramadhan maka mungkin tinggi lagi harga menunaikan solat lima waktu.

Adakah kita memberikan ganjaran atau pujian yang sama apabila anak-anak berjaya solat? Kesannya, mungkin anak-anak seronok untuk berpuasa tetapi tidak seronok apabila ‘dipaksa’ solat.

Setakat ini kami cuma berjaya membawa anak-anak beberapa kali solat sunat terawikh di masjid. Ini adalah kerana anak-anak kami cepat mengantuk sekitar pada pukul 9 malam, maka mereka sendiri meminta izin untuk berehat di rumah. Kerana mereka masih muda, maka kami memberikan sedikit kelonggaran kepada mereka. Memadailah mereka dapat menunaikan solat wajib 5 waktu. Mungkin di tahun-tahun hadapan mereka lebih bersedia.

InshaAllah, Ramadhan 1433H masih berbaki lebih separuh lagi. Maka, sama-samalah kita memeriah dan meraikannya dengan seisi keluarga khususnya buat anak-anak.

Ramadhan bukanlah sekadar lampu pelita, bunga api dan lampu warna warni untuk anak-anak kita. Ramadhan datang untuk semua dan dengan tujuan yang lebih besar daripada semua itu.

Kesimpulan:

1. Analisa usia anak yang mampu untuk berpuasa.
2. ‘Semangat’ ibu bapa versus kekurangan (limitation) anak-anak.
3. Persediaan dan pendidikan awal yang beterusan lagi suportif.
4. Apabila sudah bersedia, cuba untuk tidak hadkan tempoh berpuasa.
5. Makanan seimbang dan multi vitamin.
6. Rehat yang secukupnya.
7. Periksa kadar hidrasi.
6. Fleksibel.
7. Galakan dan ganjaran.
8. Jangan lupa amalan-amalan wajib dan sunat yang lain.


SUMBER: http://drmuna.wordpress.com/