Isnin, 22 Februari 2010

ADA HANTU BERDIRI...

"Ros...ada dengar cerita baru tak?" Tanya A sahabat saya suatu hari.

"Cerita ape lak." Saya tanya kembali.

"Ada 'hantu berdiri' kat tandas belakang. Takut saya nak ke tandas sana lagi." Kata A lagi.

"Ish, mengarutlah. Mana ada hantu siang-siang hari ni."Balas saya.

"Kita tak perlu takut. Mungkin 'hantu' tu nak suruh kita solat kut..." Tambah saya, sekadar dalam hati. Aduh, masih lemah iman saya ni.

Waktu tidak mengizinkan untuk saya menggunakan lidah sepenuhnya ketika bicara langsung itu. Sudah banyak kali saya membicarakan tentang kewajipan bersolat secara 'tunai', bukannya menggunakan 'cek tendang'.


Walaupun hati A sudah menerima isyarat 'tunai' itu, namun anggota badan kepunyaan Allah itu masih belum membuktikannya. Bilakah? Saya masih tertunggu-tunggu saat itu.

Lari Dari Hantu

Kekadang saya pelik dengan sikap sesetengah manusia. Terlampau ditakutinya sesuatu yang sama taraf dengannya, iaitu 'hantu'. Sama taraf yang saya maksudkan di sini ialah "hantu dan manusia" itu kedudukannya sama di sisi Allah. Semuanya sebagai hamba...makhluk...ciptaan Allah Yang Maha Kuasa.

Saya bukannya menafikan secara total wujudnya 'hantu' iyang dimaksudkan itu. Semuanya kuasa Allah. Ya, mungkin benar, mungkin juga tidak. Dalam al-Qur'an ada disebut tentang kewujudan makhluk halus ini, iaitu dalam surah al-Ahqaaf : 29, yang bermaksud:


"Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu..."


Dalam surah al-An'aam: 130, maksudnya:


"Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri..."


Banyak lagi sebenarnya ayat-ayat al-Qur'an yang menjelaskan tentang kewujudan makhluk halus ini. Begitu juga dengan hadith-hadith. Saya tidak bermaksud untuk menukilkan semuanya kerana topik perbincangan saya hanya memfokuskan kepada solusi yang diambil A ketika berhadapan dengan cerita 'hantu'.


Cuma saya merasa pelik dengan tindakan A. 'Lari dari tempat 'hantu' untuk lari dari berjumpa dengan hantu'. Kenapa perlu bertindak begitu?. Adakah ia satu jaminan bahawa tiada 'hantu' yang akan mengganggu.

Jawapannya pasti TIDAK bukan. Ini kerana 'hantu' hanya akan menjauhi seseorang itu apabila keimanan kuat bertapak di hati. Saya tidak nafikan, kekadang 'hantu' ini akan mengganggu juga walaupun keimanan sudah 'bertapak'. Namun dengan penambahan iman dari sehari ke sehari, InsyaAllah 'hantu' itu tidak akan kekal lama 'bersama' kita. 'Hantu' akan pergi juga.

Isilah ruhani dengan ketakwaan. Kembalikan jasad dan ruh kepada Empunya. Sujud kepadanya, usah ditangguh-tangguh...kerna hanya Empunya yang Maha Tahu bilakah waktunya jasad dan ruh itu akan kekal kembali pada-Nya.

Mauk
Jumpa Hantu


"Ros, kitak mauk pegi sinei." Sapa rakan setugas, Siti dalam loghat Sarawak.

"Kamek mauk jumpe 'hantu berdiri'. Kitak mauk jumpe juak kah?
" Tanya saya sambil tersenyum.

Siti hanya tersenyum. Dia faham maksud saya, hendak ke tandas untuk berwudhuk bagi melangsaikan kewajipan terhadap Yang Maha Esa.


Hanya sekadar itu perkongsian saya. Jumpa lagi!


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"





Sabtu, 13 Februari 2010

TAK BERNYAWA


Tak bernyawa!

Itu yang saya rasakan apabila curahan idea tidak kunjung tiba. Puas dikerah otak untuk mengatur 'bicara' tapi tidak bertandang jua. Apabila berlegar-legar di laman sesawang rakan-rakan ‘blogger’ yang sentiasa hidup dengan pelbagai curahan idea, terdetik juga rasa cemburu di jiwa.

Terfikir juga di hati saya. “Mungkin hati saya yang tak bernyawa, itulah sebabnya ‘blog’ saya tidak bernyawa". Mana mungkin kita masih hidup jika degupan nafas sudah terhenti.

Hati Yang Tidak Bernyawa

Mati

Beku

Kaku

Lesu

Pada saya, empat perkataan inilah yang paling sinonim dengan istilah tidak bernyawa.

Manusia yang mati sudah pasti tidak bernyawa lagi. Degupan jantung sudah berhenti. Tidak akan hidup lagi kecuali pada hari akhirat apabila dibangkitkan untuk dihitung amal mereka.Waktu itu sudah tiada guna lagi kehidupan mereka melainkan orang-orang yang beriman. Golongan ini sudah pasti akan menjadi tetamu Allah di syurga nan abadi.

Bagaimana pula dengan golongan yang satu lagi? Di manakah posisi mereka? Kalau tidak di syurga pastinya ke neraka. Bukankah syurga itu lawannya neraka. Atau mungkinkah berada di antara syurga atau neraka. Mengapa begitu keadaan mereka, tidak seberuntung golongan mukminin dan mukminat.

Semua ini pastinya berpunca dari hati. Hati mereka ini mungkin sudah tidak bernyawa sebelum Izra'il mengambil nyawa. Hati mereka telah mati untuk menerima kebenaran. Kaku lidahnya untuk mengatur bicara ketika berhadapan dengan kepalsuan dan pendustaan. Lantas, lesu pula fizikalnya untuk mengadap Ilahi serta melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’.

Hati yang mati sering dikaitkan dengan hati yang sukar untuk menerima kebenaran. Kebenaran yang pastinya akan mengiringi hidup manusia ke arah jalan yang lurus. Bukan setakat memandu hati kita ketika jasad masih hidup, bahkan turut mengiringi jasad kita yang akan kaku pabila sampai masanya nanti.

Hari ini kita dapati ramai di kalangan manusia telah ‘mati’ hatinya apabila menapis-napis kebenaran yang dibawa. Mana-mana kebenaran itu selari dengan dihidupnya ditimang-ditimang. Sebaliknya apabila didapati kebenaran itu tidak seiring dengan jalan hidup, dengan sewenangnya dibolak balikkan mengikut ‘mazhab’ sendiri.

Mengapa Hati Tidak Bernyawa

Apabila sampai masanya manusia akan menerima kunjungan Izra’il atas arahan Yang Maha Kuasa, iaitu Allah (S.W.T). Tidak sesaat pun Izra’il menangguh-nangguhkan arahan Allah selaras dengan firman-Nya dalam surah Yaasin, ayat 82, maksudnya:

“Sesungguhnya perintah-Nya apabila ia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.”

Begitulah taatnya makhluk Allah yang bernama malaikat dalam menjunjung perintah-Nya. Maka, apabila terpisahnya antara nyawa dan jasad akan matilah manusia.

Hati pula akan mati apabila dicabut nyawanya oleh kekufuran beserta dengan ‘sekutunya’ yang lain iaitu kefasiqan, kebatilan, kemaksiatan dan kejahilan. Dengan kata lain, hati akan mati apabila manusia itu melaksanakan larangan Allah, sekaligus mengingkari perintah-Nya.

Apabila hati telah mati, hati itu akan susah menerima hidayah-Nya. Hati telah diselaputi dengan titik hitam pekat disebabkan oleh kekufuran, kefasiqan, kemaksiatan dan kejahilan. Akibatnya yang kufur akan terus kufur, yang fasiq akan terus fasiq, a’si akan terus dengan perkara maksiatnya dan yang jahil akan terus jahil.

Hati-hati ini sama sekali tidak sudi menyahut seruan iman disebabkan oleh keras, kaku dan lesunya hati mereka ke arah menjunjung perintah Allah. Alangkah malangnya kita sebagai manusia andainya hati terlebih dahulu tidak bernyawa sebelum malaikat Izra’il mencabut nyawa.

Golongan yang hatinya mati diibaratkan oleh Allah sebagai golongan yang lalai, sebagaimana dalam surah al-A’raf ayat 179, Allah telah berfirman dengan maksudnya berbunyi:

“Dan Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Rawatlah Hati

Apabila perut lapar kita akan mencari makanan agar perut yang lapar itu menjadi kenyang. Begitu juga dengan tubuh badan yang sakit perlu dirawat dan dicari ubat agar kesakitan yang dialami akan sembuh.

Hati juga walaupun telah mati, ia juga perlu dijaga, dirawat dan disantapi dengan pelbagai jenis vitamin agar ianya kembali hidup dengan cahaya-cahaya keinsafan, seterusnya sinar iman akan terpancar di jiwa. Maka sya’riat akan terpelihara dengan akhlak-akhlak al-Qur’an.

Antara santapan atau vitamin yang diperlukan oleh hati yang mati ialah:

-Ilmu yang bermanfaat

-Sifat-sifat Mahmudah

-Istiqamah

-Doa

Ayuh sahabat, sama-samalah kita jaga hati kita agar terus hidup dengan amalan-amalan ‘solihat’ agar hati kita terus hidup dengan pancaran keimanan. Insya’Alah, hati yang hidup ini bakal mengiringi kita apabila disapa Izrail pabila tiba saatnya nanti. Ameen ya Rabbal 'Alamin.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

13.02.2010

11.53P.M