Sabtu, 23 Oktober 2010

DI MANAKAH SILAPNYA?


Hari Khamis merupakan hari yang sangat meletihkan dan mengocak kesabaran. Fikiran pula berkecamuk dengan pelbagai beban. Beban? Oh! itu bukan beban. Itu adalah tanggungjawab....amanah-anugerah dari Allah.

Pada hari Khamis, tiga buah kelas hujung perlu saya masuk. Menghadapi pelbagai kerenah dari kelas-kelas ini kekadang membuatkan hati berkecamuk dengan pelbagai rasa. Bukan sekadar tiga rasa, tetapi pelbagai rasa.

Tahun 2

Masa pertama kelas tahun dua saya masuk, kelas umpama tempat pembuangan sampah. Semangat yang tinggi untuk memulakan tugas boleh menurun begitu sahaja. Jika pening kepala, maka makin bertambahlah pening.

Boleh dikatakan setiap masa, ketika saya berada di kelas ini, saya akan berpesan kepada murid-murid.

"Pastikan kelas bersih bila ustazah masuk."

Tetapi kelas tetap begitu. Bersepah- sepah macam sarang tikus. Belum lagi dicampur dengan bau yang begitu menyesakkan nafas.

"Kamu semua ni tikus ke?"

"Tak..." Pandai pula mereka menjawab.

"Boleh ke belajar kalau kelas kotor?"

"Tak boleh..."

"Kalau macam tu bersihkan kelas sekarang. Kalau sesiapa tempatnya ada sampah, ustazah ambik, kemudian masukkan dalam mulut kamu."

Cepat-cepat mereka membersihkan tempat masing-masing. Entah, apa nak jadi dengan mereka. Sekali ditekan suisnya, sekali berfungsi. Umpama robot.

Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

Tahun 3

Ini pula kelas hujung yang perlu saya masuk sebelum waktu rehat. Kebanyakan murid dari kelas ini teramat malas, terutama anak-anak Melayu Islam. Sering sahaja saya terfikir tentang sebab musababnya. Di manakah silapnya?

"Shafiqi...kenapa tak tulis, mana buku kamu?"

"Tak ada..." Jawab Shafiqi dengan suara yang tinggi, bersahaja dan ceria yang amat. Kepala didongakkan, manakala dua tangannya diangkat tinggi mengisyaratkan bahawa dia tiada buku.

Berbeza betul dengan keadaan saya sewaktu di alam persekolahan dahulu. Tidak berani mengangkat muka jika terlupa membawa buku. Berbaur perasaan tiga rasa. Rasa bersalah, takut disertai rasa hormat terhadap guru begitu tinggi sekali.

Dari awal tahun ke akhir tahun, itulah jawapan Shafiqi. Langsung tiada perubahan. Dia bukannya murid miskin, yang perlu saya bantu kewangannya untuk dibelikan buku.

"Ustazah!!!! Saya dah siapkan kerja rumah yang ustazah suruh..." Laung Breanady, dari tingkap kelas sambil melambai gembira dan ceria kepada saya.

Breanady merupakan murid iban. Dia bukannya murid cemerlang, bukan juga dari aras sederhana tetapi dari kategori murid aras satu-murid yang lemah. Namun, Breanady murid yang rajin. Setiap kerja Bahasa Arab yang saya berikan seringkali dia berjaya siapkan pada waktu yang ditetapkan.

"Jangan bimbang jika kamu tak pandai... yang penting kamu rajin. Kamu akan jadi pandai kalau kamu rajin. Tapi, kalau kita malas, kita tak akan ke mana..mereka yang pandai pun akan jadi bodoh. Esok-esok kalau dah habis sekolah, ibubapa dah tua siapa nak beri makan kat mereka? Kita nak makan apa? Siapa nak bagi kerja kat kita kalau kita tak tahu baca dan tulis?"

Nasihat ini sering saya titipkan buat anak-anak didik saya, terutama murid-murid dari kelas hujung. Breanady antara murid yang makan nasihat saya, manakala Shafiqi hanya memandang nasihat guru itu bagaikan angin yang menderu sekali lalu sahaja.

Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

Tahun 1

Setiap hari Khamis, jadual waktu mewajibkan saya mengajar di kelas ini pada pukul 5.30 petang. Kelas akan berakhir pada pukul 6.00 petang.

Dengan keadaan kelas dan murid yang pastinya tidak kondusif lagi dari semua sudut, peranan guru amat penting di hujung waktu begini. Murid-murid sudah kehilangan mood kerana menantikan loceng mengeluarkan suaranya yang paling nyaring dan merdu di telinga setiap murid dan guru.

Guru pula sudah diuji dengan pelbagai rencam yang ada. Aroma yang tidak menyenangkan berselang seli datang mengganggu, namun semua itu tidak mematahkan semangat guru untuk terus mencurah ilmu.

"Kenapa awak lintang pukang ni...melompat-lompat atas meja...Anis, Ratifa, Davis...kalau kamu terjatuh...luka berdarah...patah riuk... macamana?" Terdiam sahaja mereka bertiga. Ini hanya mereka bertiga yang dapat saya tangkap, yang di 'sebalik arasy' entah-entah lebih dahsyat dari mereka bertiga.

Mereka bertiga ini kalau di hadapan saya bukan main tunduk, di belakang ya Allah hanya Tuhan yang Maha Tahu.

Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

"Ya Allah ya Tuhanku, aku amat memerlukan bantuan-Mu, aku amat memerlukan petunjuk-Mu dalam mendidik anak-anak ini agar mereka mampu menjadi khalifah-Mu. Khalifah yang memakmurkan bumi ini dengan secukup rasa...ilmu...iman dan amal."



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

9 ulasan:

  1. Salam kitak..:)

    Semoga kitak sentiasa dalam rahmat dan kasih sayang~Nya..

    Banyak kamek dengar cerita macam tok, sukar untuk memasti salah sapa. Namun seawal pendidikan anak-anak semuanya dari kedua ibubapa mereka. Dari mula memilih pasangan itu sudah dikira berlakunya pendidikan.

    Kemudian bila sudah bernikah dan mengandung bayi yang pertama, didikan itu diteruskan dengan amalan soleh esperti solat, berpuasa, membaca al-quran dan amalan sunat yang lain berterusan hingga anak lahir ke dunia.

    Bila perkara macam tok ibubapa sik polah maka masalah yang kitak kemukakan akan timbul. Belum dikira bab rezeki dan makanan yang ibubapa perolehi, semuanya menyumbang kepada pendidikan anak-anak. Dan banyak lagi susulan pendidikan yang harus ibubapa lakukan sebelum mereka menghantar anak-anak mereka ke sekolah.

    Wallahu'alam...panjang komen kamek tok..:)

    BalasPadam
  2. moga akak tabah berdepan dgn semua cabaran2 tu..

    BalasPadam
  3. Assalamualaikum Ustazah.
    Semoga lebih tabah dalam mengharungi ranjau pelbagai karenah anak didik.

    Terima kasih sudi menabur bakyi di Bumi Kenyalang.

    Tanggungjawab perlu ditanggung bersama pihak ibubapa dan guru-guru, dalam memastikan modal insan ini nanti berguna untuk nusa dan bangsa serta agama.

    Teringat saya kepada kata2 kawan; bersyukur kerana ada murid, tugas kita jadikan mereka pandai, dan sudah pasti mereka tak pandai, sebab tu datang ke sekolah. Kalau tak ada murid, nak mengajar apa?

    Persoalan ini sering mengingatkan saya sendiri agar lebih dedikasi terhadap situasi seperti yang ustazah alami.

    Sekadar perkongsian.
    Terima kasih. Salam ceria

    BalasPadam
  4. Salam Ros.

    Terus terang kak nyatakan bahawa kak tak ada pengalaman mengajar anak-anak sekolah rendah.

    Kak pernah mengajar kelas hujung tingkatan 1H, dan Tingkatan 2 kelas hujung juga tapi dah tak ingat sama ada D atau E,(GURU SANDARAN TAK TERLATIH- 1970an) memang terpaksa banyak bersembang memberikan motivasi.. kena banyak melayan pertanyaan-pertanyaan kadang-kadang seperti mengajar CIVIC pula masa tu, padahal ajar Matematik dan sains Pertanian.

    Pendapat kak, sekarang ini lebih banyak faktor yang menjadikan kanak-kanak seperti itu berbanding dulu, selain berpunca daripada didikan di rumah, faktor persekitaran juga menambah rumitkan keadaan. Ada kanak-kanak bila di rumah lain di sekolah lain perangainya, adakalanya mereka hormat guru lebih daripada ibu bapa dan adakalanya terbalik.

    Pengalaman kak mengajar pelajar Tingkatan 4 dan 5, (1993 - 2003) pelajar terpilih pula, jadi masalah disiplin agak kurang.Jika adapun setakat berleter tak mengajar je lah.. ya lah bila emosi terganggu apa lagi 2 waktu pun boleh berceramah .. kemudian ingatkan mereka jika nak belajar jangan bagi emosi cikgu terganggu..

    Semoga Ros diberi kesabaran, insyaAllah dengan berkat sabar anak-anak didik Ros jadi insan berguna suatu hari nanti. Kak juga teringat kata-kata PK kak dulu, kita ajar anak orang jadi baik, insyaAllah cikgu lain yang ajar anak kita jadi baik.

    BalasPadam
  5. ABD RAZAK

    Salam ...

    Semoga sentiasa dalam peliharaan Allah.

    Betul, pendidikan sepatutnya bermula dari rumah. Mengenal Allah merupakan seawal-awal pendidikan, sebab itulah kelahiran bayi disambut dengan azan dan iqamah.

    Pendidikan anak ini juga berkaitan dengan proses pemilihan suami atau isteri, sehinggalah sampai ke saat anak itu dilahirkan, dididik sehingga dewasa.

    Manakala sekolah pula merupakan tempat kedua anak-anak menerima pendidikan. Di sinilah bermulanya kerjasama antara ibubapa dan guru dalam mendidik mereka agar menjadi insan 'secukup rasa' atau 'tiga rasa' iaitu dengan rasa ilmu, iman dan amal. Wallahu A'lam.

    P/S: Terima kasih atas komen yang panjang, boleh buat satu entri tu :)



    NADIAH:Ameen...:)

    "Sesungguhnya Allah sentiasa bersama mereka bersabar"

    Terima kasih

    BalasPadam
  6. Salam

    ADMIN P@P: Ya, siapalah guru tanpa muri-murid.

    InsyaAllah, tanggungjawab ini akan dipikul selagi hayat dikandung badan.

    Semoga kepahitan hari ini akan menjadi manis pada esok hari dengan lahirnya modal insan yang berkualiti untuk kepentingan agama dan bangsa. InsyaAllah.

    Terima kasih cikgu :) .


    KAK WERDAH: Terus terang, saya tidak pernah bercita-cita mahu menjadi pendidik kepada muri-murid cilik ini. Namun segalanya adalah perancangan dan ketetapan Allah belaka.

    Sebelum menjadi 'guru terlatih' di sekolah rendah, saya berpengalaman sebagai guru ganti di MRSM dan Sek.Men Agama. Jadi masalah disiplin yang serius hampir tidak ditemui.

    Namun, perbezaan yang nyata dapat dilihat apabila berpeluang mengajar di sekolah rendah.

    Apa yang perlu dihadapi di sekolah rendah ialah sekadar kenakalan mereka. Kemahiran mengawal mereka sangat perlu dititikberatkan.Begitu juga dengan ketegasan.

    Berbeza dengan di sekolah menengah, masalah kebiadapan pelajar seringkali menyakiti hati guru.Sahabat saya seorang guru di sekolah menengah (biasa) pernah dicalarkan kereta beliau oleh pelajar. Di sekolah rendah sangat jarang berlaku masalah sebegini.

    Apapun, semua itu adalah ujian dan cabaran yang perlu kita hadapi dengan tabah dan penuh sabar.

    "Sabar merupakan hadiah yang terindah"

    Jazakillah khairan kathira... :)

    BalasPadam
  7. Salam Ros.
    Menjadi cikgu sebenarnya tidak semudah mengajar ABC sahaja, kan Ros?
    "
    "Ya Allah ya Tuhanku, aku amat memerlukan bantuan-Mu, aku amat memerlukan petunjuk-Mu dalam mendidik anak-anak ini agar mereka mampu menjadi khalifah-Mu. Khalifah yang memakmurkan bumi ini dengan secukup rasa...ilmu...iman dan amal.""

    amin.amin ya Allah

    BalasPadam
  8. Salam Ros,

    Saya tak pernah menjadi guru di sekolah, jadi tak dapatlah nak berkongsi pandangan tapi akak faham perasaan yang ditunggug oleh Ros dalam menjalankan tanggungjawab yang diamanahkan.

    Akak dokan Allah berikan ros kekuatan dan ketabahan dalam menjalankan amanah ini.

    BalasPadam
  9. Salam :)

    UMMU: Betul tu...mengajar itu bukan perkara yang mudah, ia memerlukan pengorbanan dan kesabaran yang tinggi. Tugas guru bukan sekadar mengajar, tetapi juga mendidik.

    Ameen ya Rabbal Alameen.

    Terima kasih ya Ummu :)


    KAK ANI: Ameen, ameen, ameen.

    Semoga Allah sentiasa menunjukkan jalan-Nya kepada saya dalam menghadapi segala ujian ini.

    Terima kasih Kak Ani :)

    BalasPadam