Jumaat, 13 Ogos 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH


Ramadhan hadir, diiringi dengan solat terawih. Mengerjakan solat terawih amat besar ganjarannya di sisi Allah andai dikerjakan ikhlas kerana-Nya. Sewaktu di alam persekolahan dahulu kita sering dihidangkan dengan hadis yang menjelaskan tentang kelebihan tarawih pada malam-malam tertentu di bulan Ramadhan.

Maka berpusu-pusulah kita mengerjakan solat terawih demi mengejar fadhilat-fadhiat tersebut tanpa menyedari bahawa hadis tersebut sebenarnya tiada langsung asas atau tiada sandaran daripada Nabi Muhammad (S.A.W). Hadis berkenaan dengan kelebihan terawih berdasarkan malam tertentu itu sebenarnya hadis palsu.

Di sini, suka saya untuk berkongsi artikel yang disalin dari sini. Semoga kita semua berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu yang dianggap datangnya dari junjungan kita Nabi Muhammad (S.A.W). Dalam hal ini, baginda telah bersabda dengan maksudnya:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.


Selamat membaca wahai pengunjunga budiman...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W.

Di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.

Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Semoga bermanfaat !

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

9 ulasan:

  1. Salam kitak..:)

    Apa kabar kitak tek? Moga kitak sihat hendaknya..

    Kamek di KL tok ialah lambat nak komen sitok..

    Dolok memang terkenal hadith kelebihan terawih tok, setiap malam imam atau ustaz baca sebelum memulakan solat, namun setelah mengetahui ianya tidak ketahui sumbernya dari mana, maka dengan perlahannya ia tidak dilaungkan lagi.

    BalasPadam
  2. Salam :)

    Alhamdulillah, sihat. Moga kita sihat juak.

    Sebenarnya banyak hadis yang masyhur dan 'biasa' di kalangan masyarakat kita terdiri daripada hadis palsu. Namun masih ramai yang tidak menyedarinya.

    Oleh itu kita hendaklah berhati-hati dalam menukil sesuatu hadis sebelum ia disebarkan kepada umum.

    Alhamdulillah saya berpeluang menulis disertasi tentang pentakhrijan hadis semasa di kampus dahulu.

    Sedikit sebanyak ilmu ini memberi pencerahan kepada diri sendiri, dan insyaAllah akan dikongsi bersama.

    Terima kasih pendpat kitak. Semoga mendapat barokah-Nya. Ameen.

    P/S: Pergi KL shoping raya kah? :)

    BalasPadam
  3. Salam Ros,

    Sebenarnya manusia sekarang terlalu materialistik sehingga terbawa-bawa kepada soal ibadah. Semua nak dikira.

    Ibadat dilakukan untuk mendapat ganjaran. Tada ganjaran tak buat. Sepatutnya kita ikhlas melakukan apa yang disuruh oleh Allah.

    BalasPadam
  4. Salam kitak..:)

    Tujuan kamek ke KL tok ada urusan sikit perlu dibereskan..

    Kitak kelak raya siney? Balit kampong erk!

    BalasPadam
  5. Salam :)

    KAK ANI:Betul tu Kak...manusia sekarang terlalu mengejar pahala sehingga lupa kualiti ibadah yang dikerjakan.

    Sepatutnya kita ikhlas melakukan ibadah kerana Allah. InsyaAllah pahala akan mengiringi kita apabila redha dan rahmat Allah telah dapat dicapai.

    Manusia hari ini juga terlalu mengharap balasan apabila melakukan amal kebajikan tanpa menyedari bahawa Allah telah terlebih memberi.

    Bila pula kita memberi jika hanya menerima semata-mata. Sama-sama kita renungkan ye Kak...

    Terima kasih :)

    ABD RAZAK: Aok,insyaAllah 4 sept kamek balit kampung...di situk kamek sebatang kara ...ish ish ... :)

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. Salam Ros.

    Kak pun masih dengar lagi tentang fadhilat terawih ikut malam-malam ni dari salah satu corong radio pada tahun ni.

    Maknanya mereka masih tak memahaminya, mudah2an kita ikhlas bila berterawih, semoga Allah bagi kefahaman dan kekuatan serta kesihatan kepada kita dalam beramal dan yang penting supaya Allah bantu kita mengikhlaskan diri.

    BalasPadam
  8. saya ada juga membaca tentang tidak tepatnya "hadis' tersebut...
    terima kasih ros, mengingatkan semula

    BalasPadam
  9. Salam :)

    KAK WERDAH: Dulu saya juga pernah baca majalah yang agak islamik tentang kelebihan bertarawih mengikut malam2 tertentu ni. Saya telah menghantar surat tentang kepalsuan hadis ini kepada majalah tersebut.

    Alhamdulillah pada tahun berikutnya tiada lagi 'kelebihan-kelebihan tarawih mengikut malam2 tertentu ini' dipaparkan di dada majalah tersebut.

    Stesen radio tersebut sewajarnya ditegur, mereka mungkin terlepas pandang tentang kepalsuan hadis tersebut.

    Semoga kita ikhlas melakukan ibadah,begitu juga dengan ibadah tarawih. Ganjaran dari-Nya pasti mengiringi keikhlasan kita,insyaAllah.

    KAK NORMAH: Terima kasih kembali Kak ...:)

    BalasPadam