Khamis, 26 Ogos 2010

BERKUALITIKAH AMALAN KITA...(kemaskini)


15 Ramadhan telah dilewati...Imbang PenuhRamadhan bulan yang mulia, bulan yang dibuka pintu kebaikan seluas-luasnya oleh Allah (S.W.T). Amalan yang dilakukan pada bulan ini akan dilipat gandakan ganjarannya.

Persoalannya adakah kita sudah menghayati Ramadhan ini sebenar-benarnya? Apakah Ramadhan yang dilalui hari ini lebih baik dari semalam? Apakah benar amalan yang kita lakukan ini diterima oleh Allah? Adakah amalan yang kita lakukan mendapat keredhaan-Nya?Jawapannya...Tepuk dada tanyalah iman...

Apabila tibanya Ramadhan sudah pasti produk-produk trendy akan kembali untuk meraikan Syawal. Biskut bermacam biskut, kuih bermacam kuih, kek bermacam kek dan pelbagai produk lagi yang tidak terhitung jumlahnya.

Begitu juga dengan kemeriahan amalan yang dilakukan di bulan barakah ini. Bermacam-macam amalan dilakukan seperti solat terawih, solat tahajud, tadarus al-Qur’an, bersedekah dan seumpamanya.

Semakin lama Ramadhan dilewati semakin banyak produk-produk trendy ditemui. Di mana-mana sahaja. Di bazar Ramadhan, pasaraya, kedai runcit dan juga di gerai-gerai tepi jalan. Hendaknya amalan yang kita lakukan pada bulan ini juga semakin meningkat kualitinya bermula dari 1 Ramadhan sehingga ke hujung Ramadhan.

Semoga kita semakin bersemangat meraikan ibadat di bulan barakah ini sama seperti semangatnya kita melayani persediaan menyambut Syawal. Semoga kita tidak termasuk dari kalangan yang hanya berebut-rebut melakukan ibadah pada awal Ramadhan, manakala di pertengahan Ramadhan kita leka dan alpa dengan semangat menyambut 1 Syawal yang bakal tiba.

Jangan hendaknya kita sekadar pulun ibadat hanya pada awal Ramadhan. Semakin lama Ramadhan diredah keimanan seakan sudah semakin mahu rebah. Rebah untuk mencari kegembiraan yang tidak pernah sudah.

Mengapa Ibadat Kita Semakin Kurang Kualiti

Setiap organisasi pasti akan berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan agar memenuhi kehendak para pelanggan. Perkhidmatan atau produk yang berkualiti tidak akan terjadi dengan sendirinya. Ia perlu diurus dengan bersistem, untuk memperolehinya dengan konsisten.

Menitip kata-kata dari SIRIM “Right at first time and every time”. Begitu juga dengan ibadat yang kita lakukan. Kita seharusnya menjaga ibadat di bulan Ramadhan ini agar ia tidak hanya menjadi trend semata-mata, sebaliknya perlu memastikan agar ibadat tersebut tetap “Right at first time and every time”.

Dalam erti kata lain, ibadat ini tetap diteruskan dengan istiqamah yang tinggi walaupun Ramadhan semakin jauh meninggalkan kita. Lebih manis lagi andainya ibadat yang dilakukan di bulan Ramadhan ini berterusan hingga ke sebelas bulan yang berikutnya.

Natijahnya, pasti sahaja Ramadhan yang ditinggalkan bisa di anugerahi dengan ijazah kelas pertama, iaitu "Ijazah Takwa". Sejajar dengan firman Allah, yang bermaksud:

" Wahai orang-orang beriman, berpuasalah kamu seperti mana orang terdahulu berpuasa, moga-moga kamu bertakwa."
Solat Sebagai Pemimpin

Solat lima waktu sangat penting dalam kehidupan muslim. Solat diumpamakan sebagai tiang bagi sebuah bangunan. Mana mungkin akan tertegak sebuah bangunan andai tidak dipasakkan dengan tiang yang kukuh. Mana mungkin ibadat kita diterima andai solat yang berkualiti tidak mampu ditegakkan dengan keimanan yang utuh.

Betapa pentingnya solat dalam kehidupan muslim, sehingga dinilai sebagai ibadat pertama yang akan disoal pada hari akhirat kelak. Rasulullah (S.A.W) telah bersabda dalam sebuah hadis sahih yang bermaksud:

"Sesungguhnya perkara pertama yang dipersoalkan seseorang hamba pada hari akhirat nanti ialah ibadat solat..."
Untuk memastikan semangat beribadat ini tetap berterusan hingga ke hujung Ramadhan, pastikan solat lima waktu ditunaikan sebaik yang mungkin, bukan sekadar melepaskan batuk di tangga.

Solat yang berkualiti pasti dapat mencegah diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah. Bertepatan dengan firman Allah (S.W.T) yang bermaksud:

"Sesungguhnya solat itu dapat mencegah (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar."(Surah al-Ankabut: 45)
Solat yang berkualiti pasti akan memimpin kita untuk mencari redha-Nya. Apabila redha Allah tercapai ganjaran yang dijanji pasti akan dikecapi. Sebaliknya, ibadat yang dilakukan semata-mata kerana ganjaran, keredhaan-Nya belum tentu kita kecapi.

Pulun Ibadat

Masalah yang timbul hari ini ialah apabila kita berebut-rebut untuk pulun ibadat demi untuk mengejar ganjaran yang berganda dari Allah. Ya, tak salah kita mengejar ganjaran tetapi kita juga perlu fikirkan apakah nilai ibadat yang kita lakukan itu setaraf dengan ganjaran yang dikejar. Kalau pun tidak setaraf, biarlah sentiasa meningkat tahap kualitinya. Pastikan hari ini lebih baik dari semalam.

Keredhaan Allah sering dilupai kerana terlalu mengejar ganjaran-Nya. Hanya beria-ria dan bersungguh ketika musimnya sahaja. Bila sudah habis musim tersebut habislah segalanya. Habis manis bulan Ramadhan, sepahnya dibuang-buang di 11 bulan seterusnya. Na'uzubillah.

Akhirnya, sama-samalah kita muhasabah diri. Sentiasa renovate iman kita agar sentiasa meningkat kualiti disi-Nya. Sama-sama kita renungi sebuah hadis yang mana maksudnya berbunyi:

Sesungguhnya Allah taala sukakan kepada orang yang bekerja apabila ia bekerja, ia sentiasa memperbaiki mutu prestasinya.” (Hadis bertaraf hasan)


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

8 ulasan:

  1. Salam kitak...

    Moga Allah limpahkan kesihatan buat kitak dalam menjalankan ibadah puasa dan juga ibadah khusus yang lain.

    Hendaknya kita istiqamah dalam beribadah meskipun ibadah yang kita lakukan itu kecil sahaja, tetapi jika dilaksanakan secara
    istiqamah, maka ia lebih disukai oleh Allah berbanding yang besar,
    tetapi tidak disertai dengan sikap istiqamah. Dan kita sering menambahkannya dari hari ke hari, bulan ke bulan dan tahun ke tahun, Kerana istiqamah itu tidak dapat dibuktikan pada amalan sehari dua, malah ia perlu berterusan tanpa niat untuk menunjuk-nunjuk pada orang lain, ia dilakukan atas dasar ikhlas kerana Allah SWT.

    Mudah-mudahan, kita mampu dan berdoa kepada Allah SWT, agar menjadikan diri kita, adik-beradik, lebih-lebih lagi kedua iba bapa kita, agar dimasukkan dalam kategori hamba Allah yang sentiasa dan kekal beristiqamah dengan Islam, berjuang kerananya dan mati pada jalannya, Amin.

    BalasPadam
  2. salam,

    semoga dengan keberkatan ramadhan ini kita mendapat limpahan rahmat-Nya jua..

    BalasPadam
  3. Salam Ros,

    Semoga amalan kita diterima Allah.

    BalasPadam
  4. Salam :)

    ABD RAZAK: Terima kasih...ulasan yang begitu panjang dan padat.

    Begitulah kendaknya...beribadat berdikit-dikit tetapi istiqamah lebih baik daripada ibadat yang banyak tetapi 'buat tak buat'.

    Ameen ya Rabbal Alameen, mudah-mudahan makbul doa kitak.


    PENJEJAK MAYA: Semoga keberkatan Ramadhan ini akan mendapat limpahan rahmat-Nya, seterusnya mengeluarkan kita sebagai seorang 'graduan' yang menerima Ijazah Takwa dari-Nya Yang Maha Esa...Ameen.

    Terima kasih atas ulasan ye :)

    BalasPadam
  5. Salam Kak Ani :)

    Semoga sihat sokmo deh...

    Ameen ya Rabbal Alameen...semoga amalan yang dilakukan mendapat redha-Nya, sekaligus mendapat ganjaran terbaik di sisi-Nya...

    Jazakillaah :)

    BalasPadam
  6. Salam,
    Terima kasih atas entri ini. Banyak panduan dan peringatan. Semoga Allah swt menerima segala ibadah kita. Amin !

    BalasPadam
  7. Salam Ros.

    Semoga sihat di sana.

    Semoga kita sentiasa mendidiki hati supaya istiqamah dalam beribadah dan dapat meraih keredhaanNya.

    BalasPadam
  8. Salam...

    LUAHFIKIRAN: InsyaAllah, jika kita beribadat ikhlas kerana-Nya sudah pasti Dia terima.Terima kasih kembali.

    KAK WERDAH: Alhamdulillah saya sihat, harap akak pun macam tu juga.

    InsyaAllah Kak...istiqamah memerlukan semangat yang tinggi, agar hati kita dapat dididik dengan sebaiknya..semoga redha-Nya dapat kita gapai...Ameen.

    BalasPadam