Jumaat, 18 Februari 2011

KEMBAR TIGA

Sumber Gambar

"Ok...ustazah nak kamu fikir apa jawapannya."

Saya berteka teki pula dengan murid-murid kali ini.

Mereka tidak boleh disuap selalu. Kemahiran berfikir perlu diterapkan agar hasilnya nanti bukannya 'seorang' robot yang hanya tahu menurut kata.

Menurut perintah membabi buta.

Tidak celik akal!

Belajar, Faham dan Fikir

Sekolah bukan sekadar tempat untuk menadah ilmu semata-mata, tetapi lebih dari itu. Belajar untuk faham. Dengan kata lain belajar untuk berfikir...berfikir dan berfikir...

Ada masanya otak para pelajar perlu dipaksa untuk mencari jawapan sendiri supaya mereka sedar bahawa menuntut ilmu itu bukannya satu perkara yang mudah.

Memerlukan usaha yang jitu dan bersepadu.

Untuk mendapatkan ilmu kita hendaklah rajin menghadapi segala ujian dan halangan yang sudah sedia terbentang.

Alangkah mudahnya murid-murid sekarang menuntut ilmu. Jika begitulah keadaannya, tidak mustahil ilmu yang ditadah itu bakal terlucut dari fikiran mereka dengan pantas.

Hari itu saya mengajar bahasa arab, tajuk Fii Fasli (Dalam Kelas Saya). Saya melukis gambar beserta perkataan di bawahnya. Cuma, untuk perkataan yang kelima, iaitu yang terakhir saya berikan mereka teka teki.

Fikir sendiri, apa yang dimaksudkan dengan perkataan yang diberi. Kamus fikiran perlu dibuka, bukannya mengharapkan guru yang menjadi 'kamus yang terbuka sendiri' setiap masa.

Teka Teki Saya

"Dia ini kembar tiga. Kalau lumba lari mereka akan sama-sama laju. Tiada siapa yang kalah. Tiada siapa yang menang. Sama-sama mula, sama-sama sampai."

Murid-murid mula berfikir, ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ada yang tersenyum mencari jawapan, ada juga yang melakar 1000 kerut di dahi. Segelintir murid yang lain pula 'relax' sahaja. Menunggu jawapan terhidang di depan mata.

Bermacam-macam jawapan diberi oleh mereka. Bermacam-macam juga 'klu' diberi oleh guru bahasa arab mereka. Namun jawapan yang tepat tidak mendatang jua.

Kelas menjadi kecoh seketika. Tidak mengapa. Kecoh kerana zikir dan fikir, bukannya membising tanpa arah tujuan.

Setelah lama memberi masa untuk mereka berfikir...

"Erm, tolong tutup kipas..." Arah saya kepada murid yang berada berhampiran dengan suis.

"Alah ustazah...panaslah..." Saya sudah agak ini respon mereka.

"Ok...Afiq...'on' semula kipas tu..."

Jawapannya...

"Oooo...kipas jawapannya kan ustazah..." Jawab beberapa orang murid.

Baru mereka sedar kelogikan guru mereka menutup kipas yang sedang berpusing riang sebentar tadi.

"Haa... itulah jawapannya..."

"Betulkan ustazah cakap...mereka ini si kembar tiga. Sentiasa bersama-sama.

Kerjasama

"Sama juga dengan kita. Kamu semua mesti sentiasa bekerjasama dengan guru yang mengajar kamu." Saya berhenti seketika melihat reaksi anak-anak didik saya.

"Kalau ustazah sahaja yang rajin, tapi kamu semua malas boleh tak kita belajar?"

"Tak..." Murid-murid menjawab serentak.

"Ok...kalau kamu...murid-murid sahaja yang rajin tapi guru malas mengajar. Boleh tak kamu belajar...". Saya membelit soalan yang sama.

"Tidak boleh..." Semakin nyaring suara mereka menjawab dan menjerit.

"Erm...kalau ustazah datang ke sekolah malam ni, kemudian ustazah mengajar sorang-sorang, kamu tak ada. Boleh tak berlaku proses pengajaran?"

"Tidak boleh...." Mereka menjawab sambil tersenyum.

Di fikiran mereka mungkin terbayang-bayang seorang guru mengajar tanpa murid.Lucu barangkali.

" Kalau macam tu, apa yang perlu kita buat ialah..." Saya berhenti seketika.

" ...kita hendaklah bekerjasama...apa yang penting kerjasama..." Saya mengulas lagi, mengikut rentak lagu Wonderpets.

"Kita semua kena bekerjasama. Ustazah mengajar, murid-murid belajar. Barulah semua akan jadi pandai. Macam kipas tadi juga. Sekali ditekan suis, semuanya sama-sama berpusing...Mana mungkin satu bilah atau dua bilah sahaja berpusing."

Entah betul atau tidak analogi yang saya berikan. Tetapi itulah idea yang menjengah tanpa dipinta. Saya berharap mereka faham dan fikir apa yang saya sampaikan.

"Kringgg...."Loceng berbunyi nyaring.

"Opps...nanti kita sambung ye..." Ujar saya.

Setelah menyambut ucapan syukur dari murid-murid, saya bergegas keluar untuk menyambung tugas seterusnya pada hari tersebut.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Selasa, 15 Februari 2011

MAULID: ANTARA SEJARAH DAN AMALAN

Sudah lama saya tidak menghiasi laman blog ini dengan entri baru. Walaupun tidak ramai yang berkunjung, namun ada juga rasa terkilan di hati kerana tidak dapat berkongsi hidangan rohani kepada tetamu. Saya telah cuba untuk menulis, tetapi seringkali berhenti di tengah jalan.

Saya cukup alah dengan masa. Masa sentiasa menghambat diri dengan kerja-kerja yang lebih penting, terutama yang melibatkan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai guru. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk tangguh...tangguh dan tangguh untuk menulis, mahupun menyambung penulisan.

Pada tahun ini tugas saya lebih berat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya telah diamanahkan untuk mengajar Bahasa Arab untuk 10 kelas. Belum lagi diganda dengan tugas-tugas sampingan lain.

Oleh kerana saya mengajar sesi petang, maka masa luang yang ada hanya dapat diperuntukkan untuk solat semata. Baki masa yang 'seciput' pula digunakan untuk menyelesaikan kerja sampingan lain yang tidak pernah surut.

Saya turut diamanahkan sebagai guru kelas tahun satu. Bila menjadi guru kelas tahun satu, segala-galanya mesti di bahu guru. Murid yang baru berumur 7 tahun...masih banyak perkara yang perlu dilatihtubi. InsyaAllah diriku akan berusaha menjadi pendidik yang sebaik mungkin wahai anak-anak didikku. Doaku, moga kalian akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.

Oh, saya sudah melalut jauh. Sebenarnya saya ingin berkongsi artikel yang dipetik dari Minda Tajdid. Semoga artikel ini dapat menjadikan kita sebagai seorang yang faham, bukannya taqlid semata-mata. Selamat membaca wahai sahabat yang dihormati semua.

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Ahad, 16 Januari 2011

RAGAM BALQIS


"Saya tak nak duduk kat depan." Kata Balqis, seorang murid tahun 1.
Melihat kepada perwatakan, Balqis kelihatan seorang anak yang agak manja dan rapat dengan bapanya. Entah berapa kali Balqis bersalam, bersalam dan bersalam dengan bapa beliau sebelum membenarkan bapanya meninggalkannya di kelas bersama rakan-rakan.

"Kenapa ni cik?" Tanya saya kepada bapa Balqis.

"Anak saya tak nak masuk kelas sebab kawannya belum datang." Bapa kepada murid yang bernama Balqis memberitahu.

"Kalau macam tu tunggu ajelah kawannya." Balas saya.

Dua minggu sudah berlalu musim persekolahan untuk sesi 2011. Namun masih ada murid-murid tahun satu yang tidak yakin pada diri sendiri untuk ditinggalkan bersama rakan-rakan di sekolah.

"Dah sampai kawannya cikgu." Bapa Balqis memberitahu.

"Ok, masuk ke kelas ye Balqis." Balqis masuk ke kelas selepas berulangkali bersalaman, berpelukan serta berbisik-bisik dengan bapanya. Rela dalam paksa, dilepaskan jua bapanya pulang.

"Balqis, duduk kat depan ye." Kata saya, mengharap agar Balqis duduk di atas tikar yang dibentangkan di hadapan kelas.

Namun Balqis masih membatu, sambil menggeleng-gelengkan kepala. Beliau menunjukkan ke arah kerusi, mengisyaratkan bahawa dia hanya mahu duduk di kerusi itu.

"Duduk kat depanlah. Boleh belajar bersama kawan-kawan. Jom...." Saya masih tidak putus asa . Cuba memujuk.

Balqis menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih enggan.

Otak saya ligat berjalan, masih mencari idea.

"Erm, kalau Balqis tak nak duduk kat depan, ustazah kena duduk kat luar la ye..." Sekadar menjentik emosinya, saya bersuara.

Balqis lalu menanggalkan kasut, terus duduk bersama-sama rakan sekelas. Pembelajaran bermula dan berakhir dengan lancar. Alhamdulillah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"

Ahad, 9 Januari 2011

UKHUWWAH ITU INDAH

Di sini ukhuwwah bermula...

Semalam, tanggal 8 Januari 2011 saya dan teman serumah pergi ke Serikin, iaitu sempadan antara Indonesia dan Sarawak. Pada mulanya kami tidak merancang untuk ke mana-mana pada hujung minggu ini memandangkan kesibukan dengan pelbagai urusan sekolah.

Namun, kehadiran sahabat saya, Kak Earnie bersama suami serta anak mereka dari Kota Kinabalu, menghentikan seketika perancangan awal saya untuk hanya berkurung di rumah sambil melayani urusan sekolah yang tidak pernah habis. Tidak wajar rasanya jika tetamu yang datang tidak dilayani dengan sebaik mungkin.

Di UKM Terciptanya Ukhuwwah

Saya mengenali Kak Earnie ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di UKM. Namun, pada waktu itu antara saya dan dia berhubung hanyalah sekadar rakan satu fakulti semata-mata. Untuk merapati beliau ketika itu saya rasa amat janggal sekali.

Dari mata kasar saya, beliau datang dari keluarga yang kaya, jadi saya rasa sangat segan untuk menegur dan merapatinya tanpa sebab yang penting. Pada masa tersebut hanya senyuman yang mampu diluahkan tanda perkenalan antara kami.

Namun setelah kami sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedua, segalanya berubah sama sekali. Kurangnya mahasiswi yang menyambung pengajian pada peringkat tersebut, terutamanya dalam bidang Usuluddin dan Falsafah telah merapatkan ukhuwwah antara kami berdua.

Pada masa itu baru saya sedar bahawa anggapan saya selama ini salah seratus peratus. Dari situ, kami sentiasa bersama-sama berbincang tentang kursus yang diambil, di samping berkongsi ilmu tentang tugasan dan nota kuliah.

Pernah saya utarakan rasa hati saya kepada beliau: "Dulu, saya tak berani nak dekati Kak Earnie. Dengan berkereta Wira hitam saya rasakan yang akak ni susah untuk didekati. Saya ingatkan akak ni sombong, tak sangka pula kita rapat sekarang ye..."

Kak Earnie hanya ketawa kecil sambil berkata: "Ramai yang anggap akak macam tu Raf..."

"...hakikatnya tidak begitu..." Sambung saya.

Benar kata-kata pepatah Inggeris: "Don't judge a book by its cover"

Tak kenal maka tak cinta!

9 Januari Ketemu Lagi

Alhamdulillah, cuaca yang baik pada hari ini seolah-olah merestui pertemuan kami sebelum beliau berangkat pulang ke Negeri Bawah Bayu pada malam ini. Kami kembali bersua hari ini. Seperti yang dirancang, termakbul jua hasrat saya untuk menjamu tetamu makan tengahari di rumah.

Sempat juga saya menyinsing lengan di dapur dengan memasak beberapa menu seperti kerutuk ayam, masam asam batang keladi, acar timun, sambal belacan dengan bacang serta ikan gelama masin.

Kerutuk Ayam

Masak Asam Batang Keladi

Sambal Belacan Campur Bacang

Walaupun penat dengan kesibukan pada awal tahun ini, namun peluang menjamu tetamu sangat memberi kepuasan kepada saya. Segala tekanan kerja yang dihadapi seminggu pertama persekolahan berlalu begitu sahaja. Benarlah, tidak rugi apabila kita memberi. Kebaikan akan kembali kepada kita jua. InsyaAllah.

Kelebihan Menjamu Tetamu

Rasulullah (S.A.W) telah bersabda dengan maksudnya:

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan
tamunya.”

Dalam sebuah atsar pula ada yang berkata:

"Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati tetamu"

Rasulullah s.a.w juga pernah ditanya:

"Apa itu Iman?"

Baginda telah bersabda (maksudnya) :

"Memberi orang makan dan menyebarkan salam."

Jumpa Lagi Sahabatku

Semoga Kak Earnie tidak serik bertandang lagi. Maaf dipinta atas segala kekurangan yang ada. InsyaAllah, saya dan teman serumah akan berkunjung balas pada Mac nanti. Didoakan agar dirimu sampai di Bumi Sabah dengan selamatnya, dan semoga ukhuwwah ini akan terus mewangi di bawah redha Ilahi.

Ya ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini

telah berkumpul kerana mengasihiMU,

bertemu untuk mematuhi perintahMU,

bersatu memikul beban dakwahMU,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk

mendaulat & menyokong syariatMU,

maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatanya...

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini

akan jalanNYA yang sebenar,

Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu

Lapangkanlah hati-hati kami dengan

limpahan iman dan keyakinan

dan keindahan tawakkal kepadaMU,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan

ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

maka matikanlah pemilik hati-hati ini

sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,

Engkaulah sebaik-baik sandaran

dan sebaik-baik penolong...

Ameen ya Rabbal 'Alameen.



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Isnin, 20 Disember 2010

PERSAHABATAN YANG TERJALIN INI...

Dua minggu cuti yang berbaki ini, memberi ruang kepada saya untuk mengemas beberapa barang peribadi termasuk koleksi-koleksi majalah dan buku. Dalam sibuk berkemas saya terjumpa satu catatan puisi yang dicatat pada tahun 2000.

Sekadar perkongsian, saya titipkan puisi ini buat semua sahabat 'blogger'. Semoga ada sisi manfaatnya, walau mungkin hanya cebisan semata.

Persahabatan yang terjalin ini...
tanpa sedar telah sampai ke penghujungnya
telah mengukir banyak kenangan untuk diingati
pahit...manis...
pahit...berkerut dahi
mencari destinasi
tugasan yang diberi
manis...senyuman hiasi diri
tugasan akhirnya berjaya disudahi
dengan rasa ceria di hati

Persahabatan yang terjalin ini...
hendaknya terus mewangi
diberkati dan dikasihi
di bawah Panji Ilahi
Panji hakiki

Persahabatan yang terjalin ini...
harapnya tidak mudah diakhiri
kerna terlalu susah untuk dimulai
yang pasti persahabatan ini tetap kurai
sebagai persahabatan abadi
duniawi dan ukhrawi

Persahabatan yang terjalin ini...
bukan mudah untuk dilupai
kerna ia telah bersemi
di lubuk hati
persahabatan yang suci
moga kembali lagi di suatu hari
yang belum pasti....

"Dari Anjung K6R 104 UKM Bangi"

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH

Rabu, 8 Disember 2010

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w

Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

Hina Dan Mulia

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

Apakah Syurga Murah?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

Banyak Dan Sedikit

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

Tidak Sampai Ajaran

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

Insafi Diri

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

SUMBER: http://drmaza.com/home/?p=1191#more-1191


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Isnin, 6 Disember 2010

SELAMAT TAHUN BARU... :)


"Selamat tahun baru 1432H buat semua teman 'blogger' . Semoga esok lebih baik dari semalam"

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana ALLAH"

Selasa, 16 November 2010

SALAM 'IDUL ADHA

Selamat menyambut 'Idul Adha 1431H buat semua sahabat.

Semoga kita semua dapat menghayati erti falsafah 'korban' yang sebenar.

Berkorban apa saja demi Allah yang Maha Mencipta... :)

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"

Rabu, 3 November 2010

SAMA TAPI TAK SERUPA


"Ros, baju awak ukurannya kecil sedikit kan...Berbeza dengan baju-baju yang lain." Tegur rakan setugas, Rina.

"Oh..ye ke...Patutlah rasa macam tak selesa aje bila dipakai baju ni. Nampaknya, sekali ini sahajalah saya pakai baju ni. Bagi pada adik pun ok juga. Adik saya lebih kurus."Jawab saya.

"Eh, terus nak beri pada adik? Pakai ajelah. Jangan pakai di sekolah, tapi pakai di luar." Usul Rina kepada saya.

Mungkin, bagi Rina tidak wajar jika saya memberikan baju ini kepada adik, memandangkan baju tersebut baru sahaja saya rasmikan.

"Erm, boleh ke macam tu...hukum pakai di sekolah dengan di luar sekolah berbeza ke..." Saya jawab dengan meninggalkan satu persoalan.

Antara saya dan Rina wujud hubungan persahabatan yang telus. Saya boleh tegur dia, dia juga boleh menegur saya. Kami rasa sangat selesa dengan hubungan sebegini.

Alhamdulillah, setakat persahabatan yang tersimpul selama 4 tahun, cara tegur menegur antara kami juga tidak pernah mengundang rasa yang tersimpan di hati. Rasa tidak puas hati kami selalu sahaja diluahkan, tiada simpan-menyimpan.

"Teringat pula saya tentang cerita salah seorang adik perempuan saya. Adik saya pernah keluar pada waktu malam tanpa menutup aurat dengan lengkap sebagaimana pemakaiannya pada waktu siang. Lalu ditegur oleh salah seorang hamba Allah..." Saya mula bercerita kepada Rina dan beberapa orang rakan yang berkebetulan bersama-sama kami.

"Aik, lain pulak bila malam." Tegur hamba Allah itu, merujuk kepada perbezaan cara pemakaian adik saya pada waktu siang dan malam.

"Ini kan waktu malam..." Ringkas jawapan adik saya.

"Ooo...waktu malam lain hukum, siang pulak lain ye..." Balas hamba Allah itu dalam nada bergurau.Mungkin ini salah satu cara dakwah yang berkesan. Santai!

Adik saya sekadar tersengih sahaja. Benang yang basah mana mungkin mampu ditegakkan.

"Oh, samalah dengan kes saya...Saya juga pernah ditegur adik, bila tidak bertudung di hadapan lelaki Indon. Lelaki Indon datang nak baiki rumah." Giliran Rina pula bercerita.

Semua berpandangan untuk mendengar cerita Rina selanjutnya. Rina sememangnya seorang yang pandai bercerita. Mampu menarik ramai orang untuk mendengar ceritanya.

"Itukan orang Indon...". Jawab Rina apabila ditegur adiknya.

"Oh, dengan orang Indon lain pula hukumnya ye..." Cerita Rina tentang respon adik nya sambil tersenyum, menyedari kesilapan diri.

"Sama tapi tak serupa!" Detik hati saya.


Sabtu, 23 Oktober 2010

DI MANAKAH SILAPNYA?


Hari Khamis merupakan hari yang sangat meletihkan dan mengocak kesabaran. Fikiran pula berkecamuk dengan pelbagai beban. Beban? Oh! itu bukan beban. Itu adalah tanggungjawab....amanah-anugerah dari Allah.

Pada hari Khamis, tiga buah kelas hujung perlu saya masuk. Menghadapi pelbagai kerenah dari kelas-kelas ini kekadang membuatkan hati berkecamuk dengan pelbagai rasa. Bukan sekadar tiga rasa, tetapi pelbagai rasa.

Tahun 2

Masa pertama kelas tahun dua saya masuk, kelas umpama tempat pembuangan sampah. Semangat yang tinggi untuk memulakan tugas boleh menurun begitu sahaja. Jika pening kepala, maka makin bertambahlah pening.

Boleh dikatakan setiap masa, ketika saya berada di kelas ini, saya akan berpesan kepada murid-murid.

"Pastikan kelas bersih bila ustazah masuk."

Tetapi kelas tetap begitu. Bersepah- sepah macam sarang tikus. Belum lagi dicampur dengan bau yang begitu menyesakkan nafas.

"Kamu semua ni tikus ke?"

"Tak..." Pandai pula mereka menjawab.

"Boleh ke belajar kalau kelas kotor?"

"Tak boleh..."

"Kalau macam tu bersihkan kelas sekarang. Kalau sesiapa tempatnya ada sampah, ustazah ambik, kemudian masukkan dalam mulut kamu."

Cepat-cepat mereka membersihkan tempat masing-masing. Entah, apa nak jadi dengan mereka. Sekali ditekan suisnya, sekali berfungsi. Umpama robot.

Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

Tahun 3

Ini pula kelas hujung yang perlu saya masuk sebelum waktu rehat. Kebanyakan murid dari kelas ini teramat malas, terutama anak-anak Melayu Islam. Sering sahaja saya terfikir tentang sebab musababnya. Di manakah silapnya?

"Shafiqi...kenapa tak tulis, mana buku kamu?"

"Tak ada..." Jawab Shafiqi dengan suara yang tinggi, bersahaja dan ceria yang amat. Kepala didongakkan, manakala dua tangannya diangkat tinggi mengisyaratkan bahawa dia tiada buku.

Berbeza betul dengan keadaan saya sewaktu di alam persekolahan dahulu. Tidak berani mengangkat muka jika terlupa membawa buku. Berbaur perasaan tiga rasa. Rasa bersalah, takut disertai rasa hormat terhadap guru begitu tinggi sekali.

Dari awal tahun ke akhir tahun, itulah jawapan Shafiqi. Langsung tiada perubahan. Dia bukannya murid miskin, yang perlu saya bantu kewangannya untuk dibelikan buku.

"Ustazah!!!! Saya dah siapkan kerja rumah yang ustazah suruh..." Laung Breanady, dari tingkap kelas sambil melambai gembira dan ceria kepada saya.

Breanady merupakan murid iban. Dia bukannya murid cemerlang, bukan juga dari aras sederhana tetapi dari kategori murid aras satu-murid yang lemah. Namun, Breanady murid yang rajin. Setiap kerja Bahasa Arab yang saya berikan seringkali dia berjaya siapkan pada waktu yang ditetapkan.

"Jangan bimbang jika kamu tak pandai... yang penting kamu rajin. Kamu akan jadi pandai kalau kamu rajin. Tapi, kalau kita malas, kita tak akan ke mana..mereka yang pandai pun akan jadi bodoh. Esok-esok kalau dah habis sekolah, ibubapa dah tua siapa nak beri makan kat mereka? Kita nak makan apa? Siapa nak bagi kerja kat kita kalau kita tak tahu baca dan tulis?"

Nasihat ini sering saya titipkan buat anak-anak didik saya, terutama murid-murid dari kelas hujung. Breanady antara murid yang makan nasihat saya, manakala Shafiqi hanya memandang nasihat guru itu bagaikan angin yang menderu sekali lalu sahaja.

Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

Tahun 1

Setiap hari Khamis, jadual waktu mewajibkan saya mengajar di kelas ini pada pukul 5.30 petang. Kelas akan berakhir pada pukul 6.00 petang.

Dengan keadaan kelas dan murid yang pastinya tidak kondusif lagi dari semua sudut, peranan guru amat penting di hujung waktu begini. Murid-murid sudah kehilangan mood kerana menantikan loceng mengeluarkan suaranya yang paling nyaring dan merdu di telinga setiap murid dan guru.

Guru pula sudah diuji dengan pelbagai rencam yang ada. Aroma yang tidak menyenangkan berselang seli datang mengganggu, namun semua itu tidak mematahkan semangat guru untuk terus mencurah ilmu.

"Kenapa awak lintang pukang ni...melompat-lompat atas meja...Anis, Ratifa, Davis...kalau kamu terjatuh...luka berdarah...patah riuk... macamana?" Terdiam sahaja mereka bertiga. Ini hanya mereka bertiga yang dapat saya tangkap, yang di 'sebalik arasy' entah-entah lebih dahsyat dari mereka bertiga.

Mereka bertiga ini kalau di hadapan saya bukan main tunduk, di belakang ya Allah hanya Tuhan yang Maha Tahu.

Di mana silapnya? Gurukah yang bersalah..atau salah ibu yang mengandung?

"Ya Allah ya Tuhanku, aku amat memerlukan bantuan-Mu, aku amat memerlukan petunjuk-Mu dalam mendidik anak-anak ini agar mereka mampu menjadi khalifah-Mu. Khalifah yang memakmurkan bumi ini dengan secukup rasa...ilmu...iman dan amal."



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"