Ahad, 13 Julai 2014

RAMADAN TANPA EMAK

Alhamdulillah, Ramadan berjalan dengan begitu baik. Cuaca pula tidak terlalu panas.

Alhamdulilah, selesai 8 rakaat bertarawih saya susuli dengan zikir " Lailaha illallah...wahdahu laa shariikalah...lahulmulku walahulhamdu yuhyii wa yumiit, wahuwa a'la kulli shay'in qadir. "

Alangkah sayunya tika zikir tersebut dialunkan, selepas sekali lafaz air mata tanpa segan mengalir pilu.Sendu... Teringat almarhumah emak. Tika emak terlantar, zikir inilah saya alunkan sentiasa, sambil diikuti oleh suara sayu emak yang sesekali menahan sakit.

Ada kalanya emak mahu rebah, namun saya cepat memujuk, memberi galakan demi galakan agar emak terus khayal dengan zikir mengingati ALLAH.

Saya ingatkan emak, sakit itu ujian ALLAH untuk emak yang menjadi pilihan DIA. Usaha, tawakkal, dan doa tetap kami, ayah, adik beradik akan terus iringi selagi nyawa dikandung badan.Itu tanggungjawab kami, amanah yang ALLAH titipkan buat kami.

Ramadan kali ini, walau panas tidak keterlaluan, namun hati dan keinginan seakan tidak cukup. Suasana terasa sangat berkurangan. Kali pertama Ramadan tanpa emak...Emak yang tidak jemu melakukan apa saja demi sebuah keharmonian dan kecukupan keluarga.

Ramadan, istimewanya tiada bandingan.

Ramadan barakahnya sangat ideal.

Ramadan...dengan barakahmu itu...ampunkan kami ya ALLAH, ampunkanlah emak di sana, tenanglah emak di sana...

Ya ALLAH berkatilah perjalanan hidup kami sekeluarga dengan diiringi barakah seorang bapa. Berikanlah peluang kami untuk berbakti untuk bapa di dunia.

Ya ALLAH di saat Ramadan masih setia ditelusuri, Engkau lorongkanlah jalan untuk kami menjejak jalan anak soleh/solehah. Mudahan amal kami sampai buat emak di sana. Aamiin.

#Rindu emak sangat-sangat.


#Semoga jumpa emak di syurga.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Tiada ulasan:

Catat Ulasan