Teringat satu ketika dahulu semasa saya masih lagi seorang remaja
yang semakin meningkat dewasa (lepasan SPM, berumur 18 tahun).
Setelah berpenat mencari buku-buku agama di beberapa toko buku di KL,
saya singgah di salah sebuah masjid untuk bersolat asar. Selepas solat,
saya berehat di masjid tersebut sambil memerhatikan ahli jamaah yang
sedang bersiap-siap untuk meneruskan agenda masing-masing.
Entah kenapa pemerhatian saya tertumpu kepada seorang ‘pak cik’ yang
berumur lebih kurang 40′an yang sedang menukar jubahnya. Saya agak
terkejut apabila melihat tatoo yang jelas kelihatan di beberapa tempat
di badan dan lengan pak cik yang sebelum ini berjubah.
Tanpa soal panjang, saya terus menegur ‘pak cik’ yang bertatoo ini
dan mengatakan bahawa dia tidak boleh berbuat demikian (haram). Air
mukanya berubah lalu berkata dengan suara yang marah,”Kalaulah aku belum
bertaubat, engkau juga aku akan bunuh !”.
Saya terus berundur perlahan-lahan dengan rasa kesal dan ketakutan. Risau juga kalau saya di’belasah’ oleh beliau.
Dia berkata lagi,”Cuba kau baca akhbar utusan dan berita harian pada
tarikh sekian-sekian haribulan….tahun sekian”. Aku telah disabitkan
kesalahan membunuh dan dihukum penjara seumur hidup ! Aku baru
dibebaskan setelah 15 tahun dalam penjara dan sekarang aku telah
bertaubat. Kau janganlah buat aku marah ! Nak buang tatoo ni bukan mudah
tau. kau jangan cepat menghukum aku….!” katanya lagi.
Baru saya sedari bahawa beliau adalah bekas banduan yang pernah
membunuh kerana terjebak dengan jenayah besar. Namun kini beliau kini
telah bertaubat.
Saya terus memohon maaf kerana menegurnya tanpa usul periksa. Saya
bersalam dengannya dan dengan rasa kesal beredar perlahan-lahan daripada
masjid tersebut sambil bermuhasabah diri.
Pengajarannya :
Elok periksa dulu atau kenali masalah sebenar sebelum ‘menegur’
apatah lagi untuk ‘membantai’ orang lain dengan kesalahan dan kelemahan
yang kita perhatikan.
SUMBER: http://zainurrashid.com/
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Setiap insan ada sejarahnya - baik atau buruk. Dan sejarah bukan cuma setakat masa lalu kerana dia juga adalah guru yg terbaik memandu masa depan kita....
BalasPadam