Sabtu, 17 November 2012

WALIMAH HARI INI

Gambar ihsan Pakcik Google
 
Walimatul urus atau kenduri kahwin zaman sekarang sudah banyak lari dari falsafah sebenar walimah dalam Islam. Walimah dalam Islam bertujuan memperkenalkan pengantin dan mengisytiharkan hubungan halal antara pasangan pengantin tersebut, bagi mengelakkan dari ruang-ruang fitnah.

Dengan tujuan tersebut walimah disunatkan untuk diadakan, dengan 'menyediakan' makanan kepada tetamu mengikut kadar kemampuan yang ada, bukannya mengharapkan 'bayaran' daripada para jemputan. 'Tuan rumah' menyediakan makanan, 'jemputan' menghulur salam berisi duit. Hinggakan ada 'tuan rumah' mencongak-congak keuntungan yang bakal dikecapi hasil dari walimah yang diadakan. Sempat pula berjanji dengan pembekal daging lembu, yang mereka akan bayar harga daging bila mendapat duit dari tetamu nanti.

Dalam Islam, memang disunatkan mereka yang berkemampuan membantu 'tuan rumah' dalam meringankan beban mereka sepanjang kenduri sama ada bantuan kewangan, barang mentah, tenaga dan lain-lain yang berkaitan,termasuk memberi hadiah kepada pengantin.

Namun, fenomena masyarakat Malaysia hari ini, kenduri kahwin tidak sah jika 'salam berisi' atau 'ngeleng' mengikut istilah Kelantan tidak dihulurkan. Seolah-olah, 'salam berisi' itu menjadi wajib hukumnya. Teringat saya kepada jiran sebelah rumah,ketika cuti sekolah menerima banyak jemputan kenduri kahwin. Termenung panjang beliau, mencongak-congak dalam kepala "kalau sebuah rumah RM5, 5 buah rumah? ..kalau tak pergi, orang mengata pula..." . Sedangkan dengan jumlah duit sebanyak itu dapat digunakan untuk membeli sekampit beras 10 kg untuk menyuap mulut anak yang ramai.

Saya kira sudah sampai masanya kita meniru kebanyakan orang Kelantan yang mengadakan 'kenduri kesyukuran' sebagai walimah tanda kesyukuran atas ijab dan qabul anak mereka (Alhamdulillah, nilai baik ini sudah menular ke Terengganu). Kenduri sebegini sebenarnya mendatangkan banyak kebaikan, serta menyenangkan tuan rumah, juga tetamu jemputan. Bila sudah menyenangkan kedua-dua pihak sudah tentu akan membawa berkat berganda. InsyaAllah. Islam itu mudah, jangan susahkan.

NOTA: Apa yang ditulis ini sekadar pemerhatian umum penulis, tiada niat ditujukan kepada sesiapa secara khusus.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

 

4 ulasan:

  1. السلم عليكم ورحمة الله

    Moga kitak sihat hendaknya dengan izin~Nya..

    Bila sesuatu itu sudah biasa dalam sekelompok manusia memang sukar nak diubah. Kadang buntu juak nak mencari kaedah yang terbaik. Kamek fikir baik jak sebagai hadiah kepada tuan rumah dalam urusan walimah.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Waalaikumussalam :)

      Kalau bagi yang mampu tiada masalah untuk menyumbang,bahkan digalakkan, tapi bagi yang tiada kemampuan seperti kes jiran saya tu macamana?

      Ini, masalahnya bila Islam yang mudah disusahkan. Disunatkan walimah mengikut kemampuan,tetapi kebanyakan masyarakat sekarang mengadakan walimah di luar kemampuan kerana mengikut adat kebiasaan sehingga tanpa sedar seolah-olah kebiasaan itu menjadi wajib hukumnya.

      Teringat saya kata-kata salah seorang adik bila berbincang topik walimah: "Kalau tak mampu, boleh dijamukan biskut lawan teh O pun tiada masalah." Yang penting memenuhi falsafah sebenar walimah dalam Islam, mudah, jangan menyusahkan.

      Wallahu A'lam

      Padam
  2. Walimah anak IM buat kat dewan saja sebab hakikat IM tinggal di taman bukan seperti di kampung.

    anak cucu kita nanti mungkin budayanya buat kat hotel!

    ini kenyataan kerana perubahan zaman...

    BalasPadam
    Balasan
    1. Assalamualaikum

      Tiada masalah buat di mana-manapun selagi mengikut syariat Islam.

      Terima kasih.

      Padam