Selasa, 16 Ogos 2011

DUA TAHUN SUDAH...



Begitu cepat masa berlalu.

Diam tak diam, senyap tak senyap usia blog ini telah mencapai tahun kedua.  Entri pertama saya dilahirkan pada 10 Ogos 2009. Mungkin boleh dumpamakan dengan usia seorang kanak-kanak  yang berusia dua tahun. Kanak-kanak yang belajar bertutur dalam bahasa pelatnya. Begitulah mudanya usia blog ini. Kata pepatah Melayu  - baru setahun jagung.

Dalam usia setahun jagung ini masih banyak lompang yang bercambah pada blog saya, dan masih banyak juga impian dan target saya belum tercapai. Sebetulnya saya masih belum berpuas hati dengan blog ini terutama dari sudut penerbitan entri-entri. Mengikut percaturan, saya berhasrat untuk menghasilkan sendiri penulisan entri di blog ini sekurang-kurangnya empat entri sebulan, selebihnya barulah saya 'copy n paste' namun saya masih belum berupaya ke arah itu.

Ada sahaja kekangan dan mashaqqah yang menjemput. Saya cukup alah dan kalah dengan kekangan masa serta mashaqah yang hadir. Inilah kelemahan saya yang sangat ketara. Hasilnya entri yang ditulis terhenti separuh jalan. Akhirnya, terperam di kotak posting. Entah bila akan dilahirkan.Bila hal ini berlaku, saya terpaksa mencari alternatif lain dengan menyalin artikel dari beberapa sumber agar blog saya tidak bisu dari agenda dakwah...mudah-mudahan...


Bermulanya Saya...

Dakwah! Ya, itulah hasrat utama saya ketika niat 'berblogging' mula menerjah hati. Entri sulung yang lahir pada 10 Ogos 2009 telah membicarakan tentang hasrat tersebut. Saya mula berminat dan berjinak-jinak dengan dunia 'blogging' apabila mula membaca blog milik adik saya. Saya rasa amat jauh dari dunia dakwah sedangkan saya telah lama melepasi fasa pengajian secara rasmi, berbanding dengan adik saya yang ketika itu baru melangkah ke dunia kampus. Namun beliau telah jauh meninggalkan saya. Sepatutnya saya lebih terkedepan, namun sebaliknya yang berlaku.

Saya amat bimbang dan takut jika secebis ilmu yang dimiliki tidak dibelanjakan mengikut jalan-Nya. Rasa bimbang juga sering terselit di jiwa andai penulisan ini tidak mampu mendidik saya ke arah yang lebih baik. Saya tidak mahu dikatakan sebagai "Hanya tahu menulis" semata-mata. Ilmu tanpa amal umpama pohon yang tidak berbuah!

Dari blog adik, saya mulai menjelajah dari satu blog ke satu blog yang lain seperti blog uzar,ummuhusna, saifulislam.com,genta-rasa.com dan lain-lain. Dari penjelajahan demi penjelajahan hati  kian meronta untuk turut sama memeriahkan dunia 'blogging' agar ilmu yang disedut dari dunia kampus dan universiti alam ini tidak sekadar menjadi pekasam semata.


Amal Soleh - Amal Jariah

Saya sedar blog ini juga masih banyak kurang asam dan garamnya. Tidak secukup rasa. Saya bukannya seorang yang hebat merungkai kata, bukan juga seorang yang handal meluah rasa. Namun saya tidak sesekali berputus asa untuk mencungkil apa sahaja potensi yang ada agar amal yang tidak seberapa ini mampu dinilai sebagai amal soleh di sisi-Nya.  

Selaut kesyukuran saya panjatkan ke hadrat Ilahi kerana memberi waktu dan ruang kepada saya untuk terus melahirkan mutiara kata, insyaAllah untuk kebaikan semua meskipun untaian kata tidak sehebat mana. Semoga dari waktu ke waktu kata yang terlontar akan menjadi lebih baik, seterusnya mampu dihisab sebagai amal jariah.

Semoga dengan secebis ilmu yang ada, saya juga mampu sama-sama memeriahkan medan dakwah dan tidak termasuk dalam golongan yang kerugian. Tetapi akan terus berusaha untuk menyusup masuk ke dalam kalangan mereka yang mengerjakan amal soleh serta berpesan-pesan dalam kesabaran.Walaupun sekecil hama, moga ianya ada nilai di sisi-Nya.

Firman Allah (S.W.T) dalam surah al-Asr, yang bermaksud:

Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan mengerjakan amal soleh dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran.” ( Surah al-Asr ayat 1-3 )

Begitu juga dengan hadis yang bermaksud:

"Hadis Abdullah bin Amru bin Al-As r.a: Seseorang telah bertanya Rasulullah s.a.w: Apakah sifat orang Islam yang paling baik? Rasulullah s.a.w bersabda: Seseorang yang menyelamatkan orang-orang Islam dengan lidah dan tangannya."(Sohih Muslim)

Hadis Jarir bin Abdullah r.a katanya: Aku berbaiah kepada Rasulullah s.a.w untuk selalu mendirikan sembahyang, mengeluarkan zakat dan memberi nasihat baik terhadap setiap muslim (Sohih Muslim)

Saya tak punya intan permata, apatah lagi wang berjuta.Sebagai hamba-Nya yang amat kerdil saya sangat mengharap dan terus mengharap agar usaha kecil ini  dinilai sebagai amal jariah oleh Allah, terutama ketika jasad ini sudah reput dimamah bumi.


Terima Kasih Sahabat...

Terima kasih kepada semua sahabat 'blogger'  dan bukan 'blogger', sama ada yang sudi meninggalkan jejak mahupun yang singgah sebagai 'silent reader'. Semoga persinggahan sahabat semua tidak sia-sia. Doa dan harapan diiringi agar 'rumah' ini mampu membekali kalian dengan ilmu yang melekat di dada, ampuh di minda. Segala komen yang dilontarkan amat saya hargai. Semoga komen-komen tersebut mampu memberi manfaat buat semua, terutama buat diri saya yang  serba kekurangan.

Semoga pendapat yang dilontarkan kalian mampu mendidik jiwa, seterusnya menggalakkan lagi jari jemari saya untuk terus menari serta melahirkan kata yang lebih baik dari sehari ke sehari. InsyaAllah...

Akhirnya, harapan saya semoga blog ini menjadi salah satu wadah ilmu serta amal jariah yang boleh memberi manfaat kepada semua. Dengan usia yang baru setahun jagung sudah pasti blog ini mempunyai banyak silap dan salah, yang tersurat mahupun yang tersirat. Segala kekhilafan itu mohon dimaafi. InsyaAllah akan ditambah baik dari masa ke semasa.

Saya budak baru belajar, mana yang salah mohon ditegur...


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

22 ulasan:

  1. Tahniah ukhti..atas bertambahnya usia blog ini..Semoga terus thabat berdakwah melalui penulisan.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Ros,

    Tahniah, dah berusia 2 tahun blog ni.

    Ikhlas kak ani katakan, akak suka singgah diblog Ros ni. Banyak pengajaran yang disampai secara bersahaja oleh Ros dapat kak ani perolehi di sini.

    Kak Ani seronok membaca kisah murid2 sekolah yang ros paparkan. Satu pengetahuan baru bagi kak ani yang tak pernah menjadi guru ni.

    Selamat terus berblog semoga apa yang diimpikan terhadap blog ini terus berjaya.

    BalasPadam
  3. UMMU AMMAR:

    Terima kasih atas sokongan.

    Salam ukhuwwah yang berpanjangan :)


    KAK ANI:

    Waalaikumussalam.

    Terima kasih atas sokongan dan dorongan dari Kak Ani selama ini.

    Pastinya, segala yang baik itu datang dari Allah, manakala sebaliknya itu datang dari diri sendiri.

    Hakikatnya semuanya dari Allah belaka.

    Terima kasih sekali lagi :)

    BalasPadam
  4. Assalamualaikum kitak :)

    Alhamdulillah dan tahniah..

    Moga Allah kurniakan kekuatan buat kitak untuk terus menulis..

    Selamat berpuasa..

    BalasPadam
  5. Assalamu'alaikum Ros

    Syukur pada Allah SWT kerana dapat berkenalan dengan Ros melalui blog ini.

    Tahniah juga buat Ros kerana ada adik yang juga menulis mengajak kepada kebaikan, rasanya umurnya sama dengan umur anak bongsu makcik.

    Semoga usaha Ros diberkati Allah SWT.

    Selamat menjalani ibadah dalam bulan mulia ini.

    Raya di KT ke tak tahun ni!

    BalasPadam
  6. Tahniah!!!
    Pertambahan usia mematangkan...

    Semoga segala usaha diberkatiNYA

    BalasPadam
  7. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  8. NAE:

    Terima kasih atas sokongan dan dorongan.

    Seperti usia manusia, usia blog juga perlu bertambah matang dan bermanfaat selari dengan pertambahan usia. Semoga bermanfaat buat semua :)

    BalasPadam
  9. Waalaikumussalam :)

    ABD RAZAK:

    Terima kasih atas doa 'kitak'.

    InsyaAllah akan diteruskan jemari ini mengetuk papan kekunci demi penyebaran ilmu Ilahi.

    Salam Ramadhan al-Mubarak.



    WERDAH:

    Saya juga gembira dapat mengenali Makcik. Walau sekadar di alam maya, ukhuwwah ini tetap segar di laman hati :). Harap berpeluang berjumpa satu hari nanti.

    Salam Ramadhan buat Makcik juga. Semoga amal soleh dapat kita tingkatkan. Ameen.

    InsyaAllah akan balik KT pada 26 Ramadhan.Seminggu bercuti, Alhamdulillah.

    Terima kasih atas sokongan dan dorongan ya :)

    BalasPadam
  10. Assalamualaikum Ros,

    Semoga Allah SWT terus memberi kekuatan dan ilham untuk terus mengisi wadah ilmu ini untuk munafaat ummah.

    Makbonda sentiasa mengunjungi walau tidak meninggalkan komen.

    BalasPadam
  11. MAKBONDA:

    Waalaikumussalam :)

    Terima kasih atas kata-kata semangat yang diberikan.

    Mudah-mudahan blog ini membuahkan kemanfaatan buat semua. Ameen.

    BalasPadam
  12. tahniah,
    nampaknya ros berada di landasan yang betul untuk berblog.
    terlebih terkurang kita belajar daripada kelemahan.
    teruskan usaha murni ini.
    insya-Allah ada manafaatnya & beroleh pahala yang berkekalan, insya-Allah....

    BalasPadam
  13. semoga terusan menulis tanpa jemu ros...

    BalasPadam
  14. Semoga terus menulis untuk berdakwah...Insya-Allah apa yang ditulis akan diterima sebagai amal ibadah oleh Allah dan bakal menjadi ilmu bermanafaat yang bakal menerangi di alam barzakh...Insya-Allah...

    Wallahua'lam...

    BalasPadam
  15. SALAM,
    KITA MEMANG DISURUH BERPESAN-PESAN ! KITA USAHAKAN APA YANG TERBAIK ! SELAMAT MAJU JAYA

    BalasPadam
  16. Assalamualaikum :)

    AHP:

    Mudah-mudahan kita sentiasa ditunjuki Allah ke jalan yang betul, iaitu jalan orang-orang yang Allah telah kurniakan nikmat kepada 'mereka', bukan (jalan) orang-orang yang Allah telah murkai, dan bukan pula (jalan) orang-orang yang sesat.

    Segala doa AHP saya aminkan.

    Terima kasih atas sokongan dan semangat yang diberikan.



    A KL CITIZEN:

    InsyaAllah Kak Normah.

    Itulah hasrat saya...menulis dan terus menulis selagi ada manfaat di sisi-Nya.

    Jazakillah khairan kathira.

    BalasPadam
  17. Assalamualaikum :)

    IBUAIMAN:

    Terima kasih Ibuaiman. Itulah harapan kita semua kan... :)



    LF:

    Allah (S.W.T) telah berfirman (maksudnya):

    "Sesungguhnya manusia itu berada dalam kerugian. Kecuali orang-orang yang beriman dan beramal soleh, dan mereka pula berpesan-pesan dengan kebenaran serta berpesan-pesan dengan kesabaran." (al-'Asr: 1-2)

    Terima kasih.

    BalasPadam
  18. selamat menyambut ulang tahun ke 2. hidup ini memang memerlukan mereka yang tabligh.

    BalasPadam
  19. Assalamualaikum Ros.
    Lama juga ain tidak singgah ke mari.Alhamdulillah, sudah 2 tahun yea Ros aktif dalam dunia blogger.teruskan usaha Ros dalam menyampaikan ilmu.
    Jaga diri yea...:D

    BalasPadam
  20. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  21. IM:

    Ya, setiap orang wajib menyampaikan (tabligh), selaras dengan sabda Rasulullah yang bermaksud:

    "Sampaikanlah dariku walau satu ayat."

    Terima kasih.

    BalasPadam
  22. AIN:

    Waalaikumussalam :)

    Terima kasih Ain masih sudi menjenguk.

    Terima kasih juga atas dorongan.

    Ain, jaga diri juga ya... :)

    BalasPadam