Isnin, 20 Jun 2011

DISKUSI ANAK-ANAK CILIK...(Sabtu 19 Jun)

Mukhlisah, membantu saya menunjuk ajar murid yang lemah

“Ya Allah ampunilah dosaku, berilah rahmat kepadaku,
cukupkanlah aku (segala kekuranganku), angkatlah darjatku, berilah rezeki kepadaku, tunjukkanlah aku {ke jalan yg benar} sejahterakanlah aku dan berikanlah keampunan kepadaku.”
"...ustazah nak tanya kamu...apa maksud "berilah rahmat" kepadaku?" Saya cuba menduga pengetahuan murid setelah selesai menela'ah ungkapan doa di atas.

Beberapa orang murid dari kumpulan yang berjumlah sembilan orang itu melontarkan pelbagai jawapan. Yang pasti semua jawapan adalah salah. Tidak mengapa. Pada saya, yang penting mereka berani mencuba.

"Erm...cuba kamu lihat sekeliling kita. Ada tak kamu nampak orang-orang bukan Islam kaya raya..."

"Ada..."

"Ramaikan?"

Murid-murid mengangguk.

"Itulah Allah...bersifat Maha Pemurah kepada semua hamba-Nya sama ada Islam atau bukan Islam, tapi Allah hanya bersifat belas "Rahmah" kepada hamba-Nya yang Islam sahaja. Sebagai orang Islam, kita hendaklah sentiasa berusaha agar kita sentiasa beramal baik dalam kehidupan."

"Pada pendapat kamu...orang bukan Islam yang kaya raya ini akan masuk syurga atau neraka?" Seterusnya, soalan mudah saya utarakan.

"Mereka akan masuk neraka." Jawapan yang sudah diagak.

"Haa...itulah untungnya kita orang Islam. Dahlah dikurniakan kekayaan, diberikan "rahmah" pula. Betapa Allah menyayangi kita..belas kasihani akan kita. Jadi kita perlu buat apa yang Allah suruh. Jika miskin kita harus bersabar, jika kaya kita harus bersyukur. InsyaAllah kita akan dapat rahmah Allah."

"OK...Ustazah nak tanya kamu soalan seterusnya...Apakah maksud 'petunjuk'?"

"...jalan yang lurus...ihdinassiratal mustaqim"

Pelbagai jawapan di'utara selatan'kan, namun tiada satu pun jawapan yang tepat. Pada saya, jawapan tersebut sudah cukup baik, sesuai dengan tahap umur mereka-lapan tahun.

"Erm...kita semua orang Islam mahu pergi ke mana?"

"Saya nak pergi ke Kuching..." Jawab satu suara.

"Saya nak pergi ke surau." Satu suara pula menambah jawapan.

"Saya nak pergi ke Sebuyau." Kata pula Mukhlisah dengan muka yang sangat gembira. Gembira menyebut kampung halamannya.

Mukhlisah merupakan seorang murid yang sangat cepat menangkap pelajaran yang diajar. Sebuyau merupakan sebuah daerah di Kuching, tempat kelahiran ibu kepada Mukhlisah, merangkap nenek beliau.

Nampaknya murid-murid masih belum dapat menangkap kehendak soalan saya.

"Ok...macam ni...kalau kamu nak pergi ke Kuching tapi kamu ikut jalan ke Santubong...adakah kamu akan sampai ke Kuching?"

"Takkan sampai..." Lanjut jawapan diberi.

"Sekarang..kamu tengok apa yang Ustazah lukis...kamu teka ke mana kita semua nak pergi..."

Sambil saya melukis...

"Kita semua berapa orang?"

"Sembilan..."

"Sembilan???? Ustazah kamu tak hitung?" Tanya saya, berpura-pura marah.

"Sepuluh"

Saya terus melukis sepuluh orang lidi. Kemudian satu jalan yang lurus dilakari, bertuliskan amal yang baik. Di hujung jalan yang lurus itu saya lukiskan bentuk 'love'. Itu saja lambang 'syurga' yang terlintas di minda saya.

"Kamu tengok...inilah dimaksudkan dengan petunjuk. Amalan baik yang kita lakukan ini merupakan petunjuk dari Allah. Apabila amalan baik dilakukan, disertai dengan rahmah-Nya, akhirnya kita "semua" akan ke sini...Kita semua nak pergi manaaaa..." Saya ulangi lagi soalan yang dilontarkan tadi. Panjang.

"Syurgaaaa...ha ha ha..." Panjang jawapan yang diberikan, disusuli dengan gelak ketawa yang seakan tidak berkesudahan. Yang paling nyata, Mukhlisah tidak dapat menahan tawa, sehingga merah muka beliau yang putih.

Sebagai murid yang 'pintar' Mukhlisah pasti merasa sangat lucu dengan jawapan "Sebuyau, Kuching dan Surau" yang diberikan tadi. Sangat tidak logik!


Lukisan saya yang sangat tidak cantik (melukis bukan kepandaian saya, jauh sekali kepakaran)


Agenda seterusnya bertukar hingar kerana murid-murid tidak dapat menahan gelak tawa. 'Kehingaran' bertukar' menjadi diskusi ceria, aktif dan produktif. Alhamdulillah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

7 ulasan:

  1. Assalamualaikum Ros,

    Satu N3 yang menarik.

    Begitu bagus cara penyampaian Ros kepada murid2 seusia itu.

    BalasPadam
  2. Assalamualaikum Ros,
    Seronok baca citer Ros dgn bdk2 tu...seronok juga jadi cikgu ni ye...:)..banyak pahala..InsyaAllah

    BalasPadam
  3. Assalamu'alaikum Ros

    Makcikpun tak berapa pandai melukis, tapi lukisan Ros tu kira baiklah tu, anak-anakpun faham apa yang ingin dikatakan.. alhamdulillah

    BalasPadam
  4. Waalaikumussalam :)

    KAK ANI: Kekadang idea datang tanpa diundang. Ilham dari Allah. Alhamdulillah. Terima kasih.

    IBUAIMAN: Apa sahaja pekerjaan, pasti besar ganjarannya jika diniatkan ikhlas kerana Allah. Bidang ke'doktor'an apa kurangnya :)

    Allahumma Ameen.

    BalasPadam
  5. WERDAH:

    Waalaikumussalam Makcik :)

    Kategori keras tangan saya ni :)

    Alhamdulillah lukis orang lidi boleh la. Kalau yang susah-susah tu, berpeluh-peluh juga :)

    Bagi saya, kalau pandai melukis, dikira satu bonus bagi yang bergelar guru.

    Terima kasih :)

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum Ros,

    Dulu Makbonda pernah terfikir,seronok jadi ustazah,selalu dapat ajar murid-murid ilmu Islam.Sekarang baru sedar guru biasapun ada kesempatan untuk itu jika mahu.

    BalasPadam
  7. MAKBONDA...

    Waalaikumussalam ...

    Betul apa yang dikatakan Makbonda.

    Setiap guru sepatutnya menyentuh nilai-nilai Islam ketika mengajar, tidak kira apa pun subjek yang diajar supaya modal insan soleh lagi muslih dapat dilahirkan bagi memakmurkan bumi ini. InsyaAllah.

    Terima kasih Makbonda :)

    BalasPadam