Ahad, 24 April 2011

BERMULA DARI YANG KECIL

Sudah lama saya tidak menyisipkan entri baru.

Bukan saya sudah berhenti menulis, namun kerap kali penulisan saya hanya mampu berhenti di tengah jalan.

Sibuk sangatkah saya? Oh, tidak! ramai lagi orang yang lebih sibuk, sangat sibuk berbanding dari saya yang hanyalah seorang guru biasa.

Tidak cukup masakah saya? Oh, tidak juga. Bukankah setiap makhluk itu telah diadili-Nya dengan 24 jam sehari semalam. Apa yang telah dikurniakan Allah itu pasti sempurna. Tidak kurang dan tidak juga lebih.

Akhirnya, saya sering terfikir mungkin juga saya telah melalui hidup ini dengan jalan yang tidak diredhai-Nya. Lalu penulisan tidak mampu ditamatkan dengan sebaik-baik amal.

Bila diperkatakan tentang jalan yang tidak diredhai pasti akan terhampar di depan mata kita perbuatan mencuri, meninggalkan solat, tidak berpuasa, berbohong dan seumpamanya.

Namun kita (terutama saya) jarang sekali menilik atau refleksi diri tentang perkara-perkara harian yang dilalui tanpa menyedari bahawa jalan yang dilalui itu berada di luar kotak redha Allah. Yang pasti itu bukan 'sirat al-mustaqim'. Astaghfirullah.

Marah

Sebagai guru, saya tidak terlepas dari sifat marah. Marah tidak salah tapi marah tidak bertempat itu yang menjadi salah satu dari asbab dosa. Mana mungkin saya tidak marah kalau anak didik saya sering sahaja terlupa membawa buku atau menyiapkan kerja rumah.

Sekali, tidak mengapa, dua kali masih lagi saya bertoleransi. Kalau kali ketiga...keempat...kesepuluh, di tahap manakah kesabaran saya sebagai seorang guru mahu diuji?

Akhirnya....: "Okey, hafal doa ini lepas solat ye (sambil saya meminta murid-murid mengikut doa yang terluah di bibir). Pastikan kamu semua tidak jadi nenek sebelum tiba masanya." Sempat lagi saya 'membebel'.

Membazir Masa

Seringkali rakan-rakan mengatakan saya mempunyai banyak masa dan ruang untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang diingini. Hanya kerana saya ini 'single'. Benarkah begitu? Persepsi itu sama sekali tidak benar. Disebabkan masa yang banyak inilah saya sering terleka. Terleka dengan pelbagai aktiviti. Termasuk dengan aktiviti yang sia-sia.

Akhirnya banyak kerja yang tertangguh. Alangkah malangnya bagi golongan seperti saya ini. Bagi saya, setiap orang telah dianugerahkan masa yang secukupnya oleh Allah azza wa jalla, tinggal lagi sama ada kita cekap atau tidak menguruskannya.

Saya sangat bimbang jika saya juga terleka dengan firman Allah yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran" (Surah al-'Asr: 1-3)

Gembira / Ketawa Berlebihan

Teringat kata-kata emak bila kami adik beradik sakan bergelak tawa. "Gallak-gallak nantikan temu golok". Kata-kata yang 'berdialek' Terengganu ini membawa maksud: "Kegembiraan yang melampau tidak mustahil akan membawa kepada dukacita".

Bukankah banyak ketawa itu boleh membawa kepada dosa. Banyak ketawa juga boleh mengundang kelekaan dan kealpaan. Begitu juga, banyak ketawa akan menyebabkan hati seolah-olah tidak bernyawa. Hati mati.

Saya teringat kepada mafhum hadis yang yang menyentuh mengenai senyuman Rasulullah. Senyum sehingga nampak gigi. Itulah semaksima senyum/ketawa baginda. Tanda baginda berada dalam situasi gembira. Renung-renungkanlah...di manakah tahap gembira kita? Sedang-sedang atau keterlaluan?

Mendengar Umpatan

Mengumpat merupakan salah satu dari dosa besar. Mengumpat juga bakal mengundang dosa yang berganda. Mengumpat menyebabkan seseorang itu dibenci, lalu menimbulkan pergaduhan sama ada sesama keluarga, sesama tetangga juga rakan sekeliling. Akhirnya silaturrahmi yang dipupuk terlerai begitu sahaja.

Sesetengah dari kita teramat susah untuk mengelak dari sifat mazmumah yang satu ini. Kenapa? Salah satunya, kerana gagal mengelakkan diri dari mendengar umpatan, akhirnya diri terjerat sama.

Buat masa ini, jika tidak mampu melarikan diri dari korum mengumpat, saya akur...saya hanya mampu diam membisu di kala rakan meminta dipinjamkan telinga tanpa kerelaan hati saya. Ya Allah setakat ini sahaja jihad bagi hati yang mampu saya tegakkan untuk diri sendiri.

Alangkah hinanya letak duduk saya. Saya tidak berani mengingatkan mereka bahawa mengumpat itu umpama memakan daging saudara sendiri.

Bermula Dari Yang Kecil

Sifat-sifat ini kelihatan kecil di mata kita, namun bukankan yang besar itu bermula dari yang kecil.

Nyamuk yang kecil bisa sahaja menamatkan riwayat manusia yang begitu ramai.

Semasa kecil ia menjadi kawan bila dah besar akan menjadi lawan.

Kecil-kecil cili api.

Jangan disangka kecil-kecil tidak berisi!

Sekadar muhasabah diri sendiri.

Semoga refleksi diri ini mampu melajukan kembali momentum menulis saya. InsyaAllah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Dari Allah"

13 ulasan:

  1. terima kasih atas peringatan kak ros :)

    BalasPadam
  2. السلم عليكم ورحمة الله

    Moga kitak dikurniakan Allah Taala kesihatan yang baik serta sentiasa dalam perlindungan~Nya...amin

    Ya, sungguh mengumpat ni sangat payah hendak dijauhkan dari kehidupan kita. Seperti kitak madah sering terjerat sama. Mengasingkan diri adalah lebih baik kerana itulah sahaja jalannya. Namun jalinan ukhwah antara kawan-kawan perlu dijaga agar tidak menimbulkan kekeliruan.

    Moga Allah menjauhkan kita dari dosa besar ini...amin

    BalasPadam
  3. Assalamu'alaikum Ros

    Sangat tersentuh dengan pengisian ini, sungguh terkena juga dengan diri makcik ni, memang banyak masa yang terluang, namun seolah-olah banyak tersia-sia..

    Tentang usaha kita di dunia ini kelak Allah akan bertanya seperti dalam firmanNya dalam surah al-Balad - surah 90 yang bermaksud:

    (Mengapa manusia terpedaya dan bermegah-megah?) Tidakkah Kami telah menjadikan baginya: Dua mata (untuk dia memerhatikan kekuasaan dan kekayaan Kami?) (8) Dan lidah serta dua bibir (untuk dia menyempurnakan sebahagian besar dari hajat-hajatnya)? (9) Dan Kami telah menunjukkan kepadanya dua jalan, (jalan kebaikan untuk dijalaninya, dan jalan kejahatan untuk dijauhi)? (10) Dalam pada itu manusia tidak (memilih jalan kebaikan) merempuh masuk mengerjakan amal-amal yang tinggi darjatnya di sisi Tuhan; (11)

    Mudah2an kita dapat memelihara lidah dan mata kita daripada perkara-perkara mazmumah. Allahumma Amiin

    BalasPadam
  4. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  5. Assalamualaikum Ros,

    Terima kasih atas peringatan.

    Kadang-kadang tanpa sedar terjadi perkara yang dilarang Allah. Semoga ianya kita mampu menahan diri dari melakukan perkara ini.

    BalasPadam
  6. Assalamualaikum.

    Peringatan yang sangat bermunafaat. Sebenarmua banyaknya kesempatan yang Allah kurniakan untuk Ros berdakwah. Jangan persiakan peluang ini.

    BalasPadam
  7. Assalamualaikum :)

    NADIAH:Sama-sama. Lebih kepada peringatan kepada diri sendiri.

    Semoga sihat sejahtera sepanjang tempoh berpantang ye... :)


    ABD RAZAK: Alhamdulillah, saya sihat. Mudah-mudahan begitulah hendaknya. Ameen.

    Ya, selain mendengar umpatan, 'terumpat' pun ada juga. Begitulah namanya manusia.

    Alhamdulillah, buat masa ini perkataan 'AWAS' sering berlegar di kepala bila berhadapan dengan situasi ini.InsyaAllah akan berusaha tingkatkan mujahadah.

    Ameen.

    BalasPadam
  8. Waalaikumussalam :)

    WERDAH: Terima kasih Makcik atas huraian yang panjang lebar. Peringatan dihulurkan disambut dengan peringatan jua. Alhamdulillah.

    Ameen :)


    KAK ANI: Semoga 'ketidaksedaran' kita itu cepat dipandu oleh hidayah Allah. Ameen.

    Terima kasih kembali.

    BalasPadam
  9. MAKBONDA: Waalaikumussalam :)

    Ya Makbonda, dahulu sebelum tercampak ke Sarawak telah terdetik di hati: "Mungkin Allah mahu menghantar aku jauh ke Kuching sebagai da'ieyah kecil".

    Ketukan hati ini berbisik bagi memujuk hati yang berbelah bahagi apabila 'dicampakkan' terlalu jauh.

    Mudah-mudahan dakwah kerdil ini mampu memperbaiki diri sendiri ke arah yang lebih baik, InsyaAllah.

    Jazakillah khairan kathira.

    BalasPadam
  10. Assalamu'alaikum Ros,
    mmg trlalu byk masa yg kita telah sia2 kan..dah kita juga selalu aje alpa akan DIA.

    kita manusia biasa tak trlepas dari salah dan silap. minta diampunkan oleh ALLAH swt.

    BalasPadam
  11. Waalaikumussalam :)

    Semoga kita diampuni Allah serta diperingatkan Dia selalu sama ada kita berada dalam keadaan sedar mahupun lupa.Ameen.

    Terima kasih Zue :)

    BalasPadam
  12. I read this post very carefully & i am really glad this well sharing.Keep it continue.

    BalasPadam
  13. assalamualaikum Ros
    terima kasih atas peringatan Ros.
    teringat dulu masa 'single'
    ayat2 seperti, tak pelah,ummu,kamu ni single lagi apabila saya diminta terlibat dgn aktiviti perkhemahan/ tidur bersama pelajar pada Sabtu dan Ahad...

    BalasPadam