Jumaat, 18 Februari 2011

KEMBAR TIGA

Sumber Gambar

"Ok...ustazah nak kamu fikir apa jawapannya."

Saya berteka teki pula dengan murid-murid kali ini.

Mereka tidak boleh disuap selalu. Kemahiran berfikir perlu diterapkan agar hasilnya nanti bukannya 'seorang' robot yang hanya tahu menurut kata.

Menurut perintah membabi buta.

Tidak celik akal!

Belajar, Faham dan Fikir

Sekolah bukan sekadar tempat untuk menadah ilmu semata-mata, tetapi lebih dari itu. Belajar untuk faham. Dengan kata lain belajar untuk berfikir...berfikir dan berfikir...

Ada masanya otak para pelajar perlu dipaksa untuk mencari jawapan sendiri supaya mereka sedar bahawa menuntut ilmu itu bukannya satu perkara yang mudah.

Memerlukan usaha yang jitu dan bersepadu.

Untuk mendapatkan ilmu kita hendaklah rajin menghadapi segala ujian dan halangan yang sudah sedia terbentang.

Alangkah mudahnya murid-murid sekarang menuntut ilmu. Jika begitulah keadaannya, tidak mustahil ilmu yang ditadah itu bakal terlucut dari fikiran mereka dengan pantas.

Hari itu saya mengajar bahasa arab, tajuk Fii Fasli (Dalam Kelas Saya). Saya melukis gambar beserta perkataan di bawahnya. Cuma, untuk perkataan yang kelima, iaitu yang terakhir saya berikan mereka teka teki.

Fikir sendiri, apa yang dimaksudkan dengan perkataan yang diberi. Kamus fikiran perlu dibuka, bukannya mengharapkan guru yang menjadi 'kamus yang terbuka sendiri' setiap masa.

Teka Teki Saya

"Dia ini kembar tiga. Kalau lumba lari mereka akan sama-sama laju. Tiada siapa yang kalah. Tiada siapa yang menang. Sama-sama mula, sama-sama sampai."

Murid-murid mula berfikir, ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ada yang tersenyum mencari jawapan, ada juga yang melakar 1000 kerut di dahi. Segelintir murid yang lain pula 'relax' sahaja. Menunggu jawapan terhidang di depan mata.

Bermacam-macam jawapan diberi oleh mereka. Bermacam-macam juga 'klu' diberi oleh guru bahasa arab mereka. Namun jawapan yang tepat tidak mendatang jua.

Kelas menjadi kecoh seketika. Tidak mengapa. Kecoh kerana zikir dan fikir, bukannya membising tanpa arah tujuan.

Setelah lama memberi masa untuk mereka berfikir...

"Erm, tolong tutup kipas..." Arah saya kepada murid yang berada berhampiran dengan suis.

"Alah ustazah...panaslah..." Saya sudah agak ini respon mereka.

"Ok...Afiq...'on' semula kipas tu..."

Jawapannya...

"Oooo...kipas jawapannya kan ustazah..." Jawab beberapa orang murid.

Baru mereka sedar kelogikan guru mereka menutup kipas yang sedang berpusing riang sebentar tadi.

"Haa... itulah jawapannya..."

"Betulkan ustazah cakap...mereka ini si kembar tiga. Sentiasa bersama-sama.

Kerjasama

"Sama juga dengan kita. Kamu semua mesti sentiasa bekerjasama dengan guru yang mengajar kamu." Saya berhenti seketika melihat reaksi anak-anak didik saya.

"Kalau ustazah sahaja yang rajin, tapi kamu semua malas boleh tak kita belajar?"

"Tak..." Murid-murid menjawab serentak.

"Ok...kalau kamu...murid-murid sahaja yang rajin tapi guru malas mengajar. Boleh tak kamu belajar...". Saya membelit soalan yang sama.

"Tidak boleh..." Semakin nyaring suara mereka menjawab dan menjerit.

"Erm...kalau ustazah datang ke sekolah malam ni, kemudian ustazah mengajar sorang-sorang, kamu tak ada. Boleh tak berlaku proses pengajaran?"

"Tidak boleh...." Mereka menjawab sambil tersenyum.

Di fikiran mereka mungkin terbayang-bayang seorang guru mengajar tanpa murid.Lucu barangkali.

" Kalau macam tu, apa yang perlu kita buat ialah..." Saya berhenti seketika.

" ...kita hendaklah bekerjasama...apa yang penting kerjasama..." Saya mengulas lagi, mengikut rentak lagu Wonderpets.

"Kita semua kena bekerjasama. Ustazah mengajar, murid-murid belajar. Barulah semua akan jadi pandai. Macam kipas tadi juga. Sekali ditekan suis, semuanya sama-sama berpusing...Mana mungkin satu bilah atau dua bilah sahaja berpusing."

Entah betul atau tidak analogi yang saya berikan. Tetapi itulah idea yang menjengah tanpa dipinta. Saya berharap mereka faham dan fikir apa yang saya sampaikan.

"Kringgg...."Loceng berbunyi nyaring.

"Opps...nanti kita sambung ye..." Ujar saya.

Setelah menyambut ucapan syukur dari murid-murid, saya bergegas keluar untuk menyambung tugas seterusnya pada hari tersebut.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

20 ulasan:

  1. tak terfikir pulak kembar 3 yg dimaksudkan tu kipas :D

    BalasPadam
  2. Assalamu'alaikum Ros

    Semoga sihat dan dalam redha Allah.

    Makcikpun tak terfikir kipas jawapannya..

    MasyaAllah ustazah kreatif dan anak murid pula bekerjasama..

    BalasPadam
  3. السلم عليكم ورحمة الله

    Moga kitak sihat hendaknya..

    Alhamdulillah keadaan blog kitak dah terkawal, sik perlu susah-susah hati agik.

    Teruskan usaha mendidik anak bangsa dan didoakan semoga Allah permudahkan segalanya

    BalasPadam
  4. Salam,

    InsyaAllah mereka akan terus celik bila P&P berkesan. Bukan kah itu antara tugas kita kan Ustazah.

    Semoga ilmu yang kita wariskan bermunafaat semasa kita pulang ke alam abadi nati

    BalasPadam
  5. Salam Nadiah Comel :)

    Sekarang dah tau, so dah fikir la tu :)

    Terima kasih :)

    BalasPadam
  6. WERDAH:

    Wa'alaikumussalam Makcik.

    Alhamdulillah saya sihat. Semoga Makcik juga dikurniakan kesihatan yang baik juga. Ameen.

    MasyaAllah, Laa Hawla wa Laa Quwwata illa billah. :)

    Saya cuba yang terbaik untuk mendidik mereka. InsyaAllah jika usaha kita dihiasi dengan sifat ikhlas untuk mendidik, Allah pasti akan membuka jalan-Nya kepada kita.

    Terima kasih Makcik. Salam ukhuwwah yang berpanjangan :)


    ABD RAZAK:

    وعليكم السلام

    Moga kitak sihat juak dalam Redha-Nya.

    Alhamdulillah, segalanya sudah 'settle'.

    InsyaAllah, dengan pimpinan-Nya Yang Maha Alim lagi Maha Mu'allim saya akan terus menabur bakti seikhlas mungkin buat anak didik tercinta.

    Jazakallah khayran kathira.

    BalasPadam
  7. Salam Makbonda :)

    Terima kasih kerana sudi menitip bicara di sini.

    Dengan usaha,doa dan harapan yang tinggi dari kita sebagai seorang pendidik, insyaAllah anak-anak didik kita ini akan menjadi insan berguna suatu hari nanti. Ameen ya Allah.

    Salam ukhuwwah yang berpanjangan.

    BalasPadam
  8. thanks for this nice post 111213

    BalasPadam
  9. Aslmkm.
    Kak G bersyukur kerana masih ada pendidik anak bangsa yang berdedikasi begini. Teruskan usaha ya. Semoga diberkati. Amin.
    Memang ada ramai insan robot di luar sana.
    Allah SAW jadikan manusia untuk menjadi jauh lebih baik dari robot. Ya kan?

    BalasPadam
  10. assalamualaikum,Ros.
    Lama rasanya tak jejak blog disini.Mulanya fikirkan anak kembar tiga...hehehe....anyway nice article...=))

    BalasPadam
  11. Assalamualaikum Ros,

    Seronok baca cerita dalam N3 Ros kali ini. Banyak yang tersirat.

    Semangat bekerjasama sangat baik dalam apa pekerjaan dan keadaan sekali punkan.

    BalasPadam
  12. Assalamualaikum :)

    TANPA NAMA: Semoga bermanfaat, terima kasih kembali :)


    DDRFAUZIAH:

    Waalaikumussalam...

    Ameen....ameen...ameen...kata-kata Kak G itu saya anggap sebagai doa. Saya hanya berusaha sekadar kemampuan saya.

    Yang pasti semua yang baik itu datang dari Allah Yang Maha Pemberi Petunjuk.

    Semoga Allah terus menunjukkan jalan-Nya kepada saya untuk terus mendidik mereka ke arah melahirkan insan yang soleh dan solehah.

    Terima kasih Kak G :)

    BalasPadam
  13. AIN:

    Waalaikumussalam.

    Terima kasih sudi ziarah ke 'Teratak Hamba' yang tidak seberapa ini :).

    Semua yang baik itu, tidak lain tidak bukan datangnya dari Allah semata.

    Semua kekurangan itu datangnya dari diri sendiri. Semoga kekurangan itu dapat ditampung dari 'Sinar Allah'. Ameen.

    Salam ukhuwwah yang berpanjangan :)

    BalasPadam
  14. KUNANG-KUNANG:

    Waalaikumussalam :)

    Cerita-cerita biasa sahaja Kak Ani.

    Mengajar 'budak-budak' ni agak mencabar sebab guru pun kena jadi budak-budak jugak :).

    Ye, tanpa kerjasama apapun aktiviti tidak akan berjalan dengan lancar.

    Terima kasih Kak... :)

    BalasPadam
  15. as salam sis...

    singgah sini mmbaca entri...apa khabar ye?
    moga baik-baik saja di sana..
    :)

    salam kenal..

    BalasPadam
  16. AMY:

    Waalaikumussalam :)

    Alhamdulillah, sihat seadanya. Semoga Amy sihat selalu dan dalam redha-Nya jua.Ameen.

    Terima kasih kerana sudi ziarah ke sini.

    Semoga ada manfaat yang boleh dikutip.

    Salam ukhuwwah :)

    BalasPadam
  17. unik la teka-tekinya!
    yg penting unik yg mendatangkan manfaat. terima ksih ustazah atas perkongsian :)

    BalasPadam
  18. LIYANA:

    Terima kasih sudi ziarah ke sini. Semoga ada manfaat...Salam ukhuwwah :)

    BalasPadam
  19. setuju. teka-teki yang unik. teringat zaman2 sekolah dulu..memang suka tunggu jawapan dari cikgu..

    tapi bila sekarang, rasa macam nak balik semula jadi kanak2, nak jadi student yang paling baik dan banyak bertanya.. :)

    terima kasih,ustazah..

    BalasPadam
  20. ARIF ISKANDAR:

    Pada saya boleh dikatakan, semua orang mahu kembali ke alam kanak-kanak semula. Namun tidak mungkin zaman itu akan berulang lagi.

    Semoga zaman yang ditinggalkan itu mampu memberikan kita pengajaran dalam menghadapi kehidupan yang seterusnya.

    Terima kasih kembali...

    BalasPadam