Ahad, 9 Januari 2011

UKHUWWAH ITU INDAH

Di sini ukhuwwah bermula...

Semalam, tanggal 8 Januari 2011 saya dan teman serumah pergi ke Serikin, iaitu sempadan antara Indonesia dan Sarawak. Pada mulanya kami tidak merancang untuk ke mana-mana pada hujung minggu ini memandangkan kesibukan dengan pelbagai urusan sekolah.

Namun, kehadiran sahabat saya, Kak Earnie bersama suami serta anak mereka dari Kota Kinabalu, menghentikan seketika perancangan awal saya untuk hanya berkurung di rumah sambil melayani urusan sekolah yang tidak pernah habis. Tidak wajar rasanya jika tetamu yang datang tidak dilayani dengan sebaik mungkin.

Di UKM Terciptanya Ukhuwwah

Saya mengenali Kak Earnie ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di UKM. Namun, pada waktu itu antara saya dan dia berhubung hanyalah sekadar rakan satu fakulti semata-mata. Untuk merapati beliau ketika itu saya rasa amat janggal sekali.

Dari mata kasar saya, beliau datang dari keluarga yang kaya, jadi saya rasa sangat segan untuk menegur dan merapatinya tanpa sebab yang penting. Pada masa tersebut hanya senyuman yang mampu diluahkan tanda perkenalan antara kami.

Namun setelah kami sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedua, segalanya berubah sama sekali. Kurangnya mahasiswi yang menyambung pengajian pada peringkat tersebut, terutamanya dalam bidang Usuluddin dan Falsafah telah merapatkan ukhuwwah antara kami berdua.

Pada masa itu baru saya sedar bahawa anggapan saya selama ini salah seratus peratus. Dari situ, kami sentiasa bersama-sama berbincang tentang kursus yang diambil, di samping berkongsi ilmu tentang tugasan dan nota kuliah.

Pernah saya utarakan rasa hati saya kepada beliau: "Dulu, saya tak berani nak dekati Kak Earnie. Dengan berkereta Wira hitam saya rasakan yang akak ni susah untuk didekati. Saya ingatkan akak ni sombong, tak sangka pula kita rapat sekarang ye..."

Kak Earnie hanya ketawa kecil sambil berkata: "Ramai yang anggap akak macam tu Raf..."

"...hakikatnya tidak begitu..." Sambung saya.

Benar kata-kata pepatah Inggeris: "Don't judge a book by its cover"

Tak kenal maka tak cinta!

9 Januari Ketemu Lagi

Alhamdulillah, cuaca yang baik pada hari ini seolah-olah merestui pertemuan kami sebelum beliau berangkat pulang ke Negeri Bawah Bayu pada malam ini. Kami kembali bersua hari ini. Seperti yang dirancang, termakbul jua hasrat saya untuk menjamu tetamu makan tengahari di rumah.

Sempat juga saya menyinsing lengan di dapur dengan memasak beberapa menu seperti kerutuk ayam, masam asam batang keladi, acar timun, sambal belacan dengan bacang serta ikan gelama masin.

Kerutuk Ayam

Masak Asam Batang Keladi

Sambal Belacan Campur Bacang

Walaupun penat dengan kesibukan pada awal tahun ini, namun peluang menjamu tetamu sangat memberi kepuasan kepada saya. Segala tekanan kerja yang dihadapi seminggu pertama persekolahan berlalu begitu sahaja. Benarlah, tidak rugi apabila kita memberi. Kebaikan akan kembali kepada kita jua. InsyaAllah.

Kelebihan Menjamu Tetamu

Rasulullah (S.A.W) telah bersabda dengan maksudnya:

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan
tamunya.”

Dalam sebuah atsar pula ada yang berkata:

"Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati tetamu"

Rasulullah s.a.w juga pernah ditanya:

"Apa itu Iman?"

Baginda telah bersabda (maksudnya) :

"Memberi orang makan dan menyebarkan salam."

Jumpa Lagi Sahabatku

Semoga Kak Earnie tidak serik bertandang lagi. Maaf dipinta atas segala kekurangan yang ada. InsyaAllah, saya dan teman serumah akan berkunjung balas pada Mac nanti. Didoakan agar dirimu sampai di Bumi Sabah dengan selamatnya, dan semoga ukhuwwah ini akan terus mewangi di bawah redha Ilahi.

Ya ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini

telah berkumpul kerana mengasihiMU,

bertemu untuk mematuhi perintahMU,

bersatu memikul beban dakwahMU,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk

mendaulat & menyokong syariatMU,

maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatanya...

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini

akan jalanNYA yang sebenar,

Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu

Lapangkanlah hati-hati kami dengan

limpahan iman dan keyakinan

dan keindahan tawakkal kepadaMU,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan

ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

maka matikanlah pemilik hati-hati ini

sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,

Engkaulah sebaik-baik sandaran

dan sebaik-baik penolong...

Ameen ya Rabbal 'Alameen.



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

7 ulasan:

  1. Assalamualaikum kitak..:)

    Moga kitak sihat hendaknya serta senantiasa dalam perlundungan~Nya..

    Lamak dah kamek sik pegi Serikin, rami urang kah masa tok?

    BalasPadam
  2. Assalamu'alaikum Ros..

    Alhamdulillah bertemu lagi dengan sahabat dan menautkan ikatan ukhwah..

    Sungguh menyelerakan, hidangan keladi masak asam memang kesukaan kak, begitu juga sambal belacan bacang..

    BalasPadam
  3. Salam :)

    ABD RAZAK: Alhamdulillah, kamek sihat. Moga kitak juak sihat. Terima kasih doa kitak.

    Sik rami, ada juak kamek tanyak sidak penjual..."sepi" kata penjual ya tek.

    Saya fikir orang tak ramai sebab minggu pertama persekolahan. Banyak belanja perlu digunakan.


    KAK WERDAH: Moga akak sihat ye.

    Alhamdulillah, dapat juga berjumpa walaupun berjauhan. Begitu indahnya takdir yang diatur oleh Allah.

    Erm, kalau akak datang ke Kuching/ Terengganu insyaAllah saya hidangkan menu kesukaan akak ni ye... :)

    BalasPadam
  4. Salam Ros,

    Semoga Ros juga berada dalam sihat.

    Bestnya nampak lauk2 tu. Pandai masak.

    Kadang2 kita selalu tersilap 'interpret' pada pandangan pertamakan.

    BalasPadam
  5. thanks exchange for this tips
    pmu
    turf

    BalasPadam
  6. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  7. Salam Kak Ani ... :)

    Saya juga doakan agar akak sihat sokmo :)

    Biasa aje masakan saya Kak Ani...surirumah lagi best masak kan...lebih-lebih lagi veteran macam Kak Ani.

    Ye,pandangan pertama tidak semestinya betul.

    BalasPadam