Jumaat, 18 Jun 2010

HIDAYAH : MILIK SIAPA?


SITUASI 1:
"Cantik akak sekarang...." Bersama seulas senyuman saya memuji perubahan salah seorang ibu kepada murid saya. Beliau yang dahulunya 'free hair' kini telah bertudung.

"Dah tua la ustazah, kena lah berubah." Jawab si ibu, wanita berketurunan bidayuh, tetapi telah lama berhijrah, memeluk Islam.

SITUASI 2:

"Kenapa buka Kak...Cantik tau bila akak bertudung..."

"Panas lah ustazah...Tunggu sampai seru..." Jawab pula seorang lagi ibu kepada anak murid saya. Wanita ini memang beragama Islam sejak lahir. Memakai tudung ala 'chipsmore'. 'Sekejap ada sekejap takde.'

Kedua-dua wanita ini saya kira berumur dalam lingkungan 40-an.

Hidayah Allah

Hidayah Allah tidak mengenal sesiapa. Akan dibukakan pintu hidayah-Nya kepada sesiapa yang dikehendaki. Tidak mengira usia, hidayah akan tiba jua bila sudah sampai waktunya. Dia itu raja atau rakyat biasa. Orang kaya ataupun miskin. Orang baik atau orang jahat. Semuanya berpeluang untuk menerima hidayah Ilahi.

Hidayah atau petunjuk sebenarnya sudah lama menjenguk diri kita. Terpulang kepada kita sama ada mahu menerima dengan hati terbuka atau sebaliknya.

Bak kata pepatah Melayu: "Besar tapak tangan nyiru saya tadahkan" atau "Besar tapak tangan padang bola saya tadahkan." Begitulah, kita seharusnya berlapang dada untuk merebut peluang mendapatkan hidayah dari Ilahi.

Betapa Allah telah lama menghantar hidayah kepada semua hamba-Nya. Bermula dengan diutusnya Nabi Muhammad (s.a.w), kemudian diiringi dengan naskhah tanpa wayar iaitu al-Qur'an al-Kareem.

Melalui Nabi Muhammad, kita juga dapat mengenal al-Hadith yang menjadi pedoman buat kita umat Islam. Umat yang telah mengaku bahawa 'Tiada Tuhan yang disembah melainkan Allah' dan 'Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah'.

Melalui al-Qur'an dan al-Hadith juga, kita akan mengalami evolusi dan revolusi dalam kehidupan. Dari kegelapan kepada cahaya kebenaran, dari kejahilan kepada keilmuan, dari kezaliman kepada keadilan, dari kemaksiatan kepada ketakwaan, dari pertelingkahan kepada perdamaian, dari kegelisahan kepada ketenteraman dan ketenangan jiwa.

Dalam surah Yunus, ayat 57 Allah telah berfirman dengan maksudnya:

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya telah datang kepada kamu al-Qur'an al-Qur'an yang menjadi nasihat dan pengajaran dari Tuhan kamu, dan yang menjadi penawar bagi penyakit-penyakit batin yang ada di dalam dada kamu; dan juga menjadi hidayah petunjuk untuk keselamatan serta membawa rahmat bagi orang-orang yang beriman."

"...Allah jualah yang memberi petunjuk (dengan memberi taufiq) kepada sesiapa yang dikehendaki-Nya (menurut undang-undang peraturan-Nya)." ( Surah al-Baqarah: 272)

Tanpa hidayah hidup kita akan terumbang ambing, ke tepi tidak ke tengah pun tidak. Umpama seorang musafir ke sesuatu tempat, tanpa panduan kompas, peta dan seumpamanya pasti dia akan sesat. Tidak akan sampai ke destinasi yang ditujuinya.

Apakah kita juga umpama musafir tersebut. Sama sekali TIDAK. Kita telah dibekalkan Allah dengan pelbagai bekalan agar tidak tersesat dalam menuju ke jalan kebenaran...petunjuk dan hidayah-Nya.

Seru!

Tidak sampai seru...

Belum sampai seru....

Tunggu datang seru...

Atau... 'Kekasihku Seru...' ?

Apakah benar kita tidak atau belum sampai seru.

Bukankah 'zaman sudah berubah'! Ini bukan zaman batu, zaman hidup dalam gua atau tinggal dalam hutan sehingga kita tidak pernah mendengar 'seru'. Bukan seperti zaman 'ahli fitrah'.

Setiap hari telinga kita akan mendengar seruan azan, sekurang-kurangnya lima kali sehari. Dalam al-Qur'an juga kita sentiasa diseru oleh 'Azza wa Jalla.

Saya datangkan beberapa contoh tentang seruan Allah terhadap kita hamba-Nya:

"Wahai manusia, sembahlah Tuhanmu yang telah menciptakanmu dan orang-orang yang sebelummu, agar kamu bertakwa." (al-Baqarah: 21)

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang Rasul (Muhammad) itu kepadamu dengan (membawa) kebenaran dari Tuhanmu, maka berimanlah kamu, itulah yang lebih baik bagimu. Dan jika kamu kafir, (maka kekafiran itu tidak merugikan Allah sedikitpun) kerana sesungguhnya apa yang di langit dan di bumi itu adalah kepunyaan Allah). Dan adalah Allah Maha Mengetahui lagi Maha Bijaksana. (al-Nisa': 170)

"Wahai manusia, sesungguhnya telah datang kepadamu bukti kebenaran dari Tuhanmu, (Muhammad dengan mukjizatnya) dan telah Kami turunkan kepadamu cahaya yang terang benderang (al-Qur'an)." (al-Nisa': 174)

Terdapat banyak lagi bentuk seruan Allah kepada kita, sama ada secara tersurat mahupun tersirat. Terpulang atas diri kita sama ada mahu menerima ataupun tidak.

Angkuhnya kita sebagai hamba yang diciptakan-Nya menolak seruan Allah sebagai Yang Maha Pencipta. Tidak lain dan tidak bukan yang diseru Yang Maha Pencipta adalah kebaikan semata-mata.

Hidayah Itu Milik Allah...

Memang tidak dapat disangkal lagi bahawa hidayah itu milik Allah, namun sebagai hamba-Nya kita disarankan agar sentiasa berusaha untuk mendapatkan hidayah-Nya. Tidak akan turun hidayah tanpa usaha yang jitu.

Allah (S.W.T) telah menyarankan kita agar sentiasa berusaha menyemai benih-benih ilmu agar kebenaran akan dapat dituai.Kebenaran itulah hidayah yang ditunggu-tunggu.

Dalam surah al-Ra'du ayat 11, Allah telah berfirman dengan maksudnya:

"Sesungguhnya Allah tiada mengubah keadaan sesuatu kaum, sebelum mereka mengubah keadaan diri mereka sendiri."

Tegasnya, setiap kaum atau bangsa hendaklah berusaha merubah kehidupannya ke arah yang lebih baik, dengan segenap tenaga dan usaha yang dapat dicapainya, dan janganlah hanya menyerahkan dirinya kepada nasib dan keadaan semata-mata.

Berdoalah agar Allah sentiasa memberikan hidayah-Nya kepada kita, ahli keluarga, saudara mara dan teman-teman.

Sentiasalah 'seru' Allah agar dititipkan 'anugerah' yang amat berharga itu. Jangan tunggu diseru, bimbang kelak Izra'il yang datang menyeru tanpa sempat 'sampai seru'. Wal'iyazubillah.

Semoga bermanfaat!

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


6 ulasan:

  1. Salam..:)

    Moga kitak sihat..

    Cahaya hanya menembus benda yang transparan melalui kaca. Cahaya tidak dapat menembus tembok, demikian juga cahaya spiritual. Jika hati tertutup, cahaya atau hidayah Allah tidak akan masuk. Ini salah satu sebab mengapa orang ingkar dinamakan kafir. Sebab, hati mereka telah tertutup. Kerana itu, bukalah pintu hati dan fikiran untuk meraih hidayah Allah.

    BalasPadam
  2. Salam :)

    Alhamdulillah kamek sihat...moga kitak juak..Erm, laju kitak hoo...

    Benar...hati yang tertutup tidak mungkin dapat menerima hidayah-Nya.

    Namun, Allah itu Maha Adil. Jika kita membuka ruang hati untuk-Nya,Allah pasti akan membuka seluas-luasnya pintu hidayah untuk kita.

    Berusahalah mencari, jagalah hati, insyaAllah Dia pasti memberi.

    BalasPadam
  3. betullah Ros, selalu berdoa untuk diberi hidayah , bukan sekadar menunggu diseru sahaja

    BalasPadam
  4. Salam Ros

    Semoga kita semua sentiasa diberi hidayahNYA.

    Pernah dengar orang berkata "dah banyak diberi nasihat tapi tidak berubah. Hanya hidayah Allah yang mampu mengubahnya.

    BalasPadam
  5. Ulasan ini telah dialihkan keluar oleh pengarang.

    BalasPadam
  6. KUNANG-KUNANG & A KL CITIZEN

    Salam Kak... :)

    Sama-sama kita doakan agar kita semua dikurniakan hidayah (petunjuk dan bimbingan), taufiq (restu dan keizinan untuk beramal), inayah (bantuan dan pertlongan) dan rahmat (kasih sayang)-Nya. Ameen.

    BalasPadam