Sabtu, 29 Ogos 2009

Berkualitikah Amalan Kita?

Ibadat

Hari ini sudah masuk hari ke-9 ramadhan dilewati. Ramadhan bulan yang mulia, bulan yang dibuka pintu kebaikan seluas-luasnya oleh Allah (S.W.T) untuk hamba-Nya. Amalan yang dilakukan pada bulan ini akan dilipat gandakan ganjarannya. Persoalannya adakah kita sudah menghayati Ramadhan ini sebenar-benarnya? Apakah Ramadhan yang dilalui hari ini lebih baik dari semalam? Apakah benar amalan yang kita lakukan ini diterima oleh Allah? Adakah amalan yang kita lakukan mendapat keredhaan-Nya?

Apabila tibanya Ramadhan sudah pasti produk-produk trendy akan kembali untuk meraikan syawal. Biskut bermacam biskut, kuih bermacam kuih, kek bermacam kek dan pelbagai produk lagi yang tidak terhitung jumlahnya. Begitu juga dengan kemeriahan amalan yang dilakukan di bulan barakah ini. Bermacam amalan dilakukan termasuklah solat terawih, solat tahajud, tadarus al-Qur’an, bersedekah dan sebagainya.

Semakin lama Ramadhan dilewati semakin banyak produk-produk trendy ditemui. Dimana-sahaja, sama ada di bazar Ramadhan, pasaraya, kedai runcit dan juga di gerai-gerai tepi jalan. Persoalannya adakah amalan yang kita lakukan pada bulan ini kedudukannya sama dengan produk-produk tadi. Adakah kita semakin bersemangat meraikan ibadat di bulan barakah ini sama seperti semangatnya kita melayani produk trendy untuk meraikan idulfitri?


Kebanyakan kita bersemangat untuk beribadat hanya pada awal Ramadhan. Ibadat hanya dipulun pada awal Ramadhan. Semakin lama Ramadhan diredah semakin lesu nafsu untuk melakukan ibadat. Bahkan nafsu kita mulai cenderung ke arah produk-produk trendy tadi. Salah ke kita meraikan produk-produk tadi? Tak salah sebenarnya, tapi biarlah berpada-pada. Produk-produk juga, ibadat jangan dilupa. Jangan sampai kualiti ibadat kita terjejas disebabkan oleh ghairahnya kita meraikan produk trendy tadi.


Mengapa Ibadat Kita Semakin Kurang Kualiti


Setiap organisasi pasti akan berusaha untuk meningkatkan kualiti dalam perkhidmatan agar memenuhi kehendak para pelanggan. Perkhidmatan atau produk yang berkualiti tidak akan terjadi dengan sendirinya. Ia perlu diurus dengan bersistem, untuk memperolehinya dengan konsisten. Menitip kata-kata dari SIRIM “Right at first time and every time”.

Macamana pula dengan ibadat kita? Adakah telah diurus dengan bersistem untuk memperolehi hasil yang konsisten? Kita seharusnya memastikan agar ibadat kita di bulan ramadhan ini tidak hanya menjadi trend semata-mata, sebaliknya perlu memastikan agar ibadat tersebut tetap “Right at first time and every time”. Dalam erti kata lain ibadat ini tetap diteruskan dengan istiqamah yang tinggi walaupun telah mendapat ijazah di Universiti Ramadhan ini.

Untuk memastikan semangat Ramadhan ini berterusan pastikan solat lima waktu ditunaikan sebaik mungkin. Pastikan solat yang dilakukan dapat mencegah diri kita daripada melakukan perkara-perkara yang tidak diredhai Allah. Bertepatan dengan firman Allah (S.W.T):

انَّ الصَّلوةَ تَنْهَى عَن الْفحْشَآءِ وَالْمَنْكَرِ

Maksudnya:
"Sesungguhnya solat itu dapat mencegah (perbuatan-perbuatan) keji dan mungkar."
(Surah al-Ankabut: 45)


Solat akan memandu kita untuk mengerjakan amalan soleh, seterusnya solat akan memimpin kita untuk mencari redha-Nya. Apabila redha Allah tercapai, insyaAllah ganjaran yang dijanjikan akan kita kecapi.


Masalah yang timbul hari ini ialah, kita berebut-rebut untuk pulun ibadat kerana mengejar untuk pulun ganjaran yang berganda dari Allah. Ye, tak salah kita mengejar ganjaran tetapi macamana dengan nilai ibadat yang kita lakukan? Adakah setaraf dengan ganjaran yang dikejar? Kalau tak setaraf pun biarlah sentiasa meningkat tahap kualitinya. Pastikan hari ini lebih baik dari semalam.

Ibadat yang berkualiti akan mendapat keredhaan Allah. Apabila keredhaan Allah dapat dicapai, insyaAllah ganjaran yang diharapkan akan menjadi milik kita. Sekiranya beribadat semata-mata kerana ganjaran, keredhaan-Nya belum tentu kita kecapi.

Keredhaan Allah sering dilupai kerana terlalu mengejar ganjaran-Nya. Sebab itulah ibadat kita juga boleh dikatakan sebagai ibadat trendy. Hanya beria-ria dan bersungguh ketika musimnya sahaja. Bila dah habis musim tersebut habislah segalanya.

Akhirnya, sama-samalah kita muhasabah diri. Sama-sama kita renovate iman kita agar
sentiasa berkualiti disi-Nya.

Dalam sebuah hadis hasan, Rasulullah (S.A.W) bersabda:

اِنَّ اللهَ تَعَالى يُحِبُّ مِنَ الْعَامِل اِذَا عَمِلَ أَنْ يُحْسِنَ.

Maksudnya:

“Sesungguhnya Allah taala sukakan kepada orang yang bekerja apabila ia bekerja, ia sentiasa memperbaiki mutu prestasinya.”

“Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah”

2 ulasan:

  1. 9 ramadhan dah arini...

    mmmmmmmm..
    kena semangat!

    BalasPadam
  2. INAS Semoga puasa kita semakin baik dari ke hari ye.. :-) InsyaAllah

    BalasPadam