Ahad, 16 Mei 2010

SELAMAT HARI GURU...

Sempena menyambut 16 Mei 2010, di sini saya himpunkan beberapa 'kata-kata ucapan' yang diterima melalui sms. Semoga kata-kata ini menjadi penguat semangat dalam menghadapi liku-liku hidup sebagai seorang pendidik.

..Selamat hari guru kepada anda semua. Semoga anda menjadi pendidik yang dedikasi, penuh kesabaran, kreatif, inovatif dan prihatin. Percayalah, tanpa anda pendidik dunia ini takkan maju dan ceria.


Dulu, dia pegang rotan, kau kata dia garang
Bila dia lambat masuk ke kelas kau kata dia malas
Bila dia marah-marah kau kata dia melampau
Kini...kau adalah dia.
SELAMAT HARI GURU

Setiap insan ingin kejayaan, tapi tak semua akan berjaya...Selamat hari guru dan teruskan perjuangan untuk mempertabatkan profesion perguruan. Moga terus diberkati hingga ke akhir hayat.


Guru sering dihina, dicaci demi membela nasib anak bangsa yang semakin terabai di Sekolah....Namun kerjaya guru tetap digagahi jua demi kejayaan anak bangsa. Kadang-kadang sedih jua mengapa ada insan yang sanggup mencaci perjuangan guru. Ketahui di hati guru penuh dengan bisikan. MURID DIDAHULUKAN PENCAPAIAN DIUTAMAKAN. Selamat hari guru untuk rakan semua.


Kita mempunyai 1 tekad, 1 matlamat, 1 arah perjuangan demi merealisasi impian dan harapan kita bersama. Selamat hari guru buat rakan-rakan seperjuangan.


Mak cakap CIKGU macam MAGEE, makanan rutin 'time' susah,
Ayah cakap CIKGU macam D'SEEKERS, menakutkan...
Atuk cakap CIKGU macam ASTRO, macam-macam ada...
Tapi...saya cakap CIKGU macam L'OREAL kerana dirimu begitu berharga!
SELAMAT HARI GURU... Guru Pembina Negara Bangsa

Jadilah seorang guru yang hadirnya diTUNGGU, hilang diRINDU, ilmunya diBURU, nasihatnya diSERU,tingkahlakunya diTIRU...SELAMAT HARI GURU.


Buat semua guru yang pernah saya kutip ilmu dari kalian, terima kasih yang tidak terhingga. Moga hidup kalian sentiasa dirahmati-Nya. Semoga 'amal' kita semua bernilai di sisi-Nya.

Terima kasih jua atas ucapan rakan-rakan di laman 'facebook'. Begitu juga dengan rakan-rakan 'blogger' khususnya Kak Ani, Ustaz Abd. Razak, Kak Werdah Segala ingatan dan ucapan kalian didahului dengan ucapan terima kasih. Semoga kita semua berada dalam rahmat-Nya selalu. Ameen.

Selamat Hari Guru buat semua para pendidik...Guru Pembina Negara Bangsa...

Sekian, moga ada manfaat...

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Khamis, 6 Mei 2010

DETIK ITU DATANG LAGI...

Detik itu
Seorang ibu sedang kesakitan
Menanti satu kelahiran
Sanggup berkorban
Walau dalam kesusahan

Detik itu jua
Hati seorang bapa
Resah gelisah
Ke depan salah
ke belakang pun salah
Mundar mandir ke sana sini
Doa dipohon tak pernah henti
Mohon diringankan sakit si isteri

Akhirnya gelisah bapa berlalu sepi
Sakit ibu beransur pergi
Tangis si anak menjernihkan hati
Lafaz tahmid tidak dilupai
Tanda kesyukuran tidak terperi
Atas kelahiran kurniaan Ilahi

Oh ibu
Terima kasih atas kelahiran ini
Ku pohon restu darimu
Agar langkahku sentiasa dalam doamu
Ku tahu
Tanpa restumu
Hidupku tidak akan secerah hari ini

Setiap kali datangnya detik itu
Seringkali mengingatkan aku
Betapa besarnya pengorbananmu
Melahirkan aku
Membesarkan aku
Mendidik aku
Mengasihi aku
Hingga hidup aku kini menjadi secerah mentari

Dari dulu sampai kini
Pengorbananmu tetap tersemat di hati
Terima kasih ibu...
Semoga hidupmu sentiasa di sisi Ilahi.

"Puisi ini saya dedikasikan kepada ibu sempena hari lahir saya. Biasanya, kita sentiasa bergembira menyambut hari lahir, tapi jarang muhasabah kembali pengorbanan ibu yang sanggup menanggung kesusahan demi kelahiran kita pada hari tersebut."

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Selasa, 4 Mei 2010

ENTRI PENDEK

Seusai menyelesaikan beberapa kewajipan, terus saya buka 'lappy' ini. Meng'google' blogger.com dan 'sign in' bicarailliyyun. Bahagian 'papan pemuka' di'klik', lantas di'klik' pula 'edit catatan'.

Entri beberapa hari lalu yang tidak dapat disiapkan atas pelbagai kekangan dan 'mashaqqah' yang tidak dapat dielakkan, di'edit' dan terus di'edit'. Kemiskinan bahasa diusahakan untuk di'kaya'kan, kekasaran bahasa cuba di'lemah lembut'kan.

Kekurangan hiasan dalaman cuba di'make up'kan. Wangi-wangian ayat al-Qur'an juga telah direnjis-renjiskan.

Namun, kita hanya mampu merancang Allah jua Penentu segala. Entri yang sudah sampai ke penghujung bicara .... entri yang digubah sebaik mungkin, walau bukan yang terbaik.... terpadam tanpa diketahui puncanya. Oh, tidak... Terkilan? Hanya Allah Yang Maha Mengerti...

Firman Allah (s.w.t), maksudnya:

اِنَّ اللهَ مَعَ الصَّابِرِيْنَ

"Sesungguhnya Allah bersama-sama dengan mereka yang bersabar"

"Ya Allah ya Tuhanku jadikanlah aku dari kalangan hamba-Mu yang bersabar. Ameen ya Rabbal Alameen"

Selasa, 27 April 2010

ORANG IKHLAS TERTINDAS?

Saya sangat tertarik dengan artikel ini. Artikel ini dapat memotivasikan saya, terutama dalam menanam sifat 'keredhaan' terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Sebagai seorang seorang muslim kita seharusnya akur terhadap tugas kita sebagai seorang 'staf' yang bernaung di bawah 'Satu Majikan'.

Ikhlaskan bekerja kerana Allah, insyaAllah kerja kita akan dinilai dengan adil di sisi-Nya. Sama-sama kita 'perhalusi' artikel yang saya petik dari genta-rasa.com. Semoga ada manfaatnya...InsyaAllahu Taala.

...Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.


“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”


“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Ahad, 4 April 2010

SAMPAIKANLAH...


"Ok lah, lepas ni kita jangan bercakap depan Ros lagi." Kata A, membalas teguran saya.

Saya menegur beberapa sahabat saya yang telah memperkatakan tentang 'ketidakpadanan' sepasang suami isteri dari sudut luaran.

"Sebenarnya kita tak boleh kata macam tu. Terasa hati dia nanti kalau dia dengar." Sebaik mungkin, saya melontarkan kata .

"Dia tak dengar...". Balas A.

"Dia memang tak dengar. Tapi, inilah sebenarnya antara salah satu sebab hukum harus persandingan berubah menjadi haram . Kita 'tengok' dengan mengunakan mulut, bukan dengan mata. Itu tak kena, ini tak kena. Apa perasaan kita kalau kita di tempat dia? Dah jodoh dia, biarkanlah..." 'Kalam' saya bersambung.

Semua sahabat saya terdiam termasuk A. Saya rasa serba salah. Saya bukannya yang terbaik untuk menasihati orang lain. Saya juga masih terlalu banyak kekurangan. Tapi telinga ini tidak senang apabila mendengar bentuk kritikan sebegitu, lalu lisan mengeluarkan bicara.

Rasanya, lisan ini begitu berhati-hati mengeluarkankan bicara, sebab bimbang ada hati yang disakiti. Dalam berhati-hati ada hati yang disakiti. Dalam berjaga-jaga ada jiwa yang terasa. Apatah lagi, mereka yang ditegur itu boleh dikatakan agak akrab dengan saya. Tapi teguran saya untuk kebaikan.

"Erm, jangan ambil hati ya Kak... saya juga banyak buat silap...banyak dosa...mengumpat pun tidak terkecuali..." Dengan rendah hati saya mohon maaf.

Sampai Bilakah...

Sampai bilakah kita layak untuk menasihati jika menunggu hati benar-benar bersih? Kita bukannya 'maksum'. Kita ini 'manusia' yang tidak lari dari melakukan kesalahan dan dosa. Selagi bernama manusia selagi itulah kita terus melakukan kesilapan dan dosa, sama ada disedari atau tanpa disedari. Sebab itulah kita hendaklah sentiasa menyerahkan diri kepada Allah. Sentiasa beristighfar dan memohon ampun dari-Nya.

Rasulullah (s.a.w) telah bersabda dalam sebuah hadith yang dinilai sahih. Maksudnya:

"Sampaikanlah dariku walau sepotong ayat."


Hadith ini menginterpretasikan tentang peranan 'menyampaikan' atau 'tabligh' itu wajib ke atas semua muslim dan muslimat. Tidak kira apapun kedudukan kita. Tidak terhad kepada ulama, ustaz atau bukan ustaz, tua atau muda, bos atau kuli. Semuanya ditaklifkan sebagai da'ie yang bertanggungjawab memakmurkan bumi Allah dengan nilai-nilai moral dan insani.

Bertakwa atau tidak kita, nilainya adalah di sisi Allah jua. Andai memang benar-benar bertakwa tapi tidak menjalankan amanah sebagai khalifah yang 'menyampaikan', sia-sialah nilai jawatan yang kita sandang itu.

Jangan hanya mencari pahala untuk diri sendiri semata-mata. Bantulah jua mereka yang dahagakan santapan jiwa. Jiwa yang kontang perlu diisi dengan pengisian yang berbentuk rabbani agar jiwa tersebut kembali basah dan subur dengan iman dan takwa kepada Allah Rabbul 'Izzati.

Begitu juga dengan golongan yang masih terkial-kial dalam mendekatkan dirinya kepada Allah. Jangan pinggirkan golongan ini. Jangan pandang remeh segala nasihat dan teguran mereka. Yang baik jadikan teladan, yang buruk jadikan sempadan.

Kita tidak tahu apa yang akan terjadi pada hati kita pada masa akan datang. Adakah hati kita terus berpegang dengan tali Allah...Adakah hati golongan yang 'terkial-kial' itu terus 'terkial-kial' atau sebaliknya. Segala-galanya mungkin...Hanya Dia Yang Maha Mengetahui.

Cabaran...

Seringkali kita dilontarkan dialog sebegini:

"Alah, dia tu bukannya baik sangat. Pandai-pandai nak menasihati orang. Ukurlah baju di badan sendiri dulu."

atau dialog begini:

"Kubur masing-masing..."

Ada yang terus 'mati kutu' untuk meneruskan peranan sebagai da'ie apabila dihujani dengan respons sebegini.

Saya sedar, saya hanyalah da'ie kecil tapi hati saya sering bergelora...tidak tenang andai 'kebatilan keterlaluan' di hadapan mata. Mata tidak mampu untuk melihat semata-mata, lalu lisan mengeluarkan 'kata'. Hasilnya mungkin tidak seberapa, namun saya mohon agar 'kata' yang datang dari hati itu tetap bernilai di sisi Yang Esa.

Keterlaluan!

Walaupun saya tahu bahawa untuk menyedarkan seseorang itu dari lena diulit dosa tidak perlu tunggu 'keterlaluan' yang datang namun saya terlalu lemah untuk itu. Saya tahu batil tetap batil selagi ia dinamakan 'kebatilan'. Keterlaluannya saya...hanya memilih untuk mencegah kebatilan yang keterlaluan!

"Lain kali kita jangan bercakap depan Ros lagi."

Kata-kata ini amat menusuk hati seolah-olah teguran saya itu tiada kesan apa-apa. Bukan bermaksud saya kecil hati kerana teguran tidak diambil endah. Sebaliknya hati kecil saya terkilan kerana A tidak memahami maksud teguran saya. Apa yang saya sampaikan bukan untuk ditangani, tetapi hanya untuk dijauhi.

Seolah-olah lisan yang berbicara itu tidak mempunyai sedikit 'isi' pun. Apapun, saya sedar semua itu hanya dugaan semata. Tiada apa yang perlu diambil kira. Hanyalah ujian yang tersangat kecil.

"Aku mohon padamu ya Allah agar aku mampu istiqamah dalam menyampaikan kebenaran-Mu. Ameen ya Rabbal 'Alameen.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"

SEMUANYA KELABU

"Awak ni Ros, selalu cakap orang tu baik, orang ni baik." Kata salah seorang rakan saya, Fatima.

"Dah tu, nak cakap macamana lagi. Salah ke kalau saya puji mereka tu. Saya hanya nampak apa yang zahir." Ulas saya.

"Masalahnya kita tak tau di belakang kita mereka tu macamana..." Fatima menyambung bicara.

"Di belakang, kita tak nampak. Kalau mereka nak mengata ke...nak umpat ke...terpulang lah. Kita tak boleh tutup mulut mereka. Kita ni, kalau buat yang betul pun 'dikata' orang, apatah lagi kalau buat jahat. Semuanya tak betul di mata mereka. Apa lagi yang mampu kita buat?" Saya menyambung ulasan, beserta persoalan.

"Saya pun tak berani nak cakap orang tu baik, orang ni baik." Mencelah pula Farhah.

"Ye lah Ros. Sebenarnya saya ada dengar orang yang awak sangkakan baik tu pernah mengumpat awak. Hati-hati la ye..." Fatima mengingatkan saya.

Entahlah, kekadang saya bingung dengan keadaan ini. Saya selalu terperangkap dengan situasi begini. Saya cuba untuk 'think positive' tapi perkara sebaliknya yang berlaku. Dikhianati oleh orang yang tidak kita sangka sering berlaku. Talam dua muka!

Bahkan ada juga yang ingin rapat dengan seseorang itu atas kepentingan peribadi. Tak kurang juga yang ingin mengorek rahsia. Selepas didapati apa yang dikehendaki akan disebarluaskan pula kepada rakan yang lain, akhirnya timbul perasaan tidak puas hati. Perasaan dilepaskan dengan cara fitnah-memfitnah. Kebenaran tidak wujud lagi. Kepalsuan yang melata.

"Maz, kekadang aku rasa tak sabar nak tunggu hari kiamat." Suara saya kepada rakan serumah. Timbul sedikit kerutan pada muka rakan saya. Ya, mana ada orang yang tidak sabar menghadapi hari pembalasan. Tidak terkecuali dengan diri saya. Masih banyak lubang yang perlu ditampal.

"Fitnah terlalu berleluasa sekarang ni. Dah tak nampak lagi mana yang putih, mana yang hitam. Semuanya kelabu." Saya meneruskan 'kalam'. Kerutan di muka rakan saya sudah mulai hilang.

"Aku sebenarnya tak sabar nak tahu kebenaran, tapi...sebenarnya, aku takut nak hadapi hari kiamat. Banyak lagi dosa ni... " Rakan saya mengangguk-angguk, tanda sudah memahami maksud saya.

Ya, dunia hari ini serba kelabu. Fitnah di sana sini.

Tidakkah kita semua sebagai manusia yang mengakui bahawa "Tiada Tuhan melainkan Allah" dan "Nabi Muhammad itu Pesuruh Allah" melupai akan besarnya kesan fitnah sehingga Allah telah berfirman dalam surah al-Baqarah : 191, maksudnya:

"
...dan fitnah itu lebih besar daripada pembunuhan..."

Moga kita semua terhindar daripada bahaya fitnah ini.

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Sabtu, 20 Mac 2010

MONDAY BLUES


“Aduh, cepatnya Isnin, belum puas bercuti”.

“Malasnya nak pegi keje esok…”

Pernahkah anda merasa sedemikian? Paling tidak terlintas di hati? Kalau bagi dipihak diri saya selalu jugak mengalami perasaan begitu, namun berjaya ditangkis bila memikirkan yang kerja itu satu amanah. Takut juga kalau-kalau termakan gaji yang tidak sepatutnya. Menurut pembacaan saya dalam majalah Nur, sindrom’ ini disebut sebagai ‘Monday Blues’.

‘Monday Blues’ ini sebenarnya mampu membantutkan kreativiti kerja kita. Kejayaan di dunia dan akhirat tidak akan tercapai selagi kita mempunyai sindrom ini. Di sini saya ingin berkongsi dengan sahabat semua tentang tips untuk menangani sindrom ini. Tips ini saya ringkaskan dari artikel yang dinukilkan dari majalah Nur edisi Mac.

Tips Tangani Monday Blues:

-Tidur lebih awal pada malam Ahad dan elakkan aktiviti luar pada malam itu.

-Lakukan persiapan untuk esok hari lebih awal (bukan pada waktu pagi Isnin).

-Bertenang dan tarik nafas setiap kali bangun pagi. Jangan lupa berdoa selepas solat subuh agar anda diberi kekuatan dan semangat untuk menempuh kehidupan harian.

-Bersenam setiap pagi

-Rancang perjalanan anda setiap hari. Keluar lebih awal utuk mengelakkan diri daripada terperangkap ke tempat kerja, terutama pada hari Isnin. Ia mungkin boleh menjejaskan emosi anda.

-Jangan lupa berniat kerana Allah sebelum keluar ke tempat kerja. Mulakan dengan lafaz basmalah.

-Jika timbul rasa malas, bosan dan tidak bersemangat cepat-cepat sedarkan diri anda. Buka minda dan hati. Cuba fikirkan…bukankah sifat negatif itu sifat syaitan? Mahukah diri kita dibelenggu dengan perasaan itu? Sebagai insane yang beriman, insyaAllah anda akan mampu menepis mood yang negatif itu.

-Hayati keindahan alam mampu mengundang ketenangan. Bagaimana? Apabila anda melangkah ke luar rumah, cuba perhatikan langit, cahaya matahari dan pohon-pohon sekitar anda. Hirup udara nan segar di pagi hari dan bersyukurlah anda masih dipanjangkan usia dan mengagumi ciptaan-Nya.

-Mulakan sarapan anda di pagi Isnin dengan secawan kopi panas. Walaupun minuman berkafein kurang digalakkan dari segi kesihatan, tetapi jika ia diambil secara sederhana, ia tidaklah memudharatkan. Pasti mengantuk anda hilang selepas itu.

-Pastikan pada hari Jumaat, sebelum anda pulang kerja, kemaskan ruang kerja anda terlebih dulu. Cara ini menjadikan minda kita tidak berserabut untuk memulakan kerja pada hari Isnin. Untuk aroma harum, titiskan minyak aroma terapi pada potpouri di atas meja anda.

-Bayangkan perkara-perkara positif pada malam Ahad. Jika anda ada masalah yang perlu diselesaikan esok. Jangan cuba lari daripada masalah, kerana makin dilari, kita makin dikejar.

-Fikirkan idea-idea kreatif yang boleh anda aplikasi di tempat kerja esok hari. Catat apa jua idea anda dan cuba laksanakan satu persatu. Sudah tentu membahagiakan jika idea tersebut memberi faedah kepada diri dan semua yang lain

-Dari segi penampilan diri, anda boleh ubah suai asalkan masih kelihatan sopan dan anggun.Kata orang warna mampu merangsang mood yang ceria dan bersemangat.

-Amalkan gaya hidup yan sihat iaitu pemakanan atau diet yang betul, bersenam secara konsisten dan sentiasa berfikiran positif. Dengan cara ini anda mampu menagani apa jua situasi di samping terus berdoa kepada Allah.

-Mulakan hari anda dengan senyuman kerana senyuman itu satu sedekah. Jangan lokek juga memuji orang lain kerana melihat orang lain bahagia akan turut membahagiakan diri anda.

Sekadar itu perkongsian dari saya. Semoga kita sama-sama dapat memanfaatkannya, terutama buat diri saya yang akan mula menemui anak-anak didik Isnin nanti. Memang terasa akan mengalami ‘Monday Blues’ memandangkan cuti sekolah hanya berbaki satu hari je lagi.

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Isnin, 22 Februari 2010

ADA HANTU BERDIRI...

"Ros...ada dengar cerita baru tak?" Tanya A sahabat saya suatu hari.

"Cerita ape lak." Saya tanya kembali.

"Ada 'hantu berdiri' kat tandas belakang. Takut saya nak ke tandas sana lagi." Kata A lagi.

"Ish, mengarutlah. Mana ada hantu siang-siang hari ni."Balas saya.

"Kita tak perlu takut. Mungkin 'hantu' tu nak suruh kita solat kut..." Tambah saya, sekadar dalam hati. Aduh, masih lemah iman saya ni.

Waktu tidak mengizinkan untuk saya menggunakan lidah sepenuhnya ketika bicara langsung itu. Sudah banyak kali saya membicarakan tentang kewajipan bersolat secara 'tunai', bukannya menggunakan 'cek tendang'.


Walaupun hati A sudah menerima isyarat 'tunai' itu, namun anggota badan kepunyaan Allah itu masih belum membuktikannya. Bilakah? Saya masih tertunggu-tunggu saat itu.

Lari Dari Hantu

Kekadang saya pelik dengan sikap sesetengah manusia. Terlampau ditakutinya sesuatu yang sama taraf dengannya, iaitu 'hantu'. Sama taraf yang saya maksudkan di sini ialah "hantu dan manusia" itu kedudukannya sama di sisi Allah. Semuanya sebagai hamba...makhluk...ciptaan Allah Yang Maha Kuasa.

Saya bukannya menafikan secara total wujudnya 'hantu' iyang dimaksudkan itu. Semuanya kuasa Allah. Ya, mungkin benar, mungkin juga tidak. Dalam al-Qur'an ada disebut tentang kewujudan makhluk halus ini, iaitu dalam surah al-Ahqaaf : 29, yang bermaksud:


"Dan (ingatlah) ketika Kami hadapkan serombongan jin kepadamu..."


Dalam surah al-An'aam: 130, maksudnya:


"Hai golongan jin dan manusia, apakah belum datang kepadamu rasul-rasul dari golongan kamu sendiri..."


Banyak lagi sebenarnya ayat-ayat al-Qur'an yang menjelaskan tentang kewujudan makhluk halus ini. Begitu juga dengan hadith-hadith. Saya tidak bermaksud untuk menukilkan semuanya kerana topik perbincangan saya hanya memfokuskan kepada solusi yang diambil A ketika berhadapan dengan cerita 'hantu'.


Cuma saya merasa pelik dengan tindakan A. 'Lari dari tempat 'hantu' untuk lari dari berjumpa dengan hantu'. Kenapa perlu bertindak begitu?. Adakah ia satu jaminan bahawa tiada 'hantu' yang akan mengganggu.

Jawapannya pasti TIDAK bukan. Ini kerana 'hantu' hanya akan menjauhi seseorang itu apabila keimanan kuat bertapak di hati. Saya tidak nafikan, kekadang 'hantu' ini akan mengganggu juga walaupun keimanan sudah 'bertapak'. Namun dengan penambahan iman dari sehari ke sehari, InsyaAllah 'hantu' itu tidak akan kekal lama 'bersama' kita. 'Hantu' akan pergi juga.

Isilah ruhani dengan ketakwaan. Kembalikan jasad dan ruh kepada Empunya. Sujud kepadanya, usah ditangguh-tangguh...kerna hanya Empunya yang Maha Tahu bilakah waktunya jasad dan ruh itu akan kekal kembali pada-Nya.

Mauk
Jumpa Hantu


"Ros, kitak mauk pegi sinei." Sapa rakan setugas, Siti dalam loghat Sarawak.

"Kamek mauk jumpe 'hantu berdiri'. Kitak mauk jumpe juak kah?
" Tanya saya sambil tersenyum.

Siti hanya tersenyum. Dia faham maksud saya, hendak ke tandas untuk berwudhuk bagi melangsaikan kewajipan terhadap Yang Maha Esa.


Hanya sekadar itu perkongsian saya. Jumpa lagi!


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"





Sabtu, 13 Februari 2010

TAK BERNYAWA


Tak bernyawa!

Itu yang saya rasakan apabila curahan idea tidak kunjung tiba. Puas dikerah otak untuk mengatur 'bicara' tapi tidak bertandang jua. Apabila berlegar-legar di laman sesawang rakan-rakan ‘blogger’ yang sentiasa hidup dengan pelbagai curahan idea, terdetik juga rasa cemburu di jiwa.

Terfikir juga di hati saya. “Mungkin hati saya yang tak bernyawa, itulah sebabnya ‘blog’ saya tidak bernyawa". Mana mungkin kita masih hidup jika degupan nafas sudah terhenti.

Hati Yang Tidak Bernyawa

Mati

Beku

Kaku

Lesu

Pada saya, empat perkataan inilah yang paling sinonim dengan istilah tidak bernyawa.

Manusia yang mati sudah pasti tidak bernyawa lagi. Degupan jantung sudah berhenti. Tidak akan hidup lagi kecuali pada hari akhirat apabila dibangkitkan untuk dihitung amal mereka.Waktu itu sudah tiada guna lagi kehidupan mereka melainkan orang-orang yang beriman. Golongan ini sudah pasti akan menjadi tetamu Allah di syurga nan abadi.

Bagaimana pula dengan golongan yang satu lagi? Di manakah posisi mereka? Kalau tidak di syurga pastinya ke neraka. Bukankah syurga itu lawannya neraka. Atau mungkinkah berada di antara syurga atau neraka. Mengapa begitu keadaan mereka, tidak seberuntung golongan mukminin dan mukminat.

Semua ini pastinya berpunca dari hati. Hati mereka ini mungkin sudah tidak bernyawa sebelum Izra'il mengambil nyawa. Hati mereka telah mati untuk menerima kebenaran. Kaku lidahnya untuk mengatur bicara ketika berhadapan dengan kepalsuan dan pendustaan. Lantas, lesu pula fizikalnya untuk mengadap Ilahi serta melaksanakan ‘amar makruf nahi munkar’.

Hati yang mati sering dikaitkan dengan hati yang sukar untuk menerima kebenaran. Kebenaran yang pastinya akan mengiringi hidup manusia ke arah jalan yang lurus. Bukan setakat memandu hati kita ketika jasad masih hidup, bahkan turut mengiringi jasad kita yang akan kaku pabila sampai masanya nanti.

Hari ini kita dapati ramai di kalangan manusia telah ‘mati’ hatinya apabila menapis-napis kebenaran yang dibawa. Mana-mana kebenaran itu selari dengan dihidupnya ditimang-ditimang. Sebaliknya apabila didapati kebenaran itu tidak seiring dengan jalan hidup, dengan sewenangnya dibolak balikkan mengikut ‘mazhab’ sendiri.

Mengapa Hati Tidak Bernyawa

Apabila sampai masanya manusia akan menerima kunjungan Izra’il atas arahan Yang Maha Kuasa, iaitu Allah (S.W.T). Tidak sesaat pun Izra’il menangguh-nangguhkan arahan Allah selaras dengan firman-Nya dalam surah Yaasin, ayat 82, maksudnya:

“Sesungguhnya perintah-Nya apabila ia menghendaki sesuatu hanyalah berkata kepadanya: “Jadilah!” maka terjadilah ia.”

Begitulah taatnya makhluk Allah yang bernama malaikat dalam menjunjung perintah-Nya. Maka, apabila terpisahnya antara nyawa dan jasad akan matilah manusia.

Hati pula akan mati apabila dicabut nyawanya oleh kekufuran beserta dengan ‘sekutunya’ yang lain iaitu kefasiqan, kebatilan, kemaksiatan dan kejahilan. Dengan kata lain, hati akan mati apabila manusia itu melaksanakan larangan Allah, sekaligus mengingkari perintah-Nya.

Apabila hati telah mati, hati itu akan susah menerima hidayah-Nya. Hati telah diselaputi dengan titik hitam pekat disebabkan oleh kekufuran, kefasiqan, kemaksiatan dan kejahilan. Akibatnya yang kufur akan terus kufur, yang fasiq akan terus fasiq, a’si akan terus dengan perkara maksiatnya dan yang jahil akan terus jahil.

Hati-hati ini sama sekali tidak sudi menyahut seruan iman disebabkan oleh keras, kaku dan lesunya hati mereka ke arah menjunjung perintah Allah. Alangkah malangnya kita sebagai manusia andainya hati terlebih dahulu tidak bernyawa sebelum malaikat Izra’il mencabut nyawa.

Golongan yang hatinya mati diibaratkan oleh Allah sebagai golongan yang lalai, sebagaimana dalam surah al-A’raf ayat 179, Allah telah berfirman dengan maksudnya berbunyi:

“Dan Kami jadikan isi neraka Jahannam kebanyakan dari jin dan manusia, mereka mempunyai hati, tetapi tidak digunakannya untuk memahami (ayat-ayat Allah) dan mereka mempunyai mata (tetapi) tidak digunakannya untuk melihat (tanda-tanda kekuasaan Allah), dan mereka mempunyai telinga (tetapi) tidak digunakannya untuk mendengar (ayat-ayat Allah). Mereka itu sebagai binatang ternak, bahkan mereka lebih sesat lagi. Mereka itulah orang-orang yang lalai”.

Rawatlah Hati

Apabila perut lapar kita akan mencari makanan agar perut yang lapar itu menjadi kenyang. Begitu juga dengan tubuh badan yang sakit perlu dirawat dan dicari ubat agar kesakitan yang dialami akan sembuh.

Hati juga walaupun telah mati, ia juga perlu dijaga, dirawat dan disantapi dengan pelbagai jenis vitamin agar ianya kembali hidup dengan cahaya-cahaya keinsafan, seterusnya sinar iman akan terpancar di jiwa. Maka sya’riat akan terpelihara dengan akhlak-akhlak al-Qur’an.

Antara santapan atau vitamin yang diperlukan oleh hati yang mati ialah:

-Ilmu yang bermanfaat

-Sifat-sifat Mahmudah

-Istiqamah

-Doa

Ayuh sahabat, sama-samalah kita jaga hati kita agar terus hidup dengan amalan-amalan ‘solihat’ agar hati kita terus hidup dengan pancaran keimanan. Insya’Alah, hati yang hidup ini bakal mengiringi kita apabila disapa Izrail pabila tiba saatnya nanti. Ameen ya Rabbal 'Alamin.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

13.02.2010

11.53P.M

Ahad, 31 Januari 2010

SERASIKAN TADBIR DAN TAKDIR

Sekadar perkongsian dengan para sahabat artikel yang saya petik dari gentarasa.com. Semoga kita sama-sama dapat menghayati curahan ilmu yang bermanfaat ini.

Takdir sentiasa mengatasi tadbir. Takdir daripada Allah, sedangkan tadbir hanya dari kita hamba-Nya. Kekadang takdir dan tadbir selari, maka terjadilah apa yang kita inginkan terjadi. Alhamdulillah.

Namun acapkali juga takdir dan tadbir bersalahan, bertentangan, maka terjadilah apa yang kita tidak inginkan terjadi. Kita ingin putih, hitam pula yang menjelma. Kita dambakan kejayaan, kegagalan pula yang menimpa. Ketika itu hati akan bertanya, apa lagi yang tidak kena?

Ketika itu hatipun merintih… semuanya telah kutadbirkan, tetapi kenapa gagal jua? Ketika itu timbullah bunga-bunga ’pemberontakan’ dari dalam diri hamba yang kerdil berdepan dengan ketentuan Allah yang maha Perkasa. Samada di sedari atau tanpa disedari… kita menyalahkan segala – daripada diri sendiri, orang lain sehinggalah kepada Allah.

Takdir daripada Allah mengandungi banyak hikmah. Ia mengandungi mehnah (didikan langsung dari Allah) yang kekadang tersembunyi daripada pengamatan fikiran biasa. Ilmu semata-mata tanpa iman yang kuat, akan menyebabkan kita terkapa-kapa dalam ujian hidup tanpa pedoman yang tepat.

Justeru dengan akal semata-mata kita tidak akan dapat meringankan perasaan pada perkara-perkara yang tidak sejalan dengan diri dan kehendak kita. Mengapa terjadi begini? Sedangkan aku telah berusaha?

Untuk mengelakkan hal itu terjadi maka kita mesti berusaha mencari-cari hikmah-hikmah yang terkandung dalam ketentuan (takdir) Tuhan. Ya, hanya manusia yang sempurna akal (ilmu) dan hati (iman) sahaja dapat menjangkau hikmah yang terkandung di dalam cubaan dan bala yang menimpa duirinyanya. Kata orang, hanya jauhari mengenal manikam.

Orang yang begini akan menjangkau hikmah di sebalik takdir. Dapat melihat sesuatu yang lebih tersirat di sebalik yang tersurat. Ya, mereka tidak akan beranggapan bahawa sifat lemah-lembut Allah luput daripada segala takdir-Nya – samada yang kelihatan positif atau negatif pada pandangan manusia.

Ertinya, mereka merasai bahawa apa jua takdir Allah adalah bermaksud baik. Jika sebaliknya, mereka merasakan bahawa Tuhan bermasud jahat dalam takdir-Nya, maka itu petanda penglihatan hati tidak jauh, dan akalnya pendek.

Mengapa terjadi demikian? Sebab iman belum mantap, keyakinan masih lemah dan tidak kenal Allah dalam ertikata yang sebenarnya. Bila ketiga-tiga faktor itu sempurna, maka barulah sesorang itu mampu melihat bahawa di dalam cubaan dan bala yang ditakdirkan mengandungi hikmah-hikmah yang baik. Hanya dengan itu, seseorang itu akan merasa senang dan bahagia dalam menghadapi sebarang ujian dalam hidupnya.

Bagaimana kita dapat meringankan beban hati ketika menghadapi ujian hidup? Ya, hanya pertalian hati seorang hamba dengan Allah sahaja yang menyebakan ringannya ujian dan cubaan. Hati yang disinar dengan cahaya Allah dan cahaya sifat-sifat-Nya akan berhubung dengan Allah. Untuk meringankan kepedihan bala yang menimpa, hendak dikenal bahawa Allah-lah yang menurunkan bala itu. Dan yakinlah bahawa keputusan (takdir) Allah itu akan memberikan yang terbaik.

Bila kita kenal Allah Maha Pengasih dan Penyayang, kita tak boleh buruk sangka kepada Allah dengan menganggap apa yang ditakdirkan (ujian) itu adalah sesuatu yang tidak baik. Iktikad (yakin) kita semua ketentuan Allah itu adalah baik – ujian itu pasti ada muslihat yang tersembunyi untuk manusia, akan menyebabkan hati terubat. Walaupun pahit, ditelan jua. Sematkan di hati bahawa pilihan Allah untuk kita adalah yang terbaik tapi kita tidak atau belum mengetahuinya. Bila terjadi nanti, barulah kita tahu.

Katalah kita ditimpa penyakit atau kegagalan… itu mungkin pada hakikatnya baik pada suatu waktu nanti. Betapa ramai, mereka yang sakit, tetapi akhirnya mendapat pengajaran yang besar di sebalik kesakitannya. Contohnya, apa yang berlaku kepada Cat Steven… yang sakitnya itulah yang menyebabkan beliau mendapat hidayah dan akhirnya memeluk Islam?

Dan betapa ramai pula yang gagal pada mulanya tetapi dengan kegagalan itu bangkit jiwa juang yang lebih kental yang akhirnya membuah kejayaan? Hingga dengan itu masyhurlah kata-kata bahawa kegagalan itu hakikatnya adalah kejayaan yang ditangguhkan!

Para ahli hikmah (bijaksana) merumuskan bahawa, antara hikmah ujian ialah, hati akan lebih tumpuan kepada Allah. Dengan ujian, seseorang akan dapat menambah tumpuan dan penghadapannya kepada Allah. Sebab bala dan ujian bertentangan dengan kehendak, keinginan dan syahwat manusia, seperti sakit, rugi, miskin dan lain-lain.

Dengan ini nafsu akan terdesak, tidak senang dan ingin lepas daripada ujian. Bila nafsu terdesak, ia akan terdidik secara langsung. Ia akan tertekan dan menjadi jinak. Hakikat ini akan membuka pintu rahmat Allah kerana nafsu yang liar sangat mengajak kepada kejahatan. Bila nafsu hilang kekuatannya maka manusia tidak akan jatuh ke lembah dosa dan maksiat dengan mudah.

Hati tidak dapat tidak mesti bersabar. Hati akan terdidik untuk redha dan tawakal, kerana yakin Qada dan Qadar Allah pasti berlaku. kerana manusia harus terima, tidak boleh menolak ujian itu. Hamba yang soleh menanggung Qadar dengan sabar (bahkan) gembira dengan pilihan Allah. (Ujian adalah pilihan Allah bukan pilihan manusia). Tidak ada pilihan Allah yang tidak baik. Semuanya baik belaka.

Hakikat ini akan menyebabkan kita akan lebih mendekat kepada agama. Hikmah ini walaupun sebesar atom tetapi bila melekat di hati kebaikannya lebih tinggi dari amal lahiriah walaupun sebesar gunung. Justeru, bila hati baik semua anggota badan menjadi baik. Inilah yang ditegaskan oleh Allah menerusi firman-Nya:

“…Dan boleh jadi kamu menyukai sesuatu sedangkan sesuatu itu merosakkan kamu. Dan Allah mengetahui, sedangkan kamu tidak tahu.” Surah Al Baqarah : 216

Sesungguhnya, dalam ujian Allah terselit nikmat-Nya. Mungkin kita tertanya-tanya apakah nikmatnya bila sakit, miskin, gagal, dihina dan sebagainya? Hendaklah kita faham bahawa nikmat di sisi Allah itu terbahagi dua. Pertama, nikmat lahir. Dan kedua, nikmat batin (rohaniah). Nikmat lahiriah ialah sihat, selamat dan kebaikan fizikal yang lain. Manakala nikmat batiniah ialah nilai-nilai keimanan, keyakinan dan kesabaran. Dengan ujian kesusahan misalnya, barulah terbina sifat sabar. Dan sabar itu adalah separuh daripada keimanan.

Ujian juga akan menghapuskan dosa dan kesalahan seseorang terhadap Allah. Nabi Isa pernah berkata, ”belum dikatakan seorang itu kenal Allah, sebelum dia bergembira dengan musibah dan penyakit ke atas dirinya, kerana berharap supaya dihapuskan kesalahannya.” Bila kita benci dengan ujian, ertinya belum kenal Allah dan (kerana) tidak faham itulah cara (kaedah) Allah mengampunkan dosa kita. Bila kita gembira (terima dengan baik) ujian itu, kerana yakin bahawa yang datangkan ujian itu juga adalah Allah.

Jadi, apabila kita ditimpa ujian maka berusaha dan berikhtiarlah untuk menangani ujian itu tetapi jangan sesekali lupa mencungkil hikmahnya. Oleh yang demikian, apabila diuji, terimalah dengan baik dengan mencari hikmah-hikmahnya kerana tidak ada takdir Allah yang tidak ada hikmahnya. Ingatlah, bahawa orang soleh itu bila diuji, hikmah-hikmah ujian akan mendekatkan mereka kepada Allah.

Jangan sesekali kita menjadi orang yang rugi yakni mereka yang buta daripada melihat hikmah justeru akal dan hati hanya melihat sesuatu yang selari dengan hawa nafsunya sahaja. Ingatan para hamba yang soleh kepada Allah akan bertambah dengan ujian-ujianNya. Mereka merasakan ujian itu satu petanda yang Allah telah memilih mereka.

Mereka sentiasa berbaik sangka dengan Allah dengan cara menyedari (mencari) bahawa setiap yang berlaku samada pahit atau manis pasti ada hikmahnya. Mereka tidak melihat hanya ’asbab’ (sebab-sebab) tetapi mata hati mereka dapat menjangkau ’musabbabil asbab’ (Penyebab – Tuhan).

Hati mereka berkata:

”Inilah hakikat hidup yang dipilih Allah untuk ku. Aku akan terus berbaik sangka kepada Allah… DIA akan mengubat, melapangkan dan memberi kemenangan di sebalik ujian ini. Ya, aku tidak tahu, kerana ilmu ku terbatas. Tetapi kerana Allah yang Maha Penyayang telah memilih ujian ini untuk diri ku maka aku yakin ilmu-Nya Maha luas. Yang pahit ini akan menjadi ubat. Yang pedih ini akan menjadi penawar. Ya, Allah tingkatkanlah iman ku bagi mendepani setiap ujian dari-Mu!”

SUMBER: gentarasa.com