Ahad, 18 Oktober 2009

TERUSLAH BERDOA...




"Takdir ke tu?" A bertanya B.


"Ye, takdirlah. Sudah takdir..." Jawab B.

"... takdir boleh berubah tak?
Tak perlu berusaha ke?" Tanya A lagi.

"Kan semua tu sudah takdir-Nya." B tetap dengan pendiriannya.

"Takdir boleh berubah.Sebab itu kita disarankan agar berdoa.Tanyalah ustazah tu." Ujar A sambil menuding jari ke arah saya.

Dialog yang sempat saya rakamkan di minda sebelum diberi peluang untuk 'menyampuk'. Ketika itu saya sekadar singgah sekejap di bilik pemulihan, sementara menanti waktu P&P (Pengajaran dan Pembelajaran) seterusnya. Tidak pula saya tahu ada perbincangan santai.

B tercengang mendengar kenyataan A .

"Tapi saya dah banyak berdoa, tak makbul-makbul juga..." Jawab B.

Saya sudah mengagak jawapan itu. Ini kerana saya pun pernah berbual ringan dengan B berkaitan dengan takdir.

"Ye, takdir boleh berubah, sebab itulah kita disarankan berdoa...Apa gunanya Allah suruh kita berdoa kalau takdir itu tidak berubah. Mungkin doa kita akan dimakbulkan di akhirat kelak. Tak semestinya semua doa kita dimakbulkan terus di dunia." Saya 'menyampuk'.

Kita sebenarnya tidak tau bagaimanakah caranya Allah mengabulkan doa kita. Adakah terus dibayar 'cash'? Tidak mustahil juga dibayar dengan menggunakan 'cek'. Yang penting jangan berputus asa untuk terus meminta.

"Allah bagi apa yang Dia tahu, bukannya Allah bagi semua apa yang kita minta. Apa yang kita minta tak semestinya baik untuk kita." Ulas A.

Ye, sebenarnya Allah itu Maha Mengetahui apa yang baik untuk kita. Tak semestinya baik di fikiran kita, maka baiklah bagi ilmu Allah. Boleh jadi sebaliknya. Sebab itulah kita perlu redha dengan apa yang ditakdirkan kepada kita. Tapi tidak bermakna kita harus tunduk dan mengalah dengan takdir. Berdoa...dan teruslah berdoa.

Sekiranya apa yang dipinta itu tidak direalitikan oleh Allah, pasti ada hikmah yang tersirat. Hanya Allah yang Maha Tahu. Kita juga harus muhasabah diri kenapa doa kita tidak dimakbulkan Allah. Mungkin ada hijab yang menghalang.

Hijab-hijab Yang Menghalang

Ketika Ibrahim bin Adham (seorang sufi) berada di tengah-tengah pasar Basrah, beliau telah dikerumuni oleh orang ramai.

Di antara mereka ada yang bertanya: " Kenapakah doa kami tidak dimakbulkan Allah, sedangkan kami bermohon kepada-Nya?".

Jawab Ibrahim : "Kerana hati mereka buta disebabkan sepuluh perkara:"
  1. Kamu mengenal Allah, tetapi kamu tidak menunaikan suruhan-Nya.
  2. Kamu menyangka kamu cinta kepada Rasul Allah, tetapi kamu meninggalkan sunahnya.
  3. Kamu telah membaca Al-Quran, tetapi kamu tidak beramal dengannya.
  4. Kamu telah makan nikmat Allah, tetapi kamu tidak tunaikan syukur-Nya.
  5. Kamu telah berkata syaitan itu musuh kamu, tetapi kamu tidak menentangnya.
  6. Kamu telah berkata syurga itu benar, tetapi kamu tidak beramal untuknya.
  7. Kamu berkata neraka itu benar, tetapi kamu tidak lari daripadanya.
  8. Kamu berkata mati itu benar, tetapi kamu tidak bersedia untuknya.
  9. Kamu bangun daripada tidur lalu kamu ceritakan segala keaiban manusia, tetapi kamu lupa keaiban diri sendiri.
  10. Kamu kebumikan mayat-mayat kamu (sahabat-sahabatmu) tetapi kamu tidak mengambil iktibar daripada mereka.
Semoga kita semua dapat mencedok serba sedikit pengajaran dari tinta mujarab tinggalan Ibrahim Adham ini. Hingga jumpa lagi. Wassalam.

"Hidup Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Sabtu, 10 Oktober 2009

MUSIBAH ITU SATU PENGAJARAN


Entri ini sekadar luahan perasaan penulis semata-mata, sekadar untuk mengingatkan diri yang selalu alpa. Alpa pada diri, alpa pada waktu, dan alpa jua pada-Nya. Walau bagaimanapun, andai ada sekelumit pengajaran dari penulisan ini, hayatilah ia.

Entah mengapa saya merasa sedih dengan perginya Ramadhan kali ini. Ramadhan yang datang begitu menduga keimanan saya. Satu persatu ujian menjenguk diri tanpa disangka-sangka. Ujian ini mendidik hati saya agar sentiasa bersedia untuk menerima ujian-Nya, sentiasa mengingati-Nya walau di mana berada.

Bukankah ujian Allah itu satu tanda bahawa Dia mengasihi umat-Nya? Ujian itu juga merupakan satu isyarat bahawa diri ini perlu
mengislahi amalan hari ini agar menjadi lebih baik pada hari-hari seterusnya. Ujian ini juga diharapkan menjadi kaffarah dosa-dosa lalu.

Saya terfikir sejenak:

"Andai balasan dunia ini tidak mampu diharungi, mampukah balasan akhirat saya harungi? Diharapkan agar ujian ini mampu membasuh dosa-dosa lalu agar terampun segalanya di dunia, seterusnya Tuhan meredhai saya untuk terlepas dari segala azab di akhirat dan menjadi salah seorang penghuni syurga-Nya."

Layakkah untuk syurga-Mu? Sejenak teringat saya kepada alunan zikir taubat.

"Tuhanku tidak layak untuk syurga-Mu
Tetapi ku tak sanggup ke neraka-Mu
Ampunlah dosaku terimalah taubatku

Sesungguhnya Engkau Maha Pengampun dosa-dosa besar"


Kembali kepada cerita tadi, ujian pertama saya terima apabila terlibat dengan kemalangan, sehingga kereta saya terpaksa ditahan di 'wad'. Alhamdulillah saya tidak menghadapi apa-apa kecederaan. Diri saya tetap sihat walafiat, sehinggalah kereta disahkan 'sihat' oleh pihak 'hospital' , iaitu ketika fasa
maghfirah mula menjengukkan diri.

Selepas kereta kembali 'sihat' saya pula terlantar sakit. Tiga hari saya terpaksa mengambil cuti sakit, tetapi banyak minggu juga terpaksa menunggu kesihatan kembali pulih seperti sediakala. Terbaru rumah sewa saya di Kuching pula dipecah masuk, iaitu ketika hati tengah girang meraikan Syawal di kampung halaman. Banyak barang keperluan hilang termasuklah radio, seterika, televisyen, mesin pencetak yang baru dibeli dan macam2 lagi, sehinggakan sekecil-kecil barang yang tidak dijangka pun boleh dicuri. Zalim betul pencuri tu.

Semoga Allah memberi pengajaran kepada mereka yang punya angkara tu. Ingat sikit ye! Kalau awak buat orang macam tu esok lusa awak kena lebih dari tu lagi...Hidup ni umpama roda...(Erm, macam tau je siapa punya angkara...cuma tak berani nak bertindak, maklum la saya ni hanya perantau...)

Daripada musibah ini, saya mendapat banyak pengajaran. Ketika inilah kita akan dapat kenal siapa sahabat untuk sama-sama ketawa, siapa pula sahabat yang sanggup menangis bersama-sama kita. Diharapkan agar ujian yang ditempuh ini mampu menitip rahmat dari-Nya buat saya hamba yang sangat
dha'if ini.

Semoga musibah demi musibah yang menimpa ini mampu meraih empati kita kepada insan-insan malang yang hidup mereka umpama 'kais pagi makan pagi, kais petang makan petang'. Saya masih bertuah sebenarnya jika dibandingkan dengan mereka. Dan sangat-sangat bertuah jika dibandingkan dengan saudara kita di Ghaza, dan juga di Padang sana.

Tika diuji, ayat-ayat berikut menjadi peneman setia. saya InsyaAllah kita akan menjadi hamba yang lebih bersyukur sekiranya ayat-ayat berikut dihayati dengan hati.

Kenapa Kita Diuji?


“Apakah manusia itu mengira bahawa mereka dibiarkan saja mengatakan; “Kami telah beriman,” sedangkan mereka tidak diuji? Dan sesungguhnya kami telah menguji orang-orang yang sebelum mereka, maka sesungguhnya Allah mengetahui orang-orang yang benar dan sesungguhnya Dia mengetahui orang-orang yang dusta.” (Surah Al-Ankabut, ayat 2-3)


Beratnya Ujian Ini ...


“Allah tidak membebani seseorang itu melainkan sesuai dengan kesanggupannya.” (Surah Al-Baqarah, ayat 286)


Kecewanya Hati ...


“Janganlah kamu bersikap lemah, dan janganlah pula kamu bersedih hati, padahal kamulah orang-orang yang paling tinggi darjatnya, jika kamu orang-orang yang (sungguh-sungguh) beriman.” (Surah Ali ‘Imran, ayat 139)


Bagaimana Ujian Ini Harus Kita Hadapi?


“Wahai orang-orang yang beriman! Bersabarlah kamu (menghadapi segala kesukaran dalam mengerjakan perkara-perkara yang berkebajikan), dan kuatkanlah kesabaran kamu lebih daripada kesabaran musuh, di medan perjuangan), dan bersedialah (dengan kekuatan pertahanan di daerah-daerah sempadan) serta bertaqwalah kamu kepada Allah supaya, kamu berjaya (mencapai kemenangan).” (Surah Ali ‘Imran, ayat 200)


“Dan mintalah pertolongan (kepada Allah) dengan jalan sabar dan mengerjakan sembahyang; dan sesungguhnya sembahyang itu amatlah berat kecuali kepada orang-orang yang khusyuk” (Surah Al-Baqarah, ayat 45)


Apa Natijah Daripada Ujian Ini?


“Sesungguhnya Allah telah membeli dari orang-orang mu’min diri dan harta mereka dengan memberikan syurga untuk mereka…” (Surah At-Taubah, ayat 111)


Kepada Siapa Harapan Kita?


“Cukuplah Allah bagiku, tidak ada Tuhan selain dariNya. Hanya kepadaNya aku bertawakkal.” (Surah At-Taubah, ayat 129)


Musibah ini juga diharapkan mampu mendidik hati kita agar sentiasa berusaha untuk meningkatkan
taqarrub Ilallah. Tidak mustahil ujian yang menimpa itu datangnya dari kealpaan kita terhadap tanggungjawab kepada Ilahi. Kita biasanya akan lebih mengingati Allah apabila dalam kesusahan. Jadi, bermuhasabahlah selalu atas ujian yang menimpa agar Allah makin dekat dengan hati kita di waktu senang mahupun di waktu susah.

Lazimilah berdamping dengan al-Qur'an kerana
Kalamullah merupakan bibliografi utama orang Islam dalam menghadapi segala onak dan duri kehidupan.

Sekian dari saya, InsyaAllah ketemu lagi. Wassalam.

(P/S Sebenarnya entri ini telah lama ditulis tapi terasa berat hati nak di 'publish'kan, sebab itulah entri ini masih berbau Ramadhan. Bila Syawal pula telah beransur untuk menginjak pergi barulah tergerak hati untuk kembali meng'edit' artikel ini... :-))

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"