BETUL KE TUHAN ITU ADA...
Pada
suatu petang, seorang lelaki datang ke kedai gunting rambut untuk
memendekkan rambutnya yang agak panjang dan tidak terurus. Seperti
biasa, si penggunting rambut menyambut pelanggannya dengan mesra dan
mempersilakannya duduk.
Sedang si penggunting rambut melakukan
kerjanya, mulutnya tidak berhenti bercerita. Macam-macam dibualkan
menyentuh isu semasa dan kehidupan harian. Tiba-tiba si penggunting
rambut itu bertanya suatu soalan yang agak berat.
“Tuhan ni wujud ke?” tanya si penggunting rambut.
Lelaki tersebut terkejut dengan soalan tersebut. Belum pun sempat nak
menjawab, si penggunting rambut menyambung percakapannya.
“Kalau Tuhan wujud kenapa dunia ni huru-hara, manusia saling berperang
dan benci sesama manusia? Tuan tengoklah berita, di sana berperang di
sini berperang. Asyik bergaduh sahaja di mana-mana…” adu si penggunting
rambut.
“Lihat di negara kita, sana sini buang bayi. Kes bunuh
pun selalu keluar di akhbar. Masalah sosial lagi. Rasuah lagi.
Teruklah!” sambungnya lagi menyatakan kekesalan.
“Tuhan tu ada.”
Jawab si lelaki itu singkat. Risau melihat semangat si penggunting
rambut itu dengan gunting tajam di tangannya.
“Kalau betul
Tuhan ada, kenapa DIA tak selesaikan semua masalah tu? Dan buat semuanya
jadi aman sahaja? Kan senang!” ujar si penggunting rambut yang umurnya
40-an itu.
Selepas beberapa minit berlalu, sesi guntingan rambut
pun selesai. Selesai membayar, si lelaki mengajak si tukang gunting
melihat ke luar tingkap.
“Encik lihat tak lelaki-lelaki remaja di sana? Dan pakcik tua di seberang jalan tu yang sedang duduk tu?” tanya lelaki itu.
“Ya, saya nampak. Kenapa?” si penggunting rambut bertanya kembali.
“Lelaki remaja tu rambutnya panjang, nampak tak senonoh kan? Dan pakcik
tua tu pula misainya tak terurus nampaknya. Setuju tak?” Lelaki itu
meminta pandangan.
“Ya, betul. Saya setuju.” si penggunting rambut mengiyakan sambil mengangguk.
“Mereka jadi macam tu sebab tukang gunting rambut tiada kah?” tiba-tiba
lelaki itu mengajukan soalan ‘istimewa’ kepada si penggunting rambut.
“Eh, tak. Bukan sebab tu. Ni saya ada ni.” Si penggunting rambut menafikan.
“Habis tu kenapa lelaki-lelaki remaja itu berambut panjang dan pakcik
tua itu tidak tersusun misainya?” lelaki tersebut bertanya kembali.
“Tu sebab mereka tak datang jumpa saya. Kalau mereka datang jumpa saya
tentu saya akan potong rambut remaja lelaki tu bagi elok. Dan pakcik tua
tu pula saya akan trim misainya bagi kemas.” jawab si penggunting
rambut.
“Ya, itulah jawapan kepada persoalan encik semasa
encik memotong rambut saya tadi. Tuhan itu ada. Tidaklah bermakna
berlakunya peperangan, pertelingkahan, jenayah, gejala sosial, rasuah di
kalangan manusia itu adalah kerana Tuhan tidak ada. Masalah ini semua
timbul kerana mereka semua tidak mahu ‘berjumpa’ dengan Tuhan.” kata
lelaki itu.
Si penggunting rambut mendengar dengan teliti sambil mengerutkan dahinya. Berfikir agaknya.
“Mereka yang abaikan suruhan dan perintah Tuhan. Tuhan malah telah
memberikan pedoman melalui RasulNYA dan juga melalui kitabNYA iaitu
al-Quran. Malangnya, manusia memilih cara mereka sendiri.
Mereka menjauhkan diri dari ALLAH. Jika manusia mendekatkan diri dengan
ALLAH, tentulah keadaan manusia lebih baik dan sejahtera. Lebih kurang
macam sayalah sekarang ni. Lebih handsome dari lelaki-lelaki remaja dan
pakcik tua tu sebab saya jumpa encik untuk dirapikan rambut saya, hehe…”
“Betul jugak. Kenapa Tuan tak jelaskan pada saya semasa potong rambut
tadi” Si penggunting rambut mengangguk setuju sambil bertanya.
“Oh bukan apa. Saya risau dengan gunting di tangan encik tu. Dibuatnya
encik marah nanti, tak pasal-pasal saya kena nanti…hehe. Tapi,
alhamdulillah encik tak marah, malah dapat menerima penjelasan saya”
Jelas lelaki tersebut sambil ketawa kecil. Si penggunting rambut itu
turut tertawa juga.
* Tuhan itu ada. DIA, yakni ALLAH adalah Tuhan Maha Esa. DIA lah tempat semua memohon pertolongan dan bergantung.
by: Al Fadhil Ustaz Zawawi Mughni
Tiada ulasan:
Catat Ulasan