Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan
Memaparkan catatan dengan label Hadis. Papar semua catatan

Sabtu, 11 Mei 2013

BAGAIMANA BERAMAL PADA BULAN REJAB?

Pandangan Beberapa Ulama Muktabar Mengenai Kesahihan Fadhilat Bulan Rejab

Beberapa pandangan ulama’ yang muktabar mengenai hal tersebut.

1. Sheikh Atiyah Al-Saqr.

a)  Kebanyakkan fadilat Rejab terkandung didalam Hadis yg sangat Lemah dan Palsu.
Bekas Ketua Lujnah Fatwa Al-Azhar mengatakan bahawa setiap fadhilat sesuatu perkara itu harus dilihat dari segi nas yang sahih dan beliau melihat bahawa hadith-hadith yang didatangkan mengenai fadilat di dalam bulan Rejab kebanyakkannya adalah lemah dan palsu, katanya:
“ALLAH Subhanahu Wa Ta`ala memberi fadhilat kepada beberapa bulan dan tempat, tetapi tidak thabit untuk masa (zaman) dan untuk tempat melainkan dengan dalil yang qath`i (nyata) dan tidak thabit sehingga tidak mendusta ke atas Nabi Muhammad sallAllahu `alaihi wa sallam, dan banyak hadith-hadith timbul mengenai fadhilat bulan Rejab, di mana statusnya antara Dha’if (lemah) dan Mawdhu’ (palsu), dan tidak thabit dari pembawanya (naqal).”
Menurut Al-Saqr lagi bahawa:
“Al-Hafiz Ahmad bin Ali bin Mohammad bin Hajar Asqalaani meletakkan didalam risalahnya dengan topiknya:  Penjelasan yg datang di dalam Fadhilat Rejab, pengumpulan jumhur Hadith menyebut mengenai Fadhilat-Fadhilat Rejab, Puasa dan Solat didalamnya.  Ia dikelaskan sebagai Lemah dan Mawdhu`.“
b)  Fadilat Rejab berada bersama dengan Fadilat bulan-bulan haram yg lain.
Fadhilat Rejab secara umumnya berada di dalam Fadhilat bulan-bulan Haram sebagaimana Firman ALLAH di dalam surah at-Taubah:36 dan terdapat juga Hadith Sahihain mengenai Hijatul Wada’, di dalamnya dinyatakan nama bulan bulan tersebut, iaitu : Zulkaedah, Zulhijjah dan Muharram, dan yg tunggal ialah Rejab.  Di masa itu orang Islam ditegah melakukan kezaliman, peperangan dan juga dilarang melakukan maksiat kepada ALLAH Subhanahu wa Ta`ala.
c)  Berpuasa hari pertama atau yang lain sama sahaja fadhilatnya.
Berkata Al-Saqr lagi bahawa:
“Amalan soleh di dalam bulan Rejab adalah sebagaimana ganjarannya di dalam bulan-bulan Haram, yang di dalamnya terdapat puasa, SAMA sahaja [berpuasa] hari pertama atau pun hari akhir.  Berkata Ibnu Hajar :  ‘Sesungguhnya bagi bulan Rejab tidak terdapatnya hadith mengenai fadhilat khas berpuasa, tidak terdapat yg Sahih atau Hasan’. “
Beliau memetik beberapa hadis da’if dan palsu, diantaranya ialah:
i.  “Sesungguhnya di dalam Syurga ada sebuah sungai yang dipanggil Rejab, warna airnya sangat putih dari susu, manisnya lebih manis dari madu, barangsiapa yg berpuasa satu hari dari bulan Rejab, maka ALLAH akan memberi ia minum dari sungai itu.” – hadith ini Dha`if.
ii.  “Barangsiapa berpuasa sehari di dalam bulan Rejab seolah-olah dia berpuasa satu bulan, dan siapa yang berpuasa di dalamnya 7 hari maka akan ditutup 7 pintu-pintu neraka, dan barangsiapa yg berpuasa 8 hari maka 8 pintu-pintu syurga akan terbuka, dan barangsiapa yang berpuasa 10 hari, maka akan digantikan dosa dengan kebaikan.” – hadith ini Dha`if.
iii.  Terdapat sebuah hadis yang panjang mengandungi fadhilat berpuasa Rejab menurut hari, dan di dalamnya terkandung matan :  “Rejab bulan ALLAH.  Sya`ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku.” – Hadith ini Palsu.
d)  Tidak ada solat khas didalam Rejab.
Daripada Hadith yang tidak diterima (ghair maqbulah) mengenai solat :
“Barangsiapa yang solat Maghrib di awal malam dari bulan Rejab, kemudian diikuti oleh solat 20 rakaat selepasnya, dia membaca pada setiap rakaat Al-Fatihah dan Qulhu Allahu Ahad sekali dan dia memberi salam kepadanya 10 kali salam, ALLAH akan menjaga dirinya, keluarganya, hartanya dan anaknya dan akan diselamatkan dari azab kubur, dan perjalanan di sirat bagaikan boraq, tanpa hisab dan azab.” – Itu adalah hadith Palsu.
e)  Menziarah kubur pada bulan Rejab tiada nasnya:
Mengenai fadhilat menziarah kubur pada bulan Rejab, Sheikh Atiyah Al-Saqr mengatakan bahawa perbuatan ini tidak ada dalilnya di dalam Islam.  Beliau menyarankan agar lebih elok melihat mengenai sejarah-sejarah yg berlaku di bulan Rejab dan mengambil tauladan daripadanya.
“Ini adalah manusia yang prihatin, dan wanita dari kumpulan tertentu, mereka menziarahi kubur pada hari Jumaat pertama di dalam bulan Rejab, tidaklah ada asalnya di dalam agama, dan ganjaran yg besar daripada ziarah tersebut, dan bukanlah hari ini.  Adalah lebih aula di dalam bulan Rejab ini kita mengingati kembali sejarah yang berlaku kepadanya seperti penaklukan Tabuk, mengingati Salahuddin Al-Ayobi menyelamatkan Jerusalem (Al-Qudus) dari tangan tentera Salib (Rejab 583H, 1187M).  Orang Arab dan Islam menyucikan Masjid Al-Aqsa dari Ketua Pasukan Pakatan.  Kita mengingatkan kembali peristiwa Isra’ dan Mi`raj iaitu pengajaran darinya, di mana orang Islam menganggapnya berlaku di dalam bulan Rejab.  ALLAH yang Maha Mengetahui.”

2.  Sheikh Dr Yusuf Al-Qaradhawi

a)  Fadhilat Rejab sama dengan fadhilat bulan-bulan haram yg lain.
Dr. Yusuf Al-Qaradhawi mengatakan bahawa fadhilat Rejab adalah sama seperti yang terdapat di dalam 3 bulan-bulan Haram yg lain.  Katanya:
“Tidaklah ada kesahihan di dalam bulan Rejab, melainkan ia merupakan salah satu dari bulan-bulan haram, bahawa ALLAH Subhanahu wa Ta`ala telah menyebut di dalam kitabNYA – di dalamnya ada 4 bulan haram – Al-Taubah:36. Iaitu Rejab, Zulqaedah, Zulhijah dan Muharram.  Itulah bulan-bulan yang mempunyai fadhilat.  Tidak terdapat Hadith Sahih bahawa Rejab khusus mengatakan Rejab lebih afdal, melainkan Hadis Hasan:  “Sesungguhnya Nabi saw banyak berpuasa didalam Sya’ban..”
b)  Hadith-Hadith mengenai fadhilat Rejab kebanyakannya lemah dan palsu.
Beliau juga menyatakan bahawa hadith-hadith mengenai fadhilat-fadhilat khas Rejab kebanyakan merupakan Hadis Palsu atau pun yg sangat Lemah tarafnya:
“Hadith ini dimaklumkan sebagai sebuah hadith yang mengandungi fadhilat Rejab – “Rejab bulan Allah.  Sya’ban bulanku dan Ramadhan bulan umatku”….. Hadith in mungkar dan sangat-sangat Dhaif, bahkan beberapa ulama’ mengatakan hadith ini Palsu! …. yakni penipu..  Maka bukanlah kepadanya nilai saintifik dan bukanlah mempunyai nilai agama. Di situ ada hadith yang mengatakan terdapat Fadhilat Rejab kepada sesiapa yg bersolat begini dan ia mendapat begini, dan sesiapa yg meminta beristigfar sekali kepadanya maka ia akan mendapat ganjaran begini…. Ini semua adalah berlebih-lebihan (exaggeration), dan semuanya adalah pembohongan.  Dari ini satu tanda satu penipuan di dalam Hadith yang memasukkan perkara yg berlebih-lebihan….”
c)  Ganjaran yang dijanjikan tidak sepadan dengan amalannya.
Pada beliau ganjaran-ganjaran yang dinyatakan di dalam Hadis Palsu itu adalah sesuatu yg berlebih-lebihan.  Ini merupakan satu pendustaan yang amat besar.  Menurut beliau ganjaran sesuatu ibadat itu mestilah setimpal dengan bentuk ibadat itu sendiri.  Katanya :
“Berkata ulama’ : Janji untuk mendapatkan ganjaran yang besar di atas perkara yg biasa, atau ugutan kepada azab yang pedih ke atas dosa kecil?  Ia menunjukkan bahawa ini merupakan Hadith yang bohong.”
d)  Umat Islam perlu mengetahui jenis-jenis hadith yang Palsu
Dr Yusuf Qaradhawi menyatakan bahawa sebagai seorang Islam kita wajib mengetahui mengenai hadith yang diberikan kepada kita.  Tidak ada alasan yang boleh kita berikan kerana terdapatnya buku-buku yang banyak di pasaran mengenai taraf sesuatu hadith.  Kata beliau :
“Ulama’ telah memberi amaran contohnya ke atas Hadith Palsu dan Bohong ini, dan melarang manusia terhadapnya…  Sesungguhnya telah datang hadith :  “Barangsiapa mereka-reka Hadith difikirkan, sesungguhnya ia menipu, maka dia adalah pembohong…..” (Riwayat Muslim di dalam muqadimahnya yang Sahih), tetapi mereka tidak mengetahui bahawa ia adalah Hadis Palsu, maka ia wajib mengetahui, mengetahui hadis itu dari sumbernya …. maka di sana ada Kitab Hadith yang Muktamad, di sana ada kitab khas untuk mengetahui Hadith Palsu, contohnya Al-Maqasid Al-Hasanah, karangan Al-Shakhaawi dsb……….”

3. Ibnu Hajar Al-Asqalani

Ibnu Hajar mengatakan adalah menjadi satu kesalahan menetapkan sesuatu hari atau bulan itu khas untuk melakukan amalan.  Kenyataan ini dapat dilihat di dalam fatwa Shiekh Al-Saqr[5] mengenai fadhilat Rejab dengan memetik kata-kata Ibnu Hajar:
“Ibnu Hajar di dalam makalahnya ada menyebut berkenaan dengan terdapat hadith-hadith yang melarang berpuasa Rejab sepenuhnya, maka beliau berkata : Larangan ini terpulanglah kepada sesiapa yang berpuasa memuliakan Jahiliyyah, sebagaimana jika dia berpuasa dengan qasad (niat) yang bukan menjadikan penekanan atau mengkhususkan mengenai hari-hari yang dia berpuasa, atau pada malan tertentu dia berqiamullail, maka beliau percaya yang dilakukan itu adalah sunnah, maka ini adalah pekerjaan yg baik atas apa yang diletakkan dan tidak mengapa baginya. 
Maka jika ianya dikhaskan atau menjadi suatu ketetapan, maka ia adalah DITEGAH (Mahzhur), dan makna penegahan itu di dalam hadith Nabi sallAllahu `alaihi wa sallam bersabda :  “Jangan mengkhaskan hari Jumaat untuk berpuasa dan jangan [mengkhaskan] malamnya berqiamullail”. – riwayat Muslim.
Jika mempercayai puasanya atau puasa ini lebih baik dari puasa lainnya yang di dalamnya terkandung puasa nazar, Ibnu hajar lebih cenderung menegahnya, dan sebagaimana yang dinaqalkan oleh Abi Bakar Al-Thorthorshi di dalam bukunya “Bid’ah wa hawadith” bahawa bulan Rejab dibenci olehnya kerana 3 jenis:
1. Sesungguhnya jika orang Islam mengkhaskan puasa di setiap hari kemuliaan awam secara tahunan.
2. Menjadikan ia seperti kefardhuan ramadhan, atau menjadikan ia sunat sebagai sunat yg kekal.
3. Kerana puasa ini mempunyai fadhilat khas dan puasa-puasa yg lainnya
kalau dengan itu apa yg dijelaskan oleh Rasulullah sallAllahu `alaihi wa sallam, : berkata Ibnu Dihya : “Puasa adalah amalan kebajikan”.  Tidak terdapat fadilat berpuasa didalam Rejab maka perkara itu ditegah darinya. Tamat apa yg dinaqalkan oleh Ibnu Hajar.”

4.  Dr. Sayid Saabiq

Menurut seorang tokoh Ikhwan Dr Sayid Saabiq di dalam membicarakan bab puasa sunat, mengatakan bahawa :
“Puasa Rejab, bukanlah ada padanya fadhilat yang berlebih dari bulan-bulan lain, melainkan sesungguhnya ia dari bulan-bulan yg haram”.
Ini bermaksud bahawa bulan-bulan haram ini mempunyai fadilat-fadilat yg sama. Pendapat juga di sokong oleh mazhab Hanbali yg mengatakan menetapkan bulan Rejab sahaja untuk berpuasa sunat adalah makruh[6].
——-
Allahu A`lam.  Maklumat di atas telah dipetik dari sebahagian jawapan Haji Kamin di Al-Ahkam.net.  Baca selanjutnya di sini:

Jumaat, 13 Ogos 2010

KEPALSUAN HADIS KELEBIHAN TARAWIH


Ramadhan hadir, diiringi dengan solat terawih. Mengerjakan solat terawih amat besar ganjarannya di sisi Allah andai dikerjakan ikhlas kerana-Nya. Sewaktu di alam persekolahan dahulu kita sering dihidangkan dengan hadis yang menjelaskan tentang kelebihan tarawih pada malam-malam tertentu di bulan Ramadhan.

Maka berpusu-pusulah kita mengerjakan solat terawih demi mengejar fadhilat-fadhiat tersebut tanpa menyedari bahawa hadis tersebut sebenarnya tiada langsung asas atau tiada sandaran daripada Nabi Muhammad (S.A.W). Hadis berkenaan dengan kelebihan terawih berdasarkan malam tertentu itu sebenarnya hadis palsu.

Di sini, suka saya untuk berkongsi artikel yang disalin dari sini. Semoga kita semua berhati-hati dalam menyebarkan sesuatu yang dianggap datangnya dari junjungan kita Nabi Muhammad (S.A.W). Dalam hal ini, baginda telah bersabda dengan maksudnya:

"Sesungguhnya berdusta ke atasku (menggunakan namaku) bukanlah seperti berdusta ke atas orang lain (menggunakan nama orang lain). Sesiapa yang berdusta ke atasku dengan sengaja, maka siaplah tempat duduknya dalam neraka." - (Hadis riwayat al-Bukhari dan Muslim). Hadis Mutawatir.


Selamat membaca wahai pengunjunga budiman...

Dengan Nama Allah Yang Maha Pengasih Lagi Penyayang. Puji-pujian bagi Allah Subhanahu wata'ala, selawat dan salam keatas junjungan kita Nabi Muhammad Sallaahu 'alaihi wasallam serta para sahabatnya.

Sejak beberapa tahun kebelakangan ini satu hadis tentang kelebihan tarawih pada malam-malam ramadhan telah tersebar dengan meluas sekali. Media-media elektronik,media-media cetak serta media-media massa turut sama memainkan peranan mereka menyebarkannya melalui akhbar-akhbar, dairi-dairi Islam, TV, radio, risalah-risalah dan lain-lain dengan harapan semoga mereka mendapat saham dalam usaha menggalakkan umat Islam supaya rajin beramal ibadat terutamanya dalam bulan yang diberkati itu.

Hadis yang dimaksudkan itu ialah satu hadis yang agak panjang kononnya diriwayatkan oleh Sayyidina Ali r.a. yang sebahagian darinya adalah seperti berikut : "Diriwayatkan oleh Sayyidina Ali bahawa Rasulullah s.a.w. telah bersabda berkenaan dengan fadhilat sembahyang tarawih pada bulan Ramadhan antaranya:

· Malam Pertama: Keluar dosa-dosa orang mukmin pada malam pertama seperti mana dia baru dilahirkan (mendapat keampunan dari Allah Taala).

· Malam Keempat: Mendapat pahala sebagaimana pahala orang-orang yang membaca kitab Taurat, Zabur, Injil dan Al-Quran.

· Malam Keenam: Allah kurniakan pahala kepadanya pahala malaikat-malaikat yang tawaf di Baitul-Ma`mur (sebanyak 70 ribu malaikat sekali tawaf), serta setiap batu-batu dan tanah akan mendoakan supaya Allah mengampuni dosa-dosa orang yang mengerjakan sembahyang tarawih pada malam ini.

· Malam Ketujuh: Seolah-olah dia dapat bertemu serta menolong Nabi Musa A.S. menentang musuh ketatnya Firaun dan Haman.

· Malam Kelapan: Allah mengurniakan pahala orang sembahyang tarawih sepertimana yang telah dikurniakan kepada Nabi Ibrahim A.S.

· Malam kesembilan: Allah kurniakan pahala dan dinaikkan mutu ibadat hambanya seperti Nabi Muhammad S.A.W..

· Dan kelebihan-kelebihan seterusnya sehingga sampai kemalam yang ke-tiga puluh

Namun begitu setelah diajukan pertanyaan kepada beberapa tokoh agama tanahair tentang kedudukan hadis ini, dari manakah ianya diambil, semuanya tidak dapat memberikan penjelasan. Dan setelah diteliti dalam kitab induk hadis seperti Sunan Sittah dan lain-lain kitab hadis lagi, ianya tidak ditemui. Begitu juga dalam kitab-kitab hadis palsu (maudhu`aat) sendiri pun tidak didapati hadis ini. Ini menunjukkan bahawa hadis ini merupakan satu hadis yang baru diada-adakan sehingga ulama-ulama hadis dahulu yang menulis tentang hadis maudhu` pun tidak mengetahui akan wujudnya hadis ini.

Kita tidak menafikan kelebihan sembahyang tarawih dan kedudukannya didalam sunnah. Namun begitu kita tidak mahu umat Islam tertipu dengan berbagai-bagai janji palsu yang menyebabkan umat Islam mengerjakan amalan-amalan kebaikan dengan mengharapkan sesuatu yang sebenarnya tidak akan diperolehinya. Dengan tersebarnya hadis-hadis palsu seumpama ini juga akan mencemarkan kesucian hadis Rasulullah s.a.w. yang dipelihara dengan dengan begitu baik oleh ulama-ulama kita dahulu.

Rasulullah S.A.W. telah pun memberikan amaran terhadap orang-orang yang mengadakan pendustaan atas namanya dengan ancaman yang berat sebagaimana sabdanya : Barang siapa sengaja mengadakan dusta atas namaku maka hendaklah dia menyediakan tempatnya dalam neraka. (Bukhori, Muslim)

Hadis ini diriwayatkan dengan banyak sekali sehingga sampai keperingkat Mutawatir. Ancaman ini merangkumi segala jenis pendustaan keatas Nabi S.A.W. sama ada dengan maksud memberi galakan supaya rajin beramal ibadat ataupun ancaman supaya menjauhi segala larangan Allah (targhib dan tarhib).

Mulla Ali Qari dalam Al-Asrarul-Marfu'ah selepas membawakan lebih dari seratus riwayat hadis tentang pendustaan atas nama Nabi Muhammad S.A.W. menukilkan kata-kata Imam Nawawi dalam syarah Muslim. Kata Imam Nawawi: Haram meriwayatkan sesuatu hadis palsu (maudhu`) bagi orang yang mengetahui bahawa hadis itu maudhu` atau dia hanya menyangka hadis ini maudhu`. Siapa yang menceritakan hadis yang dia tahu atau dia sangka bahawa ianya maudhu` serta dia tidak menerangkan keadaannya maka dia termasuk dalam ancaman ini. Katanya lagi, tidak ada perbezaan dalam pengharaman pendustaan atas Nabi Muhammad S.A.W.

Di antara hadis tentang hukum-hukum dan hadis yang bukan berkenaan dengan hukum seperti hadis yang mengandungi dorongan serta galakan beramal ibadat, hadis-hadis nasihat dan lain-lain. Semuanya haram termasuk dalam sebesar-besar dosa dan sejelek-jelek perkara dengan ijmak ulamak Islam… seterusnya dia berkata: Ulama-ulama telah pun sepakat tentang haram berdusta atas nama orang-orang biasa. Bagaimana pula dengan orang yang kata-katanya adalah syariat, kalamnya adalah wahyu dan berdusta atasnya adalah pendustaan atas Allah juga.

Fiman Allah bermaksud: Tidaklah dia mengucapkan mengikut kemahuan hawa nafsunya. Apa yang diucapkan tidak lain melainkan wahyu yang diwahyukan. (An-Najm: 3-4).

Di dalam hadis tersebut nampaknya ada galakan supaya umat Islam rajin untuk melakukan amalan terawih dalam bulan Ramadhan seperti mana kita sering dapati hadis ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang mana sebenarnya hadis itu pun telah di reka atas nama nabi Muhammad S.A.W. seperti contoh satu hadis yang sebahagian darinya berbunyi:

Jika seseorang itu meninggalkan sembahyang zohor dosanya adalah seperti dia berzina dengan ibunya sendiri.Jika dia meninggalkan sembahyang sembahyang asar dosanya adalah seperti meruntuhkan kaa'bah.

Adakah tidak cukup dengan janji ganjaran dari Allah bagi orang yang menghidupkan malam Ramadhan yang terdapat dalam kitab hadis shahih contohnya hadis yang bermaksud: Sesiapa yang menghidupkan malam ramadhan dengan penuh keimanan dan mengharapkan ganjaran dari Allah diampunkan dosa-dosanya yang lalu. (Al-Bukhari)

Dan adakah tidak cukup dengan ancaman terhadap orang yang meninggalkan sembahyang yang terdapat dalam al-Quran antaranya firman Allah yang bermaksud: Apakah yang menyebabkan kamu dimasukkan kedalam neraka saqar? Mereka menjawab: Kami dahulu termasuk orang yang tidak mengerjakan sembahyang. (Al-Muddatsir)

Sebenarnya bagi mereka yang suka menghidupkan malam Ramadhan tidak mesti dengan adanya hadis rekaan yang seperti ini mereka akan bersungguh-sungguh dalam menghidupkan amalan tarawih ini. Dan orang yang malas bersembahyang bawalah hadis yang bagaimana teruk sekalipun siksaannya namun mereka tetap tidak mahu mengerjakannya.
Diantara ciri-ciri hadis maudhu` (rekaan) dari segi zahirnya selain dari meneliti sanad perawinya ialah

1. Kelebihan yang disebutkan menyamai atau mengatasi kelebihan yang terdapat pada para sahabat nabi kita Muhammad S.A.W. atau orang yang berjuang bersama dengan nabi-nabi yang lain apatah lagi untuk menyamai atau mengatasi kedudukan nabi-nabi kerana umat yang datang kemudian walaupun setinggi-tinggi wali sekalipun tidak akan dapat mengatasi atau menyamai kedudukan sekecil-kecil sahabat apatah lagi untuk menyamai kedudukan seorang nabi.

2. Kelebihan yang terdapat didalamnya tidak sepadan dengan amalan yang dilakukan dimana ia menyalahi apa yang terdapat dalam syariat sebagaimana tersebut dalam Al-Qur'an dan hadis-hadis shohih.

3. Kandungannya serta ertinya rapuh, tidak menyerupai kalam Nabi Muhammad s.a.w. dan lafaznya tidak sesuai keluar dari mulut Nabi sepertimana yang terdapat dalam hadis-hadis shohih.

4. Didalam setengah risalah yang terdapat hadis ini, ianya dimulai dengan "Ya Ali" sedangkan ulama-ulama hadis telah mengatakan bahawa hadis-hadis yang dimulai dengan kata-kata ini hanya dua atau tiga sahaja yang shohih.Yang lainnya adalah palsu.

Oleh itu umat Islam sekalian terutamanya pihak-pihak berkenaan seperti institusi-institusi agama diperingkat negeri dan pusat sepatutnya prihatin terhadap perkara seperti ini demi menjaga kesucian hadis Rasul yang menjadi pegangan kedua Ahlus Sunnah Wal Jamaah.Umat Islam janganlah mudah tertipu dengan diayah-diayah palsu yang dikaitkan dengan Rasulullah sedangkan ianya tidak ada hubungan langsung dengan Rasulullah s.a.w.

Janganlah sampai masyarakat kita melakukan sesuatu amalan dengan harapan akan mendapat pahala sedangkan sebaliknya dosa besar pula yang diperolehi dengan menyebarkan dan seterusnya beramal dengan hadis-hadis palsu seperti ini.

SELAMAT BERPUASA DAN BERIBADAT MENGIKUT SUNNAH RASULULLAH S.A.W.

Semoga bermanfaat !

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"