Khamis, 29 Julai 2010

MATI ITU KIAN MENDEKAT...


Mati itu kian mendekat...
Namun masih ramai yang liat
Menyembah Allah, mengadap kiblat
Mengingati akhirat, mencapai berkat

Mati itu kian mendekat...
dosa juga semakin memekat
maksiat pula dirasakan sedap
pahala menanti tak mahu dekat
umpama hidup langit ditongkat

Mati itu kian mendekat...
Izrail menanti tak dapat disekat
Walau seminit, walau sesaat...
Sementara hidup hendaklah beringat
kelak di akhirat hidup selamat

Mati itu kian mendekat...
Hidup di dunia perlu dimanfaat
agar tenang di hari kiamat
wahai kerabat jua sahabat
Sama-sama kita bertaubat
Menghadap Allah Yang Maha Hebat.
Bahagia di dunia jua di akhirat
InsyaAllah semua selamat...

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"



Ahad, 25 Julai 2010

15 SYAABAN MENANTI...


Rejab sudah berlalu...

Syaaban pula berjalan laju...

Begitu pantas masa berlalu...

Sedar tak sedar kita sudah meniti 13 Syaaban...

Hanya tinggal dua hari saja lagi kita akan bersemuka dengan 15 Syaaban atau lebih dikenali dengan lafaz arabi iaitu Nisfu syaaban yang membawa erti separuh, setengah atau sebahagian Syaaban.

Apabila datangnya bulan Rejab, Syaaban dan Ramadhan seringkali kita dihidangkan dengan pelbagai hadis berkenaan dengan bulan tersebut. Antara Hadis yang sering berkumandang di mata dan telinga kita ialah:

Maksud hadis:

"Bulan Rejab adalah bulan Allah, dan Allah telah melebihkan darjatnya dari segala bulan seperti kelebihanku ke atas segala makhluk-Nya, dan Syaaban adalah bulanku dan Allah telah melebihkan darjat-Nya atas segala bulan seperti kelebihanku atas nabi-nabi, dan Ramadhan pula adalah bulan umatku dan Allah telah melebihkannya atas segala bulan seperti kelebihanku atas segala umat."

Hadis ini telah diriwayatkan oleh al-Saqti. Menurut Ibn Hajar, al-Saqti salah seorang perawi hadis yang terkenal sebagai pemalsu hadis dan pereka sanad. Haditn ini menurut Ibn Hajar dalam Tabyiin al-'ajab adalah mawdhu' atau palsu.

Manakala hadis yang bermaksud: “Rejab bulan Allah, Syaaban bulanku dan Ramadan bulan umatku.” juga dihukumkan palsu. Penerangan mengenai status hadis ini boleh dilihat di sini.

Manakala hadis sahih mengenai nisfu Syaaban antaranya ialah:

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Dari hadis ini, kita dapat mengambil faham darinya bahawa untuk mendapatkan keampunan dari Allah pada malam Nisfu Syaaban ialah dengan menjauhkan diri daripada tergelincir ke lembah syirik, serta mengelakkan diri daripada sifat benci membenci, musuh bermusuhan dan berpecah belah. Semoga kita semua berpeluang mendapat keampunan dari-Nya pada malam tersebut, insyaAllah.

Ibadat Pada Malam Nisfu Syaaban

Seperti biasa kebanyakan umat Islam berpusu-pusu beribadat pada 15 Syaaban. Bermacam-macam ibadat dilakukan seperti mengerjakan solat sunat nisfu Syaaban, solat sunat raghaib dan bermacam solat sunat lain yang tidak ada asas dalam Islam.

Manakala selepas maghrib pula mereka membaca surah Yaasin beramai-ramai di masjid atau surau. Malah mereka membaca surah Yasin dan solat dua raka`at dengan niat panjang umur, dua rakaat yang lain pula dengan niat tidak bergantung kepada manusia, kemudian mereka membaca do`a yang tidak pernah dipetik dari golongan salaf (para sahabah, tabi`in dan tabi’ tabi`in). Ianya satu do`a yang panjang, yang menyanggahi al-Quran dan Sunnah. Doa tersebut juga bercanggahan dan bertentang maknanya.

Respon Ahli Agama

Menurut Prof Dr Yusuf al-Qaradhawi, tidak ada suatu pun keistimewaan pada pertengahan bulan Syaaban (nisfu Syaaban) sebagaimana yang digembar-gemburkan oleh masyarakat pada hari ini. Sebaliknya peristiwa besar yang berlaku pada pertengan bulan Syaaban ialah peristiwa yang berlaku pada tahun kedua hijrah iaitu peralihan kiblat daripada Baitul Maqdis ke Kaabah iaitu daripada Masjid al-Aqsa ke Masjid al-Haram. Perkara itu telah dirakamkan oleh Allah s.w.t. di dalam Surah al-Baqarah ayat 144 yang bermaksud:

"Kerapkali kami melihat engkau (wahai Muhammad) berulang-ulang menadah ke langit, maka kami benarkan engkau berpaling mengadap kiblat yang engkau sukai, oleh itu palingkanlah muka kearah al-Masjidil Haram (tempat letaknya kaabah) dan di mana sahaja kamu berada maka hadapkanlah mukamu ke arahnya…"

Menurut Dr. Asri Zainul Abidin, kita janganlah terlalu cepat menghukum. Apa yang disebut oleh Dr al-Qaradawi itu adalah kaedah umum. Sesuatu masyarakat atau seseorang individu mungkin mempunyai keuzuran yang tersendiri. Kemungkinan mereka tidak tahu, atau mereka dihalang ilmu untuk sampai kepada mereka dan seumpamanya. Kemungkinan besar jika mereka tahu, mereka tidak akan melakukan hal yang demikian. Tujuan mereka baik, cuma cara sahaja yang wajar dibaiki. Galakan berdoa dan memohon keampunan pada malam Nisfu Syaaban ada asasnya. Penentuan cara sedemikian itu, tidak ditunjukkan oleh nas yang sahih.

Ada juga di kalangan umat Islam yang berpuasa sunat nisfu Syaaban. Tidak salah kita mengerjakan puasa pada 15 Syaaban. Tetapi jangan pula kita mengkhususkan puasa tersebut sebagai puasa sunat nisfu Syaaban. Perkara ini masih dalam perbincangan para ulama. Kita sememangnya disunatkan berpuasa pada 13, 14 dan 15 setiap bulan Islam. Rasulullah (S.A.W) juga banyak berpuasa pada bulan Syaaban. Bahkan, bulan kedua terbanyak baginda berpuasa selepas Ramadhan ialah pada bulan Syaaban.

Dalam satu hadis yang diriwayatkan oleh Imam Muslim, Aisyah r.a menyatakan bahawa:

"Adalah Rasulullah saw sering berpuasa hingga kami menyangka bahawa baginda akan berpuasa berterusan. Dan baginda sering berbuka (tidak berpuasa) sehingga kami menyangka baginda akan berbuka (tidak berpuasa) seterusnya. Aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sebulan penuh kecuali pada bulan Ramadan, dan aku tidak pernah melihat baginda berpuasa sunat dalam sebulan yang lebih banyak daripada puasanya di bulan Syaaban."

Usamah bin Zaid pula menceritakan; "Saya telah bertanya kepada Rasulullah saw, wahai Rasulullah saya tidak pernah menyaksikan banyaknya puasa tuan pada lain-lain bulan seperti di bulan Syaaban", lalu Baginda menjawab, "Itulah bulan (Syaaban) di mana ramai manusia lalai mengenainya iaitu di antara bulan Rejab dan Ramadan, ini adalah bulan di mana segala amalan diangkat kepada Tuhan Pemilik Sekalian Alam. Oleh itu saya (Baginda) amat suka kiranya amalan saya diangkat ketika saya sedang berpuasa.'' (Hadis riwayat Imam Ahmad dan Nas'aei).

Saya memetik pendapat dari Ustaz Shauqi:

"...adalah menjadi suatu kewajipan kepada kita untuk memahami dengan sejelas-jelasnya agar kita tidak termasuk dalam golongan yang membuat sesuatu amalan itu secara membuta-tuli. Ini bukanlah bermakna bahawa kita tidak boleh melakukan amalan pada malam nisfu syaaban, akan tetapi kita tidak boleh melakukan amalan-amalan yang tidak diasaskan oleh nabi dan yang bercanggah dengan hukum syarak seperti menunaikan solat sunat khusus untuk panjang umur pada malam nisfu syaaban.

Namun, untuk membaca ayat-ayat al-Quran tertentu seperti Yasin dan seumpamanya, maka ia boleh dilakukan tetapi dengan syarat kita tidak ‘mewajibkan’ bacaan Yasin sebanyak 3 kali dan seumpamanya.

Pada pandangan saya, kita perlu mengambil manfaat dengan kehadiran muslimin dan muslimat yang ramai ke masjid atau surau pada malam nisfu Syaaban ini. Mereka perlu dicerahkan minda mereka dengan membetulkan salah faham mereka selama ini tentang nisfu Syaaban. Mereka bukannya

Akhirnya, sekali lagi saya berseru kepada diri sendiri serta sahabat semua untuk kembali menghayati maksud hadis dibawah agar tidak terkecuali mendapat tempat di sisi Allah (S.W.T):

Allah melihat kepada hamba-hamba-Nya pada malam Nisfu Syaaban, maka Dia ampuni semua hamba-hambaNya kecuali musyrik (orang yang syirik) dan yang bermusuh (orang benci membenci) (Riwayat Ibn Hibban, al-Bazzar dan lain-lain).

Rujukan:
al-Qaradhawi

Ustaz Shauqi
Dr.Maza


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Isnin, 19 Julai 2010

KISAH PENJUAL TEMPE

Entah mengapa kaku sungguh jari jemari saya hendak merakam kata. Terasa bagaikan tak kena belaka.Bila sahaja jari jemari sudah mula mahu meluah kata, hanya sepatah dua yang mampu dibicara.

Sekadar untuk berkongsi rasa, berkongsi cerita, jua berkongsi pahala...insyaAllah. Sama-sama kita renungi dan manfaati kisah dibawah. Kisah ini saya titip dari laman 'Facebook'.

Tidak diketahui sama ada ceritanya benar belaka ataupun sekadar direka. Tidak juga diketahui sumbernya, apapun pengajaran darinya amat berharga untuk kita manfaati bersama. Selamat membaca ...


Ada sebuah kampung di pedalaman Tanah Jawa. Di situ ada seorang perempuan tua yang sangat kuat beribadat. Pekerjaannya ialah membuat tempe dan menjualnya di pasar setiap hari. Ia merupakan satu-satunya sumber pendapatannya untuk menyara hidup. Tempe yang dijualnya merupakan tempe yang dibuatnya sendiri.

Pada suatu pagi, seperti biasa, ketika beliau sedang bersiap-siap untuk pergi menjual tempenya, tiba-tiba dia tersedar yang tempenya yang diperbuat daripada kacang soya hari itu masih belum menjadi, separuh jadi.Kebiasaannya tempe beliau telah masak sebelum bertolak. Diperiksanya beberapa bungkusan yang lain. Ternyatalah kesemuanya belum masak lagi.

Perempuan tua itu berasa amat sedih sebab tempe yang masih belum menjadi pastinya tidak akan laku dan tiadalah rezekinya pada hari itu. Dalam suasana hatinya yang sedih, dia yang memang kuat beribadah teringat akan firman Allah yang menyatakan bahawa Allah dapat melakukan perkara-perkara ajaib,bahawa bagiNya tiada yang mustahil. Lalu diapun mengangkat kedua tangannya sambil berdoa , "Ya Allah , aku memohon kepadaMu agar kacang soya ini menjadi tempe. Amin"


Begitulah doa ringkas yang dipanjatkan dengan sepenuh hatinya. Dia sangat yakin bahawa Allah pasti mengabulkan doanya. Dengan tenang perempuan tua itu menekan-nekan bungkusan bakal tempe dengan hujung jarinya dan dia pun membuka sikit bungkusan itu untuk menyaksikan keajaiban kacang soya itu menjadi tempe.

Namun, dia termenung seketika sebab kacang tu masih tetap kacang soya.
Namun dia tidak putus asa, sebaliknya berfikir mungkin doanya kurang jelas didengar oleh Allah. Maka dia pun mengangkat kedua tangannya semula dan berdoa lagi. "Ya Allah, aku tahu bahawa tiada yang mustahil bagiMu. Bantu lah aku supaya hari ini aku dapat menjual tempe kerana inilah mata pencarianku. Aku mohon agar jadikanlah kacang soyaku ini kepada tempe, Amin".

Dengan penuh harapan dan debaran dia pun sekali lagi membuka sedikit bungkusan tu. Apakah yang terjadi? Dia termangu dan hairan apabila tempenya masih tetap begitu!! Sementara itu hari pun semakin meninggi sudah tentu pasar sudah mula didatangi ramai orang. Dia tetap tidak kecewa atas doanya yang belum terkabul. Walaubagaimanapun kerana keyakinannya yang sangat tinggi dia bercadang untuk tetap pergi ke pasar membawa barang jualannya itu. Perempuan tua itu pun berserah pada Tuhan dan meneruskan pemergian ke pasar sambil berdoa dengan harapan apabila sampai di pasar kesemua tempenya akan masak.


Dia berfikir mungkin keajaiban Allah akan terjadi semasa perjalanannya ke pasar. Sebelum keluar dari rumah, dia sempat mengangkat kedua tangannya untuk berdoa. "Ya Allah, aku percaya, Engkau akan mengabulkan doaku. Sementara aku berjalan menuju ke pasar, Engkau kurniakanlah keajaiban ini buatku, jadikanlah tempe ini. Amin". Lalu dia pun berangkat. Di sepanjang perjalanan dia tetap tidak lupa membaca doa di dalam hatinya. Sesampai sahaja di pasar, segera dia meletakkan barang-barangnya. Hatinya betul-betul yakin yang tempenya sekarang mesti sudah menjadi. Dengan hati yg berdebar-debar dia pun membuka bakulnya dan menekan-nekan dengan jarinya setiap bungkusan tempe yang ada.


Perlahan-lahan dia membuka sedikit daun pembungkusnya dan melihat isinya. Apa yang terjadi? Tempenya masih belum menjadi!! Dia pun kaget seketika lalu menarik nafas dalam-dalam. Dalam hatinya sudah mula merasa sedikit kecewa dan putus asa kepada Allah kerana doanya tidak dikabulkan. Dia berasakan Tuhan tidak adil. Tuhan tidak kasihan padanya, inilah satu-satunya punca rezekinya, hasil jualan tempe. Dia akhirnya cuma duduk sahaja tanpa mempamerkan barang jualannya sebab dia berasakan bahawa tiada orang yang akan membeli tempe yang baru separuh menjadi. Sementara itu hari pun semakin petang dan pasar sudah mulai sepi, para pembeli sudah mula kurang.

Dia meninjau-ninjau kawan-kawan sesama penjual tempe, tempe mereka sudah hampir habis. Dia tertunduk lesu seperti tidak sanggup menghadapi kenyataan bahawa hari ini tiada hasil jualan yang boleh dibawa pulang. Namun jauh di sudut hatinya masih menaruh harapan terakhir kepada Allah, pasti Allah akan menolongnya. Walaupun dia tahu bahawa pada hari itu dia tidak akan dapat pendapatan langsung, namun dia tetap berdoa buat kali terakhir, "Ya Allah,berikanlah penyelesaian terbaik terhadap tempeku yang belum menjadi ini."


Tiba-tiba dia dikejutkan dengan teguran seorang wanita.

"Maaf ya, saya ingin bertanya, Makcik ada tak menjual tempe yang belum menjadi? Dari tadi saya sudah pusing keliling pasar ini untuk mencarinya tapi masih belum berjumpa lagi." Dia termenung dan terpinga-pinga seketika. Hatinya terkejut sebab sejak berpuluh tahun menjual tempe, tidak pernah seorang pun pelanggannya mencari tempe yang belum menjadi.

Sebelum dia menjawab sapaan wanita di depannya itu, cepat-cepat dia berdoa di dalam hatinya"Ya Allah, saat ini aku tidak mahu tempe ini menjadi lagi. Biarlah tempe ini seperti semula, Amin".
Sebelum dia menjawab pertanyaan wanita itu, dia membuka sedikit daun penutup tempenya. Alangkah seronoknya dia, ternyata memang benar tempenya masih belum menjadi! Dia pun rasa gembira dalam hatinya dan bersyukur pada Allah. Wanita itu pun memborong habis kesemua tempenya yang belum menjadi itu. Sebelum wanita tu pergi, dia sempat bertanya wanita itu, "Mengapa hendak membeli tempe yang belum jadi?" Wanita itu menerangkan bahawa anaknya yang kini berada di England teringin makan tempe dari desa. Memandangkan tempe itu akan dikirimkan ke England,si ibu tadi kenalah membeli tempe yang belum jadi lagi supaya apabila sampai di England nanti akan menjadi tempe yang sempurna. Kalau dikirimkan tempe yang sudah menjadi, nanti di sana tempe itu sudah tidak elok lagi dan rasanya pun kurang sedap.

Perempuan tua itu pun kehairanan dan berfikir rupa-rupanya doanya sudah pun dimakbulkan oleh Tuhan...

MORAL:

1. Kita sering memaksa kehendak kita kepada Allah (S.W.T), sedangkan Dia lebih mengetahui apa yang kita perlukan dan apa yang terbaik untuk kita.

2. Sentiasalah berdoa dalam menjalani kehidupan seharian kita sebagai hamba-Nya yang lemah. Jangan sesekali berputus asa terhadap apa yang dipinta. Percayalah bahawa Allah akan mengabulkan doa kita sesuai dengan rancangan-Nya yang mungkin di luar jangkaan kita.

3. Tiada yang mustahil bagi Allah (S.W.T)

4. Kita sering ingin Allah (S.W.T) memenuhi hak kita, sedangkan kita tidak pernah mahu memenuhi hak Allah seperti menjaga solat 5 waktu, berkata-kata perkara yang berfaedah dan berpesan-pesan ke arah kebaikan.

Semoga tinta bicara ini dapat memberi ruang kepada kita untuk kembali refleksi diri. Sekian...

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"