"Bila saya baca artikel di bawah di laman http://drmuna.wordpress.com/ , saya rasakan ianya wajar dikongsi bila mana, saya sering berhadapan dengan persoalan ini dari kalangan para sahabat dan kaum keluarga. Saya juga, sering merasa simpati terhadap anak-anak yang dipaksa berpuasa seawal usia 4 atau 5 tahun, sehingga permohonan anak mahu berbuka awal diketepikan demi mahu memuaskan hati sendiri.
Ini kerana, ada dalam kalangan ibubapa merasa bangga apabila anak mereka mampu berpuasa sempurna, sekalipun kesempurnaan itu diiringi dengan paksaan dari ibubapa, bahkan ada juga bapa menunjuk-nunjuk akan kejayaan tersebut.
Di sini, saya tidak nafikan akan kemampuan anak-anak yang berusia sekitar 4-5 tahun berpuasa, tetapi bagi anak-anak yang tidak berkemampuan perlukah kita paksa? Kenapa ibadat solat tidak digalakkan, sebaliknya puasa pula dipaksa? Fikir-fikirkan...Mari kita hadam artikel di bawah, mudah-mudahan kita dapat mengambil iktibar darinya. InsyaALLAH."
Tahun ini Imad berumur 6 tahun.
Seperti abang dan kakaknya, kami bercita-cita untuk mengajar Imad berpuasa pada usia 6 tahun.
“Imad, tahun ini Imad nak puasa tak? Imad puasa ye nanti. Nanti boleh
buka sama-sama”, kami mengindoktrinkan idea berpuasa sejak beberapa
bulan yang lalu.
Sekitar bulan Syaaban kami mula mengingatkan Imad tentang Ramadhan.
Sekolah tadika Brainy Bunch Islamic Montessori juga bercerita kepada
Imad dan kawan-kawannya tentang amalan berpuasa di bulan Ramadhan.
Imad nampaknya begitu teruja untuk berpuasa. Tidak sedikit pun nampak
kerisauan di mukanya. Ini adalah kerana kami tidak pernah
menakut-nakutkan Imad serta adik beradiknya tentang ‘kesan sampingan’
berpuasa.
Mengapa 6 Tahun?
Seperti Yop dan Naurah, kami menunggu Imad mencecah 6 tahun barulah
dia berpuasa. Ini adalah kerana kami yakin pada umur 6 tahun, Imad sudah
pun mumaiyiz yakni tahu membezakan antara baik dan yang buruk serta
bijak memberitahu ibu bapanya apabila beliau sakit atau terlalu lemah.
Dengan kata lain juga, anak-anak tidak seharusnya berpuasa selagi mana
tidak mencapai usia yang boleh bercakap dengan betul (verbal age).
Pada umur pra sekolah ini, Imad tidak lagi bergantung sepenuhnya
kepala susu botol malah sudah pun mula memakan makanan yang seimbang.
Di tadika juga, Imad sudah pun diajar tentang keistimewaan dan cara
amalan berpuasa. Maka, sedikit sebanyak persediaan beliau dapat
dipengaruhi oleh guru dan rakan-rakan sebaya.
Saya tidak berapa pasti dengan idea berpuasa pada usia sebelum pra
sekolah. Ini adalah kerana sebab-sebab di atas. Kadang-kadang, ibu bapa
terlalu ghairah untuk menyuruh anak-anak berpuasa sehinggakan mereka
lupa anak-anak belum pun lagi capai usia wajib berpuasa.
Sebagai ibu bapa, kita mesti tahu kadar dan faktor kekuatan serta kekurangan (limitations)
anak-anak iaitu sama ada mereka benar-benar mampu berpuasa. Jika mereka
tidak mampu secara mental malah lebih-lebih lagi secara fizikal, puasa
mungkin boleh memudharatkan mereka.
1 Ramadhan 1433
Seperti biasa, berpuasa dimulakan dengan amalan bersahur. Yop, Naurah dan Imad, kami kejutkan pada pukul 5 pagi.
Sehari sebelum itu kami sudah pun bertanyakan kepada mereka apa yang
mereka mahu makan ketika sahur. Maka, semangkuk Coco Crunch untuk
seorang disediakan. Kami tidak memaksa mereka memakan karbohidrat yang
lain kerana memahami betapa tidak biasanya mereka untuk memakan ‘berat’
sewaktu sahur. Sekadar minum air kosong yang lebih sudah memadai.
Alhamdulillah 1 Ramadhan diraikan di kampung Pasir Puteh, Ipoh. Risau
juga sekiranya mereka dahaga di dalam perjalanan. Sekali sekala, kami
bertanya kepada anak-anak akan keadaan mereka. Kami juga menyuruh mereka
tidur semasa dalam perjalanan sekiranya berasa penat. Mungkin kerana
terlalu gembira pulang ke kampung menyebabkan mereka lupa akan keletihan
berpuasa.
Iftar di rumah Opah sangat meriah.
Sepupu-sepupu dari Kampung Manjoi datang menziarahi rumah opah.
Anak-anak sungguh gembira. Tambahan pula pelbagai makanan disediakan
bagi menjamu 16 orang sekeluarga. Imad, Naurah dan Yop berjaya
menghabiskan puasa 1 Ramadhan. Kami memuji anak-anak di atas kejayaan
mereka terutama Imad yang kali pertama berpuasa.
Kelonggaran Berbuka Versus Kelonggaran Tidak Berpuasa
Di antara tip kejayaan anak-anak berpuasa ialah kami tidak pernah
menghadkan tempoh mereka berpuasa sebelum mula berpuasa. Kami percaya
anak-anak harus digalakkan berpuasa dan berbuka hanya apabila mereka
merasa tidak mampu atau lemah.
Menggunakan hukum fekah orang sakit, anak-anak digalakkan cuba
berpuasa terlebih dahulu lalu berbuka sekira tidak mampu sebelum belum
apa-apa lagi sudah menyerah kalah berniat untuk tidak berpuasa.
Dari Abdullah Bin ‘Umar (ra) katanya: Telah bersabda Rasulullah (sallallahu alaihi wasalam):
“Sesungguhnya Allah menyukai rukhsahNya dilaksanakan sebagaimana Dia
membenci maksiatNya dilakukan”. [HR Ahmad – sahih menurut Ibnu Hibban
dan Ibnu Hizaimah]
Ini sama seperti aplikasi solat jamak di mana Allah memberi
kelonggaran (rukhsah) menjamakkan solat bagi mengelakkan daripada
meninggalkan solat.
Maka, keutamaannya ialah berpuasa dan kemudiannya diberi kelonggaran (rukhsah) berbuka sekira tidak mampu.
Menu Makanan
Sahur yang berikutnya, anak-anak terus bersama menu Coco Crunch.
Hanya pada sahur ke empat, kami memujuk mereka untuk menjamah nasi dan
karbohidrat yang lain. Alhamdulillah mereka mula menjamah selain bijirin
apabila semakin biasa dengan amalan bangun sahur.
Pada awalnya saya juga meminta suami membelikan multi vitamin untuk
anak-anak. Namun, apabila melihat selera anak-anak sangat baik, kami
terlupa langsung untuk mendapatkannya. Walau bagaimanapun, saya tetap
mengesyorkan pengambilan multi vitamin untuk memberi tenaga terutama
buat anak-anak yang kurang berselera untuk makan.
Periksa Kadar Hidrasi
Dalam tempoh anak-anak kami berpuasa terutamanya Imad, saya dan suami
sentiasa memastikan mereka tidak mengalami dehidrasi iaitu kekeringan
air di dalam badan. Saya akan memastikan tiada tahap kekeringan lidah
yang serius, cengkung pada bawah mata atau kadar nadi yang lemah.
Anak yang sihat dan cukup hidrasi ialah anak yang kekal bertenaga dan aktif.
Namun sekiranya mereka terlalu aktif, kami akan pastikan mereka tidur
sekejap di waktu siang selepas waktu sekolah. Kawalan kepada aktiviti
mereka perlu bagi mengurangkan air hilang daripada badan melalui
pernafasan dan peluh.
Fleksibel Dan Tidak Rigid
Pada tengahari Ramadhan ke 10, Yop didapati demam panas. Kami
membenarkan Yop berbuka. Namun, Yop memilih hanya untuk meminum air
kosong dan sebiji Panadol lantas meneruskan ‘puasa’nya tanpa mengambil
sebarang makanan sehingga masuk waktu maghrib. Itu pilihan beliau. Namun
dari masa ke semasa, saya terus memantau beliau.
Imad juga mengalami beberapa insiden ‘accident‘. Imad
terminum air milo dan air oren pada Ramadhan ke dua dan ke tiga. Kami
hanya menyuruh Imad menyambung puasa kerana ianya hanya beliau terlupa,
tanpa dikenakan sebarang hukuman mahupun teguran.
Reward Dan Galakan
Selain berpuasa dan bersahur bersama-sama, kami juga menggalakkan
anak-anak solat berjemaah. Pujian dan ciuman diberi setiap kali mereka
melakukan ibadah berjemaah bersama.
Tidak salah jika ingin memberikan ganjaran berupa wang di hujung
Ramadhan, namun saya berpendapat sekiranya setinggi itu nilai berpuasa
di bulan Ramadhan maka mungkin tinggi lagi harga menunaikan solat lima
waktu.
Adakah kita memberikan ganjaran atau pujian yang sama apabila
anak-anak berjaya solat? Kesannya, mungkin anak-anak seronok untuk
berpuasa tetapi tidak seronok apabila ‘dipaksa’ solat.
Setakat ini kami cuma berjaya membawa anak-anak beberapa kali solat
sunat terawikh di masjid. Ini adalah kerana anak-anak kami cepat
mengantuk sekitar pada pukul 9 malam, maka mereka sendiri meminta izin
untuk berehat di rumah. Kerana mereka masih muda, maka kami memberikan
sedikit kelonggaran kepada mereka. Memadailah mereka dapat menunaikan
solat wajib 5 waktu. Mungkin di tahun-tahun hadapan mereka lebih
bersedia.
InshaAllah, Ramadhan 1433H masih berbaki lebih separuh lagi. Maka,
sama-samalah kita memeriah dan meraikannya dengan seisi keluarga
khususnya buat anak-anak.
Ramadhan bukanlah sekadar lampu pelita, bunga api dan lampu warna
warni untuk anak-anak kita. Ramadhan datang untuk semua dan dengan
tujuan yang lebih besar daripada semua itu.
Kesimpulan:
1. Analisa usia anak yang mampu untuk berpuasa.
2. ‘Semangat’ ibu bapa versus kekurangan (limitation) anak-anak.
3. Persediaan dan pendidikan awal yang beterusan lagi suportif.
4. Apabila sudah bersedia, cuba untuk tidak hadkan tempoh berpuasa.
5. Makanan seimbang dan multi vitamin.
6. Rehat yang secukupnya.
7. Periksa kadar hidrasi.
6. Fleksibel.
7. Galakan dan ganjaran.
8. Jangan lupa amalan-amalan wajib dan sunat yang lain.
SUMBER: http://drmuna.wordpress.com/
Salam,
BalasPadamSelamat menjalani ibadah puasa. Muga Ramadhan kali ini adalah yang terbaik!
~insan marhaen~
Waalaikumussalam
PadamSalam Ramadhan buat IM juga. Mudah-mudahan Ramadhan ini akan melahirkan TAQWA. Aamiin.
Assalamualaikum..
BalasPadamMoga kitak sihat di sinun. Selamat berpuasa, moga Ramadhan ini bisa membawa natijahnya TAQWA kepada kita semua.
lady berpuasa waktu umur 10 thn..
BalasPadamhuhuhu.. mak ld ckp, puasa x penting.. suh solat yg penting.. nanti kalau mrk bersolat, insyaAllah mrk akan berpuasa..