Selasa, 27 April 2010

ORANG IKHLAS TERTINDAS?

Saya sangat tertarik dengan artikel ini. Artikel ini dapat memotivasikan saya, terutama dalam menanam sifat 'keredhaan' terhadap apa yang berlaku dalam kehidupan kita. Sebagai seorang seorang muslim kita seharusnya akur terhadap tugas kita sebagai seorang 'staf' yang bernaung di bawah 'Satu Majikan'.

Ikhlaskan bekerja kerana Allah, insyaAllah kerja kita akan dinilai dengan adil di sisi-Nya. Sama-sama kita 'perhalusi' artikel yang saya petik dari genta-rasa.com. Semoga ada manfaatnya...InsyaAllahu Taala.

...Jika kita memberi kebaikan kepada seseorang, kebaikan itu akan dibalas walaupun yang membalasnya bukan orang yang kita berikan kebaikan itu. Hakikat ini mengingatkan saya kepada satu perbualan yang berlaku sewaktu saya mengendalikan program latihan beberapa tahun lalu di sebuah organisasi.

“Saya tidak mempunyai apa-apa harapan lagi pada organisasi ini,” kata seorang kakak berterus-terang.


“Mengapa?” balas saya.

“Organisasi ini dipenuhi oleh kaki bodek dan kaki ampu. Saya terseksa bekerja secara ikhlas di sini. Tidak pernah dihargai, tidak ada ganjaran yang wajar. Saya bukannya orang yang bermuka-muka. Tak pandai saya nak ampu-ampu orang atas, Fokus saya kepada kerja sahaja.”

Kakak itu sebenarnya adalah peserta program yang paling senior. Telah berpuluh tahun bekerja dalam organisasi tersebut. Itu adalah kali terakhir dia mengikuti program latihan. Enam bulan lagi dia akan bersara. Kesempatan yang diberikan kepadanya dalam sesi memperkenalkan diri itu telah digunakannya sepenuhnya untuk meluahkan rasa kecewa dan marahnya sepanjang berkhidmat di situ. Sungguh, dia kecewa sekali. Siapa tidak marah, jika bekerja secara ikhlas dan gigih tetapi tidak pernah dinaikkan pangkat atau mendapat kenaikan gaji?

Sewaktu rehat, sambil minum-minum dan berbual santai saya bertanya kepadanya, “kakak punya berapa orang anak?”

Sengaja saya bertanya soal-soal “di luar kotak” agar ketegangan dalam sesi sebelumnya dapat diredakan.

“Oh ramai encik…”


“Bagaimana dengan anak-anak kakak?”

Wah, saya lihat dia begitu ceria apabila mula menceritakan tentang anak-anaknya. Boleh dikatakan semua anak-anaknya berjaya dalam profesion masing-masing. Ada yang menjadi doktor, jurutera, pensyarah dan sebagainya. Malah seorang anaknya telah menjadi hafiz.

“Kakak, boleh saya bertanya?”

“Tanyalah encik…” ujar kakak itu sambil tersenyum. Mendung di wajahnya sudah berlalu. Dia begitu teruja bila bercerita tentang anak-anaknya. Memang, semua anak-anaknya menjadi.

“Jika kakak diberi pilihan, antara anak-anak yang “menjadi” dengan naik gaji, mana yang kakak pilih?”

Belum sempat dia menjawab, saya bertanya lagi, “antara kakak naik pangkat dengan anak-anak berjaya dalam karier mereka, mana yang kakak pilih?”

Dengan cepat kakak itu menjawab, “hati ibu encik… tentulah saya pilih anak-anak saya menjadi walaupun tidak naik gaji atau dapat pangkat. Anak-anak adalah harta kita yang paling berharga!”

Saya tersenyum. Hati ibu, begitulah semestinya.

“Kakak, sebenarnya keikhlasan dan kegigihan kakak bekerja dalam organisasi ini telah mendapat ganjaran…” kata saya perlahan. Hampir berbisik.

“Maksud encik?”

“Allah telah membalas dengan ganjaran yang lebih baik dan lebih kakak lebih sukai. Bila kakak ikhlas bekerja dalam organisasi ini, Allah berikan kepada kakak anak-anak yang menjadi.”
“Tidak pernah saya terfikir begitu encik…”

“Allah Maha Berkuasa. Ada kalanya takdir dan perbuatan-Nya terlalu misteri dan rahsia untuk dijangkau oleh pemikiran kita. Tetapi yakinlah what you give, you get back. Itu hukum sunatullah dalam hubungan sesama manusia. Kebaikan yang kita buat akan kembali kepada kita. Yakinlah.”

“Walaupun bukan daripada seseorang atau sesuatu pihak yang kita berikan kebaikan itu?”

“Maksud kakak?”

“Macam ni, saya buat kebaikan kepada organisasi tempat saya bekerja, tapi Allah berikan kebaikan kepada keluarga. Pembalasan Allah bukan di tempat saya bekerja, sebaliknya diberikan dalam keluarga saya. Begitukah encik?”

“Itulah yang saya katakan tadi, takdir Allah kekadang terlalu misteri. Tetapi ketetapannya mutlak dan muktamad, siapa yang memberi kebaikan akan dibalas dengan kebaikan. Dalam istilah biasa itu dipanggil golden rule!”

Kakak itu termenung. Mungkin memikirkan pertalian dan kaitan antara apa yang berlaku dalam organisasi dengan familinya.

“Metafora atau analoginya begini. Katalah kita sedang memandu di satu jalan yang mempunyai dua atau tiga lorong. Penuh sesak. Tiba-tiba sebuah kereta yang tersalah lorong di sebelah memberi isyarat untuk masuk ke lorong kita. Kerana simpati melihat dia terkial-kial memberi isyarat, kita pun beralah, lalu memberi laluan untuk kereta itu masuk di hadapan kita…”

Saya berhenti seketika mengambil nafas sambil mencari reaksi. Saya lihat kakak itu mendengar penuh minat. Dia meneliti metafora yang saya sampaikan dengan begitu teliti.

“Kemudian kita terus memandu ke hadapan. Mungkin sejam kemudian atau setelah berpuluh-puluh kilometer, tiba-tiba kita pula yang tersalah lorong. Kita pula yang memberi lampu isyarat untuk masuk ke lorong sebelah. Soalnya logikkah kalau kita mengharapkan kereta yang kita bantu sebelumnya memberi laluan untuk kita?”

Kakak itu tersenyum dan berkata, “tak logik encik. Kereta yang kita bantu tadi entah ke mana perginya.”

“Tapi ada tak kereta lain yang simpati dan memberi laluan untuk kita?’

“Pasti ada! Insya-Allah.”

“Ya, begitulah. Padahal kereta itu tidak pernah sekali pun kita tolong. Tetapi Allahlah yang menggerakkan hati pemandunya untuk memberi laluan kepada kita. Orang yang kita beri kebaikan, tidak ada di situ untuk membalas kebaikan kita… Tetapi Allah menggerakkan hati orang lain, yang tidak pernah merasa kebaikan kita untuk membalas kebaikan kita tadi.”

“Subhanallah!”

“Begitu dalam litar di jalan raya dan begitu jualah litar dalam kehidupan manusia. Kita buat baik kepada A, tetapi kerap kali bukan A yang membalas kebaikan kita tetapi B atau C atau D atau lain-lainnya yang membalasnya. Inilah hakikat yang berlaku dalam kehidupan ini.”

“Kita tidak boleh kecewa bila keikhlasan kita dipersiakan?” tanya kakak itu lagi. Lebih kepada satu respons minta diiyakan.

“Kakak, ikhlas sebenar tidak pinta dibalas. Tetapi Allah Maha Kaya dan Maha Pengasih, siapa yang ikhlas akan diberi ganjaran walaupun mereka tidak memintanya kerana setiap kebaikan itu akan dikembalikan kepada orang yang melakukannya. Ia umpama bola yang dibaling ke dinding, akan melantun semula kepada pembalingnya!”

“Selalunya saya dengar, orang ikhlas akan dibalas di akhirat.”

“Itulah balasan yang lebih baik dan kekal. Tetapi saya katakan tadi, Allah Maha kaya, Allah mahu dan mampu membalas keikhlasan hamba-Nya di dunia lagi.”

“Maksud encik?”

“Orang yang ikhlas akan diberi ketenangan dan kebahagiaan dalam hidup. Anak-anak yang soleh dan solehah. Isteri yang taat atau suami yang setia. Dan paling penting… hati yang sejahtera. Inilah kekayaan dan kelebihan yang lebih utama daripada pangkat, gaji dan jawatan.”

“Jadi orang ikhlas akan terus ditindas, tidak dapat kenaikan pangkat atau gaji? Bukan apa, saya terfikir kenapa nasib kaki ampu dan kaki bodek lebih baik dalam organisasi. Mereka dapat naik pangkat!”

Giliran saya pula tersenyum.

“Tidak ada kebaikan yang akan kita dapat melalui jalan yang salah. Percayalah, kalau benar mereka kaki ampu dan bodek sahaja… pangkat yang mereka dapat akan menyebabkan mereka melarat. Gaji naik, tetapi ketenangan hati menurun. Ingat apa yang saya kata tadi, what you give you get back… Golden rule itu bukan untuk kebaikan sahaja, tetapi untuk kejahatan juga. Kalau kita berikan kejahatan, kejahatan itu akan kembali semula kepada kita. Kaki ampu, mungkin akan dapat anak yang pandai bermuka-muka. Kaki bodek mungkin dibalas dengan isteri yang berpura-pura!” terang saya panjang lebar.

“Jadi apa yang harus saya lakukan dengan baki masa perkhidmatan yang tinggal tidak beberapa bulan lagi ni?”

“Bekerjalah dengan gigih. Walaupun mungkin bos tidak melihatnya, tetapi Allah Maha Melihat. Bekerja itu satu ibadah. God is our “ceo”, kata orang sekarang. Insya-Allah, satu hari nanti manusia juga akan diperlihatkan oleh Allah tentang keikhlasan manusia yang lain. Jangan berhenti memberi kebaikan hanya kerana tidak dapat penghargaan…”

“Maksud encik?”

“Jangan mengharap terima kasih daripada manusia atas kebaikan yang kita buat kepadanya.”
“Kenapa?”

“Kita akan sakit jiwa!”

“Kenapa?”

“Kerana umumnya manusia tidak pandai berterima kasih. Lihatlah, kalau kepada Allah yang Maha Memberi pun manusia tidak pandai bersyukur dan berterima kasih, apalagi kepada manusia yang pemberiannya terbatas dan berkala. Sedikit sekali daripada manusia yang bersyukur,” balas saya mengulangi apa yang maktub dalam Al Quran.

“Tetapi Allah tidak berhenti memberi… “ kata kakak itu perlahan.

“Walaupun manusia tidak berterima kasih kepada-Nya. Sekalipun kepada yang derhaka dan kafir, tetapi Allah terus memberi… Justeru siapa kita yang tergamak berhenti memberi hanya kerana tidak mendapat penghargaan dan ucapan terima kasih?”

“Ah, kita terlalu ego…”

Dan itulah kesimpulan perbualan yang saya kira sangat bermakna dan besar impaknya dalam hidup saya. Saya terasa “diperingatkan” semasa memberi peringatan kerana pada hakikatnya saya juga tidak terlepas daripada lintasan hati oleh satu pertanyaan… orang ikhlas tertindas?

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

6 ulasan:

  1. Ya, saya amat setuju dengan artikel ini. Rezeki itu akan datang dalam pelbagai bentuk bukan hanya dalam bentuk harta sahaja.

    BalasPadam
  2. Salam kitak..:)

    Moga kitak sihat dlm menjalankan tugas seharian..

    Jgnlah mengharapkan kebaikan yang kita kerjakan mendapat balasan semata, biarlah Allah menentukan segalanya. Keikhlasan tidak memerlukan apa-apa balasan.

    **Terima kasih kitak...:) Ada juak kamek dpt emel article tok**

    BalasPadam
  3. Salam Ros,

    Terusik sangat hati bila baca N3 Ros yang ini.

    Akak juga pernah merasai kekecewaan satu ketika dulu bila akak tak dapat nak menerima satu jawatan yang lebih baik dari apa yang akak pegang kerana terpaksa meninggalkan suami dan anak selama beberapa tahun untuk keluar negara menyambung pelajaran.

    Setiap kali akak berjumpa kawan mereka mesti kata "why did'nt you come back to us, tengok kita orang sekarang dah jadi....". Dulu memang hati akak akan menangis bila mengenang kekecewaan itu.

    Tapi ada seseorang menasihatkan akak, dia kata, jika you tak berpeluang menyambung pelajaran yang lebih tinggi dan peluang dah tertutup, tumpukan perhatian you kepada anak-anak. Didik mereka sebaik2nya.

    Sekarang Alhamdulillah akak bersyukur sangat dengan pencapaian anak-anak dan rumahtangga yang aman damai. Mungkin itu ganjaran yang Allah beri sebagai gantik sesuatu yang akan lepaskan dulu demi anak-nak dan rumahtangga.

    Kadang2 kita tidak tahu percaturan hidup kita yang telah diatur oleh Allah.

    Ikhlaslah dalam melakukan kerja yang diamanahkan kepada kita. InsyaAllah.

    BalasPadam
  4. Salam Ros,

    Bila sebut tentang ikhlas, jika kita mengharapkan balasan daripada orangpun dikra dah tak betul, sebab Allah tu as-Shamad, Allahlah tujuan kita mengharapkan balasan, cuba kita fikir jika kita menderma kemudian kita harapkan dapat pujian orang itu riya' namanya syirik kecil, kemudian katalah kita menderma juga dengan tujuan orang suka kita dan pilih kita untuk sesuatu jawatan ke itupun dikira tak betul juga sebab tak menjadikan Allah sebagai tujuan nak balasan daripada orang.

    Jadi mungkin sama juga kalau kita bekerja kuat mengharapkan naik pengkat sebab ibadah kita tu tanpa keikhlasan, tanpa niat yang betul.

    Sebenarnya sukar juga nak amalkan ini, apa yang kita harus buat ialah bila teringat nak terpesong kita sedarkan kita ini manusia yang tak ada apa2. Semuanya pinjaman daripada Allah SWT.

    BalasPadam
  5. Salam :)

    IBU AIMAN: Betul tu Puan... Maksud rezeki itu luas, bukan harta semata-mata. Harta tidak menjamin kebahagiaan andai disalah gunakan.

    Usah kita kecewa andai tidak memiliki harta yang banyak. Sebaliknya sentiasa berusaha untuk mencapai kekayaan kasih sayang dari Yang Maha Esa.

    Terima kasih atas pendapat ye. Salam ukhuwwah :)

    ABD RAZAK: Alhamdulillah kamek sihat 'sokmo' :) Terima kasih doa kitak ya.

    Memang betul kata kitak ya. Allah Penentu segala amal perbuatan kita sama ada di dunia mahupun di akhirat.

    Sebagai hamba yang diciptakan-Nya kita seharusnya menjalankan segala tugas yang diamanahkan dengan sebaik mungkin selagi tidak melanggar syariat.

    Selebihnya pulangkan saje ke Pangkuan Ilahi. Wallahu A'lam.

    P/S Lebih kepada peringatan untuk diri sendiri ni.

    BalasPadam
  6. Salam :)

    KAK ANI:

    Harap akak sihat selalu :)

    Begitulah lumrah kehidupan...bukan semua yang kita mahu kita akan dapat. Allah Penentu segalanya. Dia jua Yang Maha Mengetahui apa yang terbaik untuk kita.

    Alhamdulillah, kebahagiaan hidup Kak Ani sekeluarga mungkin balasan Allah terhadap pengorbanan Akak selama ini.

    Bersyukurlah, semoga kebahagiaan di 'sini' akan berterusan hingga ke 'sana'. InsyaAllah.

    Terima kasih atas lontaran pendapat...


    WERDAH: Semoga akak sihat sentiasa.

    Bagi saya Kak, buat aje kerja dengan ikhlas. Balasannya insyaAllah tetap ada di sisi Allah. Orang pandang atau tidak itu belakang kira.

    Begitulah percaturan kehidupan hari ini,banyak cabaran dan dugaan yang perlu dihadapi dalam melakukan amal perbuatan seharian.
    Berusahalah untuk bekerja demi mencari Redha Ilahi. Shukran :)

    BalasPadam