"Erm, Kak Ros.. bila balik cuti raya?" Tanya Maidah (bukan nama sebenar).
"Hari Jumaat." Saya menjawab.
"Lewatnya...?".
"Saya mintak CRK (Cuti Rehat Khas) dengan bos hari Khamis tapi disuruhnya saya ambil cuti sakit. Patut ke macam tu. Saya tanya bos boleh ke ambik cuti sakit kalau kita sihat. Nantikan tak berkat pulak. Bos kata Itu saja cara yang halal. Malas la saya bercerita panjang. Pendek cerita balik je la hari Jumaat tu." Ulas saya.
"Awak pulak balik hari apa?" Soal saya.
"Rabu." Jawab Maidah sepatah dengan riak muka yang sudah berubah.
Saya sebenarnya tidak berniat pun nak menyindirnya. Sebelum ni saya langsung tak tahu yang Maidah akan balik pada hari Rabu. Memang terkejut jugak mendengar jawapannya. Tapi saya buat-buat tak tahu, bimbang juga ada hati yang terasa. Dalam berhati-hati ada hati yang disakiti. Dalam berjaga-jaga ada juga hati yang terasa.
Saya memberitahu perkara yang benar supaya dapat sama-sama menilai atau bermuhasabah dengan amalan yang kita lakukan. Tidak boleh mengikut kata hati semata. Saya faham Maidah merindui suami yang jauh di Semenanjung. Mereka merupakan pasangan jarak jauh (PJJ). Terpisah kerana kerjaya.
Apakah alasan itu membolehkan kita mengambil cuti sakit? Meninggalkan anak didik yang dipertanggung jawabkan untuk diisi ruh mereka dengan ilmu, ilmu agama tentunya. Tidakkah kita berfikir di 'sana' nanti anak-anak didik ini akan menuntut kembali masa yang di'curi' oleh guru tadi? Bukankah setiap duit yang kita hitung setiap hujung bulan itu hasil daripada tugas kita sebagai 'ibu didik'?
Saya selalu berbincang santai dengan Maidah tentang hal ini. Tetapi sifatnya yang sangat sensitif menyebabkan perbincangan tersebut tidak sampai ke mana. Jawapannya entah apa-apa. "Alah...saya bukan pernah ambil ‘sick leave’ pun...cuti saya halal lah."Itu antara jawapan yang diberi..
Alasan tidak pernah ambil ‘cuti sakit’ menghalalkan ‘cuti sakit’ untuk balik kampung lebih awal langsung tidak masuk akal.
Adakah bercuti terlebih awal tanpa sebab musabab yang relevan dan meninggalkan amanah yang wajib itu dihalalkan apabila cuti sakit tidak pernah diambil sepanjang tahun.Kalau sekali ok lagi,tapi kalau berkali-kali macamana pula. Tentu lah k.o.
Apakah Allah redha jika kita meninggalkan yang wajib untuk melaksanakan yang sunat?
Solat 5 waktu culas, tapi solat sunat diutamakan. Tidak berpuasa di bulan Ramadhan tapi berpuasa 6 hari di bulan Syawal...Sama-sama kita fikirkan.
Salah Faham Tentang Konsep Ibadah
Meninggalkan yang wajib berdosa.
Meninggalkan yang sunat tak dapat apa-apa.
Kalau kita melakukan yang sunat kita akan dapat pahala.
Tetapi yang wajib tetap perlu diutamakan.
Kita mungkin terlepas pandang tentang maksud frasa-frasa ini. Kita mungkin menganggap hukum tersebut hanya digunapakai untuk ibadat yang bersifat khusus sahaja seperti solat,puasa dan mengerjakan haji. Ada yang berpendapat ruang lingkup politik, urusan jual beli dan urusan nikah kahwin bukan gelanggang ibadat.
Sebab itulah terdapat di kalangan para isteri merungut kerana tidak dapat menunaikan solat tarawih setelah berkahwin.
" Rugi rasanya bila dah kawin ni. Nak gi masjid solat terawih pun tak berpeluang." Rungut Ijan kawan saya. "Ingat masa bujang dulu-dulu..meriah... Terasa ruh Ramadhan." Sambung Ijan lagi.
"Eh, jangan cakap macam tu. Tak baik. Awak jaga anak kat rumah pun dapat pahala terawih jugak tau. Jaga anak sebab suami pergi terawih. Untung. Dah la dapat pahala bila jaga anak, pahala suami berterawih pun dapat jugak" Saya cuba membuka mata hatinya agar tidak tersalah erti mengenai ruang lingkup ibadat.
"Ibadat ni kan luas. Awak kawin pun dikira ibadah. Jaga anak-anak pun ibadah." Ijan hanya diam mendengar kata-kata saya. Berfikir barangkali
.
Bekerja Satu Ibadah
Bekerja satu ibadah. Bekerja untuk menyara ibubapa, bekerja untuk menyara anak isteri. Bekerja untuk melangsaikan hutang MARA, PTPTN, JPA. Itu semua ibadah selagi niat bekerja selaras dengan tuntutan Islam dan ikhlas kerana-Nya.
Tapi awas...matlamat tidak menghalalkan cara. Oleh itu, perompak, peragut, pengedar dadah bukan satu perkerjaan dalam lingkungan ibadah. Walaupun niat mereka untuk kebaikan tapi cara mencari rezeki tetap bertentangan dengan syariat. Matlamat tidak menghalalkan cara.
Begitulah juga alasan ‘tidak pernah bercuti sakit’ untuk menghalalkan ‘cuti sakit’ tanpa memikirkan amanah wajib ditinggalkan sesuka hati. Bersediakah kita untuk dipotong gaji ‘cuti sakit’ tersebut? Tepuk dada tanya iman.
Setiap orang mempunyai masalah masing-masing. Jangan kerana masalah peribadi, amanah yang dipikul dipandang sebelah mata. Yang sunat didahulukan, yang wajib dikemudiankan. Apakah betul tatacara itu. Jawapannya sudah jelas, bukan?
“Alah…tak kena pada awak, senang lah cakap.” Itu jawapan yang diberi. Jawapan yang bukan jawapan.
Bagaimanakah dikatakan bekerja itu satu ibadah?
Selagi niat itu baik dan kena caranya selagi itulah kerja kita diklasifikasikan sebagai ibadah. Rasululullah (S.A.W) telah bersabda yang bermaksud:
‘Sesungguhnya setiap amalan tergantung niatnya, dan setiap orang akan mendapat balasan amal sesuai dengan niatnya. Barangsiapa yang berhijrah hanya kepada Allah dan Rasul-Nya, maka hijrahnya itu menuju Allah dan Rasul-Nya. Barangsiapa hijrahnya karena dunia yang ia harapkan atau kerana wanita yang ia nikahi, maka hijrahnya itu menuju yang ia niatkan’” (HR. Bukhari dan Muslim)
Rasulullah (S.A.W) menjelaskan bahawa amalan atau perbuatan yang dimaksudkan ialah adalah amalan yang dibenarkan syariat. Amalan yang dilarang syariat dengan dalih niatnya benar. Misalnyaseorang suami bekerja sebagai pencuri berdalih “Niat saya kan baik, nak beri makan isteri dan anak-anak”
Hadith ini juga menginterpretasikan tentang hijrah, Asal kata hijrah adalah meninggalkan wilayah syirik dan berpindah ke wilayah Islam. Dalam kata lain, hijrah juga bermaksud meninggalkan perkara yang melalaikan, lantas kembali kepada ajaran al-Qur’an dan al-Sunnah. Kembali kepada Allah dan rasul-Nya.
Sebagai pekerja, lazimilah dengan sikap amanah. Ketepikan kepentingan peribadi. Teruskan istiqamah dalam taklifat dengan meraikan al-Qur’an dan al-Sunnah. Dua bibliografi yang tidak boleh dibiarkan sepi. Semoga hidup kita jua terus sejahtera dalam menegakkan syiar-Nya.
Sama-sama kita meraikan 1431H dengan lebih baik berbanding tahun-tahun sebelumnya, Akhir bicara, walau mungkin telah terlewat…Salam Ma’al Hijrah 1431H buat semua
.
Posting: 30.12.2009 12.21 p.m
Salam..:)
BalasPadamGuru mempunyai amanah yang berat dibanding dengan tugas yang dipegang orang lain, kerana peranan untuk mencorak anak didiknya, namun jika diambil amanah ini semata utk mendapat upah maka peranan itu tidak akan tercapai & ingatlah kamu akan dipertanggungjawabkan esok di depan Allah SWT.
Sesungguhnya Allah memerintahkan kepada kamu untuk menunaikan amanah kepada yang berhak, dan apabila kamu menghukumi, hendaknya menghukumi dengan adil, sesungguhnya Allah sebaik-baik pemberi nasihat bagi kalian, sesungguhnya Allah itu Maha Mendengar lagi Maha Melihat (An-Nisa’ : 58 )
Kena jujur pada diri sendiri. Kalau tidak susah juga nak mengaku benda silap yang kita lakukan.
BalasPadamSalam...tertarik dengan topik ini. Saya pernah diminta beberapa orang guru untuk memberikan cuti sakit walaupun mereka tidak sakit seminggu atau dua minggu sebelum tarikh dijangka melahirkan kerana guru besar menyuruh mereka berbuat demikian. Saya hairan kenapa gurubesar tersebut rela menyuruh guru di bawahnya mengambil cuti sakit palsu daripada menguruskan cuti yang 'halal' diambil oleh guru tersebut, contohnya cuti rehat khas atau cuti bersalin awal (yang dibenarkan dua minggu lebih awal dari tarikh dijangka melahirkan). Apa yang susah sangat agaknya?
BalasPadamSalam semua :)
BalasPadamABD RAZAK: Terima kasih atas ulasan yang panjang dan bermanfaat. Setiap orang ada peranan masing-masing. Amanah yang dipikul sepatutnya dijalankankan dengan penuh keikhlasan agar keberkatan dalam mencari rezeki mampu kita miliki.InsyaAllah.
KUNANG-KUNANG Betul tu Kak Hanim. Mengaku kesilapan diri sendiri amat payah disemai di hati. Sebab itulah teguran yang ikhlas dianggap sebagai sindiran Sampai bilapun masalah tidak akan selaesai. Wallahu A'lam.
SULUH HATI Sebenarnya guru lah antara penjawat awam yang paling sukar mendapat cuti. Cuti rehat khas (CRK) yang diperuntukkan sebanyak 7 hari itu hanya dibenarkan diambil untuk kes kecemasan sahaja. CRK juga tidak dibenarkan diambil secara tiga hari berturut-turut.
Mungkin atas sebab itulah para pentadbir terpaksa meminta guru yang berkenaan mendapatkan cuti sakit. Cuti sakit (sebelum bersalin) ni mungkin dianggap perlu oleh pengetua/guru besar apabila melihat tahap kesihatan guru-guru tersebut.
Tapi kalau tak sakit, tak wajar lah kan ambik cuti tersebut.. Hanya empunya diri yang tahu dirinya sakit atau sebaliknya. Dalam hal ini keikhlasan amat perlu. Wallahu A'lam.