Khamis, 10 Disember 2009

JANGAN SUSAHKAN YANG MUDAH...


"Kami orang Kristian macam-macam kena buat. Buat makan lagi (kenduri), nak kena buat itu...nak kena buat ini...keranda kena beli RMX000,upah van ke gereja, lepas tu ke kubur...Tanah kubur pun kena bayar juga..." Beritahu rakan setugas saya dengan nada sedih, berkongsi cerita tentang pengurusan mayat kristian.

Noran rakan saya berketurunan bidayuh, beragama kristian. Suaminya baru meninggal dunia dalam kemalangan yang sangat dahsyat.

"Kami orang Islam lagi susah. Nak kena buat makan (tahlil) sampai hari ke-7, sebulan kematian...hari ke-40..hari ke-100...." Jawab Zai pula tanpa menyedari kata-kata itu boleh menimbulkan ketidakyakinan non-muslim kepada Islam sebagai agama yang mudah.

"Eh, itu bukan adat orang Islam...itu kan adat orang Melayu...Islam itu agama yang mudah, tidak menyusahkan..." Saya mencelah.

"Islam tak pernah menyusahkan kita, tapi kita yang menyusahkan. Jangan kita menunjukkan yang Islam itu susah. Nanti non muslim takut nak dekat dengan Islam.

Keluarga si mati dah la sedih, nak diberatkan pula dengan bermacam-macam adat. Nak kena sediakan makan minum untuk tetamu lagi, bukan satu hari tapi berhari-hari." Saya cuba mengatur ayat sebaik mungkin agar tidak timbul salah faham.

Saya dapati di Sarawak, masyarakatnya sangat kuat berpegang pada adat. Kadang-kadang saya cuba juga perbetulkan apa yang biasa...biasakan mereka dengan yang betul. Mana yang tidak mampu, hanya diam aje yang termampu.

Dalam bab pengurusan jenazah, Islam tidak pernah membebankan umatnya untuk mengadakan majlis tahlil sekiranya berlaku kematian. Jauh sekali mewajibkan umat-Nya mengadakan majlis tahlil pada tempoh-tempoh tertentu. Memandikan, mengkafankan, mensolatkan dan mengkebumikan. Itulah ajaran Islam. Senang, tidak susah. Ringkas, insyaAllah barakah.

Saya tidak berhasrat untuk melanjutkan perbicaraan tentang hukum hakam tahlil, sekadar menjelaskan tentang mudahnya Islam jika ditelusuri dalam erti kata yang sebenar.

Begitu juga dengan dialog tersebut:

"Akak tak nak balik solat dulu ke..." Tanya saya kepada seorang sahabat.

"Pegi terus ke ofis lah. Dah lewat ni..." Jawab Zakiah.

"Ooo..solat kat ofis terus la ye..." Saya sengaja menduga.

"Sebenarnya akak ni susah sikit la. Akak tak yakin nak solat dengan pakaian kerja ni. Begitu juga dengan tempat solat. Tak selesa lah. Bukan taknak solat.." Bersungguh jawapan yang diberi.

"Abis, akak tunda (qadha') la ye.." Soalan saya masih berangkai.

" Sekali ni aje...eh eh, betul ke sekali ..." Zakiah bersuara lagi.

"Sebenarnya kak, dalam bab solat ni kita tak boleh qadha' sesuka hati. Kalau tangguh waktu solat dilarang, apatah lagi mengqadha' solat sesuka hati.

Solat hanya boleh diqadha' apabila terjadinya 'ter' " Saya menoktahkan penjelasan seketika.

"Terjadinya 'ter', apa maksudnya tu..." Zakiah teruja untuk mendapatkan jawapan.

" Maksudnya kalau kita tertidur, 'terpengsan', 'terpitam', terlupa..barulah diharuskan untuk kita mengqadha' solat. Bukannya suka hati je qadha'.

Di mana-mana pun kita boleh solat, tak perlu tunggu nak solat di rumah atau di surau saja. Akak lagi senang...akak kan ada kunci bilik bos, takkan bos marah kalau akak tumpang solat kat situ.

Tentang pakaian pula, kalau pakaian kita tak najis dan menutup aurat boleh je kita terus solat. Jangan susahkan yang mudah." Saya perincikan penjelasan.

Perbincangan kami ternoktah di sini apabila kereta telah berhenti di hadapan kediaman saya. Moga-moga perbincangan tanpa dirancang itu mampu menyusup masuk ke hati.

Firman Allah:

"...Allah menghendaki kemudahan bagimu, dan tidak menghendaki kesukaran bagimu..." (al-Baqarah : 185)

"...Allah tidak ingin menyulitkan kamu, tetapi Dia hendak membersihkan kamu dan menyempurnakan nikmat-Nya bagimu, agar kamu bersyukur." (al-Maidah : 6)

"...dan Dia tidak menjadikan kesukaran untukmu dalam agama..." (al-Hajj : 78)

Jelas, kalam Allah menyatakan bahawa Islam agama yang mudah. Tidak susah sebagaimana yang kita susahkan. Mudah selagi kita memandang Islam itu mudah Jika sesekali Allah datangkan 'kesusahan' kepada kita pun itu bukannya kesusahan yang susah, sebaliknya kesusahan itu kesusahan yang senang.

Selaras dengan firman-Nya dalam surah al-Sharh, ayat 94 yang bermaksud:

"Oleh itu (tetapkanlah kepercayaanmu) bahawa sesungguhnya tiap-tiap kesukaran disertai kemudahan. Sesungguhnya (sekali lagi ditegaskan) bahawa tiap-tiap kesukaran itu disertai kemudahan."

Ayuh sahabat, sama-sama kita realisasikan Islam yang mudah, tanpa mencipta macam-macam alasan yang susah. Moga hidup kita di sana tidak susah disebabkan sikap kita yang menyusahkan Islam yang mudah.

Sekadar itu lontaran coretan. Diharapkan penulisan ini ada sisi manfaatnya. Segala kekurangan mohon diadili dengan kritikan yang memotivasi, agar entri yang menyusul lebih memberi erti.

Hingga jumpa lagi. Wassalam.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"


Dicatat oleh: Ros Illiyyuun 12 Dis 2009 0925p.m







7 ulasan:

  1. assalammualaikum ros

    benar sekali ntri ini
    namun begitu ada juga yang mengambil jalan terlalu mudah...

    yang pentingnya bersederhana, kan

    BalasPadam
  2. Salam...:)

    Walaupun saya orang sarawak tapi tidak boleh dinafikan masyarakatnya sangat kuat berpegang pada adat umpamanya majlis tahlil arwah memang sukar utk dikikis dari orang melayu Islam Sarawak.

    Bertahlil tak salah cumanya jangan dikhususkan 7 hari, 20 hari, 40 hari dan 100 hari sehingga menyusahkan keluarga yg mendapat musibah.

    BalasPadam
  3. Memang susah nak jelaskan kepada sesama kita antara adat dan agama sebab adat tu dah di amal turun termurun. Sehingga ada yang keliru mana adat mana agama.

    Mengadakan kenduri ketika tahlil jika kita mampu tak payahlah dihubung kaitkan dengan hari-hari tertentu mengenai si arwah. Buat jer tahlil

    BalasPadam
  4. Salam. sembahyang tu tiang agama. Tinggal sembahyang , roboh lah agamanya. Islam itu sgt mudah. Jgn kita susah dan bebankan. Ingat semasa melancung ke Mesir. Org Arab sembahyang di mana2. Di padang, gurun dan di mana saja. Kami berpicnic di sebuah taman jauh dr bandar. Mrk cuma bentangkan kain dan kami sembahyang ramai2 di situ.

    BalasPadam
  5. A KL CITIZEN

    Waalaikumussalam :)

    Betul kak, bersederhana dalam Islam sangat dituntut. "Sebaik-baik perkara adalah pertengahan."

    ABD RAZAK

    Salam

    Ye,sepatutnya kita yang hadir datang menyenangkan keluarga si mati dengan perkara-perkara yang baik seperti mengucapkan takziah, menyediakan/menyedekahkan makanan untuk majlis tahlil. bukannya menyusahkan mereka...

    Kita juga tidak boleh meletakkan hukum 'tahlil' sebagai wajib sehinggakan memandang mereka yang tidak mengadakan tahlil itu berdosa.

    Dalam hal ini bersederhana merupakan jalan yang terbaik.Wallahu A'lam.

    KUNANG-KUNANG

    Salam Kak Hanim :)

    Masalahnya timbul apabila mereka telah biasa dengan adat-adat tersebut. Apabila diperbetulkan, mereka amat payah untuk menerima pendapat kita.

    Apapun, setakat mana yang mampu kita kena usaha untuk 'membetulkan yang biasa dan membiasakan yang betul' agar ia menjadi asas dalam amalan kehidupan kita seharian. InsyaAllah.

    HAJAH NAFISAH

    Salam ukhuwwah kak...

    Terima kasih sudi berkunjung :)

    Segala yang mudah akan menjadi senang sekiranya kita mempunyai kefahaman utuh terhadap ajaran Islam.

    Dalam bab solat ni, mereka yang sentiasa qadha' solat ni sebenarnya salah faham tentang rukhsah "'qadha'" yang diberikan oleh Allah. Wallahu A'lam.

    BalasPadam
  6. betul tu..prkara yg mudah (spt, mlengah2kn solat) jgn dipndang endah tak endah.,silap2 ble mmbawa pdah..

    BalasPadam
  7. PUTERI...
    Assalamualaikum
    Moga sihat selalu ye :)
    Memang betul kata Puteri. Mengambil mudah perkara penting boleh membawa padah...Sama-sama kita berdoa agar kita tidak tergolong daripada sifat itu. Wassalam.

    BalasPadam