(Artikel ini saya copy dari http://www.saifulislam.com. Diharapkan kita sama-sama dapat mengambil manfaat daripada artikel yang sangat mendalam pengertiannya ini,)
“Mengapa Ramadhan tidak berkesan?” soalan yang diamanahkan kepada saya untuk mengupasnya.
Ringkas, tetapi jawapannya bukan mudah.
Kita mengalaminya. Dalam segala janji Allah, galakan dan kemudahan-Nya untuk kita beribadah, kita sering tidak mencapai impian. Jarak di antara diri idaman menjelang Syawwal berbanding diri sebenar, selalu jauh bagai timur menggamit barat.
Mengapa?
Allah Subhanahu wa Ta’aala sudah memberikan friendly reminder, bahawa puasa sebagai proses menjana Taqwa adalah satu proses yang rumit. Kalimah La’alla yang dijadikan sendi firman-Nya di Surah al-Baqarah ayat 183 itu sudah sedia melontarkan konotasi ‘mudah-mudahan’, tanda tidak semua berhasil mencapai Taqwa di hujung Ramadhan.
Justeru jangan sambil lewa. Usaha mengisi Ramadhan mesti penuh kesungguhan.
Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam telah memberi peringatan tentang betapa ramai yang gagal memperolehi tawaran-tawaran hebat Ramadhan, kecuali lapar dan dahaga yang sia-sia. Justeru ketidak sempurnaan hasil Taqwa setelah menjalani ibadah puasa di bulan Ramadhan mungkin berpunca daripada masalah INPUT bersangkutan dengan iman dan hal-hal dalaman manusia, atau mungkin berpunca daripada PROSES, iaitu soal ilmu pengetahuan dalam menggerakkan puasa mengikut manual Allah Subhanahu wa Ta’aala.
MASALAH INPUT
Andaikata masalah INPUT itu bersangkutan dengan AQIDAH, di sinilah timbulnya keganjilan terhadap kelompok yang berpuasa tetapi tidak bersolat. Bagaimana mungkin seorang itu berpuasa, tetapi meninggalkan rukun Islam yang lebih tinggi iaitu solat? Ia bukan masalah hukum atau masalah fiqh, sebaliknya ia bersangkutan dengan kecacatan serius pada aqidah pelaku ganjil ini.
Kerosakan yang membabitkan MINDSET dan WORLDVIEW ini mungkin diterjemahkan dalam bentuk perlaksanaan puasa yang salah motif. Melihat puasa sebagai mekanisma kesihatan diri semata-mata, tanpa ada hubungkaitnya dengan manifestasi kehambaan diri kepada Allah, justeru puasa kosong daripada roh Tarbiyyah, dan sekadar memberikan manfaat material atau duniawi semata-mata.
Ada pun kecacatan berkaitan dengan sistem nilai, ia akan terserlah pada ketidak sungguhan atau tiadanya rasa ghairah terhadap segala tawaran Allah berkaitan Ramadhan.
Jika ada sebuah pasaraya membuat tawaran istimewa, beli satu dapat 10, jalanraya dilapangkan menuju pasaraya itu, lampu isyarat semua dihijaukan, kenderaan lain semua dilencongkan, agar segala kemudahan diberi untuk kita pergi mendapatkan tawaran itu, tetapi kita tidak peduli dan tidak teringin langsung kepadanya, maka sesungguhnya kita memang tidak berminat sungguh dengan apa yang ditawarkan oleh pasaraya tersebut.
Demikianlah juga halnya dengan Ramadhan.
Seandainya pintu Syurga sudah dibuka, pintu Neraka ditutup kunci, malah Syaitan dirantai agar lemah potensinya dalam mengganggu manusia, segala gandaan pahala diberi dan segala galakan kebaikan ditawarkan, tiba-tiba kita langsung tidak tertarik untuk mendapatkannya, ia menandakan bahawa kita memang tidak berminat dengan Allah, tidak berminat dengan tawaran-Nya, tidak berminat dengan Syurga dan tidak pernah kisah dengan Neraka.
Maka sesungguhnya orang ini benar-benar tidak mendapat sebarang rahmat daripada Allah.
MASALAH PROSES
Ketidakberkesanan puasa dalam membentuk ketaqwaan diri, mungkin juga berpunca bukan daripada masalah INPUT, sebaliknya datang daripada kecacatan PROSES. Cara puasa itu dilaksanakan, sejauh manakah ia menepati kehendak Allah Subhanahu wa Ta’aala dan didikan Rasulullah sallallaahu ‘alayhi wa sallam? Asasnya adalah ILMU. Inilah salah satu keistimewaan terpenting Islam, bahawa segala perlakuan ibadah terbina di atas dasar ilmu. Bukan ikut-ikutan, bukan teka-tekaan. Harus ada asas kefahaman yang membolehkan puasa dengan segala ibadah lain, berlangsung seperti yang sepatutnya.
Belajar tidak pernah habis.
Amat malang sekali seorang yang sudah berusia 40 tahun, masih berpuasa dengan ilmu puasa yang dipelajarinya semasa berusia 15 tahun.
Ilmu mesti sentiasa ditingkatkan sesuai dengan pengalaman diri, cabaran yang bertambah serta pendedahan yang pelbagai.
Jika di usia 15 tahun, kita belajar bahawa musafir diharuskan berbuka puasa, mungkin di usia 21 tahun kita perlu memperincikan ilmu itu apabila buat kali pertamanya kita menaiki kapal terbang di bulan Ramadhan. Rukhsah yang diberikan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala ada kalanya jelas dari segi fiqh, tetapi terhalang daripada perlaksanaan akibat daripada sentimen bahawa rukhsah itu ‘mengurangkan nilai’ ibadah, atau rukhsah itu menukar kebiasaan.
Sebagai contoh, andaikata seorang yang bermusafir ke London pada bulan September 2009 mahu terus berpuasa tanpa mengambil rukhsah, beliau bebas berbuat demikian. Namun lihatlah kepada ilustrasi di bawah, untuk jelas di mindanya, berapakah tempoh puasanya?
21 jam!
Begitu juga dengan kaum wanita yang hamil atau menyusukan bayi, perlu baginya memahami aspek-aspek bersangkutan dengan pengurusan puasanya, bila keharusan berbuka berlaku dan apa kesannya dari segi Qadha’ dan Fidyah. Seorang muslimah, tatkala masuk ke alam perkahwinan dan mula menimang cahaya mata, perlu menyediakan diri dengan ilmu berkaitan hal ini. Suami pula, tatkala menyedari bahawa sang isteri mempunyai sebab yang pelbagai untuk tidak berpuasa, dan perlu melakukan qadha’ selepas Ramadhan nanti, hulurkanlah bantuan dengan berpuasa sunat meneman isteri yang berpuasa.
Ada pun panduan menyusukan bayi bagi wanita yang berpuasa, artikel yang disiarkan di UMMUSAIF.COM boleh membantu. Ia langkah proaktif agar pilihan berbuka puasa untuk menyusukan anak, boleh diminumkan.
Manakala persoalan membabitkan qadha’ puasa dan fidyah yang berkaitan, harus juga diberikan perhatian. Adakalanya, soal qadha’ dan fidyah bersifat teknikal dan tidak sulit untuk ia dilaksanakan. Namun, perbuatan menangguhkan qadha’ puasa tanpa sebarang sebab dan keuzuran hingga masuk Ramadhan yang berikutnya, ia adalah dosa. Bukan sahaja qadha’ dan fidyah yang perlu dilangsaikan, pelaku itu juga mestilah bertaubat dan menyesali kecuaiannya itu.
Fidyah berbayar, puasa diqadha’, tetapi datangkah rasa sesal pada diri atas perlakuan itu?
Di tahun awal pensyariatan ibadah puasa ini (Tahun kedua Hijrah), umat Islam hanya dibenarkan makan dan minum bermula daripada waktu Maghrib hingga solat Isyak. Selepas Isyak, tidak boleh lagi makan dan minum sehinggalah waktu Maghrib hari yang berikutnya. Jika ada yang tertidur sebelum Isyak, beliau juga berpuasa bermula daripada tidurnya itu sehinggalah Maghrib keesokan harinya. Hal ini amat membebankan sahabat dan hukum ini kemudiannya dimansukhkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Sebagai gantinya, Syariat Islam menghendaki setiap orang yang berpuasa menjaga urusan sahurnya. Sahur dituntut agar ia diambil, biar pun dengan hanya seteguk air, pada waktu hujung malam menjelang waktu subuh. Perbuatan makan siap-siap pada waktu tengah malam dan kemudian tidur hingga masuk ke waktu solat Subuh, tidaklah menghasilkan fadhilat sahur. Malah ia disinonimkan dengan amalan Ahli Kitab, termasuk dari aspek menyengajakan pemanjangan tempoh berpuasa selepas ia sudah dipendekkan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala.
Hindarkan perbuatan ini.
Demikian juga halnya dengan soal menyegerakan berbuka puasa. Isunya sama iaitu larangan meniru sikap Ahli Kitab yang berpuasa, serta larangan memanjangkan tempoh puasa lebih daripada apa yang telah ditentukan oleh Allah Subhanahu wa Ta’aala. Bagi mereka yang menjangkakan dirinya akan terperangkap di dalam kesesakan lalu lintas ketika masuknya waktu berbuka puasa, hendaklah bertindak proaktif menyediakan tamar atau air minuman di dalam kereta masing-masing.
Jangan pula ada yang ‘bergeliga’ mahu membuka puasa dengan mengorek hidung!
Semoga dengan sedikit muhasabah ini, kita boleh sama-sama membuat penilaian agar Ramadhan yang masih seputik jagung ini dapat dioptimumkan menuju TAQWA.
Salam Ramadhan.
'Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah'
Tiada ulasan:
Catat Ulasan