Selasa, 18 Ogos 2009

Ayam ni tak halal...



Suatu hari setelah selesai mengadakan Program Kem Literasi al-Qur’an (KELAQ) di sekolah, saya terus ke Pasar Matang Jaya untuk membeli barang dapur. Inilah rutin saya hujung minggu. Kalau tak saya, rakan serumah yang belikan. Setelah sampai di pasar, saya melilau-lilau mencari gerai ayam. Sebenarnya gerai ayam tak susah untuk dicari, tapi gerai ayam halal yang agak sukar kerana saya tidak pernah mendapatkan stok ayam di sini.

Saya teringat pesan rakan saya. “Beli ayam kat tempat Pakcik yang pakai kopiah.” Pakcik yang dimaksudkan tidak saya temui. Lalu, saya berhenti di satu gerai seorang pakcik, sambil mata melihat-lihat ayam di atas gerainya. “Ayam ni tak halal, pergi beli kat depan”. Tiba-tiba saya mendengar suara ‘pakcik gerai itu’.

Alhamdulillah saya bersyukur kerana terselamat daripada terbeli ayam tak halal. Saya cukup jaga bab makan minum ni. Saya rela telan air liur tengok orang makan daripada makan sesuatu yang tidak pasti ke'halalan’nya. Bukankah antara yang halal dan haram itu ‘halam’ . Syubhah maksud saya, adik-beradik was-was.


Firman Allah (S.W.T):


... كُلُوا مِنَ الطَّيِّبَاتِ وَاعْمَلُوا صَالِحاً إِنِّي بِمَا تَعْمَلُونَ عَلِيمٌ

Maksudnya:


“Makanlah dari yang baik (halal) dan kerjakanlah amalan yang saleh.”

(al-Mu’minun: 51)


Rasulullah (S.A.W) telah bersabda:


"Sesungguhnya yang halal itu nyata, dan yang haram itu pun nyata, dan di antara kedua-duanya ada perkara-perkara yang kesamaran (syubhah), yang tidak diketahui oleh kebanyakan manusia. Maka barangsiapa memelihara (dirinya dari) segala kesamaran (syubhah), sesungguhnya ia memelihara bagi agamanya dan kehormatannya. ." (Hadith Riwayat Bukhari & Muslim)


Dalam ayat di atas Allah memerintahkan kita agar mendapatkan menu yang baik, iaitu halal, suci dan baik pengendaliannya. Melalui pemakanan yang baik amal soleh akan dapat dilakukan dengan sebaik-baiknya. Manakala hadis ini pula menjelaskan bahawa syubhah merupakan perkara yang tidak diketahui ramai. Sekiranya kita membuat keputusan untuk menjauhi diri dan meninggalkan perkara yang syubhah sama ada dalam keadaan tidak mengetahui atau was-was akan sesuatu perkara tersebut, kita telah pun memelihara agama Islam dan kehormatan diri kita.


Berbalik kepada cerita tadi, sebenarnya saya tak pernah beli pun ayam di pasar tersebut, sebaliknya selalu beli di Desaraya. Desaraya merupakan kedai yang dimiliki oleh orang Islam berketurunan Jawa. Status ayam di sini ‘confirm halal’. Dulu rumah sewa yang saya duduki berdekatan dengan Desaraya, tetapi setelah berpindah rumah jarak kedai tersebut dengan rumah saya semakin jauh. Sebaliknya rumah saya lebih dekat dengan Matang Jaya pula. Itulah sebabnya saya cuba untuk mendapatkan ayam di situ. Ditambah pula dengan keletihan mengadakan program KELAQ menyebabkan saya jadi malas untuk pergi ke Desaraya. Tanpa disangka itu yang terjadi. Lalu, tanpa menghiraukan keletihan, saya terus memandu ke Desaraya. Jauh sikit tak mengapa, janji puas hati.


Sebenarnya, jika kita tahu menjaga diri kita, Allah pasti akan lebih jaga diri kita. Saya sangat berterima kasih kepada Pakcik Gerai tadi kerana memberitahu saya tentang status ayam tersebut. Kalau tidak kerana sensitivitinya, sudah pasti tekak saya telah dimasuki oleh rendang ayam tak halal. Alhamdulillah… Segala puji bagi Allah yang telah menggerakkan hati Pakcik Gerai tadi. Walaupun dia bukan Islam, dia faham kehendak Islam. Saya tidak pasti apa status agama dan bangsanya, sebab di sini terlalu banyak suku kaum sama ada iban, bidayuh, melanau dan sebagainya. Kadang-kadang nama mereka pun ada persamaan dengan nama kita yang beragama Islam. Setakat ni saya pernah jumpa Norani, Musa, Ahmad dan macam-macam lagi. Saya sangkakan mereka ini beragama Islam, rupanya bukan. Persamaan ini seringkali mengelirukan saya. Alangkah bagusnya, kalau semua non-muslim sensivitinya sama dengan Pakcik Gerai tadi.

Saya teringat cerita rakan sekerja saya. Suatu hari rakan saya pergi ke sebuah kedai. Dia tanya tuan punya kedai tersebut “Kat mana beli ayam ni?” Tuan punya kedai tu jawab “Dari cina lah” Kenapa tak beli dengan orang kita?” Kawan saya tanya lagi. “Susah la…dah memang ambik dari nya (Orang Sarawak menggunakan istilah ‘nya’ bermaksud ‘dia’.), susah nak cari ‘suplier’ lain.” Ujar tuan punya kedai itu lagi. Untuk pengetahuan, tuan punya kedai tersebut merupakan seorang muslim, asalnya Chinese, berkahwin dengan muslim, bertudung, suaminya berkopiah.

Kesian saya kepada saudara-saudara Islam kita yang telah membeli ayam di situ. Saya teringat kawan-kawan saya pun ada yang mendapatkan ayam di kedai tersebut. Mereka kebanyakannya ustaz-ustazah. Inilah akibatnya orang Islam sendiri tidak menjaga kebajikan saudara seagamanya sendiri. Hanya mengharapkan keuntungan semata-mata. Halal haram ditolak ke tepi. Saya hanya sekadar berdoa agar tuan punya kedai tersebut dibukakan pintu hatinya oleh Allah agar mendapatkan ayam halal suatu hari nanti. “Ya Allah 'Iman Peringkat Ketiga' lagi yang saya gunakan.” Detik hati kecil saya. Apalah daya saya untuk menggunakan lisan bagi menyesaikan masalah ini. Ringkasnya sikap tuan punya kedai bertentangan dengan sikap Pakcik Gerai. Kalau bukan Islam boleh bersikap begitu, orang Islam lebih-lebih lagi sepatutnya. Malangnya keadaan yang sebaliknya berlaku. Sama-sama kita renungkan.

Alhamdulillah, saya tidak pernah beli ayam di kedai tersebut. Walaupun saya merupakan salah seorang daripada pelanggan mereka, tetapi hanya barang-barang kering sahaja yang saya dapatkan di situ. Sebelum ni, walaupun telah diberitahu oleh beberapa rakan, bahawa ayam di situ halal tetapi hati saya tetap was-was. Biasanya kalau hati saya was-was, was-was itu akan menyelamatkan diri saya. Alhamdulillah gerak hati saya setakat ini terlalu jarang mengecewakan.

Menyentuh mengenai hal-hal penjagaan makan minum, saya amat bersyukur kerana telah dididik oleh Puan Zaimah yang bersikap agak cerewet dalam bab ini. Siapa Puan Zaimah? Siapa lagi kalau bukan ibu saya. Ibu saya seorang yang sangat menjaga pemakanannya,terlalu berhati-hati dalam pengambilan makanan supaya apa yang dimakan itu halal lagi baik. Apa-apa sahaja peralatan yang digunakan untuk memasak mesti dibasuh terlebih dahulu. Contohnya kuali walaupun telah dibasuh dan ditelangkupkan setelah digunakan, tetapi apabila hendak digunakan lagi pada waktu atau hari yang lain, ianya perlu dibasuh sekali lagi. “Basuh sekali lalu aje. Mana la tau kut-kut ada lipas, cicak yang lalu ke…” Kata ibu saya.

Ibu saya juga terlalu susah untuk membeli makanan di luar. Kebanyakan makanan dimasak sendiri. Lebih terjamin kesucian dan mutunya. Cerewet ke? Bagi saya lebih baik kita tersalah cerewet daripada tersalah ambil mudah. Teringat saya waktu zaman kanak-kanak dulu. Apabila teringin makan magee, saya akan tunggu waktu ibu saya tiada di rumah. Setelah selesai magee dimasak, saya akan pastikan periuk dibasuh sebersih-bersihnya supaya hilang bau rempah magee pada periuk tersebut. Plastik pembungkus magee pula saya bakar supaya ibu saya tidak tahu yang saya makan magee. Ibu saya sebenarnya cukup pantang dengan magee. Baginya, bau magee memeningkan kepala. Lagipun makanan tersebut tiada khasiat.

Kenapa perlu jaga pemakanan? Bukankah segala benda yang memasuki kerongkong kita akan menjadi darah daging kita. Apa yang dimakan oleh kita juga akan menentukan baik buruk perangai kita. Sebab itu para ibu mengandung digalakkan menjaga pemakanan. Bukan sahaja untuk kesihatan si ibu, tetapi juga untuk bayi dalam kandungan. Bukan setakat kesihatan jasmani tetapi juga untuk kesihatan rohani . Rohani kita perlu dihidangkan dengan menu yang berkhasiat, agar akhlak berkhasiat juga dapat dibentuk. Akhlak yang dibentuk ini diharapkan berkhasiat kepada pembangunan insan. Bukan setakat berkhasiat di dunia, tetapi berkhasiat jua juga di akhirat. Doa dan harapan saya agar anak-anak didik saya termasuk dalam kategori insan berkhasiat dari sudut jasmani dan juga fizikal. Alangkah bahagianya hati ini sekiranya doa dan harapan ini dimakbulkan Allah. Ameen Ya Rabbal Alameen.Sama-sama kita mendoakannya.

Firman Allah (S.W.T):

رَبَّنَا آتِنَا فِي الدُّنْيَا حَسَنَةً, وَفِيْ الآخِرَةِ حَسَنَة, وَقِنَا عَذَابَ النَّارِ.

Maksudnya:

“Wahai Tuhan kami, berikanlah kami kebaikan di dunia, dan di akhirat jua kebaikan, dan jauhilah kami dari azab neraka.”

Setakat ini dulu tulisan yang tidak seberapa dari saya yang masih terlalu baru dalam dunia ‘blogging’. Segala kekurangan mohon dimaafi, terutama dalam penukilan matan hadis. Walau bagaimanapun, saya akan cuba yang terbaik. Kritikan membina amat dialu-alukan. Jumpa lagi , Wassalam.

“Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah’





2 ulasan:

  1. salamun 'alaik..

    dulu kan sy selalu beli bhgian2 ayam yg dah siap potong yg jual kat hypermarket tu, yg siap bungkus dlm plastik tu.. masa tu x pikir mcm mane la agaknya cara ayam tu disembelih, ikut syarak ke x..

    skrng dah lama dah x beli ayam mcm tu...

    BalasPadam
  2. INAS

    Salam,
    Sebenarnya di mana-mana pun kita dapat bekalan ayam tak menjadi masalah,yang penting ada pengiktirafan halal yang sah.Bukan 'halal' ciptaan.

    BalasPadam