Khamis, 23 Jun 2016

BERPADALAH...

 Berpada-padalah dalam berbelanja.

Walau itu duit kita (kata kita),rezeki itu sebenarnya dari Allah.
Allah pilih kita sebagai 'wakil' untuk menyebarkan rezeki yang diterima kepada semua. Bukan hanya untuk keluarga kita sahaja.

Jika anak isteri sudah cukup makan, sampaikanlah makan minum itu untuk asnaf pula. Ramai lagi yang ikat perut, mencatu sepinggan makanan yang mereka ada.

Jika anak isteri sudah cukup pakai, usahlah diitimbun lagi dengan pakaian beranika warna, fesyen pelbagai. Tapi memberilah kepada mereka yang tidak berganti pakaiannya. Jika mereka tiada dekat dengan kita, usahalah silau di kampung sebelah juga.

Rezeki itu bukan kita punya, tapi pinjaman Allah semata.

Jangan kita asyik bermewah, tanpa sedar ada insan sedang terdera, menderita kerana diri kita yang lupa akan kesusahan mereka. Di sana nanti, apabila ditanya Allah, entah apalah bicara kita. Tak guna di sini kita bermewah dengan harta, tapi di sana kita miskin jiwa, miskin amal, miskin pahala.

Ini, bulan Ramadan...bulan kita berpuasa. Berpuasa bukan dari makan minum semata, tapi juga mengekang nafsu berbelanja.

Berpuasa bukan untuk berpuas! Memuaskan hati dan nafsu melihat yang cantik dan popular semata.

Ramadan bulan Allah menguji kita,apakah nafsu mampu kita jaga. Jika berjaya pasti sijil taqwa dalam genggaman kita.

1 Syawal hadiah Dia untuk kita...tanda kemenangan buat semua hamba yang mencintai ...iaitu hamba yang bertaqwa.
Oleh itu berhemahlah tika berbelanja, barulah dapat taqwa.
InsyaALLAH
"Hidup ini indah jika segalanya kerana Allah"

Jumaat, 20 November 2015

CERITA 'ABU'

Assalamualaikum ustazah!!!

Waalaikumussalam..

Siapa pula ni?

Dalam hati tertanya-tanya.

Pintu sudah diselak erat.

Badan yang kelemahan pula sudah tidak sabar mahu direbahkan ke tilam.

"Siapa!!!"

Saya hanya berani bersoal siasat dari dalam rumah. Demi keselamatan.

"Siapa tu..."

Saya ulang tanya.

Bukalah pintu sekejap,ustazah.

"siapa.."

saya tanya lagi walau hati seakan dapat meneka.

"Abu!!! Bukalah pintu!!!."

Agakan saya tepat rupanya. Lalu, saya sarungkan pakaian yang sesuai, tanpa lengah membuka kembali pintu yang sudah dikunci mati.

sayugia pintu dibuka, bergegas Si Abu meluru ke pintu.

"Eh,awak ni kenapa...kena marah dek ayah?"

Sayu pula saya lihat esakan bertemali Abu. Anggukannya menambah gandakan lagi tanda tanya di hati.

"Ustazah, jangan telefon ayah saya." Abu merayu kesedihan,tapi agak tegas.
Saya angguk,setuju. 100% . Perjanjian terpatri.

"Erm...awak datang sini jalan kaki?"

Saya tanya juga walau jawapannya sudah pasti di hati. Sebab,saya tak nampak sama ada basikal atau motorsikal. Bunyi motosikal...apatah lagi.

Tanda tanya masih tertunggak. Malam buta,bisu begini berani pula berjalan kaki ke rumah saya. Agak saya mengambil masa dalam 10 mijit juga.Kalau sudah tekad, begitulah.

"Abu, ustazah minta maaf...ustazah tak boleh ajak awak masuk rumah. Awak kena faham...awak lelaki.
Kalau awak perempuan takde masalah.Tidur kat sini pun tiada masalah"

Abu mengangguk faham. Usia 11 tahun tiada masalah baginya untuk memahami asas ikhtilat. Sebelum ini pun, kerap juga kami berbicara santai dalam bilik darjah tentang ikhtilat.

Erm...saya tarik nafas..."sebab apa sebenarnya...kenapa ayah awak marah?"

Abu diam seketika. Sedang memintal jawapan...barangkali.

Saya sabar menunggu...menanti jawapan....

...Bersambung,insyaALLAH...  


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 31 Mei 2015

Saya, Wardina, Yasmin Hani...

Apabila seorang artis, Saudari Yasmin Hani memberi pandangan berkenaan  dengan ketidakwajaran menggunakan rotan dalam pengajaran dan pembelajaran hari ini boleh dikatakan ramai dalam kalangan masyarakat memberi respons negatif. Setiap dari kita wajar untuk bersetuju, atau sebaliknya. Saya  juga ada pendapat sendiri untuk dikongsi. 

1. Saya bersetuju 100% dengan pendapat Wardina. Bagi saya, kalau tidak bersetuju janganlah kita kaitkan dengan 'kekurangan' peribadi Yasmin, kalau ikhlas nak tegur, tegurlah secara 'personal'.

Siapakah kita yang layak untuk menghukum orang lain. Dengan cara hukum menghukumlah sebenarnya orang Islam takut mahu mengikuti Islam,dan orang bukan Islam pula takut kepada agama Islam.
Apakah kita yang sudah bertudung (baca:menutup aurat) sudah dijamin masuk syurga? dan Yasmin Hani yang 'belum'  menutup aurat sudah  'cofirm' masuk neraka?

2.Satu bab lagi berkenaan dengan isu rotan. Sebenarnya dalam Islam sudah jelas tentang isu ini.

Merotan bukan tidak boleh tapi ada adab dan tatacaranya.
-Merotan salah jika dalam keadaan marah
-Rotan jenis apakah yang kita boleh guna
-Bahagian anggota badan manakah yang boleh dirotan
-Waktu bilakah boleh dirotan,apakah jika kesalahan pertama dilakukan anak/murid sudah boleh dirotan. -Apakah murid yang punya kesalahan kecil sudah boleh dirotan?
-Atas kesalahan apakah kita boleh merotan?

Dalam Islam, anak-anak dibenarkan dirotan (dalam hadis digunakan lafaz 'pukul') apabila mereka berumur 10 tahun (bukan 7 tahun), itupun atas kesalahan enggan bersolat. Kenapa Islam membenarkan rotan jika tidak bersolat. Ini kerana solat itu mencegah diri dari melakukan perkara mungkar dan maksiat. Dengan solat segala salah laku, salah kalam dapat dihindarkan. Solat merupakan rukun kedua selepas mengucap shahadah, solat juga perkara pertama di tanya di akhirat kelak. Pengakhiran hidup kita juga, diwajibkan kita disolatkan. Besarnya kesan solat di dunia mahupun di akhirat.

3. Saya turut tidak bersetuju apabila artis ini dilarang menegur kerja buat guru semata-mata kerana atas alasan Yasmin Hani bukan guru. Bukankah tugas tegur menegur (baca: berdakwah) ini diwajibkan ke atas setiap orang Islam. Nabi sendiri ada bersabda, bunyinya (maksud): "Sampaikanlah dariku walau 1 ayat."

Kita renungkan juga kata-kata Imam Hasan al-Basri:

"Sesungguhnya apabila aku menasihati kamu , bukanlah bererti aku yang terbaik di kalangan kamu, bukan juga yang paling soleh di kalangan kamu, kerana aku jua pernah melampaui batas untuk diri sendiri, sendainya seseorang itu dapat menyampaikan dakwah apabila diri dia sempurna, nescaya tidak akan ada pendakwah, maka akan jadi sedikitlah orang yang beri peringatan" -Imam Hasan Al Basri-

Tidak kira siapakah kita, kita wajib terima teguran dari sesiapapun, kita yang ditegur berhak untuk setuju atau tidak. Berlapang dadalah terima teguran. kalau kita ditegur tidak menunjukkan kita bermasalah, kalau kita menegur pula bukan bermakna kita ini sempurna, sampai bila pun kita tidak akan mampu menegur jika menegur itu syaratnya sempurna, atau bersyarat sesama golongan. Apapun teguran juga ada tatacaranya, serta wajib berhikmah.

Sekadar pendapat seorang guru kerdil, masih hijau pengalaman, ilmu sangat kurang, kesalahan juga sentiasa berulang dalam mengajar dan mendidik. Tegurlah saya jika tulisan saya tiada kebaikan apapun, banyak kesilapan. Sebaliknya jika ada kebaikan, sekalipun secebis semuanya adalah dari Allah, Tuhan sekalian alam. Doakan saya agar sentiasa dapat bimbingan Tuhan dalam mendidik anak-anak syurga.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Isnin, 13 April 2015

CERITA AYAH

Saya selalu bercerita tentang emak rohimaha Allah, dari mula sampai kembalinya al-marhumah ke pangkuan Ilahi. Tapi, ini tidak bermakna saya melupai ayah tapi al-marhumah emak banyak mempengaruhi kehidupan saya, bahkan wajah saya juga banyak mirip al-marhumah.

Walaupun begitu, saya tetap menyanjung tinggi pengorbanan, kasih sayang ayah terhadap diri saya anaknya. Ayah, walaupun tidak pernah bersekolah, seorang yang buta huruf, beliau tetap mahukan anaknya menjejak ilmu setinggi yang boleh.

Pernah satu ketika, apabila mendengar berita yang saya akan menaiki tangga universiti (UKM), ayah termenung panjang di tepi sungai memikirkan di mana harus dicari sejumlah wang bagi menampung perbelanjaan saya. Ayah tidak melahirkan walau sepatah kata pun yang boleh menggugah perasaan saya, anaknya yang begitu ghairah mahu mengecapi cita. Bahkan ayah menjauh seketika ke pinggir sungai di pinggir kampung, menenangkan hati bagi mencari solusi, mencari ikhtiar agar cita-cita anaknya tercapai juga. Riak sedih langsung tidak diukir di depan saya.

Akhir-akhir ini kesihatan ayah agak tidak stabil. Rasa risau seringkali menjenguk hati. Pada satu ketika, saya terpaksa mementingkan diri sendiri, mengutamakan ayah lebih dari segalanya (selepas ALLAH), saya sanggup dimarahi kerana ayah. Petang tadi, meninggalkan ayah seketika di kampung halaman, bagi meneruskan tanggungjawab sebagai pendidik. Hati terasa sangat sayu bila teringatkan lambaian tangan ayah tanda merestui pemergianku adalah kerana ILAHI.

Ah...sebenarnya, banyak lagi kata-kata yang mahu saya pintal tentang ayah, namun masa tidak membenarkan buat masa ini. InsyaAllah di ketika yang tenang dan damai saya mahu menulis lagi tentang ayah agar ianya menjadi tenunan cinta dari saya buat ayah, betapa besarnya pengorbanan seorang ayah dalam hidup saya.

Terima kasih ayah.

Ayah la ayah, ayah la emak..

Tunggu saya balik lagi ye ayah!

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Selasa, 16 September 2014

Hanya Taqwa Yang Membeza



Kaya atau miskin

celik atau buta

cerdik atau jahil

cerah atau gelap

raja atau rakyat

bos atau kuli

kita di bandar, atau di ceruk kampung

melayu atau apa bangsa pun...

Kita ini sama sahaja

Tiada yang membezakan...

melainkan TAQWA semata...

Ada hikmahnya kenapa Allah jadikan dalam kalangan kita pelbagai bangsa, warna kulit yang berbeza, tatacara hidup berbeza.

Bangsa tidak boleh ditukar, pegangan agama seseorang itu yang boleh berubah-ubah jika iman tidak dijadikan sebagai asas yang kukuh dalam kehidupan.

Sesungguhnya manusia itu adalah sama, yang membezakan antara kita tidak lain dan tidak bukan hanyalah TAQWA.

Allah telah berfirman, (maksudnya):

"Wahai umat manusia! Sesungguhnya Kami telah menciptakan kamu dari lelaki dan perempuan, dan Kami telah menjadikan kamu berbagai bangsa dan bersuku puak, supaya kamu berkenal-kenalan (dan beramah mesra antara satu dengan yang lain). Sesungguhnya semulia-mulia kamu di sisi Allah ialah orang yang lebih taqwanya di antara kamu, (bukan yang lebih keturunan atau bangsanya). Sesungguhnya Allah Maha Mengetahui, lagi Maha Mendalam PengetahuanNya (akan keadaan dan amalan kamu)." (Al Hujurat:13)

Hidup akan aman sentosa jika kita saling menghormati sesama kita.

Rai kesamaan

hormati perbezaan.

Hidup pasti akan tenang.

Siapakah kita?

Kita semua hamba...

yang sentiasa terikat dengan pahala dan dosa.

Hanya amalan yang menjadi penentu siapa kita di sisi DIA.

Kita semua serupa...

Hanya TAQWA yang menjadi pembeza.

Selamat Hari Malaysia

Bangga jadi anak Malaysia.

Sangat bersyukur menjadi hamba ALLAH, Yang Maha Mencipta.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Isnin, 8 September 2014

UPSR ...Semoga Cemerlang Milik Kalian...



Pahit atau manis

Sibuk atau lapang

Miskin atau kaya

Sakit atau sihat

Lapar atau kenyang

Semuanya adalah ujian belaka

Jika suka bersyukurlah

Jika duka bersabarlah

ALLAH tidak akan menguji hamba-NYA jika bukan kerana kasih dan sayang DIA kepada kita.

Kata orang tua, sediakan payung sebelum hujan.

Begitulah dalam kehidupan

Usaha, doa dan tawakkal adalah 'payung' dalam mengiringi ujian yang bakal mendatang.



UPSR...

bakal bertandang

buat menguji kesungguhan kalian

Mudahan cemerlang yang diimpi kan menjadi kenyataan

InsyaALLAH, cemerlang bukan sahaja di dunia, bahkan juga di akhirat sana.

Hanya ALLAH, penentu bagi segala ujian.

"Allahummaj'alnaa minannajihina wal fa'iziina fiddunya wal akhirah"

Ya ALLAH, jadikanlah kami dari kalangan mereka yang mencapai kejayaan di dunia dan akhirat.

Khusus buat anak-anak didikku, bakal penghuni syurga...

Ustazah mendoakan agar kalian dianugerahkan ALLAH kelapangan hati dalam menghadapi UPSR.

Mudah-mudahan segala usaha yang dibenihkan hari ini, bakal membuahkan kecemerlangan pada esok hari.

Aamiin ya Rabbal A'lamiin.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Ahad, 31 Ogos 2014

Salam Kemerdekaan



"Merdekakah Kita..."

Merdekakah kita jika masalah kebejatan sosial masih melata

Merdekakah kita jika pembuangan anak menjadi satu berita biasa

Merdekakah kita jika kes rogol semakin berleluasa

Merdekakah kita jika operasi kedai-kedai arak semakin bermaharajalela

Merdekakah kita jika mata yang pejam semakin dipejam pabila azan subuh memanggil kita

Merdekakah kita jika ayat al-Qur'an hanya menjadi hiasan dinding semata

Merdekakah kita jika kebenaran dianggap nista

Merdekakah kita jika fitnah-memfitnah menjadi perkara biasa

Merdekakah kita jika hukum Tuhan menjadi bahan senda

Merdekakah kita jika ibubapa dilayan macam hamba

Merdekakah kita jika diri sendiri yang alpa

rela hati biarkan nafsu beraja...

Allahu...

Merdekakanlah kami dari segala punca aib dan dosa...Aamiin.

"Salam kemerdekaan 57... Malaysia...Di sini lahirnya sebuah cinta"


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Selasa, 26 Ogos 2014

RAGAM ANAK DIDIK

Satu ketika di kelas 4 Umar.

Watak (bukan nama sebenar): Ali, Hadi, Guru Bahasa Arab.

Lokasi: Kelas 4 Umar.

Hadi: Awak curi barang saya

Ali: Mana ada saya curi

Hadi: Awak yang curi...

Ali: Saya tak curi pun

Guru:( Sambil ambil 2 batang kapur, dan meletakkannya di atas meja
berhadapan Hadi dan Ali)

Ali, cuba awak ambil kapur ni.

Ali menurut, ambil 2 kapur yang saya letakkan. Hadi hanya memandang
sahaja.

Guru: Ok Hadi, awak tahu tak siapa ambil kapur yang ustazah letak atas
meja tadi.

Hadi: Ali yang ambik.

Guru: Ok, Awak boleh kata yang Ali ambik sebab awak sendiri nampak yang Ali ambil kapur tadi. Awak tuduh Ali 'curi' barang awak. Awak nampak ke yang Ali ambik?

Hadi: (Senyum sambil menggeleng-gelengkan kepalanya.

Guru:Haa...kalau kita tak nampak, kita tak boleh tuduh orang ambik atau curi barang kita. Nanti berdosa.

Agenda seterusnya, penjelasan guru berkenaan tentang bahay fitnah dan mengumpat.

Alhamdulillah murid-murid faham.

Syukur..

Allah...tunjukilah aku jalan yang lurus untuk mendidik anak-anak syurga ini.

Aamiin.

Rabu, 20 Ogos 2014

FitPat


Antara tanda-tanda orang yang suka 'bawa mulut' (fitnah/mengumpat) ialah:

- Orang ni akan menjauhi kita. 'time' dia sebar fitnah pasal kita.
-Kebaikan kita sering dinafi, keaiban pula sering dicari.
-Kalau biasa dia tegur kita atau senyum, tetiba je muka dia kelat, takut nak tegur kita sebab dia tahu kita dah tau tentang 'mulut longkang' dia yang bawa cerita negatif pasal kita.Kalau kita tegur dia dulu, baru dia tegur kita.
-Kekadang, ramahnya tak bertempat, puji kita depan-depan kita berlebih-lebihan ...kes nak cover pekung lah ni.
-Depan kita pun umpat orang itu, fitnah orang ini. Tak mustahil dibelakang kita, dia 'reka' aib kita pula.
-Bila dia nampak kita berborak dengan rakan kongsi dia (baca: geng fitpat = fitnah dan umpat), cepat aje dia mari curi dengar bualan kita.Sebab dia fikir kita pun sama dengan dia, umpat dan fitnah dia juga la tu...(padahal topik perbincangan kita langsung tak menyentuh pasal orang itu, mahupun orang ini)
-Dia tak suka kita puji orang lain,boleh tengok air muka dia beriak-riak, serius bila kita cerita pasal kebaikan orang dekat kita, kekadang sempat lagi dia hulur nasi tambah.
-Kuat berprasangka negatif / husnuzzhon lebih mendominasi diri.

NILAI MURNI:

Semai budi, tuai akhlak Islami

REFLEKSI / SOLUSI:

-Diam aje bila berhadapan dengan orang macam ni, sebab dia ni kalaulah dibawa dalil al-Qur'an sekalipun, dia tetap kata kita salah...dia tetap akan tegakkan benang yang basah...mustahilkan?
-Diam, sekalipun kita dalam keadaan yang benar memang pahit, namun di akhirnya insyaALLAH manis.
-Diam, bukan bermakna mengiyakan, tapi demi mengelakkan mudharat yang lebih besar.
-Segelintir tidak suka akan kita, insyaALLAH ramai lagi yang ikhlas bersahabat dengan kita...seorang pergi, ramai yang akan kembali.Janji kita juga ikhlas dan jujur dalam perhubungan.
-Solat dan sabar tiang utama dalam berhadapan dengan segala ujian.Allahu...

#Makanan harian mereka adalah fitnah dan umpat, jauhilah orang ini ...bahaya.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Ker

Rabu, 6 Ogos 2014

BOIKOT OH BOIKOT

Dari mula celik mata sehingga kembali tutup mata Islam ada adabnya.

Begitu indahnya cara hidup Islam.

Mencuri bukannya cara yang halal sekalipun bermatlamat untuk membantu si miskin.

Begitu juga boikot.

Boikot halal

Namun bukan semua cara boikot halal

Semuanya wajib dinilai dan ditimbang mengikut tatacara Islam yang sebenar

Boikot! boikot! boikot!

Menyokong boikot selagi ianya mendokong Islam dan kemanusiaan.


Elakkan diri bertepuk tangan, terkekek-kekek terhibur menonton cara boikot yang salah dan menjengkelkan agama Islam sendiri.
 

Islam itu indah, tapi muslim itu sendiri yang endah-tak endah.


"Hidup  Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"