Sabtu, 16 November 2013

SIAPAKAH YANG BERSALAH...

"Kenapa menangis ni" Tanya saya kepada tiga orang murid, yang datang ke meja saya. Ketika itu saya sedang sibuk menyiapkan beberapa kerja akhir sebelum memulakan 'cuti' hujung tahun.

Saya hentikan sementara kerja saya, lantas melihat ketiga-tiga murid tersebut. Murid tahun enam, dari 6 Othman. Oh, melihat muka mereka sahaja saya sudah faham.

"Erm, macamana dengan 'result' UPSR"? Tanya saya sekadar berbasa basi, mahu memecahkan suasana sahaja.

Tapi mereka bertiga masih teresak-esak sebelum seorang demi seorang memberitahu keputusan masing-masing.

"Jangan bersedih, hanya kerana kamu tak dapat A. Tidak semestinya kamu tak dapat A kamu tak berjaya. Di sekolah menengah nanti, kamu boleh teruskan usaha kamu, belajar bersungguh-sungguh...buktikan kepada semua yang kamu mampu berjaya walaupun tanpa A dalam UPSR." 

Saya tarik nafas perlahan, sebelum meneruskan lagi butir bicara.

"Ustazah doakan, agar kamu semua berjaya...yang penting kamu jadi diri kamu, jangan terpengaruh dengan keadaan sesekeliling. Kat luar sana, banyak pengaruh negatif, usah dilayan. Yang penting kamu jaga adab kamu, jaga solat, tutup aurat...Kalau kat sekolah tutup aurat, kat luar pun kena tutup aurat..."

Keadaan sudah reda, mungkin mereka memerlukan penyejuk tatkala kesedihan menyapa hati. Mereka mungkin tidak tahu di manakah arah mereka  setelah slip keputusan sudah di tangan.

"Okey, dah...jangan sedih-sedih lagi..." Saya menutup bicara sambil merenung satu persatu wajah mereka. Salah seorangnya Aisyah yang saya kagumi. Ya, Aisyah bukanlah murid yang cemerlang dalam akademik, tetapi sifat dan adabnya saya kagumi. Solat sentiasa dijaga. Selalu juga beliau minta saya bercerita kisah nabi semasa proses pengajaran dan pembelajaran.

Ah, saya kasihan apabila mengingatkan mereka bertiga. Sistem pendidikan yang terlalu berorientasikan peperiksaan seakan-akan telah menyerap dalam pemikiran mereka, seolah-olah keputusan UPSR yang dicapai itu adalah segala-galanya, kehidupan mereka seperti sudah tidak bermakna lagi. 

Sehingga kini, hati saya masih tertanya-tanya siapakah yang bersalah dalam hal ini. Bukan mahu cari salah sesiapa, tapi kita semua harus berfikir dan mencari jalan penyelesaian demi kebaikan semua.

Sekian.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


3 ulasan:

  1. Salam ustazah, saya rasa dlm menuntut ilmu perlu ada rasa gembira dan bahagia di situ. Tapi sistem terlalu berorientasikan peperiksaan telah merampasnya. Anak anak tidak sempat ingin mencintai apa yg dipelajari. Wallahua'lam.

    BalasPadam
    Balasan
    1. Salam saudara/saudari :)

      Setuju. Anak-anak didik hari ini banyak berkerut dahi berbanding tersenyum senang hati :)

      Padam
  2. Assalamualaikum,
    setuju dengan Ros.... Sangat impikan sistem pendidikan yang lebih santai... bukan beroreintasikan 'A' semata-mata... Namun penuh dengan pengisian yang dapat 'dinikmati' oleh pelajar....

    BalasPadam