Dilema Persepsi
Dunia
ini ada banyak cerita. Ada gadis yang bebas berpeleseran di shopping complex tanpa tujuan. Ada yang
galak menari di kelab-kelab malam.
Abahnya tidak kisah. “Inikan zaman moden,” bela si abah sambil mencucuh putung
rokok. Adakah ini akhlak gadis muslimah?
Ada
gadis yang dikongkong dalam sangkar emas. Tidak boleh ke mana-mana walaupun ada
urusan munasabah. Abahnya suka mengancam dengan hadis-hadis Nabi. “Nabi dah
kata, perempuan tu aurat. Jika dia keluar, syaitan jadi peneman. Kalau nak
keluar juga, mesti pakai purdah,” tegas si abah sambil membetulkan serban besar
di kepala. Hadis ini benar tapi adakah tafsiran sebegini benar?
Ada
muslimah yang keluar menuntut ilmu, keluar menyahut panggilan dakwah, keluar menyahut
tugas-tugas kemasyarakatan dan keluar gambarnya di facebook, media, drama, majalah hingga menjadi ikutan remaja menutup aurat dan berakhlak mulia. Namun,
ada pihak memandang sinis dan menyamakannya dengan gadis-gadis yang
berpeleseran di pasar raya.
Adakah Islam menganggap keluarnya
kaum wanita dari rumah bukan atas hal-hal darurat suatu perbuatan yang makruh
atau haram? Mari kita bincangkan.
Sepotong Hadis
Perlukan Kombinasi Dalil-Dalil yang Lain
Pihak yang menganggap ‘berdosa’
tatkala keluarnya wanita daripada rumah, sering memetik hadis ini,
“Wanita adalah aurat, jika dia
keluar (rumah), syaitan akan memimpinnya.” (HR Tirmidzi, Kitab: Menyusukan.
Bab: 18 (jld. IV, hal. 153), terdapat dalam Shahihul
Jami’ ash-Shagir dengan no. 6566.)
Inikah dalilnya? Bagaimana hal
ini boleh menjadi haram atau makruh? Bukankah Rasulullah SAW melarang kaum
lelaki menghalang isteri-isteri mereka pergi ke masjid. Padahal, solat di
masjid bukanlah suatu darurat dan bukan juga keperluan yang mendesak.
“Tapi, Nabi suka kalau perempuan
solat kat rumah lagi,” balas mereka.
Baik, bagaimana dengan doa Nabi
bagi Ummu Haram agar berpeluang ikut bersama para tentera menyeberangi lautan
untuk berjihad di jalan Allah? (Rujuk HR Bukhari). Pemergian Ummu Haram untuk
berjihad tidak termasuk keadaan darurat atau keperluan yang sangat mendesak,
tetapi hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.
Apakah Maksud Hadis
Wanita itu Aurat?
Dalam Buku Kebebasan Wanita Pada
Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah, ada jawapannya. Hadis ini
mengaitkan keadaan wanita sebagai aurat dengan pimpinan syaitan. Ia memberi
peringatan kepada kaum wanita agar jangan lalai dalam menutup aurat.
Kaum wanita dilarang
memperlihatkan keindahan tubuhnya kecuali yang dibenarkan, tidak memakai
wangian, tidak sengaja melenggok-lenggok ketika berjalan, dan tidak sengaja
menggoda dalam berbicara. Bukan kaum wanita sahaja, kaum lelaki juga diingatkan
agar menjaga adab dalam pergaulan. Barulah syaitan tiada ‘password’ untuk
menggoda manusia.
Wanita Datang Dalam
Bentuk Syaitan?
Rasulullah SAW mengaitkan
keluarnya wanita daripada rumah dengan syaitan bukan sahaja dalam hadis di atas
bahkan dalam hadis yang lain.
“Sesungguhnya wanita datang dalam
bentuk syaitan dan pergi juga dalam bentuk syaitan.” (HR Muslim, Kitab: Nikah,
Bab: Tentang Orang Yang Melihat Wanita Lalu Jatuh Hati, jld. IV, hlm. 129-130).
Apakah pengajaran daripada hadis
ini? Kena mengurung wanita di rumah? Tidak! Ada ratusan dalil yang lain
menunjukkan penglibatan wanita dalam kehidupan sosial pada zaman Rasulullah
SAW. Bagaimana Rasulullah SAW memberi bimbingan dalam menghadapi fitnah (ujian)
sebegini?
Rasulullah SAW mengajar lelaki
menghadapi fitnah (ujian) wanita ini dengan cara berjuang menguruskan nafsu,
menundukkan pandangan dan pulang ke pangkuan isteri. Bersama isteri, naluri
seksual boleh disalurkan secara halal. Baginda bersabda dalam hadis yang sama,
“Jika salah seorang kamu melihat
wanita, maka hendaklah dia pulang
menggauli isterinya. Hal itu dapat menghilangkan keinginan yang ada dalam
dirinya.” (HR Muslim).
Beginilah juga cara wanita
menghadapi fitnah (ujian) lelaki penggoda. Lelaki-lelaki itu datang dalam
bentuk syaitan apabila bersiul-siulan gatal, feeewittt, dan usya-usya. Ada
persamaan dengan syaitan dari sudut menggoda. Usah dilayan. Pulang ke rumah dan
nikmati suami sendiri.
Fitnah (Ujian) Dalam
Pelbagai Bentuk
Hadis di atas mengingatkan kita
tentang adanya ujian (fitnah) daripada godaan wanita. Sama sahaja dengan
hadis-hadis yang mengingatkan kita adanya ujian (fitnah) daripada godaan harta
benda dan anak-cucu.
Peringatan itu tidak bermakna
kita kena bermusuh dengan harta dan anak-cucu. Ia tidak bermakna kita tidak
perlu mengumpul harta dan mengurung anak cucu di rumah sahaja. Ia cuma ingatan
agar kita berwaspada.
Kesimpulan
Wanita sangat bagus tinggal di
rumah. Tapi itu tidak bermakna dia diharamkan atau dimakruhkan keluar rumah. Lebih-lebih lagi jika seseorang
wanita itu keluar dengan bertujuan kebaikan. Tiada masalah. Jangan terlalu
bebas. Jangan pula terlalu terkongkong. Allahmu Maha Mengetahui setiap niat di
hati.
SUMBER: Ustazah Fatimah Syarha @ http://sebarkanbahagia.blogspot.com/
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan