BOLEHKAH BUKAN MUSLIM SELAMAT DARI NERAKA?
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Prof Madya Dr Mohd Asri Zainul Abidin
Soalan ini mungkin mengejutkan. Sebab,
secara umumnya ramai muslim menganggap setiap yang bukan muslim pasti
akan diazab dalam neraka. Tanpa mengambil kira keadaan mereka.
Apabila saya merenung sikap baik ramai
individu bukan muslim di Oxford ini dan di tempat lain juga, ia
mengingatkan saya kepada Prof DiRaja Engku Aziz. Semasa saya masih Mufti
Perlis, beliau pernah datang ke pejabat saya secara bersendirian.
Beliau ingin berbicara dengan saya secara tertutup. Ada beberapa soalan
yang beliau kemukakan, antaranya: apakah orang bukan muslim yang
berakhlak baik itu tetap memasuki neraka? Saya telah jawab serba
sederhana untuk beliau ketika itu.
Berbudi Baik
Soalan itu kembali bermain di fikiran saya apabila melihat ramai
orang bukan muslim di Barat ini yang jauh lebih berdisiplin dalam
hubungan mereka sesama manusia dibandingkan sesetengah orang muslim
sendiri. Ya, bukan semua, tetapi ramai. Ya, sejarah orang Barat juga
penuh dengan tompokan hitam; pembunuhan, penyeksaan dan pelbagai lagi.
Hari ini pun, banyak negara yang mereka ganggu.
Itu cerita politik dan cerita agama yang dipolitikkan. Bukan
semestinya sama cerita orang politik dengan cerita orang awam.
Hakikatnya, dalam kehidupan peribadi, ramai mereka menepati janji, jujur
dalam pekerjaan, ada nilai simpati yang tinggi terhadap manusia, haiwan
dan alam. Banyak usaha menderma di sana sini untuk kefakiran dan
malapetaka. Ada pula yang enggan memakan daging kerana simpati kepada
binatang. Pelbagai lagi asas kemanusiaan dan nilai murni dalam hidup
mereka. Di samping tidak dinafikan, sebagai manusia ada juga perkara
negatif lain.
Saya ada seorang kawan baik daripada Austria, beliau seorang vegetarian. Dia juga enggan makan produk Nestle dan Coca-cola. Saya bertanya: “Stefanie! Apakah kerana itu satu pegangan agama? Jawabnya: “Tidak,
hanya saya simpati kepada haiwan dan saya benci kepada kedua syarikat
itu kerana mereka menindas orang miskin. Saya akan terus pulau mereka
selagi saya hidup”. Saya diam, saya rasa kita orang muslim pun
sukar hendak memulau kedua syarikat itu sekalipun isu Palestin dibangkit
mengenai syarikat-syarikat tersebut. Stefanie masih muda, saya tidak
tahu sehingga bila beliau boleh bertahan dengan pendiriannya.
Muslim berdakwah di tengah Bandar Oxford. Nasib baik masyarakat mereka tidak membantah orang lain berdakwah dalam negara mereka.
Halangan Hidayah
Bukan sedikit mereka yang seperti beliau. Jiwa mereka baik, perasaan
mereka luhur. Malangnya, cahaya hidayah yang sebenar tidak sampai kepada
mereka. Bagaimana hendak sampai dengan mudah, banyak hadangan yang
mendindingi cahaya yang hakiki itu untuk sampai. Kemunduran negara umat
Islam yang sentiasa porak-peranda, kelam-kabut, merusuh dan bergolak.
Sikap buruk sesetengah orang muslim yang mendominasi keadaan lalu gagal
menjadi contoh dan teladan yang baik kepada masyarakat dunia. Ditambah
media massa Barat yang memberikan wajah buruk tentang Islam; disokong
pula oleh tindakan umat Islam sendiri.
Lihat Iran yang menzalimi rakyatnya, Pakistan yang porak peranda dan
menindas wanita dan Dunia Arab yang sentiasa korupsi dan menumpah darah
antara satu sama lain. Kelompok-kelompok kononnya jihad yang mengebom di
sana-sini. Mereka semua itu telah menggunakan lencana ‘Islam’, jenama ‘Islam’, lambang ‘Islam’
sehingga Islam yang hakiki menjadi begitu suram dan kabur. Kesemua itu
adalah gunung dan bukit yang menghalang cahaya keindahan Islam yang
hakiki dari menembusi jiwa kebanyakan manusia hari ini. Maka, bukanlah
satu keadilan jika Allah menghukum mereka di akhirat dalam keadaan
demikian. Allah berfirman:
“Tidaklah tuhanmu itu zalim terhadap hambaNya” (Fussilat: 46).
Namun tidak dinafikan ada yang telah sampai penerangan yang jelas
melalui jalan yang Allah kehendaki. Cuma, bukan semua berpeluang.
Mungkin kita kata: mereka boleh cari Islam yang sebenar dalam internet.
Malangnya, maklumat dalam internet juga bercampur baur antara yang
benar dan yang palsu, antara yang indah dan buruk. Entah berapa banyak
puak dan aliran dalam masyarakat muslim. Jika orang yang lahir dalam
masyarakat Islam pun keliru, apatahlagi yang baru hendak mencari.
Kemudian, bukan semua orang mempunyai kemampuan analisa. Tidak pula
semua mempunyai cukup masa. Juga bukan semua yang sedar bahawa mereka
tidak berada atas hidayah. Jika pada zaman dahulu, Salman al-Farisi
mengembara dari Parsi untuk mencari Nabi dengan penuh dugaan dan derita,
tapi berapa orangkah penduduk Parsi yang sanggup sepertinya? Tiada.
Parsi hanya menerima Islam selepas kewafatan Nabi s.a.w dengan sampainya
tentera Umar bin al-Khattab ke sana. Jika Allah mewajibkan semua orang
lakukan seperti Salman, pasti suatu bebanan yang tidak tertanggung oleh
manusia.
Bolehkah Selamat?
Hari selesa lepas di Centre for Muslim-Christian Studies, Oxford
seperti biasa ada seminar mingguan. Setiap hari, saya berjalan kaki
berkilometer untuk menghadiri pelbagai seminar. Saya berjalan ke seminar
tersebut sejauh dua kilometer dengan penuh harapan mendapat sesuatu
yang menarik. Ini kerana tajuk minggu ini ‘Can Non-Muslims be Saved?’. Pembentangnya; Jon Hover, pensyarah Islamic Studies, University of Nottingham.
Saya fikir beliau akan menyentuh apa yang saya harapkan. Malangnya,
beliau membahaskan pemikiran Ibn Qayyim al-Jawziyyah (meninggal 751H)
tentang Fana an-Nar (Penamatan Neraka). Memang, dalam beberapa
karyanya khususnya Hadi al-Arwah, Ibn al-Qayyim berhujah dengan beberapa
alasan yang menarik bahawa nereka itu akhirnya akan tamat. Tiada
sebarang hikmat Allah menghukum manusia kuffar dalam neraka selamanya.
Idea yang kontraversial itu dipertahankan oleh Ibn Qayyim dengan
beberapa hujah; riwayat salaf, tafsiran al-Quran dan atas sifat rahmat
Allah yang sentiasa mengatasi murkaNya. Namun, saya rasa Jon Hover gagal
membentang secara rapi hujah Ibn Qayyim khususnya berkaitan ayat
al-Quran Surah Hud ayat 106-108. Saya tidak berhasrat membahaskan
pemikiran Ibn Qayyim itu di sini.
Saya rasa persoalan ‘can non-muslims be saved?’ bukanlah itu
jawapannya yang memuaskan. Isu apakah neraka kekal atau akhirnya musnah
hanyalah tafsiran dan andaian. Hanya Allah Yang Mengetahui. Apapun,
yang ke neraka, tetap ke neraka. Ada perbahasan lain yang lebih menarik
oleh Ibn al-Qayyim dan para sarjana Islam yang lain. Lebih sepakat,
lebih jelas dalilnya dan lebih menyerlahkan keadilan Allah dan keindahan
Islam.
Selamat Dari Azab
Para sarjana bersepakat dengan prinsip yang ditegaskan oleh al-Quran
bahawa Allah tidak akan mengazabkan seseorang melainkan setelah
diutuskan rasul. Sesiapa yang tidak sampai kepadanya ajaran yang benar
dari seorang rasul, tidak ditegakkan hujah yang teguh sehingga tiada
alasan untuk ragu dan syak, maka dia tidak akan diazabkan oleh Allah.
Ini seperti yang Allah tegaskan: (maksudnya)
“Tiadalah Kami mengazabkan sesiapapun sehingga Kami mengutuskan seorang rasul” (Surah al-Israk: 15).
Inilah yang menyelamatkan bukan muslim yang tidak sampai hujah
hidayah kepada mereka. Bahkan inilah juga yang menyelamatkan muslim yang
jahil yang tidak disampaikan hujah dalam amalan atau kepercayaan
tentang Islam mengenai sesuatu perkara. Al-Sa’di dalam tafsirnya
menyebut:
“Allah itu Maha Adil, Dia tidak akan mengazab seseorang melainkan ditegakkan hujah dengan pengutusan rasul tapi dia menolaknya. Adapun sesiapa yang tidak sampai kepadanya hujah Allah, maka sesungguhnya dia tidak diazab”.
Ini dikuatkan lagi dengan firman Allah: (maksudnya)
“Rasul-rasul pembawa khabar gembira dan amaran supaya tiada bagi manusia suatu hujah (alasan untuk berdalih pada hari kiamat) terhadap Allah sesudah mengutuskan rasul-rasul itu. dan (ingatlah) Allah Maha Kuasa, lagi Maha Bijaksana” (al-Nisa: 165).
Al-Imam Ibn Qayyim al-Jauziyyah dalam karyanya Tariq al-Hijratain menyebut:
“Sesungguhnya azab itu layak diterima kerana dua sebab; pertama, tidak mahu mendengar hujah serta enggan menerima dan beramal dengan tuntutannya. Kedua, berkeras setelah ditegakkan hujah dan meninggalkan tanggungjawab berkaitan. Maka jenis yang pertama; kufur berpaling (enggan mendengar) dan yang kedua; kufur keras kepala. Adapun kufur kerana jahil tanpa ditegakkan hujah dan tanpa kemampuan untuk mengenali hujah, jenis inilah yang Allah tidak akan azab sehingga tertegaknya hujah rasul”.
Seterus Ibn Qayyim menyebut lagi:
“Sesungguhnya penegakan hujah itu berbeza dengan berbezanya zaman, tempat dan individu. Mungkin dikira tertegaknya hujah ke atas orang-orang kafir pada suatu zaman, tidak pula pada zaman yang lain. Juga dikira tertegak pada satu tempat atau kawasan, tidak pada tempat atau kawasan yang lain. Demikian untuk seseorang, namun tidak pada individu lain” (m/s 438. Kaherah: Maktabah al-Mutanabi)
Ya, maksudnya cara dan pendekatan penerangan tentang kebenaran Islam
itu sehingga dianggap tertegak hujah adalah berbeza mengikut zaman,
tempat dan individu. Mereka yang hidup dalam suasana hari ini caranya
berbeza dengan zaman dahulu. Zaman kekeliruan tidak sama zaman
kejelasan. Demikian latar tempat dan negara. Seseorang yang berada di
negara muslim, tidak sama yang berada di negara bukan muslim dan
seterusnya. Demikian latar pendidikan dan akal, tidak sama. Maka,
apabila hujah tidak memadai untuk mereka, Allah berjanji tidak akan
mengazab mereka. Apakah di Barat dan Malaysia juga hujah sudah memadai?
"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"
Tiada ulasan:
Catat Ulasan