Ahad, 24 April 2011

BERMULA DARI YANG KECIL

Sudah lama saya tidak menyisipkan entri baru.

Bukan saya sudah berhenti menulis, namun kerap kali penulisan saya hanya mampu berhenti di tengah jalan.

Sibuk sangatkah saya? Oh, tidak! ramai lagi orang yang lebih sibuk, sangat sibuk berbanding dari saya yang hanyalah seorang guru biasa.

Tidak cukup masakah saya? Oh, tidak juga. Bukankah setiap makhluk itu telah diadili-Nya dengan 24 jam sehari semalam. Apa yang telah dikurniakan Allah itu pasti sempurna. Tidak kurang dan tidak juga lebih.

Akhirnya, saya sering terfikir mungkin juga saya telah melalui hidup ini dengan jalan yang tidak diredhai-Nya. Lalu penulisan tidak mampu ditamatkan dengan sebaik-baik amal.

Bila diperkatakan tentang jalan yang tidak diredhai pasti akan terhampar di depan mata kita perbuatan mencuri, meninggalkan solat, tidak berpuasa, berbohong dan seumpamanya.

Namun kita (terutama saya) jarang sekali menilik atau refleksi diri tentang perkara-perkara harian yang dilalui tanpa menyedari bahawa jalan yang dilalui itu berada di luar kotak redha Allah. Yang pasti itu bukan 'sirat al-mustaqim'. Astaghfirullah.

Marah

Sebagai guru, saya tidak terlepas dari sifat marah. Marah tidak salah tapi marah tidak bertempat itu yang menjadi salah satu dari asbab dosa. Mana mungkin saya tidak marah kalau anak didik saya sering sahaja terlupa membawa buku atau menyiapkan kerja rumah.

Sekali, tidak mengapa, dua kali masih lagi saya bertoleransi. Kalau kali ketiga...keempat...kesepuluh, di tahap manakah kesabaran saya sebagai seorang guru mahu diuji?

Akhirnya....: "Okey, hafal doa ini lepas solat ye (sambil saya meminta murid-murid mengikut doa yang terluah di bibir). Pastikan kamu semua tidak jadi nenek sebelum tiba masanya." Sempat lagi saya 'membebel'.

Membazir Masa

Seringkali rakan-rakan mengatakan saya mempunyai banyak masa dan ruang untuk melakukan apa sahaja aktiviti yang diingini. Hanya kerana saya ini 'single'. Benarkah begitu? Persepsi itu sama sekali tidak benar. Disebabkan masa yang banyak inilah saya sering terleka. Terleka dengan pelbagai aktiviti. Termasuk dengan aktiviti yang sia-sia.

Akhirnya banyak kerja yang tertangguh. Alangkah malangnya bagi golongan seperti saya ini. Bagi saya, setiap orang telah dianugerahkan masa yang secukupnya oleh Allah azza wa jalla, tinggal lagi sama ada kita cekap atau tidak menguruskannya.

Saya sangat bimbang jika saya juga terleka dengan firman Allah yang bermaksud:

"Demi masa. Sesungguhnya manusia itu benar-benar berada dalam kerugian. Melainkan orang-orang yang beriman dan beramal saleh. Dan nasihat menasihati supaya mentaati kebenaran dan nasihat menasihati supaya menetapi kesabaran" (Surah al-'Asr: 1-3)

Gembira / Ketawa Berlebihan

Teringat kata-kata emak bila kami adik beradik sakan bergelak tawa. "Gallak-gallak nantikan temu golok". Kata-kata yang 'berdialek' Terengganu ini membawa maksud: "Kegembiraan yang melampau tidak mustahil akan membawa kepada dukacita".

Bukankah banyak ketawa itu boleh membawa kepada dosa. Banyak ketawa juga boleh mengundang kelekaan dan kealpaan. Begitu juga, banyak ketawa akan menyebabkan hati seolah-olah tidak bernyawa. Hati mati.

Saya teringat kepada mafhum hadis yang yang menyentuh mengenai senyuman Rasulullah. Senyum sehingga nampak gigi. Itulah semaksima senyum/ketawa baginda. Tanda baginda berada dalam situasi gembira. Renung-renungkanlah...di manakah tahap gembira kita? Sedang-sedang atau keterlaluan?

Mendengar Umpatan

Mengumpat merupakan salah satu dari dosa besar. Mengumpat juga bakal mengundang dosa yang berganda. Mengumpat menyebabkan seseorang itu dibenci, lalu menimbulkan pergaduhan sama ada sesama keluarga, sesama tetangga juga rakan sekeliling. Akhirnya silaturrahmi yang dipupuk terlerai begitu sahaja.

Sesetengah dari kita teramat susah untuk mengelak dari sifat mazmumah yang satu ini. Kenapa? Salah satunya, kerana gagal mengelakkan diri dari mendengar umpatan, akhirnya diri terjerat sama.

Buat masa ini, jika tidak mampu melarikan diri dari korum mengumpat, saya akur...saya hanya mampu diam membisu di kala rakan meminta dipinjamkan telinga tanpa kerelaan hati saya. Ya Allah setakat ini sahaja jihad bagi hati yang mampu saya tegakkan untuk diri sendiri.

Alangkah hinanya letak duduk saya. Saya tidak berani mengingatkan mereka bahawa mengumpat itu umpama memakan daging saudara sendiri.

Bermula Dari Yang Kecil

Sifat-sifat ini kelihatan kecil di mata kita, namun bukankan yang besar itu bermula dari yang kecil.

Nyamuk yang kecil bisa sahaja menamatkan riwayat manusia yang begitu ramai.

Semasa kecil ia menjadi kawan bila dah besar akan menjadi lawan.

Kecil-kecil cili api.

Jangan disangka kecil-kecil tidak berisi!

Sekadar muhasabah diri sendiri.

Semoga refleksi diri ini mampu melajukan kembali momentum menulis saya. InsyaAllah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Dari Allah"

Ahad, 27 Mac 2011

SEBELUM DAN SELEPAS

"Haa...inilah yang saya tak berkenan. Kalau before pakaian ok aje, tapi bila dah after pakaian sudah berubah.Ketat sana, ketat sini, kan dah nampak 'selekoh' sana 'selekoh sini..." Komen saya apabila melihat testimonial satu produk kecantikan.

Tidak pula saya nafikan akan keberkesanan produk tersebut. Buktinya seorang artis yang berisi telah menampakkan hasilnya selepas mencuba produk tersebut. Artis ini juga merupakan duta bagi produk itu. Lebih kurus dan slim sekarang ini.

"Ini baru betul. Testimonial diambil dari model yang berisi baru nampak hasil yang ori." Seorang rakan saya meluahkan pendapat.

Ya, saya sangat setuju statement itu. Apa-apa produk pun, sewajarnya menggunakan sampel yang sepatutnya bagi membuktikan bahawa produknya benar-benar berkesan.

"Ros dah bising tu...Kak A, Kak B, Kak C nanti bila kita dah slim kita pakai tali pinggang besar ya... ". Kata rakan setugas sambil ketawa gembira. Entah menyindir atau bergurau. Senang cerita saya anggap sebagai gurauan sahaja.

"Takde la saya marah. Terpulang atas diri masing-masing." Jawab saya, ringkas sahaja. Walau hati ini ingin saja menyambung kata: "Bukan saya yang larang, tapi agama yang melarang...tugas saya hanya menyampaikan."

Namun kata-kata itu terlekat di halkum sahaja. Tidak mampu untuk diluahkan. Bimbang ada hati yang kecil, ada hati yang terasa. Ah, betapa lemahnya jiwa saya. Tidak mampu berkata-kata walaupun ianya 'manis'. Ya, manis di sana, pahitnya di sini. Namun saya memilih yang di sini.

Saya tidak mampu ke arah itu, walaupun saya mempunyai hak untuk berbuat demikian berdasarkan kepada sabda Rasulullah (S.A.W) yang berbunyi:

Barang siapa diantara kamu yang melihat kemungkaran maka hendaklah ia mengubahkan dengan tangannya. Apabila ia tidak mempunyai kuasa atau tidak mampu, maka ubahlah dengan lidahnya. Dan jika tidak juga mampu, maka ubahlah dengan hatinya, dan yang demikian itu adalah selemah-lemah iman.” ~ H.R. Muslim.

Bercakap hendaklah berpada-pada. Lain padang lain belalang. Masuk kandang kambing mengembek, masuk kandang kerbau menguak." Pepatah-pepatah sebegini sering saja mengikat diri saya untuk lebih bersuara. Ya, saya sentiasa ingatkan diri bahawa saya menumpang duduk di tempat orang. Mesti sentiasa berhati-hati bila mahu meluahkan bicara.

Jika Tidak Kerana Menjaga Hati...

Jika tidak difikirkan menjaga hati, mahu saja saya menyambung bicara begini:

"Bukan apa...saya selalu terfikir akan hal ini. Kenapa semasa gemuk, semasa badan bersize XL mereka tidak memakai pakaian sebegitu, tetapi bila dianugerahkan Allah badan yang cantik seperti yang diimpikan, terus dibalasnya dengan perangai yang tidak cantik. Tidakkah mereka terfikir bahawa di sana Allah ingin memberi pahala kepada mereka, sebab itu Allah kurniakan mereka badan bersaiz XL.

Allah Maha Tahu. Bila mereka gemuk, mereka tidak akan pakai kebaya yang ketat. Jadi, dosa memakai pakaian yang 'seksi meksi' itu tidak perlu dicatat oleh Atid. Kerja Atid pun menjadi ringan. Banyak lagi borang yang perlu disenarai semak oleh Atid.

Tidak salah makan produk kesihatan selagi ia tidak memudaratkan dan ianya halal lagi berkualiti. Lagi pula Allah sukakan kecantikan. Allah juga sangat suka para hamba-Nya yang menjaga kesihatan. Malangnya di mana-mana katelog produk kesihatan, kebanyakannya saya lihat memaparkan testimonial yang sangat berbeza di antara 'sebelum' dan 'selepas'.

Jika sebelum tercapai hasil yang diinginkan, pakaian yang dikenakan agak sopan, sebaliknya selepas hasrat hati dikabulkan Allah penampilan terus berubah secara mendadak. Dari ukuran 4 meter menjadi 3 meter, dari panjang menjadi pendek. Di mana sifat malu wanita kepada pencipta-Nya. Bukankah keinginan mereka untuk berubah saiz telah dikabulkan, tetapi kenapa pula balasan curang dihadiahkan kepada Allah?" Tepuk dada tanyalah Iman.

Kewajipan Menutup Aurat

Saya percaya dan benar-benar yakin, rata-rata di kalangan muslimah hari ini, ramai yang sedar akan perintah Allah SWT sebagaimana firman-Nya yang bermaksud :

Katakanlah kepada wanita yang beriman: Hendaklah mereka menahan pandangannya, dan kemaluannya, dan janganlah mereka menampakkan perhiasannya, kecuali yang (biasa) nampak daripadanya. Dan hendaklah mereka menutupkan kain tudung ke dadanya, dan janganlah menampakkan perhiasannya kecuali kepada suami mereka, atau ayah mereka, atau ayah suami mereka, atau putera-putera mereka, atau putera-putera suami mereka, atau saudara-saudara laki-laki mereka, atau putera-putera saudara lelaki mereka, atau putera-putera saudara perempuan mereka, atau wanita-wanita Islam, atau budak- budak yang mereka miliki, atau pelayan-pelayan laki-laki yang tidak mempunyai keinginan (terhadap wanita) atau anak-anak yang belum mengerti tentang aurat wanita. dan janganlah mereka memukulkan kakinyua agar diketahui perhiasan yang mereka sembunyikan. dan bertaubatlah kamu sekalian kepada Allah, Hai orang-orang yang beriman supaya kamu beruntung.” ( Surah Al-Nur ayat 31 )

Begitu juga dengan hadith sahih yang berbunyi (maksudnya):

Wanita itu aurat, maka bila ia keluar rumah, syaitan terus memandanginya (untuk menghias-hiasinya dalam pandangan lelaki sehingga terjadilah fitnah.” ( Sahih at-Tirmidzi)

Sudah terang lagi bersuluh. Allah telah mewajibkan setiap muslimah menutup aurat tanpa syarat. Tidak kira sama ada muslimah itu berbadan besar atau kurus. Cantik atau sebaliknya. Tiada 'double standard' Allah dalam menetapkan hukum ini.

Sesiapa sahaja yang bergelar wanita muslimah hendaklah dia menyembunyikan segala bentuk keindahan dan kecantikan yang dianugerahkan dari pandangan lelaki ajnabi, kerna sebaik-baik pakaian bagi kita ialah pakaian taqwa.

Allah (S.W.T) berfirman yang bermaksud:

Hai anak Adam, sesungguhnya Kami telah menurunkan kepadamu pakaian untuk menutupi `auratmu dan pakaian indah untuk perhiasan. Dan pakaian takwa itulah yang paling baik. Yang demikian itu adalah sebahagian dari tanda-tanda kekuasaan Allah, mudah-mudahan mereka selalu ingat” ( Surah Al-A’raaf: ayat 26 )

Bersyukurlah...

Wahai sahabat muslimah sekalian...

Jagailah anugerah kecantikan itu agar tidak menjadi tontonan si mata keranjang.

Jagailah ia agar tidak juga menjadi bahan promosi syarikat-syarikat kecantikan bagi melariskan jualan produk mereka.

Jangan memperbodohkan diri kita demi orang lain sehingga menodai perintah Yang Maha Pencipta.

Bersyukurlah dengan anugerah Ilahi.

Cantik di mata 'mereka' belum tentu cantik di mata Dia.

Tapi cantik di mata Dia, sudah pasti cantik juga di mata 'mereka'. InsyaAllah.

Sesungguhnya Allah telah berfirman, maksudnya:

"Katakanlah (wahai Muhammad): Allah yang menciptakan kamu (dari tiada kepada ada) dan menjadikan bagi kamu pendengaran dan penglihatan serta hati (untuk kamu bersyukur, tetapi) amatlah sedikit kamu bersyukur." (al-Mulk:23)

Semoga kita tergolong antara golongan yang sedikit itu. InsyaAllah.

Hingga jumpa lagi...


"Hidup Ini Indah jika segalanya kerana ALLAH"

NOTA: Entri ini ditulis lebih kepada peringatan untuk diri sendiri.

Ahad, 6 Mac 2011

MEREKA TIDAK BERSALAH

"Putra ni memang anak Cik ke?" Tanya saya ketika terserempak dengan Encik Abdullah. Ketika itu, sudah menjelang waktu pulang.

"Ya." Encik Abdullah menjawab sepatah.

Saya terdiam seketika sebelum menyusun ayat secantik bahasa.

"Anak kandung kah?

Encik Abdullah mengangguk, sambil tersenyum.

Alhamdulillah, soalan saya tidak memberi kesan negatif kepada perasaan beliau.

"Erm, dalam surat beranak Putra ni birbinkan Abdullah...?"

Sudah lama saya mencari jawapan kepada persoalan ini. Sebagai guru kelas saya perlu menyiasat hal sebegini kerana saya perlu mengemaskini biodata murid. Juga sebagai persediaan sekiranya perkara-perkara yang tidak diingini berlaku.

Tiada langsung terfikir di hati untuk menjaga tepi kain orang.

Tidak!

"Oh...sebenarnya Putra memang anak kandung saya. Dulu, saya dan isteri tak dibenarkan kawin. Jadi Putra tak boleh dibinkan kepada saya."

"Oh...begitu...saya ingatkan dia anak angkat. Sebab saya tengok dalam surat beranak, anak-anak Encik semuanya dibinkan kepada nama Cik kecuali Putra..." Saya berhenti seketika, sebelum menyambung dialog seterusnya.

"...dalam surat beranak Putra, maklumat bagi ibu dan bapa distatuskan sebagai maklumat tidak diperolehi. Jadi, emak dan bapa kepada Putra ni sama orangnya dengan anak-anak yang lain ya..."

"Ya lah." Jujur Encik Abdullah membalas.

"Putra ni anak sulung kah?

"Ya, tapi dia ada abang tiri."

"Oh, gitu..."

Cukuplah di situ. Fikir saya, sekalipun jawapan yang terakhir sememangnya kelabu.

Saya hanya memerlukan maklumat yang sewajarnya yang perlu saya tahu sebagai seorang guru kelas. Selebihnya bukan keperluan, jauh sekali kehendak.

"Kesian Putra..." Hati saya berdetik.

Sebenarnya ada lagi beberapa orang lagi murid saya yang statusnya sama dengan Putra. Nama ibu dan bapa yang tertera pada surat beranak: Maklumat tidak diperolehi.

Mereka jadi mangsa.

Mangsa keadaan.

Apapun...

Mereka tidak bersalah!

Semoga hidup mereka sentiasa dalam peliharaan-Nya. Mendapat didikan yang terbaik dan berjaya di dunia, jua di akhirat. Ameen.


"Hidup Ini indah jika segalanya kerana ALLAH"

Jumaat, 18 Februari 2011

KEMBAR TIGA

Sumber Gambar

"Ok...ustazah nak kamu fikir apa jawapannya."

Saya berteka teki pula dengan murid-murid kali ini.

Mereka tidak boleh disuap selalu. Kemahiran berfikir perlu diterapkan agar hasilnya nanti bukannya 'seorang' robot yang hanya tahu menurut kata.

Menurut perintah membabi buta.

Tidak celik akal!

Belajar, Faham dan Fikir

Sekolah bukan sekadar tempat untuk menadah ilmu semata-mata, tetapi lebih dari itu. Belajar untuk faham. Dengan kata lain belajar untuk berfikir...berfikir dan berfikir...

Ada masanya otak para pelajar perlu dipaksa untuk mencari jawapan sendiri supaya mereka sedar bahawa menuntut ilmu itu bukannya satu perkara yang mudah.

Memerlukan usaha yang jitu dan bersepadu.

Untuk mendapatkan ilmu kita hendaklah rajin menghadapi segala ujian dan halangan yang sudah sedia terbentang.

Alangkah mudahnya murid-murid sekarang menuntut ilmu. Jika begitulah keadaannya, tidak mustahil ilmu yang ditadah itu bakal terlucut dari fikiran mereka dengan pantas.

Hari itu saya mengajar bahasa arab, tajuk Fii Fasli (Dalam Kelas Saya). Saya melukis gambar beserta perkataan di bawahnya. Cuma, untuk perkataan yang kelima, iaitu yang terakhir saya berikan mereka teka teki.

Fikir sendiri, apa yang dimaksudkan dengan perkataan yang diberi. Kamus fikiran perlu dibuka, bukannya mengharapkan guru yang menjadi 'kamus yang terbuka sendiri' setiap masa.

Teka Teki Saya

"Dia ini kembar tiga. Kalau lumba lari mereka akan sama-sama laju. Tiada siapa yang kalah. Tiada siapa yang menang. Sama-sama mula, sama-sama sampai."

Murid-murid mula berfikir, ada yang menggaru-garu kepala yang tidak gatal. Ada yang tersenyum mencari jawapan, ada juga yang melakar 1000 kerut di dahi. Segelintir murid yang lain pula 'relax' sahaja. Menunggu jawapan terhidang di depan mata.

Bermacam-macam jawapan diberi oleh mereka. Bermacam-macam juga 'klu' diberi oleh guru bahasa arab mereka. Namun jawapan yang tepat tidak mendatang jua.

Kelas menjadi kecoh seketika. Tidak mengapa. Kecoh kerana zikir dan fikir, bukannya membising tanpa arah tujuan.

Setelah lama memberi masa untuk mereka berfikir...

"Erm, tolong tutup kipas..." Arah saya kepada murid yang berada berhampiran dengan suis.

"Alah ustazah...panaslah..." Saya sudah agak ini respon mereka.

"Ok...Afiq...'on' semula kipas tu..."

Jawapannya...

"Oooo...kipas jawapannya kan ustazah..." Jawab beberapa orang murid.

Baru mereka sedar kelogikan guru mereka menutup kipas yang sedang berpusing riang sebentar tadi.

"Haa... itulah jawapannya..."

"Betulkan ustazah cakap...mereka ini si kembar tiga. Sentiasa bersama-sama.

Kerjasama

"Sama juga dengan kita. Kamu semua mesti sentiasa bekerjasama dengan guru yang mengajar kamu." Saya berhenti seketika melihat reaksi anak-anak didik saya.

"Kalau ustazah sahaja yang rajin, tapi kamu semua malas boleh tak kita belajar?"

"Tak..." Murid-murid menjawab serentak.

"Ok...kalau kamu...murid-murid sahaja yang rajin tapi guru malas mengajar. Boleh tak kamu belajar...". Saya membelit soalan yang sama.

"Tidak boleh..." Semakin nyaring suara mereka menjawab dan menjerit.

"Erm...kalau ustazah datang ke sekolah malam ni, kemudian ustazah mengajar sorang-sorang, kamu tak ada. Boleh tak berlaku proses pengajaran?"

"Tidak boleh...." Mereka menjawab sambil tersenyum.

Di fikiran mereka mungkin terbayang-bayang seorang guru mengajar tanpa murid.Lucu barangkali.

" Kalau macam tu, apa yang perlu kita buat ialah..." Saya berhenti seketika.

" ...kita hendaklah bekerjasama...apa yang penting kerjasama..." Saya mengulas lagi, mengikut rentak lagu Wonderpets.

"Kita semua kena bekerjasama. Ustazah mengajar, murid-murid belajar. Barulah semua akan jadi pandai. Macam kipas tadi juga. Sekali ditekan suis, semuanya sama-sama berpusing...Mana mungkin satu bilah atau dua bilah sahaja berpusing."

Entah betul atau tidak analogi yang saya berikan. Tetapi itulah idea yang menjengah tanpa dipinta. Saya berharap mereka faham dan fikir apa yang saya sampaikan.

"Kringgg...."Loceng berbunyi nyaring.

"Opps...nanti kita sambung ye..." Ujar saya.

Setelah menyambut ucapan syukur dari murid-murid, saya bergegas keluar untuk menyambung tugas seterusnya pada hari tersebut.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"

Selasa, 15 Februari 2011

MAULID: ANTARA SEJARAH DAN AMALAN

Sudah lama saya tidak menghiasi laman blog ini dengan entri baru. Walaupun tidak ramai yang berkunjung, namun ada juga rasa terkilan di hati kerana tidak dapat berkongsi hidangan rohani kepada tetamu. Saya telah cuba untuk menulis, tetapi seringkali berhenti di tengah jalan.

Saya cukup alah dengan masa. Masa sentiasa menghambat diri dengan kerja-kerja yang lebih penting, terutama yang melibatkan dengan tugas dan tanggungjawab sebagai guru. Akhirnya, saya mengambil keputusan untuk tangguh...tangguh dan tangguh untuk menulis, mahupun menyambung penulisan.

Pada tahun ini tugas saya lebih berat berbanding dengan tahun-tahun sebelumnya. Saya telah diamanahkan untuk mengajar Bahasa Arab untuk 10 kelas. Belum lagi diganda dengan tugas-tugas sampingan lain.

Oleh kerana saya mengajar sesi petang, maka masa luang yang ada hanya dapat diperuntukkan untuk solat semata. Baki masa yang 'seciput' pula digunakan untuk menyelesaikan kerja sampingan lain yang tidak pernah surut.

Saya turut diamanahkan sebagai guru kelas tahun satu. Bila menjadi guru kelas tahun satu, segala-galanya mesti di bahu guru. Murid yang baru berumur 7 tahun...masih banyak perkara yang perlu dilatihtubi. InsyaAllah diriku akan berusaha menjadi pendidik yang sebaik mungkin wahai anak-anak didikku. Doaku, moga kalian akan menjadi insan yang berjaya di dunia dan akhirat. Ameen.

Oh, saya sudah melalut jauh. Sebenarnya saya ingin berkongsi artikel yang dipetik dari Minda Tajdid. Semoga artikel ini dapat menjadikan kita sebagai seorang yang faham, bukannya taqlid semata-mata. Selamat membaca wahai sahabat yang dihormati semua.

Para sarjana sejarahwan Islam berbeza pendapat tentang tarikh sebenar kelahiran Nabi s.a.w. Hadis Nabi s.a.w yang diriwayatkan oleh al-Imam Muslim hanya menyebut bahawa baginda lahir pada hari Isnin tanpa menyebut haribulannya. Sesiapa yang membaca karya-karya sejarah Islam yang besar seperti al-Bidayah wa al-Nihayah oleh al-Imam Ibn Kathir (meninggal 774H) akan melihat berbagai pendapat tentang haribulan dan bulan kelahiran baginda s.a.w.

Bagi yang berpendapat baginda lahir pada Bulan Rabi’ul Awwal, mereka berbeza pendapat pula dalam menentukan haribulannya. Ada yang menentukan pada 8 haribulan, ada yang pada 9 haribulan, ada pula pada 12 haribulan seperti yang menjadi anggapan ramai, ada juga pada 17 haribulan dan seumpamanya. Di samping di sana ada pula sarjana Islam yang menyatakan baginda lahir pada Bulan Ramadan dengan hujah-hujah mereka yang tersendiri.

Apa pun yang penting, sejarahwan Timur atau Barat, Utara atau Selatan tidak pernah berbelah pendapat tentang lahirnya seorang insan bernama Muhammad bin ‘Abdillah yang diikrarkan oleh umat Islam sebagai rasul terakhir yang diutuskan Allah. Hal ini berbeza dengan Jesus yang berada dalam gambaran Barat. Setengah ahli kajian mereka mempertikaikan tentang kelahiran Jesus itu sendiri.

Kelahiran Nabi s.a.w adalah peristiwa yang amat penting kerana ia peristiwa yang memulakan episod baru bagi kehidupan manusia sejagat. Penentuan haribulan atau bulan secara tepat bukanlah faktor utama. Tidak dapat menentukan tarikh lahir yang pasti, bukan bererti seseorang itu tidak wujud. Entah berapa ramai para nabi, tokoh, individu yang gagal dikesan tarikh kelahiran mereka, tetapi mereka wujud dan telah mewarnai sejarah.

Kegagalan sarjana untuk mengetahui hari dan bulan sebenar kelahiran Nabi s.a.w antaranya berpunca daripada tindakan para sahabah Nabi s.a.w yang tidak merayakan tarikh tersebut. Walaupun dalam sejarah Islam, merekalah generasi yang paling mencintai Nabi s.a.w namun mereka tidak membuat perayaan khas hari kelahiran baginda disebabkan kerana mereka tidak melihat baginda melakukan hal yang demikian.

Bahkan Ibn Kathir menceritakan bagaimana Saidina ‘Umar apabila dicadangkan permulaan tahun Islam dikira pada tahun kelahiran Nabi s.a.w, beliau menolaknya. Sebaliknya khalifah agung itu memilih tahun hijrah baginda sebagai permulaan kiraan. Bukan kelahiran tidak penting, tetapi hijrah adalah permulaan kejayaan dan sejarah perjuangan. Perkara yang paling utama buat seorang rasul ialah baginda diikuti, bukan sekadar dirayakan. Saban tahun orang Kristian Barat merayakan kelahiran Jesus, namun apakah kehidupan mereka sama seperti yang diajar oleh Jesus?

Hari berganti dan bertukar. Dunia Islam beralun dengan berbagai krisis politik yang akhirnya mencetuskan mazhab. Antaranya Mazhab Syiah yang asalnya merupakan mazhab politik, bertukar menjadi mazhab agama dengan segala macam aliran di dalamnya. Islam sepatutnya mencorakkan politik telah bertukar menjadi ‘politik mencorakkan Islam’. Lalu kefahaman agama dibina di atas blok-blok politik, bukan reka fikir politik itu diwarnakan oleh Islam. Maka perebutan kuasa berlaku atas agenda politik yang dimasukkan unsur Islam ke dalamnya. Maka berselerakanlah umat Islam akibat agenda politik berbagai aliran.

Di Mesir, Syiah Fatimiyyah pernah menguasai tampok kuasa. Berbagai agenda agama dilaksanakan dalam kerangka pemikiran mazhab politik yang bertukar menjadi agama. Berbagai perayaan agama dibuat dengan tujuan untuk mencapai matlamat politik yang tersendiri.

Dalam Fatawa al-Azhar diakui bahawa ahli sejarahwan Islam tidak mengetahui sesiapa pun yang memulakan perayaan Maulid Nabi s.a.w melainkan Kerajaan Syi’ah Fatimiyyah di Mesir yang mengadakannya secara besar-besaran. Mereka turut meraikan hari kelahiran tokoh-tokoh Ahlil Bait dan kelahiran Nabi Isa a.s. Kemudian pada tahun 488H dihentikan oleh Khalifah mereka al-Musta’la billah. Kemudian dihidupkan kembali oleh sesetengah kerajaan dan negeri. Demikianlah sejarahnya.

Ya, saya fikir, perasaan bersyukur mengenangkan sejarah kelahiran Nabi s.a.w dengan semangat untuk mengikuti baginda adalah wajar. Di samping kita perlu sedar fakta-fakta yang disebutkan tadi. Jika Bulan Rabi’ul Awwal ini dikatakan bulan kelahiran Nabi s.a.w, maka tidak salah untuk kita berceramah menceritakan sejarah perjuangan dan prinsip-prinsip Islam yang dibawa oleh baginda. Sama ada pada bulan ini atau selain. Sama seperti apabila kita melintas suatu tempat bersejarah, kita mengenang sejarah tersebut. Cuma janganlah kita ini menjadi manusia bermusim yang hanya mengenang rasul dan ajaran baginda pada hari-hari tertentu, tetapi kita seakan sudah tidak mengingati baginda selepas itu.

Di samping itu, hendaklah kita sedar, jika kita mengikuti Nabi s.a.w, maka pastikan kita tidak menokok tambah ajaran baginda apa yang baginda tidak izinkan. Baginda bersabda:

“Sesiapa yang membuat perkara baru dalam urusan kami ini (Islam) apa yang bukan daripadanya maka ia tertolak” (Riwayat Muslim).

Oleh kerana baginda tidak pernah menunjukkan kita ibadah khas sempena kelahiran baginda samada solat khas, atau puasa khas atau bacaan khas, maka kita tidak boleh mengadakannya. Jalan yang patut diikuti dalam masalah ini adalah jalan para sahabah baginda s.a.w. Sabda baginda s.a.w:

“..Sesungguhnya Bani Israil berpecah kepada 72 puak, dan umatku akan berpecah kepada 73 puak. Kesemua mereka dalam neraka kecuali satu puak”. Mereka bertanya: “Apakah puak itu wahai RasululLah?” Jawab baginda: “Apa yang aku dan para sahabahku berada di atasnya”. (Riwayat al-Tirmizi dinilai sahih oleh al-Diya al-Maqdisi).

Perlu diingat, antara keistimewanya sejarah Nabi s.a.w kerana ia dapat dikenal pasti antara yang tulen dan tokok tambah. Ini berbeza dengan sejarah pengasas-pengasas agama dalam dunia ini yang hampir keseluruhan sejarah mereka dibina atas sangkaan atau perkhabaran yang tidak pasti. Ilmu hadis yang menapis sanad dan matan telah memelihara fakta sejarah nabi kita Muhammad s.a.w. Hanya sejarah yang pasti sahaja yang menjadi ikutan kita, bukan yang direka.

Kata al-Sayyid Sulaiman al-Nadwi:

“Sesungguhnya sirah yang berhak diikuti oleh manusia sebagai contoh yang baik dan teladan yang tinggi disyaratkan terlebih dahulu mestilah bersifat tarikhiyyah (sejarah). Adapun sirah yang tertegak diatas dongengan dan cerita-cerita khurafat yang tidak disokong oleh riwayat-riwayat yang dipercayai kesahihannya, adalah menjadi tabiat insan tidak akan terpengaruh dengan apa yag diceritakan kepadanya tentang sirah peribadi yang direka sedangkan sejarah tidak pernah mengenalinya” (Sulaiman al-Nadwi, al-Risalah al-Muhammadiyyah, m.s. 41, Saudi: al-Dar al-Sa`udiyyah).

Buku Maulid al-Barzanji yang banyak dibaca dalam masyarakat kita ketika majlis kenduri-kendara atau selainnya mempunyai sumbangan yang tersendiri. Banyak sirah yang sahih dicatatkan oleh penulis karya tersebut iaitu Ja’far bin Hasan bin `Abd al-Karim al-Barzanji (meninggal 1187H). Namun satu hakikat yang diboleh dinafikan dari segi ilmu hadis bahawa terdapat fakta-fakta yang tidak sahih dalam buku al-Barzanji tersebut. Antaranya, beliau menyebut:

“Telah hadirlah pada malam kelahiran baginda (Nabi s.a.w.) Asiah (isteri Fir`aun yang beriman) dan Maryam (ibu Nabi Isa a.s.) dalam kumpulan wanita dari syurga)”.

Tiada satu riwayat yang sahih daripada Nabi s.a.w yang mengakui peristiwa seperti ini. Sehingga seorang pengkaji sejarah Muhammad Muhammad Hasan Syurrab menyebut:

“Wajib kita berhati-hati ketika memetik dari buku-buku sirah terutamanya buku-buku sirah yang terkemudian. Para rawinya (periwayat) banyak menokok tambah cerita dan sirah Rasulullah. Mereka mengaitkan kepada baginda mu’jizat dan perkara-perkara luar biasa sejak kelahiran sehingga kepada kewafatan baginda dengan perkara yang tidak ada sanad yang boleh dipegang. Seakan-akan para rawi ini melihat tujuan penambahan perkara-perkara luar biasa ini untuk memberikan kepada Rasul a.s. mu’jizat-mu’jizat yang tidak ada pada para nabi sebelum baginda (Muhammad Muhammad Hasan Syurrab, Fi Usul Tarikh al-`Arab al-Islami, m.s. 84, Damsyik, Dar al-Qalam).

Kita semua bersyukur dan bergembira dengan kelahiran Nabi Muhammad s.a.w. Namun kita wajib pastikan cara kita ikut dan faham mengenai baginda. Saban tahun banyak pihak yang meraikan maulid, apakah umat Islam bertambah dekat dengan baginda?

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Ahad, 16 Januari 2011

RAGAM BALQIS


"Saya tak nak duduk kat depan." Kata Balqis, seorang murid tahun 1.
Melihat kepada perwatakan, Balqis kelihatan seorang anak yang agak manja dan rapat dengan bapanya. Entah berapa kali Balqis bersalam, bersalam dan bersalam dengan bapa beliau sebelum membenarkan bapanya meninggalkannya di kelas bersama rakan-rakan.

"Kenapa ni cik?" Tanya saya kepada bapa Balqis.

"Anak saya tak nak masuk kelas sebab kawannya belum datang." Bapa kepada murid yang bernama Balqis memberitahu.

"Kalau macam tu tunggu ajelah kawannya." Balas saya.

Dua minggu sudah berlalu musim persekolahan untuk sesi 2011. Namun masih ada murid-murid tahun satu yang tidak yakin pada diri sendiri untuk ditinggalkan bersama rakan-rakan di sekolah.

"Dah sampai kawannya cikgu." Bapa Balqis memberitahu.

"Ok, masuk ke kelas ye Balqis." Balqis masuk ke kelas selepas berulangkali bersalaman, berpelukan serta berbisik-bisik dengan bapanya. Rela dalam paksa, dilepaskan jua bapanya pulang.

"Balqis, duduk kat depan ye." Kata saya, mengharap agar Balqis duduk di atas tikar yang dibentangkan di hadapan kelas.

Namun Balqis masih membatu, sambil menggeleng-gelengkan kepala. Beliau menunjukkan ke arah kerusi, mengisyaratkan bahawa dia hanya mahu duduk di kerusi itu.

"Duduk kat depanlah. Boleh belajar bersama kawan-kawan. Jom...." Saya masih tidak putus asa . Cuba memujuk.

Balqis menggeleng-gelengkan kepalanya. Masih enggan.

Otak saya ligat berjalan, masih mencari idea.

"Erm, kalau Balqis tak nak duduk kat depan, ustazah kena duduk kat luar la ye..." Sekadar menjentik emosinya, saya bersuara.

Balqis lalu menanggalkan kasut, terus duduk bersama-sama rakan sekelas. Pembelajaran bermula dan berakhir dengan lancar. Alhamdulillah.


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana Allah"

Ahad, 9 Januari 2011

UKHUWWAH ITU INDAH

Di sini ukhuwwah bermula...

Semalam, tanggal 8 Januari 2011 saya dan teman serumah pergi ke Serikin, iaitu sempadan antara Indonesia dan Sarawak. Pada mulanya kami tidak merancang untuk ke mana-mana pada hujung minggu ini memandangkan kesibukan dengan pelbagai urusan sekolah.

Namun, kehadiran sahabat saya, Kak Earnie bersama suami serta anak mereka dari Kota Kinabalu, menghentikan seketika perancangan awal saya untuk hanya berkurung di rumah sambil melayani urusan sekolah yang tidak pernah habis. Tidak wajar rasanya jika tetamu yang datang tidak dilayani dengan sebaik mungkin.

Di UKM Terciptanya Ukhuwwah

Saya mengenali Kak Earnie ketika melanjutkan pengajian di peringkat ijazah pertama di UKM. Namun, pada waktu itu antara saya dan dia berhubung hanyalah sekadar rakan satu fakulti semata-mata. Untuk merapati beliau ketika itu saya rasa amat janggal sekali.

Dari mata kasar saya, beliau datang dari keluarga yang kaya, jadi saya rasa sangat segan untuk menegur dan merapatinya tanpa sebab yang penting. Pada masa tersebut hanya senyuman yang mampu diluahkan tanda perkenalan antara kami.

Namun setelah kami sama-sama melanjutkan pengajian di peringkat ijazah kedua, segalanya berubah sama sekali. Kurangnya mahasiswi yang menyambung pengajian pada peringkat tersebut, terutamanya dalam bidang Usuluddin dan Falsafah telah merapatkan ukhuwwah antara kami berdua.

Pada masa itu baru saya sedar bahawa anggapan saya selama ini salah seratus peratus. Dari situ, kami sentiasa bersama-sama berbincang tentang kursus yang diambil, di samping berkongsi ilmu tentang tugasan dan nota kuliah.

Pernah saya utarakan rasa hati saya kepada beliau: "Dulu, saya tak berani nak dekati Kak Earnie. Dengan berkereta Wira hitam saya rasakan yang akak ni susah untuk didekati. Saya ingatkan akak ni sombong, tak sangka pula kita rapat sekarang ye..."

Kak Earnie hanya ketawa kecil sambil berkata: "Ramai yang anggap akak macam tu Raf..."

"...hakikatnya tidak begitu..." Sambung saya.

Benar kata-kata pepatah Inggeris: "Don't judge a book by its cover"

Tak kenal maka tak cinta!

9 Januari Ketemu Lagi

Alhamdulillah, cuaca yang baik pada hari ini seolah-olah merestui pertemuan kami sebelum beliau berangkat pulang ke Negeri Bawah Bayu pada malam ini. Kami kembali bersua hari ini. Seperti yang dirancang, termakbul jua hasrat saya untuk menjamu tetamu makan tengahari di rumah.

Sempat juga saya menyinsing lengan di dapur dengan memasak beberapa menu seperti kerutuk ayam, masam asam batang keladi, acar timun, sambal belacan dengan bacang serta ikan gelama masin.

Kerutuk Ayam

Masak Asam Batang Keladi

Sambal Belacan Campur Bacang

Walaupun penat dengan kesibukan pada awal tahun ini, namun peluang menjamu tetamu sangat memberi kepuasan kepada saya. Segala tekanan kerja yang dihadapi seminggu pertama persekolahan berlalu begitu sahaja. Benarlah, tidak rugi apabila kita memberi. Kebaikan akan kembali kepada kita jua. InsyaAllah.

Kelebihan Menjamu Tetamu

Rasulullah (S.A.W) telah bersabda dengan maksudnya:

“Barangsiapa beriman dengan Allah dan hari akhirat, maka hendaklah ia memuliakan
tamunya.”

Dalam sebuah atsar pula ada yang berkata:

"Adalah sia-sia orang yang tiada menghormati tetamu"

Rasulullah s.a.w juga pernah ditanya:

"Apa itu Iman?"

Baginda telah bersabda (maksudnya) :

"Memberi orang makan dan menyebarkan salam."

Jumpa Lagi Sahabatku

Semoga Kak Earnie tidak serik bertandang lagi. Maaf dipinta atas segala kekurangan yang ada. InsyaAllah, saya dan teman serumah akan berkunjung balas pada Mac nanti. Didoakan agar dirimu sampai di Bumi Sabah dengan selamatnya, dan semoga ukhuwwah ini akan terus mewangi di bawah redha Ilahi.

Ya ALLAH,

Engkau mengetahui hati-hati ini

telah berkumpul kerana mengasihiMU,

bertemu untuk mematuhi perintahMU,

bersatu memikul beban dakwahMU,

hati-hati ini telah mengikat janji setia untuk

mendaulat & menyokong syariatMU,

maka eratkanlah YA ALLAH akan ikatanya...

Kekalkanlah kemesraan antara hati-hati ini

akan jalanNYA yang sebenar,

Penuhkanlah hati-hati ini dengan cahaya RabbaniMu

Lapangkanlah hati-hati kami dengan

limpahan iman dan keyakinan

dan keindahan tawakkal kepadaMU,

Hidup suburkanlah hati-hati ini dengan

ma'rifat (pengetahuan sebenar) tentangMU,

Jika Engkau mentakdirkan mati,

maka matikanlah pemilik hati-hati ini

sebagai para syuhada dalam perjuangan agamaMU,

Engkaulah sebaik-baik sandaran

dan sebaik-baik penolong...

Ameen ya Rabbal 'Alameen.



"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Isnin, 20 Disember 2010

PERSAHABATAN YANG TERJALIN INI...

Dua minggu cuti yang berbaki ini, memberi ruang kepada saya untuk mengemas beberapa barang peribadi termasuk koleksi-koleksi majalah dan buku. Dalam sibuk berkemas saya terjumpa satu catatan puisi yang dicatat pada tahun 2000.

Sekadar perkongsian, saya titipkan puisi ini buat semua sahabat 'blogger'. Semoga ada sisi manfaatnya, walau mungkin hanya cebisan semata.

Persahabatan yang terjalin ini...
tanpa sedar telah sampai ke penghujungnya
telah mengukir banyak kenangan untuk diingati
pahit...manis...
pahit...berkerut dahi
mencari destinasi
tugasan yang diberi
manis...senyuman hiasi diri
tugasan akhirnya berjaya disudahi
dengan rasa ceria di hati

Persahabatan yang terjalin ini...
hendaknya terus mewangi
diberkati dan dikasihi
di bawah Panji Ilahi
Panji hakiki

Persahabatan yang terjalin ini...
harapnya tidak mudah diakhiri
kerna terlalu susah untuk dimulai
yang pasti persahabatan ini tetap kurai
sebagai persahabatan abadi
duniawi dan ukhrawi

Persahabatan yang terjalin ini...
bukan mudah untuk dilupai
kerna ia telah bersemi
di lubuk hati
persahabatan yang suci
moga kembali lagi di suatu hari
yang belum pasti....

"Dari Anjung K6R 104 UKM Bangi"

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH

Rabu, 8 Disember 2010

PELACUR, ANJING DAN KEHIDUPAN

Dalam hadis, Nabi s.a.w bersabda:

“Diampunkan dosa seorang pelacur yang melintasi seekor anjing yang berada di tepi sebuah telaga yang lidahnya terjelir. Hampir kehausan membunuhnya. Maka pelacur itu pun menanggalkan kasutnya, lalu dia ikat kasut itu dengan tudungnya lantas dia menceduk air untuk anjing tersebut. Dia diampunkan disebabkan kejadian itu” (Riwayat al-Bukhari).

Saya merenung panjang setiap kali mengingati hadis ini. Betapa luasnya rahmat Allah kepada hamba-hambaNya. Betapa luas peluang yang diberikan untuk setiap insan mendapat keampunanNya, yang lantas akan memasuki syurga yang tidak tergambar keindahan dan segala kurnia yang ada dalamnya. Betapa Allah itu Pengasih, kadang-kala dengan amal yang sedikit dijadikan sebab untuk diberikan keampunan yang besar.

Namun rahmat Tuhan itu selalu kelihatan hambar disebabkan lidah-lidah sesetengah mereka yang mengaku diri mewakili Tuhan untuk berbicara tentang agamanya. Mereka ini kadang kala yang memakai bahasa, baju dan gelaran agama, seakan mewakili Tuhan dan Nabi. Malangnya, mereka tidak membawa misi rahmat seperti yang diajar oleh Alah kepada NabiNya s.a.w

Mereka itu selalu gambar Allah penuh dengan sifat keras, tanpa ihsan dan kesian, hanya tahu menghukum dan melaknat. Di manakah keindahan rahmat Allah seperti yang digambarkan dalam hadis di atas?! Di manakah imbangan yang terkandung dalam firman Allah:

“Khabarkanlah kepada hamba-hambaKu bahawa Akulah Yang Maha Pengampun lagi Maha Mengasihani, Dan bahawa azabKu, adalah azab yang tidak terperi sakitnya” (Surah al-Hijr 49-50)

Hina Dan Mulia

Perkataan yang digunakan dalam hadis tentang perempuan tersebut ialah mumisah iaitu perempuan yang terkenal dengan perbuatan zina, seperti perempuan lacur. Perempuan seperti itu sentiasa buruk pada nilaian mana-mana masyarakat pun. Ada pun anjing binatang yang dianggap hina dalam kebanyakan masyarakat. Perumpamaan ‘engkau bagaikan anjingkan’ adalah ungkapan buruk dalam berbagai bangsa dan budaya.

Namun, seorang wanita penzina mendapat keampunan Allah S.W.T disebabkan seekor anjing. Siapalah pelacur atau penzina di mata manusia, dan apalah yang ada pada seekor anjing pada penilaian manusia?! Namun, air yang diberikan oleh pelacur atau penzina kepada anjing menyebabkan dia mendapat rahmat dan keampunan. Apatah lagi jika seorang yang baik memberikan bantuan kemanusiaan kepada sesama insan.

Apakah Syurga Murah?

Kita mungkin tertanya-tanya: alangkah murahnya syurga, dosa yang besar seperti kegemaran berzina dapat dipadamkan dengan beberapa teguk air yang diberikan kepada anjing. Apakah ini bererti jika seseorang itu perasuah atau penzalim besar maka dia akan diampunkan dengan membuat jamuan rakyat atau dengan beberapa hidangan yang dihantar ke masjid? Sudah pasti tidak demikian! Jika itulah tafsirannya, hadis ini akan menjadi lesen manusia berbuat berbagai kesalahan, lalu dia diampunkan dengan sedikit bantuan dan sedekah yang dihulurkan. Tidak begitu!

Perkara yang utama yang menentukan nilai dan harga setiap amalan adalah apa yang terkandung dalam jiwa atau jantung hati pengamalnya. Inilah perkara paling sukar hendaklah dicapai dan dijaga. Keikhlasan dan kejujuran. Ia tersimpan dalam jantung hati insan. Allah mengetahuinya. Tiada ruang berpura-pura dalam jiwa. Ia melahir diri yang insaf dan tawaduk kepada Allah.

Amalan yang sama mempunyai nilai berbeza di sisi Allah disebabkan berbezanya keikhlasan dan kekusyukan jiwa pengamal-pengamalnya. Nilai solat dua rakaat setiap kita, mungkin tidak sama di sisi Allah berdasarkan kekusyukan pengamalnya. Bahkan solat dua rakaat yang seseorang lakukan dari masa ke semasa juga tidak sama di sisi Allah disebabkan perbezaan keikhlasan dan kekusyukan ketika mengamalkannya. Maka dua orang yang berada dalam saf solat yang sama, belum tentu mendapat ganjaran yang sama. Boleh jadi beza antara mereka bagaikan langit dan bumi.

Demikianlah amalan baik sesama manusia atau terhadap haiwan dan alam, Allah mengetahui hakikat yang tersimpan dalam jantung hati setiap yang melakukan amalan itu. Perbuatan mungkin kelihatan sama, namun nilai kejujuran dan penyerahan jiwa kepada Allah, tidak semestinya sama. Menderma, berbudi bahasa, tolong menolong dan seumpamanya adalah amalan yang baik pada zahirnya. Nilaian di sisi Allah pada keikhlasan dan keinsafan diri pengamalnya. Sebab setiap pembuat kebaikan itu tidaklah semestinya sama kadar kejujuran yang ada dalam jiwa mereka.

Banyak Dan Sedikit

Bahkan kadang-kala mungkin ada amalan yang sedikit tapi nilaiannya lebih besar dari amalan yang banyak. Ini disebabkan apa yang terkandung dalam jiwa pengamalnya. Seorang miskin yang menderma RM 10, mungkin akan mendapat ganjaran yang lebih dari seorang kaya yang menderma RM1000. Sekalipun nilainya cuma RM10, tetapi itulah kadar yang dia termampu. Kadar itu pula besar bagi dirinya yang hanya bergaji 10 atau 15 ringgit sehari.

Dia mengeluarkan RM 10 dengan penuh erti dan berat, sekalipun mungkin lekeh bagi orang lain. Dia keluarkannya dengan penuh ikhlas dan insaf terhadap kurniaan Allah. Sudah pasti derma seperti itu berbeza di sisi Allah dibandingkan derma RM1000 yang dikeluarkan oleh seorang berharta dengan kesombongan, atau kurang keikhlasan, atau ada tujuan tertentu; tanpa rasa insaf dan mengharap ganjaran Allah. Sekalipun RM10 lebih kecil, tetapi ia lebih bernilai di sisi Allah. Namun, jika kadar yang besar dikeluarkan dengan jiwa yang luhur, pastilah ganjarannya lebih.

Tidak Sampai Ajaran

Demikian juga pelacur tadi, perbuatannya mungkin nampak ringkas iaitu memberi minum kepada seekor anjing, namun mungkin jiwanya penuh dengan insaf dan mengharapkan kurniaan Tuhan kepadanya atas perbuatan baik itu, maka dia pun diampun, dan dibuka jalan kebaikan. Mungkin juga perbuatan lacur yang dilakukan selama ini kerana keadaan yang memaksanya, atau kehidupan yang mendesaknya, atau suasana yang mengheretnya begitu. Allah tahu tentang dirinya, Allah tahu tentang nilai-nilai luhur yang ada dalam jiwanya. Memberi minum kepada anjing yang kehausan itu satu bukti dari nilai baik dalam dirinya itu. Allah ampuninya. Demikian Allah akan ampuni hamba-hambaNya yang baik yang berada dalam suasana yang sama.

Berapa ramai orang-orang bukan muslim yang sangat baik kepada masyarakat manusia, haiwan dan tumbuhan-tumbuhan. Malangnya, umat Islam atas kelemahan dan kegagalan menjadi contoh yang baik menyebabkan Islam tidak sampai kepada mereka dengan cara yang sebenar lagi meyakinkan. Saya percaya Allah akan mengampuni mereka, sekalipun ada kelemahan pada diri mereka. Namun, kebaikan yang mereka tunjukkan, yang dilakukan dengan jiwa yang luhur, ada nilai di sisi Allah. Apatah lagi menyebut:

“Kami tidak akan mengazab, sehinggalah Kami mengutuskan rasul” (Surah al-Isra; ayat 15).

Maksudnya, sehingga ajaran rasul atau utusan Allah itu sampai kepada seseorang, barulah dia dikira bersalah jika enggan mengikutnya. Ajaran Islam yang sebenar gagal disampaikan kepada kebanyakan masyarakat manusia di dunia ini. Selain media Barat yang memburukkan wajah Islam, umat Islam sendiri pun tidak berdakwah dan gagal menjadi contoh yang baik. Ramai manusia hidup atas nilai-nilai kebaikan yang ada dalam jiwa mereka tanpa berpeluang menikmati tauhid yang benar. Semoga Allah mengampuni mereka. Bahkan mungkin mereka lebih mendapati keampunan Allah, dibandingkan kita yang mengetahui ajaran para rasul, tetapi gagal menanamkan nilai-nilai luhur dan jujur dalam jiwa.

Insafi Diri

Hadis ini juga mengingatkan kita agar jangan memandang hina kepada orang lain. Ya, perbuatan yang salah memang dihukum salah, dosa tetap dosa. Namun, kedudukan pelakunya di sisi Allah, hanya Allah Yang Maha Tahu. Mungkin satu hari mereka mendapat keampunan melebihi orang lain. Ini semua kerana keikhlasan dan keinsafan jiwa setiap insan tidaklah sama. Mungkin seseorang kelihatan baik kerana lahir dalam suasana yang baik. Seseorang lain mungkin menjadi jahat kerana keadaan hidup yang melingkunginya. Namun, jika pada dalam jantung hatinya keikhlasan, kejujuran dan keinsafan diri, dia akan menemui jalan keampunan Tuhan Yang Maha Adil Lagi Penyayang. Semoga kita semua tawaduk serta insaf terhadap kelemahan diri sendiri dan kelebihan yang mungkin dimiliki oleh orang lain, sehingga dia mungkin disayangi Allah lebih daripada kita! Dengan keinsafan dan perasaan tawaduk itu, diharapkan kita juga mendapat keampunan Allah!

SUMBER: http://drmaza.com/home/?p=1191#more-1191


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana Allah"

Isnin, 6 Disember 2010

SELAMAT TAHUN BARU... :)


"Selamat tahun baru 1432H buat semua teman 'blogger' . Semoga esok lebih baik dari semalam"

"Hidup Ini Indah Jika Segalanya kerana ALLAH"