Ahad, 10 Julai 2011

KAIN PUTIH...JANGAN CUBA DIHITAMKAN...

Gambar: Kain Putih yang Besih

"Kenapa ni cikgu..." Saya bertanya salah seorang pentadbir sekolah yang sedang 'bersoal siasat dengan tiga orang murid tahun 1 di pejabat am.

Ketika itu saya ke pejabat untuk mengemaskini nama murid tahap satu.

"Mereka bertiga ni buat perangai di kelas. Disuruhnya seorang murid perempuan membuka seluar..." Ada lagi ayat yang seterusnya, tapi tidak sanggup untuk saya nukilkan di sini. Sangat merisaukan hati.Menakutkan. Terkedu saya seketika apabila mendengar cerita tersebut. Allah..Allah..

Sungguh...Saya Geram

" Ya Allah... apa nak jadi dengan kamu ni. Baru tujuh tahun, sudah pandai...." Saya tidak dapat mengarahkan lidah dari diam tanpa kata. Suara agak tinggi. Menyinga.

Selama saya berkhidmat sebagai guru lebih kurang tujuh tahun jagung ini, tidak pernah saya berhadapan dengan masalah dewasa yang berlaku ke atas budak yang baharu sahaja mencecah usia tujuh tahun.

"Selama saya mengajar, tidak pernah saya jumpa kes seberat ini yang melibatkan murid sekecil ini, cikgu." Beritahu Pentadbir tadi. Beliau sudah agak veteran, dan akan bersara sekitar tiga tahun lagi.

"Kamu ada tengol CD atau apa-apa cerita ke..." Gertak saya terhadap murid bertiga itu. Hati saya sangat panas.

Mereka semua menggeleng kepala. Ketakutan.Hanya tunduk merenung lantai.

"Ah, tidak boleh jadi ni." Hati mendesis sendiri.

Kemudian, saya kembali menumpukan perhatian kepada kerja yang masih belum langsai. Untuk seketika, saya menghalang lidah daripada menyambung kata. Mengeluarkan bicara ketika amarah menguasai diri bukan satu keputusan yang bijak.

Masalah tidak akan selesai sampai bila-bila.Sekadar melepaskan marah yang meluap-luap tiada guna juga. Bukankah menjatuhkan hukum ketika marah dilarang oleh agama?

Kena Hukum

"Ustazah, tadi sidak tiga (mereka bertiga) kena hukum" Beritahu Izwan, salah seorang murid dari kelas 1A.

Saya hanya terseyum hambar, sambil mengisyaratkan agar membaca doa bagi memulakan pelajaran.

Seusai doa dibacakan, saya bergerak ke arah Ali (bukan nama sebenar). Ali merupakan salah seorang murid yang 'membuat perangai' tadi.

Ali

"Ali, bagitau ustazah...apa yang kamu buat pada Nurul."Saya memulakan sesi soal siasat.

"Dia cium Nurul, ustazah." Lain orang ditanya, lain orang yang jawab.

Ali mengiyakan sahaja. Wajahnya pula agak jernih. Tidak sekeruh wajah Zul.

"Kenapa kamu buat macam tu..."

"Zul yang suruh saya..." Jawab Ali menyelamatkan diri.

"Ya Allah....jadi pelakon rupanya Si Ali ini. Di bawah arahan sutradara cilik....Zul oh Zul." Saya sekadar mengomel di hati.

"Kamu ada tengok CD atau apa-apa ke kat rumah?"

"Tak ada...." Meyakinkan jawapan Ali.

Mata saya seterusnya beralih arah kepada Zul.

Kelihatan 'takut-takut' Zul melihat saya.

Zul

"Zul, ustazah tanya betul-betul ni. Ustazah takkan marah, cuma ustazah nak tahu aje."

Set induksi bermula. Sambil tangan enyentuh mesra bahu Zul, seulas senyuman saya iringi. Mesra.

"...Zul, ada tengok apa-apa cerita ke di rumah..." Soalan bersambung.

"Ada..."

"Zul tengok dengan siapa?"

"...tengok dengan kakak..."

"Oh, dengan kakak...kat mana Zul dengan kakak tengok..."

"Dalam bilik...

Saya terdiam seketika. Tidak tahu mahu bertanya apa lagi. Hanya nasihat,demi nasihat yang mampu saya titipkan.

Seterusnya saya bergerak sedikit ke hadapan. Berhenti di satu kerusi....

Naqib

Senyuman kasihan saya huluri. Ya, saya kasihan kepada mereka yang menjadi mangsa kecuaian orang lain. Budak berusia 7 tahun tidak melakukannya kerana nafsu, tapi sekadar ingin 'explore' apa yang dilihat. Ingin mencuba tanpa mengetahui bahawa tindakan itu jika tidak diawasi secara berkala akan mewarna hitamkan kain putih yang terbentang tanpa sempadan.

"Naqib...kamu ada tengok cd kah...atau tengok cerita kat tv?"

Soalan yang sama saya utarakan, senyuman manis saya lemparkan. Buat umpan mengait jawapan. Jawapan tulus sudah pasti saya harapkan.

"Saya tengok kat laptop... ustazah."

Oh, Naqib ini merupakan ahli kumpulan saya bagi kelas tasmik. Hari pertama, dia kelihatan begitu jakun. Memperdengarkan iqra' 1 pun begitu perlahan. Merangkak-rangkak. Eh, bukan setakat merangkak tetapi, seakan meniarap. Tergagap-gagap untuk membezakan sebutan "a" "ba" "ta"Tidak disangka istilah laptop begitu serasi dengan lidahnya.

Jangan disangka, air yang tenang tiada buaya. Bisakah saya menggunakan pepatah ini?

"Cerita kat ustazah, apa yang kamu tengok kat laptop" Saya kembali mengorek cerita.

"Erm ..." Naqib seolah-olah tidak ingin melahirkan kata.

"Ada kamu tengok cerita peluk-peluk...cium-cium?" Saya cuba mengisi tempat kosong yang ditinggalkan Naqib.

Naqib mengangguk. Saya mengeluh. Kesal. Sedih. Perasaan bersimpang siur.

"Lepas peluk-peluk, cium-cium ...apa lagi yang kamu tengok kat laptop tu?"

"Cerita kenja." Maaf, istilah ini sangat tidak manis di pendengaran. Istilah atau bahasa bagi penduduk Sarawak. Namun saya terpaksa titipkan di sini agar semua pihak membuka mata, memasang telinga terhadap tingkah anak-anak.

Wahai emak...wahai bapak...abang...kakak...pakcik....makcik...

Jangan hanya meletakkan anak, adik, cucu di sekolah semata. Sekolah bukan yang pertama, tapi yang kedua. Yang pertama adalah di rumah. Jadi, tugas sekolah hanyalah menambahbaik ilmu yang telah didapati dari rumah.

Saya merayu...pantaulah anak anda sebaik mungkin. Jika anda sampai hati ingin menonton cerita 18XS, tontonilah di tempat tertutup, tempat yang sunyi yang tidak mampu digapai oleh anak-anak yang tidak berdosa ini.

Lagi bagus jika kalian dapat mencari satu ruang yang diyakini bahawa Allah tiada di situ. Mungkinkah...???


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"