Sabtu, 28 September 2013

Wanita Tidak Boleh Keluar Rumah Tanpa Hajat Mendesak?


Dilema Persepsi

Dunia ini ada banyak cerita. Ada gadis yang bebas berpeleseran di shopping complex tanpa tujuan. Ada yang galak menari di kelab-kelab malam. Abahnya tidak kisah. “Inikan zaman moden,” bela si abah sambil mencucuh putung rokok. Adakah ini akhlak gadis muslimah?
Ada gadis yang dikongkong dalam sangkar emas. Tidak boleh ke mana-mana walaupun ada urusan munasabah. Abahnya suka mengancam dengan hadis-hadis Nabi. “Nabi dah kata, perempuan tu aurat. Jika dia keluar, syaitan jadi peneman. Kalau nak keluar juga, mesti pakai purdah,” tegas si abah sambil membetulkan serban besar di kepala. Hadis ini benar tapi adakah tafsiran sebegini benar?
Ada muslimah yang keluar menuntut ilmu, keluar menyahut panggilan dakwah, keluar menyahut tugas-tugas kemasyarakatan dan keluar gambarnya di facebook, media, drama, majalah hingga menjadi ikutan remaja menutup aurat dan berakhlak mulia. Namun, ada pihak memandang sinis dan menyamakannya dengan gadis-gadis yang berpeleseran di pasar raya.

Adakah Islam menganggap keluarnya kaum wanita dari rumah bukan atas hal-hal darurat suatu perbuatan yang makruh atau haram? Mari kita bincangkan.

Sepotong Hadis Perlukan Kombinasi Dalil-Dalil yang Lain

Pihak yang menganggap ‘berdosa’ tatkala keluarnya wanita daripada rumah, sering memetik hadis ini,

“Wanita adalah aurat, jika dia keluar (rumah), syaitan akan memimpinnya.” (HR Tirmidzi, Kitab: Menyusukan. Bab: 18 (jld. IV, hal. 153), terdapat dalam Shahihul Jami’ ash-Shagir dengan no. 6566.)

Inikah dalilnya? Bagaimana hal ini boleh menjadi haram atau makruh? Bukankah Rasulullah SAW melarang kaum lelaki menghalang isteri-isteri mereka pergi ke masjid. Padahal, solat di masjid bukanlah suatu darurat dan bukan juga keperluan yang mendesak.

“Tapi, Nabi suka kalau perempuan solat kat rumah lagi,” balas mereka.

Baik, bagaimana dengan doa Nabi bagi Ummu Haram agar berpeluang ikut bersama para tentera menyeberangi lautan untuk berjihad di jalan Allah? (Rujuk HR Bukhari). Pemergian Ummu Haram untuk berjihad tidak termasuk keadaan darurat atau keperluan yang sangat mendesak, tetapi hanya untuk mendekatkan diri kepada Allah SWT.

Apakah Maksud Hadis Wanita itu Aurat?

Dalam Buku Kebebasan Wanita Pada Zaman Risalah, karya Abdul Halim Abu Syuqqah, ada jawapannya. Hadis ini mengaitkan keadaan wanita sebagai aurat dengan pimpinan syaitan. Ia memberi peringatan kepada kaum wanita agar jangan lalai dalam menutup aurat.

Kaum wanita dilarang memperlihatkan keindahan tubuhnya kecuali yang dibenarkan, tidak memakai wangian, tidak sengaja melenggok-lenggok ketika berjalan, dan tidak sengaja menggoda dalam berbicara. Bukan kaum wanita sahaja, kaum lelaki juga diingatkan agar menjaga adab dalam pergaulan. Barulah syaitan tiada ‘password’ untuk menggoda manusia.

Wanita Datang Dalam Bentuk Syaitan?

Rasulullah SAW mengaitkan keluarnya wanita daripada rumah dengan syaitan bukan sahaja dalam hadis di atas bahkan dalam hadis yang lain.

“Sesungguhnya wanita datang dalam bentuk syaitan dan pergi juga dalam bentuk syaitan.” (HR Muslim, Kitab: Nikah, Bab: Tentang Orang Yang Melihat Wanita Lalu Jatuh Hati, jld. IV, hlm. 129-130).

Apakah pengajaran daripada hadis ini? Kena mengurung wanita di rumah? Tidak! Ada ratusan dalil yang lain menunjukkan penglibatan wanita dalam kehidupan sosial pada zaman Rasulullah SAW. Bagaimana Rasulullah SAW memberi bimbingan dalam menghadapi fitnah (ujian) sebegini?

Rasulullah SAW mengajar lelaki menghadapi fitnah (ujian) wanita ini dengan cara berjuang menguruskan nafsu, menundukkan pandangan dan pulang ke pangkuan isteri. Bersama isteri, naluri seksual boleh disalurkan secara halal. Baginda bersabda dalam hadis yang sama,

“Jika salah seorang kamu melihat wanita,  maka hendaklah dia pulang menggauli isterinya. Hal itu dapat menghilangkan keinginan yang ada dalam dirinya.” (HR Muslim).

Beginilah juga cara wanita menghadapi fitnah (ujian) lelaki penggoda. Lelaki-lelaki itu datang dalam bentuk syaitan apabila bersiul-siulan gatal, feeewittt, dan usya-usya. Ada persamaan dengan syaitan dari sudut menggoda. Usah dilayan. Pulang ke rumah dan nikmati suami sendiri.

Fitnah (Ujian) Dalam Pelbagai Bentuk

Hadis di atas mengingatkan kita tentang adanya ujian (fitnah) daripada godaan wanita. Sama sahaja dengan hadis-hadis yang mengingatkan kita adanya ujian (fitnah) daripada godaan harta benda dan anak-cucu.

Peringatan itu tidak bermakna kita kena bermusuh dengan harta dan anak-cucu. Ia tidak bermakna kita tidak perlu mengumpul harta dan mengurung anak cucu di rumah sahaja. Ia cuma ingatan agar kita berwaspada.

Kesimpulan

Wanita sangat bagus tinggal di rumah. Tapi itu tidak bermakna dia diharamkan atau  dimakruhkan keluar rumah. Lebih-lebih lagi jika seseorang wanita itu keluar dengan bertujuan kebaikan. Tiada masalah. Jangan terlalu bebas. Jangan pula terlalu terkongkong. Allahmu Maha Mengetahui setiap niat di hati. 


SUMBER: Ustazah Fatimah Syarha @  http://sebarkanbahagia.blogspot.com/


"Hidup Ini Indah Jika Segalanya Kerana ALLAH"


Isnin, 9 September 2013

UJIAN...UPSR...

Kita selalu sahaja diuji
adakala diuji dengan wang ringgit
adakala diuji dengan kerenah sahabat
adakala diuji dengan politik kerja
adakala diuji dengan masalah kesihatan
jika mahu disenaraikan, entah berapa banyak lagi ujian yang kita harungi...

Esok 9 September 2013 anak-anak didikku bakal harungi satu ujian yang tidak kurang pentingnya dalam kehidupan mereka iaitu UPSR.

Buat anak-anak didikku,

khusus di Sekolah Kebangsaan Matang, Kuching dan juga di Sekolah Kebangsaan Cheneh Baru, Kemaman ...serta semua yang bakal menghadapi UPSR..


Ustazah mengambil kesempatan ini untuk mengucapkan:

"Selamat menghadapi UPSR dengan usaha yang terbaik. Semoga ALLAH kurniakan ketenangan dan kelapangan hati. Mudah-mudahan, kecemerlangan yang bakal yang kalian kecapi, bukan sahaja di dunia tetapi juga di akhirat. Aamiin"

اللهم اجْعَلْنَا منَ النٌَاجحيْنَ وَالفائزيْنَ في الدنيَا وَالأخرة